home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM BOLA SEPAK, BANDAR TUN 
			RAZAK, CHERAS 
Tarikh/Date 	: 	11/11/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN HARI KELUARGA 
			KEBANGSAAN 1990 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa  Ta'ala  kerana  dengan  izinNya  dapat kita bersama-sama
berkumpul dalam majlis  perayaan  Hari  Keluarga  Kebangsaan
yang pertama kali disambut di negara kita.
2.   Sepertimana   kita  maklum,  masyarakat  manusia  tidak
statik.   Semuanya berubah  dengan  pengaliran  masa.    Ada
perubahan  yang  baik  dan  ada perubahan yang buruk.   Kita
boleh  menerima  sahaja   perubahan   yang   berlaku   dalam
masyarakat  kita atau kita boleh menentukan apakah perubahan
yang dibenar dan digalakkan  dan  apa  yang  harus  dihalang
daripada  berlaku.  Jika kita tahu bahawa ada perubahan yang
akan   membawa   akibat   tidak    baik,    amatlah    tidak
bertanggungjawab  jika  kita membiarkan sahaja perubahan itu
berlaku.  Masyarakat manusia yang waras tentulah  akan  cuba
menghalang  perkembangan  perubahan yang tidak baik daripada
melanda masyarakat berkenaan.
3.   Di Malaysia kita ingin maju seperti negara yang maju di
Barat.  Kita mahu kemajuan kerana  kita  ingin  taraf  hidup
yang  lebih  baik  seperti di negara yang maju.  Mereka juga
lebih berupaya dan lebih kuat daripada kita.  Tanpa kekuatan
yang datang daripada  kemajuan,  kita  boleh  ditindas  oleh
mereka  yang maju.  Jika kita maju kemungkinan kita ditindas
akan berkurangan.  Sebab itu kita mengejar kemajuan.
4.   Tetapi jika kita teliti masyarakat yang maju  di  Barat
kita  akan  mengenali  beberapa keburukan.   Antaranya ialah
keruntuhan institusi keluarga.   Di Barat  keluarga  kadang-
kadang  tidak  wujud sama sekali.  Terdapat segolongan orang
Barat yang begitu mendewa-dewakan kepentingan dan  kebebasan
diri  sendiri  sehingga  tidak  mahu berumahtangga.   Mereka
hidup seorang diri, mengadakan  perhubungan  yang  sementara
tanpa  mendirikan  rumahtangga.    Dengan  ini  mereka tidak
berasa terikat dengan apa-apa dan mereka boleh melakukan apa
sahaja secara bebas.
5.   Jika mereka berumahtangga sekalipun, ianya amat terhad.
Ada antara mereka yang tidak mahu seorang anak  pun.    Jika
mereka  mempunyai anak, maka apabila sampai umur remaja, ibu
bapa tidak begitu berasa bertanggungjawab terhadap anak  dan
anak  pula  tidak  mahu  menerima  sebarang kawalan oleh ibu
bapa.   Kerapkali  anak  meninggalkan  ibu  bapa  dan  hidup
berasingan.  Hubungan kekeluargaan diputuskan oleh kedua-dua
pihak.
6.   Ada  keluarga  di Barat yang merupakan keluarga nuklear
atau nuclear family iaitu terhad kepada ibu  bapa  dan  anak
sahaja.    Tidak  ada  datuk  dan  nenek  atau bapa dan anak
saudara atau sepupu yang diiktiraf  sebagai  ahli  keluarga.
Semuanya   merupakan   orang   asing,  tidak  daripada  satu
keluarga.  Justeru itu, apa yang  terjadi  kepada  ahli-ahli
keluarga  yang  jauh  bukanlah  tanggungjawab  sesiapa  yang
mempunyai kaitan keluarga.
7.   Dalam masyarakat seperti ini apabila ibu bapa sudah tua
dan mungkin tinggal berseorangan  sahaja,  anak  tidak  akan
mengambil  peduli.    Mereka  dimasukkan  ke rumah orang tua
sehingga   ke   akhir    hayat.        Kerapkali    kerajaan
dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua.
8.   Kerajaan  mungkin  boleh  mengadakan  rumah orang-orang
tua.   Tetapi kerajaan tidak  boleh  memberi  kasih  sayang.
Setelah memelihara anak sendiri dengan kasih sayang, amatlah
sedih apabila ibu bapa ditinggalkan sebagai beban yang tidak
berguna  oleh anak.  Tetapi inilah yang kerapkali berlaku di
negara-negara maju apabila institusi keluarga sudah runtuh.
9.   Bagi kumpulan remaja pula, tidak  adanya  kawalan  oleh
ibu  bapa  menjadikan  mereka  liar,  tidak  sopan dan mudah
terlibat  dengan  arak,  dadah  dan  jenayah.    Sehinggakan
adakalanya  pernah  terjadi  anak muda di negara-negara maju
yang membunuh untuk 'thrill' iaitu kerana seronok.
10.  Jelaslah  bahawa  apabila  institusi   keluarga   sudah
runtuh,  kemajuan sudah tidak memberi makna yang sepatutnya.
Apa gunanya kemajuan material jika kehidupan  harian  begitu
tidak selamat dan masyarakat muram dan diserang dengan sakit
jiwa?    Walaupun  kelihatan  orang-orang di negara maju ini
berseronokan,  tetapi  keseronokan  mereka  tidak   berpunca
daripada   ketenangan  jiwa.    Keseronokan  mereka  dicapai
melalui cara-cara 'escapism' dengan melarikan diri  daripada
tekanan  jiwa  yang mereka alami.  Dengan itu masalah sosial
dalam masyarakat mereka menjadi begitu  besar.    Penggunaan
dadah  secara  meluas di negara-negara Barat disebabkan oleh
keruntuhan institusi keluarga.
11.  Namun masalah yang dihadapi oleh masyarakat  yang  maju
dan  mewah  tidak bermakna bahawa masyarakat yang tidak maju
dan miskin tidak  akan  diserang  oleh  masalah  yang  sama.
Sebenarnya masyarakat yang ketinggalan daripada segi tamadun
moden  juga  mengalami  masalah  yang  berat,  daripada segi
ketidaktenangan fikiran dan daripada  segi  kemiskinan  yang
ketara.
12.  Usaha ke arah kemajuan material dan pemodenan hendaklah
diteruskan.   Hanya yang dikehendaki ialah mengelak daripada
terperangkap dengan aliran dan gejala keruntuhan  institusi-
institusi   kemasyarakatan   seperti  kekeluargaan.    Usaha
hendaklah dibuat secara  sedar  dan  positif  supaya  sistem
keluarga  luas  atau  extended  family  tidak diganti dengan
keluarga nuklear, dan perhubungan kekeluargaan diteruskan.
13.  Inilah  yang  menyebabkan  Kerajaan  Malaysia   memberi
perhatian  yang  serius  kepada  kekeluargaan  sebagai  satu
institusi masyarakat yang perlu dikekal  dan  diperkukuhkan.
Kita  ingin menjadikan keluarga bahagia sebagai sesuatu yang
dikejar oleh semua pihak, sama ada miskin atau kaya.
14.  Tujuan kita melancarkan Hari Keluarga Kebangsaan  ialah
supaya  kita  dapat  memperingati  diri kita akan pentingnya
keluarga sebagai satu unit dan  institusi  dalam  masyarakat
kita  di  Malaysia.    Kita  sudah  pun  mengesan  bagaimana
institusi kekeluargaan sudah pun mula merosot  dalam  negara
kita yang pesat membangun.
15.  Pemindahan  ke  bandar  dan  dari negeri asal ke negeri
lain yang terpaksa dilakukan untuk kepentingan  hidup  sudah
pun, sedikit sebanyak, memutuskan hubungan keluarga.  Tetapi
generasi  pertama  yang  melakukan pemisahan ini masih ingat
pertalian dengan kampung dan keluarga mereka.   Justeru  itu
sekurang-kurangnya   setahun  sekali  mereka  bersusah-payah
balik ke kampung untuk memperbaharui hubungan kekeluargaan.
16.  Kita sudah hampir kepada giliran generasi  yang  kedua,
generasi  yang  dilahir  dan dibesarkan dalam bandar.  Dalam
bandar  kita  tidak  tinggal   sebelah-menyebelah   keluarga
sendiri.    Jiran  kita  terdiri  daripada  orang  asing dan
perhubungan kita dengan mereka tidak rapat seperti  hubungan
dengan  keluarga.    Pertalian  antara  generasi  kedua  dan
saudara  mara  di  kampung  sudahpun  renggang.      Mungkin
keinginan  balik  ke  kampung  pada hari-hari kebesaran akan
menjadi  pudar.     Sebaliknya  generasi  ini   tidak   pula
mendirikan  keluarga  bandar  yang  mempunyai  hubungan yang
erat.  Sesuatu kelamin biasanya tinggal bersendirian.
17.  Institusi  keluarga  sekarang  sudah  mula  menunjukkan
tanda-tanda  kemerosotan.    Generasi  ketiga  mungkin  akan
terpisah langsung dengan kampung  halaman  dan  keluarga  di
tempat  mereka  berasal.    Di  samping  itu  juga  hubungan
kekeluargaan di bandar semakin merosot.
18.  Sikap juga berubah di bandar.   Perasaan  tanggungjawab
kepada keluarga berkurangan.  Keinginan untuk bebas daripada
kawalan   keluarga  menyebabkan  adanya  remaja  yang  sudah
bekerja, berpindah daripada rumah ibu  bapa  walaupun  belum
berkahwin.   Sudah tentulah selepas berkahwin, pasangan yang
baru ingin mengadakan rumah sendiri.   Pada masa  dahulu  di
kampung, pasangan baru tinggal di rumah mertua dan ibu bapa.
Dengan   aliran   baru   ini,  semakin  kuranglah  pertalian
kekeluargaan.
19.  Aliran  yang  sedang  berlaku  ini,  lambat-laun   akan
menggugat  lagi institusi kekeluargaan jika satu usaha tidak
dibuat untuk mengekalkan institusi keluarga.    Di  Malaysia
kita  tidak mahu menjadi negara kebajikan ala Barat, di mana
orang  tua  menjadi  tanggungjawab  kerajaan,   dan   mereka
ditempatkan  di  rumah orang tua sehingga akhir hayat.  Jika
kita tidak mengukuhkan semula institusi keluarga  dan  kasih
sayang  kekeluargaan,  maka kita akan menyaksikan peristiwa-
peristiwa yang sedih di mana orang tua yang meninggal  dunia
akan  dikebumikan  tanpa  dihadiri  oleh seorangpun daripada
keluarganya.
20.  Tumpuan kita terhadap institusi keluarga  tidak  terhad
kepada  talian kekeluargaan individu melalui proses beranak-
cucu sahaja.  Di Malaysia kita hidup dalam  masyarakat  yang
lebih  besar,  iaitu  masyarakat  berbilang  kaum  yang juga
merupakan  keluarga  kita.    Walaupun  talian  kekeluargaan
masyarakat  tidak  setebal  talian  keluarga biasa, ia tidak
kurang pentingnya dalam menentukan keamanan  dan  kestabilan
di negara kita.
21.  Justeru  itu  amatlah penting kita menjalinkan hubungan
yang rapat dan  baik  dalam  keluarga  masyarakat  Malaysia.
Kita tidak akan rugi jika kita berbuat demikian.  Sebenarnya
di bandar-bandar di mana kita tinggal, jiran kita tidak lagi
terdiri daripada keluarga kita bahkan tidakpun daripada kaum
yang  sama  dan  seagama  dengan kita.   Namun dalam keadaan
kecemasan, tolong-menolong antara jiran masih lagi  penting.
Jika  jiran  sesama jiran tidak menjalinkan perhubungan yang
baik, maka dalam masa-masa tertentu kita tidak akan mendapat
apa-apa bantuan atau pertolongan.
22.  Di  Malaysia  sesetengah  golongan  amat  benci  dengan
perkataan  asimilasi.    Walaupun  kita  tidak  suka  kepada
asimilasi,  tetapi  kita  tidak  harus  menolak  perhubungan
kekeluargaan  walaupun  antara individu yang berlainan kaum.
Perkahwinan antara kaum hendaklah menjadi sesuatu yang patut
diterima, asalkan  ianya  tidak  melanggar  adat  resam  dan
sensitiviti  agama  tertentu.    Apabila  sudah  ada  talian
perkahwinan keluarga, mereka tidak harus memutuskan hubungan
dengan keluarga asal mereka.
23.  Saya  ingin  menyatakan  bahawa  ini   bukanlah   dasar
kerajaan.  Ia hanyalah pandangan saya sahaja kerana ada ahli
keluarga  saya  yang  bukan daripada kaum saya.  Tetapi saya
menerimanya sebagai ahli keluarga yang luas.
24.  Hari Keluarga Kebangsaan mempunyai matlamat yang  besar
dan  bermakna  bagi  negara  kita  Malaysia.    Keluarga dan
hubungan kekeluargaan hendaklah  dijadikan  asas  masyarakat
Malaysia    terutamanya   semasa   negara   kita   mengalami
pembangunan dan kemajuan.   Kita  percaya  bahawa  institusi
kekeluargaan   tradisional  hendaklah  dikekalkan.    Dengan
berbuat demikian, kita akan dapat  mengelakkan  gejala  yang
menimpa  banyak  masyarakat  yang sudah maju di Barat dan di
tempat-tempat lain.
25.  Akhir  sekali  saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada
Lembaga  Penduduk  dan  Pembangunan  Keluarga  Negara kerana
menjemput saya ke majlis pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan
pada  hari  ini.    Saya  berharap  perayaan  Hari  Keluarga
Kebangsaan ini akan disambut baik oleh rakyat dan dengan itu
dapat  mengeratkan  lagi  silatulrahim  dan hubungan baik di
antara  keluarga  kita  keseluruhannya.    Keharmonian   dan
kesejahteraan  keluarga  akan  membawa  kita  ke  arah  satu
masyarakat dan negara yang aman, stabil dan makmur.
26.  Dengan  ini,  saya  dengan   rasminya   mengisytiharkan
pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan 1990.
     Wabillahi     taufik     walhidayah    wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google