home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 24/10/90 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-25 PENUBUHAN BANK BUMIPUTRA MALAYSIA BERHAD Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera. Yang Berbahagia Dato' Hanafiah Hussain Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra Malaysia Berhad Dif-dif Kehormat Tuan-tuan dan puan-puan Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato' Hanafiah Hussain serta pihak pengurusan Bank Bumiputra kerana menjemput saya ke majlis makan malam sempena Sambutan Ulangtahun ke-25 Bank Bumiputra Malaysia Berhad. Kerajaan berharap sambutan ini akan memperingatkan kita semula mengenai segala harapan dan cita-cita kaum bumiputera apabila Bank Bumiputra ditubuhkan 25 tahun dahulu. Dengan itu pihak pengurusan dan kakitangan bank ini hendaklah memperbaharui azam dan tekad untuk memenuhi harapan besar rakyat bumiputera yang mengasaskan penubuhan Bank Bumiputra. Tuan-tuan dan puan-puan 2. Tiga hari yang lalu kita berjaya mengadakan pilihanraya umum yang ke-lapan. Barisan Nasional telah diberi mandat sekali lagi oleh rakyat untuk mentadbir Malaysia bagi lima tahun yang akan datang. Mandat yang diberikan adalah sangat meyakinkan oleh kerana Barisan Nasional menang lebih daripada dua-per-tiga jumlah kerusi yang dipertandingkan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada para penyokong Barisan Nasional, terutamanya penduduk luarbandar yang pada umumnya terus menyokong Barisan Nasional. Nampaknya mereka di luarbandar lebih arif tentang perlunya ditubuhkan sebuah kerajaan berbilang kaum yang kukuh untuk mentadbirkan negara majmuk seperti Malaysia ini. Insya-Allah kerajaan Barisan Nasional akan terus mentadbirkan negara ini dengan penuh tanggungjawab dan berwibawa untuk menentukan negara terus aman, stabil dan makmur. 3. Barisan Nasional memang memerlukan mandat yang kukuh untuk melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memesatkan lagi pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Salah satunya ialah mewujudkan satu pusat kewangan atau financial centre yang kukuh dan canggih atau sophisticated di negara kita iaitu di Kuala Lumpur. Kerajaan sedar bahawa proses mewujudkan pusat sedemikian memerlukan masa yang panjang dan semua komponen sektor kewangan hendaklah dimajukan setapak demi setapak. Kita berbangga kerana institusi-institusi kewangan seperti bank-bank saudagar, bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat kewangan, syarikat-syarikat insurans dan lain-lain institusi yang berkaitan telah dimajukan ke tahap di mana kita boleh mewujudkan sebuah pusat kewangan yang kompetitif dan terkenal. 4. Kita juga memerlukan sebuah pasaran modal atau capital market yang berdaya maju. Dengan adanya Bursa Saham Kuala Lumpur serta pasaran sekuriti kerajaan, pasaran modal kita pun boleh dimajukan lagi untuk meningkatkan Kuala Lumpur sebagai sebuah pusat kewangan yang kukuh. Dengan wujudnya sebuah kerajaan yang terus kukuh, politik yang tidak sihat tidak akan dapat mengganggu proses pembangunan sektor kewangan seperti yang berlaku kepada banyak negara yang lemah pemerintahannya. 5. Sebelum ini pun Kuala Lumpur telah disebut oleh beberapa buah majalah sebagai salah satu pusat kewangan yang mungkin dapat menarik perhatian usahawan-usahawan yang ingin memindahkan pusat operasi mereka. Kerajaan akan berusaha supaya Kuala Lumpur dapat menarik para usahawan dari negara- negara asing yang sedang menimbangkan untuk memindahkan pusat operasi mereka ke negara-negara lain. 6. Sehubungan dengan ini kerajaan berharap pihak pengurusan dan kakitangan Bank Bumiputra akan menyedari pentingnya mereka memastikan bank ini terus maju dan kukuh. Asas pemulihan bank ini, setelah ia mengalami peristiwa penyelewengan BMF, sudahpun menunjukkan kesan yang baik. Marilah kita bertekad untuk mengharumkan semula nama Bank Bumiputra dengan keupayaan yang maksima dalam memberi perkhidmatan kepada para pelanggan khususnya kepada bumiputera. Sekali lagi saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa Bank Bumiputra ditubuhkan untuk mengatasi masalah kewangan bumiputera. Pertumbuhannya sehingga pada satu masa menjadi bank tempatan yang terbesar adalah perkara yang kedua. Penyimpangan Bank Bumiputra daripada matlamat ini oleh pengarah, pengurusan dan orang-orang tertentu di masa dulu adalah punca berlakunya skandal BMF. Tuan-tuan dan puan-puan 7. Dalam usaha memajukan masyarakat bumiputera, Bank Bumiputra hendaklah mengkaji pendekatannya supaya bumiputera lebih faham akan kemudahan yang boleh diberi oleh bank ini. Seperti mana Permodalan Nasional Berhad atau PNB berjaya meningkatkan pengetahuan bumiputera dalam bidang pelaburan, Bank Bumiputra juga harus ada unit-unit yang memberi penjelasan kepada golongan bumiputera tertentu, seperti peniaga kecil dan orang yang berpendapatan rendah, supaya mereka lebih memahami bagaimana menggunakan fasiliti bank ini. Cawangan-cawangan bank ini hendaklah ditubuhkan dengan meluasnya di kawasan-kawasan luar bandar. Di samping itu sistem pengawasan semua pegawai dan kakitangan, dari atas sehingga ke bawah, hendaklah diperkukuhkan. 8. Etika bank hendaklah diperluaskan bukan sahaja di kalangan pegawai dan kakitangan tetapi juga di kalangan pelanggan. Ada bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian daripada masyarakat di Malaysia tidak memandang berat terhadap menepati janji bila berhutang. Kerana mereka ini mungkir janji maka seluruh masyarakat telah kehilangan kredibiliti dan terpaksa menghadapi masalah. Tindakan mestilah diambil terhadap mereka untuk dijadikan teladan. Walau bagaimanapun jika tidak ada usaha meningkatkan pengetahuan dan etika para pelanggan maka kesalahan mestilah dibahagikan antara yang memberi dan yang menerima hutang. Tuan-tuan dan puan-puan 9. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Bank Bumiputra kerana menjemput saya ke majlis ini. Adalah diharapkan Bank ini akan terus maju dan terus berupaya menjadi institusi kewangan yang berkesan. Saya mengucapkan selamat menyambut ulangtahun yang ke-25 kepada pihak pengurusan dan seluruh kakitangan Bank Bumiputra Malaysia Berhad. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |