home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/12/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERPISAHAN BAGI 
			BEKAS KETUA SETIAUSAHA NEGARA TAN 
			SRI SALLEHUDDIN B MOHAMED 




 Yang Berhormat Menteri-menteri;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Kita  menghadiri  majlis makan malam ini bagi merai dan
mengucapkan  selamat  bersara  daripada  perkhidmatan   awam
kepada  bekas  Ketua  Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan
Sri Sallehuddin Mohamed.    Saya  mengucapkan  terima  kasih
kepada  Tan  Sri Sallehuddin dan Puan Sri Hafsah kerana sudi
bersama-sama kita pada malam ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Tan Sri Sallehuddin telah  berkhidmat  dengan  kerajaan
kira-kira  30 tahun.  Beliau telah memegang beberapa jawatan
penting seperti Timbalan Ketua Setiausaha di  Perbendaharaan
dan   Ketua  Pengarah,  Unit  Perancang  Ekonomi.    Jawatan
terakhir  beliau  sebagai  Ketua  Setiausaha  Negara     dan
dengan  itu Setiausaha Jemaah Menteri merupakan puncak dalam
perkhidmatan awam di negara kita ini.  Semenjak negara  kita
mencapai  kemerdekaan  selama  32  tahun,  hanya lapan orang
sahaja yang telah  diamanahkan  memegang  jawatan  tertinggi
ini,  dan  Tan  Sri Sallehuddin merupakan salah seorang yang
telah diamanahkan memegang jawatan Ketua  Setiausaha  Negara
selama  kira-kira  lima-setengah  tahun.    Saya  bagi pihak
kerajaan mengucapkan  tahniah  kepada  Tan  Sri  Sallehuddin
kerana  telah  berjaya meningkat ke puncak perkhidmatan awam
dan menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara dengan
berkesan.
3.   Sebagai Ketua Setiausaha Negara,  Tan  Sri  Sallehuddin
bertanggungjawab        terhadap prestasi perkhidmatan awam.
Kerajaan amat terhutang  budi  kerana  Tan  Sri  Sallehuddin
telah   dapat  meningkatkan  lagi  mutu  perkhidmatan  awam.
Beliau juga telah berjaya memimpin serta menyediakan jentera
perkhidmatan awam supaya lebih berupaya  memenuhi  keperluan
negara  yang  membangun dengan pesatnya.   Keadaan ini dapat
dilihat daripada kemampuan jentera  pentadbiran  awam  untuk
memikul  tanggungjawab  yang  diamanahkan  dan telah berjaya
menghadapi cabaran-cabaran yang  lebih  sofistikated  akibat
pemodenan dan pembangunan negara.
4.   Tan  Sri Sallehuddin merupakan seorang pegawai awam dan
pentadbir yang berdisiplin, objektif, dan berkeupayaan untuk
memberi pertimbangan serta nasihat  yang  profesional kepada
Kerajaan.  Beliau mudah memahami kehendak-kehendak  Kerajaan
dan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh perkhidmatan awam
dalam konteks melaksanakan setiap keputusan yang dibuat oleh
Kerajaan.    Dengan  sifat-sifat  inilah Tan Sri Sallehuddin
telah dapat membina hubungan serta kepercayaan dua hala yang
rapat  di  antara   perkhidmatan   awam   dengan   Kerajaan.
Keyakinan   yang   penuh  terhadap  perkhidmatan  awam  oleh
Kerajaan dan sebaliknya adalah hasil usaha beliau.
5.   Tan Sri Sallehuddin telah menekankan pentingnya memberi
perkhidmatan berkualiti kepada orang ramai.    Beliau  telah
membawa   perubahan   kepada   sistem   dan  prosedur  dalam
perkhidmatan awam.   Antaranya ialah usaha-usaha       untuk
memperbaiki            lagi perkhidmatan kaunter.   Kerajaan
menganggap usaha ini merupakan satu usaha yang penting untuk
memperbaiki dan  menyediakan  kemudahan  serta  meningkatkan
kecekapan  perkhidmatan  kaunter.    Usaha  ini bukan sahaja
dapat memperbaiki  imej  perkhidmatan  awam,  tetapi  dengan
sendirinya  dapat menghasilkan hasrat negara.  Agensi-agensi
perkhidmatan kaunter yang telah  menunjukkan  prestasi  yang
cemerlang telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya melalui
Anugerah Pejabat Terbaik.
6.   Selain  daripada  itu,  Tan  Sri Sallehuddin juga telah
berusaha  untuk  memperbaiki  struktur  pentadbiran  daerah.
Pentadbiran  daerah  merupakan  pentadbiran  akar  umbi yang
secara langsung terlibat dalam  pelaksanaan  program-program
Kerajaan      di    peringkat  tersebut.    Di  samping itu,
perkhidmatan awam juga  telah  melalui  berbagai  perubahan,
penyusunan   semula   organisasi   dan   pengurusan,   serta
penjelasan semula peranan dan  fungsi  jabatan  dan  agensi-
agensi  Kerajaan.  Semuanya ini dilakukan atas inisiatif Tan
Sri  Sallehuddin  bagi   menentukan   keberkesanan   jentera
pentadbiran  awam  selaras  dengan  peranan yang dikehendaki
oleh Kerajaan dalam membangunkan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Semasa Tan Sri  Sallehuddin  menjadi  Ketua  Setiausaha
Negara,  Kerajaan  telah  memperkenalkan beberapa pendekatan
dan   dasar,   antaranya   ialah   Dasar   Penswastaan   dan
Persyarikatan  Malaysia.    Dasar-dasar   ini berbeza sekali
dengan   konsep  dan  persepsi  peranan  perkhidmatan  awam.
Sebaliknya, dasar-dasar ini tidak mungkin berjaya jika pihak
perkhidmatan awam tidak memahaminya dan tidak bekerjasama.
8.   Saya berbangga kerana usaha gigih yang  dilakukan  oleh
Tan  Sri Sallehuddin untuk menerang dan mendapatkan sokongan
daripada anggota perkhidmatan awam kepada  dasar-dasar  yang
agak  radikal  ini.    Berkat  kerjasama hasil usaha Tan Sri
Sallehuddin, perkhidmatan  awam  dapat  menjayakan  beberapa
projek  penswastaan.   Kerjasama di antara perkhidmatan awam
dengan swasta yang  menjadi  sasaran  Malaysia  Incorporated
sudah  pun diterima      dan     telah    berjaya   membantu
pertumbuhan ekonomi negara yang kita lihat sekarang ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Saya ada juga mendengar cerita-cerita kononnya  Perdana
Menteri  dan  bekas  Ketua  Setiausaha Negara mempunyai satu
persamaan -- iaitu mereka ini tidak  pernah  pandai  senyum,
sentiasa   serius  dan  kadang-kadang  nampak  garang  juga.
Tetapi  setahu  saya  Tan  Sri  Sallehuddin  humourous  juga
orangnya.    Di  beberapa majlis yang berkaitan dengan golf,
Tan Sri ada banyak golf jokes.  As for me, I appreciate  and
enjoy hearing jokes, but I am not good at cracking them.
10.  Tentang  tidak  pandai memberi senyum, itu adalah sifat
semula jadi seseorang.  Tetapi di sebalik sifat itu ada juga
kelembutan yang tidak dapat dilihat.  Saya percaya Puan Seri
Hafsah boleh mengesahkan hal ini.
11.  Bagi diri saya sendiri, saya  ingin  menyatakan  bahawa
saya  mendapat  bantuan dan kerjasama yang baik daripada Tan
Sri Sallehuddin, yang mana ini memudahkan tugas kami berdua.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Prestasi perkhidmatan awam di negara ini  semakin  hari
semakin  meningkat.  Walau bagaimanapun usaha-usaha mestilah
terus  dijalankan  untuk  mempertingkatkan     lagi     mutu
perkhidmatan  awam.    Ramai kakitangan awam telah mengikuti
berbagai-bagai  kursus  dan  latihan.    Saya  yakin  dengan
pendedahan kakitangan perkhidmatan awam kepada perkembangan-
perkembangan  terbaharu  dalam  berbagai-bagai  bidang  yang
berkaitan  dengan  tugas  dan  tanggungjawab  masing-masing,
bukan  sahaja  peningkatan  prestasi  perkhidmatan awam akan
tercapai tetapi  juga  kakitangan-kakitangan  kerajaan  akan
memperolehi  pengetahuan  yang  lebih dan berguna untuk diri
sendiri.   Kita  mestilah  sanggup  mempelajari  pendekatan-
pendekatan   dan   teori-teori   yang   terbaharu   mengenai
pengurusan.   Kita hendaklah  sentiasa  mempunyai  pemikiran
yang  terbuka  untuk  menggunakan sebarang pendekatan   yang
sesuai dengan suasana pengurusan dalam sesebuah pejabat atau
jabatan.
13.  Namun demikian walau apa juga yang kita pelajari,  kita
tidak  harus  lupa  akan  nilai-nilai  asas  pengurusan yang
cekap.   Nilai-nilai asas penting  ini  termasuklah  amanah,
kejujuran,  bersikap positif, berinisiatif dan semangat sal-
ing bekerjasama.   Nilai-nilai asas ini  hendaklah  sentiasa
diamalkan.    Sama  ada  seseorang  itu  ketua  jabatan atau
seorang  pembantu  pejabat,   sama   ada   ia   bekerja   di
kementerian-kementerian  di ibu kota atau agensi-agensi awam
di luar bandar, nilai-nilai ini mestilah diamalkan.
14.  Kerajaan  percaya  bahawa  setiap  kakitangan  kerajaan
akan    terus   menjalankan kerja masing-masing dengan jujur
dan  bersungguh-sungguh  serta  memberi  layanan  yang  baik
kepada  masyarakat.   Negara kita, yang pesat membangun ini,
memerlukan kakitangan awam  yang  berdedikasi,  komited  dan
yang sentiasa mengutamakan kepentingan perkhidmatan awam dan
negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15.  Persaraan  adalah  suatu  yang  tidak  dapat tidak akan
berlaku kepada setiap kakitangan Kerajaan apabila  meningkat
ke umur tertentu.  Di samping kita merasa pilu dan hiba akan
milestone  yang amat bermakna kepada kehidupan kita, amatlah
penting kita terus aktif sama ada  dalam  bidang  lain  atau
dalam kerja-kerja kebajikan.
16.  Jikalau   kita   memilih  untuk  berniaga,  saya  yakin
pengalaman semasa berkhidmat dengan Kerajaan  amat  berguna.
Sebab itulah semasa berkhidmat segala amalan yang baik perlu
dipraktikkan.     Jika  pengetahuan  dan  pengalaman  semasa
berkhidmat adalah luas, jika kerajinan dan  ketekunan  serta
nilai-nilai   baik   menjadi   sebahagian   daripada  tabiat
seseorang pegawai, kejayaan dalam perniagaan sesudah bersara
besar kemungkinannya.   Sebaliknya, jika  semasa  berkhidmat
diamalkan  amalan-amalan  yang tidak baik, penglibatan dalam
urusan   perniagaan   sesudah   bersara   mungkin    membawa
kekecewaan.
17.  Sebab  inilah  saya  percaya  amalan  yang  baik  dalam
perkhidmatan  menguntungkan  Kerajaan      dan          diri
sendiri.        Amatlah  menyedihkan  apabila kita mendengar
tentang pesara yang  kehilangan  semuanya  setelah  memasuki
bidang perniagaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Sebelum  saya  mengakhiri  ucapan  saya  ini, saya bagi
pihak Kerajaan merakamkan  setinggi-tinggi  penghargaan  dan
terima  kasih  kepada  Tan  Sri  Sallehuddin  atas  jasa dan
sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam dan negara.   Saya
percaya  walaupun  beliau  sudah  bersara, beliau akan terus
memberi sumbangan kepada negara dari semasa ke semasa.
19.  Saya juga mengambil kesempatan  ini  untuk  mengucapkan
tahniah  kepada  Yang  Berbahagia  Dato'  Ahmad  Sarji  atas
perlantikan   beliau sebagai Ketua  Setiausaha  Negara  yang
baru.  Dengan pengalaman beliau yang luas saya percaya Dato'
Ahmad   Sarji   akan   dapat   memberi   sumbangan  ke  arah
meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20.  Akhir  kata,  marilah  kita  berdoa  semoga   Tan   Sri
Sallehuddin  dan Puan Sri Hafsah dan keluarga sentiasa sihat
walafiat serta dilindungi Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 
 



 
Google