home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	10/12/90 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN 
			YANG TERUTAMA LI PENG PERDANA 
			MENTERI REPUBLIK RAKYAT CHINA 




Tuan Yang Terutama Li Peng, Perdana Menteri Republik Rakyat China; Puan
Zhu Lin; Ahli-Ahli Rombongan yang saya hormati; Tuan-tuan dan Puan-puan.

Izinkan saya, bagi pihak Kerajaan Malaysia, bersama isteri saya
mengucapkan kepada Tuan Yang Terutama serta isteri dan rombongan, selamat
datang ke Malaysia. Kita merasa gembira kerana mempunyai peluang pada
malam ini untuk menyatakan rasa persahabatan dan saling menghormati di
antara kedua-dua negara kita sebagai jiran di rantau Asia- Pasifik
ini. Saya berharap Tuan Yang Terutama dapat tinggal lebih lama di negara
ini daripada 3 malam yang dijadualkan. Namun begitu, saya harap semasa
kunjungan singkat ini, Tuan Yang Terutama akan dapat menyaksikan
aspek-aspek penting pembangunan Malaysia, kehidupan sosial dan kebudayaan
negara majmuk ini, serta dapat memahami akan aspirasi negara kami.

2. Malaysia adalah sebuah negara kecil yang masih muda daripada segi
sejarah dan juga pembangunannya. Tetapi kami di Malaysia ingin menjadi
maju dengan lebih cepat menerusi pendidikan dan pertumbuhan ekonomi yang
stabil. Bagi mencapai matlamat ini, kami sanggup bekerja kuat dan bersedia
mempelajari pengalaman dan pengetahuan negara- negara yang lebih
maju. Oleh kerana sesebuah negara itu tidak boleh hidup terpencil,
Malaysia juga menjalinkan pertalian persahabatan dengan negara-negara
tetangga dan dengan negara-negara di seluruh dunia amnya. Matlamat utama
kami adalah untuk menjamin keamanan dan Malaysia bersedia memikul
tanggungjawab ini bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa. Dalam hal
ini, Malaysia mempunyai pendirian yang sama dengan Republik Rakyat China.

3. Selama dua puluh tahun kebelakangan ini Malaysia dengan penuh yakin
telah menumpu usaha-usahanya untuk meningkatkan kewibawaan ASEAN. Selaras
dengan usaha-usaha ini, Malaysia terus memperjuangkan konsep Kawasan Aman,
Bebas dan Berkecuali di rantau ini. Kejayaan ASEAN dalam pembangunan
ekonomi dan kerjasama serantau mungkin tidak mudah dicapai sekiranya ASEAN
tidak mendapat kerjasama dan persefahaman daripada negara-negara besar
seperti Republik Rakyat China yang menjadi jiran yang dekat. Kami merasa
senang hati apabila Republik Rakyat China berulangkali menyatakan
komitmennya kepada prinsip hidup bersama dan tidak mencampuri hal-ehwal
negara-negara lain. Pendirian ini merupakan faktor terpenting yang memupuk
keyakinan dalam hubungan di antara Republik Rakyat China dan Malaysia.

Tuan Yang Terutama, 

4. Kunjungan Tuan Yang Terutama ke Malaysia berlaku di masa yang baik
dalam sejarah hubungan di antara kedua negara kita. Ia berlaku semasa kita
telah berjaya membina keyakinan dan kepercayaan yang secukupnya terhadap
satu sama lain yang membolehkan kita berterus terang membincang isu- isu
semasa dunia. Oleh yang demikian kami berasa sukacita kerana akan
berunding dengan Tuan Yang Terutama dan delegasi hari esok dan
bertukar-tukar fikiran secara mendalam.

5. Keyakinan Malaysia terhadap Republik Rakyat China yang patuh kepada
Kelima-lima Prinsip Hidup Bersama dalam hubungan antarabangsa, jelas
terbayang dalam langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia bagi
mempereratkan lagi hubungan antara kita. Tuan Yang Terutama barangkali
masih ingat bahawa 16 tahun dahulu Perdana Menteri Kedua Malaysia,
Allahyarham Tun Abdul Razak, telah melawat Beijing dan menandatangani
Kenyataan Bersama untuk menjalin hubungan diplomatik di antara kedua-dua
negara. Saya sendiri selaku Perdana Menteri berpeluang melawat negara Tuan
pada tahun 1985. Semasa itu rancangan pembangunan desa China sudah
mencapai kejayaan, dan kejayaan itu membawa perubahan dalam struktur
ekonomi di Republik Rakyat China. Berikutan dengan itu rancangan
pembangunan bandar pula telah memberi peluang kepada negara-negara
membangun, seperti Malaysia, untuk membangunkan beberapa usahasama di
Republik Rakyat China. Kedua-dua negara kita sekarang sudah mara ke suatu
tahap yang memungkinkan kita melihat bahawa ekonomi negara-negara, baik
besar mahupun kecil, saling bergantung di antara satu sama lain.

6. Dalam masa lima tahun yang lalu, dengan persetujuan bersama kedua-dua
negara, kita telah menyediakan satu rangka kerja bagi meningkatkan lagi
hubungan perdagangan sesama kita. Kita telah menandatangani
perjanjian-perjanjian mengenai perdagangan, jaminan pelaburan, mengelakkan
cukai dua kali, penerbangan awam dan perkapalan. Lima bulan dahulu
Malaysia telah membatalkan sekatan ke atas rakyat Malaysia yang ingin
melawat ke Republik Rakyat China. Tindakan terakhir ini yang bertujuan
untuk meningkatkan lagi hubungan kita, mungkin tidak dianggap penting oleh
mereka yang tidak memahami sejarah hubungan di antara kedua-dua negara
kita daripada segi ideologi yang bertentangan, serta kebimbangan dan
kesangsian yang dirasai oleh negara-negara kecil.

7. Apabila Republik Rakyat China menerima prinsip tidak campurtangan dalam
hal ehwal dalam negeri negara-negara lain, Republik Rakyat China mendapat
kepercayaan daripada negara-negara sahabat dan Republik Rakyat China juga
berjaya mendapatkan haknya untuk menguruskan hal-ehwal dalam negerinya
sendiri. Oleh itu, walaupun telah berlaku beberapa peristiwa politik di
Republik Rakyat China dalam bulan Jun lepas, hubungan Malaysia dengan
Republik Rakyat China tidak terjejas dan hubungan perdagangan terus
meningkat. Tiga belas projek usahasama di antara para pelabur Malaysia dan
syarikat perbadanan negara China yang bernilai US$500 juta dollar telah
ditubuhkan di Republik Rakyat China. Di Malaysia pula, tujuh buah projek
usahasama dengan pihak Republik Rakyat China telah diluluskan.

Tuan Yang Terutama,

8. Lawatan Tuan Yang Terutama ke negara-negara Asia Tenggara bagi kali
kedua dalam masa enam bulan ini, menunjukkan kepentingan yang diberikan
oleh China dalam meneruskan hubungan baik dengan negara-negara di rantau
ini. Kami di ASEAN juga memberi pertimbangan yang berat kepada perhubungan
dengan Republik Rakyat China. Pemulihan hubungan diplomatik di antara
Republik Rakyat dengan Indonesia diikuti dengan penubuhan hubungan
diplomatik di antara Singapura dengan Republik Rakyat China pada tahun ini
membuktikan bahawa ASEAN mengakui peranan yang boleh dimainkan oleh
Republik Rakyat China dalam menentukan kestabilan dan kemakmuran rantau
ini.

9. Buat masakini ASEAN mempunyai hubungan dialog dengan enam buah negara
lain. Sungguhpun Republik Rakyat China bukannya salah sebuah negara dialog
ini, tetapi memandangkan bahawa ekonomi Republik Rakyat China mempunyai
potensi untuk berkembang menjadi sebuah ekonomi yang kuat, dan kerana
China merupakan salah satu daripada negara Asia Pasifik, maka ada
kemungkinan bahawa China boleh menjadi sebuah negara dialog Asean pada
satu masa nanti.

10. Perkembangan di seluruh dunia dalam bidang perhubungan politik
antarabangsa amat menggalakkan. Perang dingin sudah berakhir dan semua
negara nampaknya menumpukan usaha kepada pertumbuhan ekonomi masing-masing
supaya rakyat mereka akan hidup aman dan bahagia.

11. Malangnya terdapat satu trend yang tidak sihat -- iaitu kecenderungan
untuk mendirikan blok ekonomi. Selain daripada penyatuan Pasaran Eropah,
Amerika Syarikat sudah mengabung pasarannya dengan Kanada dan juga
sekarang dengan Mexico. Usaha sedang dibuat oleh Amerika Syarikat untuk
menarik semua negara Amerika Latin dan Tengah supaya wujud perhubungan
ekonomi yang lebih erat bagi seluruh Amerika Utara dan Selatan.

12. Selain daripada penyatuan German, ada kemungkinan negara-negara Eropah
Timur menyertai Persatuan Ekonomi tidak lama lagi.

13. Sebaliknya jika negara-negara di Timur ternampak oleh pihak Barat akan
mencapai taraf negara maju, maka berbagai- bagai tindakan diambil oleh
Barat untuk menghalang kemungkinan ini.

Tuan Yang Terutama, 

14. Malaysia tidak bersetuju dengan pengwujudan blok ekonomi. Tetapi
kenyataannya ialah banyak negara-negara maju di Barat sudahpun membentuk
blok ekonomi dan menggunakan kekuatan ekonomi blok-blok ini untuk menyekat
"fair and free trade".

15. Dalam keadaan ini, Malaysia telah mengkaji samada pendiriannya dan
berpendapat bahawa demi mewujudkan "bal- anced economic development" di
seluruh dunia, maka negara- negara Asia Pasifik hendaklah mengeratkan lagi
hubungan ekonomi dan pasaran mereka supaya akhirnya satu blok ekonomi
dapat mengimbangkan kesan blok-blok ekonomi yang lain.

16. Malaysia berpendapat negara China mestilah memainkan peranan yang
penting dalam penubuhan blok ini supaya dapat melindungi "fair trade" di
seluruh dunia.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

17. Sekarang saya dengan sukacitanya menjemput tuan-tuan dan puan-puan
bangun dan minum ucap selamat sejahtera kepada Tuan Yang Terutama Perdana
Menteri Li Peng, Puan Zhu Lin dan ahli-ahli rombongan. Saya berharap agar
hubungan baik di antara Republik Rakyat China dan Malaysia akan sentiasa
terpelihara. 
 

 



 
Google