Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 04/02/91 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN YANG TERUTAMA PERDANA MENTERI YON HYONG MUK, PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Yon Hyong Muk; Ahli-Ahli Delegasi yang dihormati; Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan Selamat Datang ke Malaysia kepada Tuan Yang Terutama. Kami berasa amat bangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada Tuan Yang Terutama pada malam ini. Kami berharap sepanjang lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia, Tuan Yang Terutama akan dapat melihat kekayaan kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia. Tuan Yang Terutama, 2. Kami berharap bahawa lawatan ini akan meningkatkan lagi kesedaran rakyat kita akan sistem politik dan ekonomi kedua- dua negara kita. Tidaklah keterlaluan untuk memperkatakan bahawa kebanyakan orang Asia lebih mengetahui mengenai tempat-tempat di barat berbanding dengan pengetahuan mereka mengenai negara-negara di rantau ini. Bagaimanapun, memandangkan perubahan yang berlaku di bidang ekonomi dunia, saya percaya masanya sudah pun tiba bagi negara-negara membangun untuk mengintegrasikan ekonomi mereka ke dalam sistem perdagangan dan pembayaran serantau dan antarabangsa. Inilah sebabnya kita melihat sebuah negara Asia seperti Republik Demokratik Rakyat Korea, sebagai sahabat dan dengan harapan yang ikhlas agar dalam dekad pembangunan yang akan datang di rantau ini, kedua-dua negara kita akan mempunyai aspirasi yang tidak jauh berbeza. Tuan Yang Terutama, 3. Semua negara, baik kecil atau besar, ingin mewujudkan suasana politik yang sihat antara jiran-jiran mereka supaya semua pihak akan mendapat nikmat daripadanya. Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia mestilah menjalin hubungan mesra dengan semua negara, lebih-lebih lagi dengan negara- negara jiran. Oleh itu Malaysia mempunyai dua aspirasi asas yang saya percaya diamalkan juga oleh Republik Demokratik Rakyat Korea. Malaysia inginkan keamanan serantau dan kemakmuran serantau. 4. Mengenai aspirasi pertama, iaitu keamanan serantau, saya sukacita menyatakan bahawa hubungan di antara kedua-dua negara kita adalah baik kerana kita bersahabat dan tidak terdapat apa-apa isu yang menjadi rintangan dalam hubungan dua-hala kita. Malaysia percaya hubungan baik ini akan berterusan dan dengan demikian memberi kesan kepada negara- negara di rantau ini. Kami di Malaysia melihat dengan perasaan gembira bahawa Republik Demokratik Rakyat Korea sepanjang suku abad yang lepas telah hidup dalam keadaan aman damai dengan jiran-jirannya. Negara Tuan telah meneruskan dialog yang konstruktif di peringkat yang paling tinggi dengan jiran yang mempunyai tali persaudaraan. Kami juga telah memperhatikan bahawa negara-negara yang lebih besar di sekeliling Republik Demokratik Rakyat Korea telahpun mewujudkan persefahaman yang baru dengan kedua-dua Korea berdasarkan kerjasama dan bantuan ekonomi yang rapat. Sebenarnya 'rapprochement' semakin jelas kelihatan di sebelah utara kawasan Asia Pasifik yang agak sealiran dengan perkembangan-perkembangan di Asia Tenggara di mana negara- negara ASEAN telahpun mencapai satu tahap kestabilan dalam jangkamasa 20 tahun. Keselamatan yang diusahakan bersama oleh negara-negara ASEAN adalah bertujuan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat negara-negara ASEAN melalui pembangunan ekonomi dan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali di rantau ini. Di samping itu ASEAN adalah komited kepada konsep menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear. Tuan Yang Terutama, 5. Apabila kita dapat menyelesaikan masalah Kambodia, kita berharap tidak lama lagi, bahagian Asia yang juga merangkumi kedua-dua negara kita akan benar-benar menikmati keamanan dan kestabilan politik. Tuan Yang Terutama, 6. Mengenai aspirasi kedua yang telah saya sebutkan tadi, iaitu kemakmuran serantau, hakikatnya adalah bahawa kemakmuran tidak akan wujud di mana-mana jua tanpa keamanan. Di saat ini kita menyedari bahawa pertumpahan darah sedang berlaku, pertumpahan yang sia-sia di kawasan teluk Parsi. Dalam peperangan ini banyak nyawa akan hilang dan kemusnahan yang besar akan dialami. Yang anehnya ialah beribu-ribu juta ringgit akan dibelanjakan untuk membunuh dan memusnah. Dan apakah yang akan diperolehi akhirnya - tidak ada suatu pun yang akan menguntungkan sesiapa. Orang Melayu mempunyai pepatah bagi tindakan seumpama ini - menang jadi arang, kalah jadi abu. Alangkah lebih baiknya hidup aman damai yang membolehkan kita membangunkan negara kita, bagaimana kecil sekalipun. Kita di Malaysia adalah komited kepada keamanan dan penyelesaian secara aman masalah-masalah perhubungan antarabangsa. 7. Saya berharap agar persahabatan di antara Republik Demokratik Rakyat Korea dengan Malaysia akan berterusan dan kita akan dapat mengadakan kerjasama yang erat demi keamanan dan kemakmuran ekonomi di rantau Asia Timur ini.