Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PHILIPS MALAYSIA SDN. BHD, JALAN UNIVERSITI, PETALING JAYA Tarikh/Date : 05/08/91 Tajuk/Title : PELANCARAN ULANGTAHUN KE-100 KUMPULAN PHILIPS Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Philips di Malaysia kerana menjemput saya merasmikan Majlis Pembukaan Bangunan Ibu pejabatnya serta melancarkan majlis Ulangtahun ke-100 Kumpulan Philips. Kumpulan Philips adalah satu contoh kejayaan sebuah syarikat yang telah berkembang pesat dalam satu abad yang lepas, iaitu daripada sebuah syarikat yang kecil di Eindhoven, Holland hingga menjadi sebuah konglomorat dengan anak-anak syarikatnya beroperasi di seluruh pelusuk dunia, termasuk di Malaysia. 2. Nama syarikat Philips tidak asing lagi di negara kita. Jenamanya dikait rapat dengan lampu pijar, lampu 'flourescent' dan juga barang-barang 'audio' dan 'video'. Saya merasa sukacita bahawa operasi Kumpulan Philips di negara ini telah berkembang dengan menggalakkan. Kini ia mempunyai lima buah operasi yang melibatkan pelaburan modal berjumlah hampir M$50 juta ringgit. 3. Kejayaan syarikat-syarikat ternama seperti Philips di Malaysia ini adalah juga satu lambang kejayaan bagi negara. Ia membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kestabilan politik dan masa depan negara ini. Ianya juga menunjukkan bahawa iklim pelaburan yang disediakan oleh Kerajaan untuk para pelabur asing adalah "conducive". Malahan Kerajaan sedar betapa pentingnya pelaburan swasta, termasuk dari luar negeri, di dalam proses perindustrian negara. Justeru itu, Kerajaan telah menggubal dasar-dasar yang pragmatik dan "flexible" bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta supaya sektor perindustrian boleh dimajukan lagi. Sungguhpun kita kaya dengan sumber-sumber asli, Malaysia tidak akan dapat dibangunkan ke taraf negara maju jika ia bergantung semata-mata kepada sumber asli ini. Hanya perindustrian sahaja yang boleh menjadikan sebuah negara, negara maju. 4. Kini sektor pembuatan merupakan satu-satunya sektor yang akan membawa negara ini ke arah kejayaan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Berpandukan kesedaran ini, Kerajaan telah menetapkan bahawa sektor pembuatan akan memainkan peranan yang lebih besar lagi dalam jangka masa sepuluh tahun yang akan datang, agar matlamat pertumbuhan KDNK pada kadar 7 peratus setahun dapat dicapai. 5. Semenjak ekonomi Malaysia mengalami kemelesetan pada tahun-tahun 1985-86, langkah-langkah yang wajar telahpun diambil untuk memperbetulkan struktur ekonomi negara dengan memperkenalkan dasar-dasar yang liberal, khususnya terhadap penyertaan rakyat asing di dalam sektor pembuatan. Tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan asing, seperti oleh Kumpulan Philips, mempunyai peranan penting dalam perkembangan ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi di dalam sektor pembuatan. Malaysia telah dapat maju ke tahap yang didudukinya sekarang kerana dasar-dasarnya adalah konsisten dan ekonominya di antara yang terbuka di dunia. Oleh yang demikian, ekonomi Malaysia kini telah dapat diintegrasikan dengan ekonomi negara-negara lain secara menyeluruh dan ini telah memesatkan lagi kemajuan ekonomi negara kita. 6. Sejajar dengan pendirian Kerajaan bagi mengadakan dasar-dasar yang konsisten kepada pelabur-pelabur asing, dekad 90an ini akan memperlihatkan pelaksanaan dasar-dasar yang akan terus menggalakkan pelaburan asing. Kita harap dengan cara ini kita akan terus mewujudkan suasana pelaburan yang baik serta mendorongkan lebih banyak lagi penanaman modal oleh pelabur-pelabur asing dan tempatan. 7. Industri elektronik merupakan salah satu sub-sektor yang penting di dalam sektor pembuatan di negara ini dan merupakan di antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Ini dapat dilihat daripada jumlah nilai pengeluaran industri elektronik pada tahun 1990 yang mencapai M$20.3 ribu juta ringgit. Di samping itu, industri ini menyediakan pekerjaan kepada seramai 144,000 pekerja, iaitu 12 peratus daripada jumlah pekerja di dalam sektor pembuatan. 8. Saya merasa gembira bahawa industri elektronik yang pada umumnya dikaitkan dengan bidang 'semiconductor' telah mengalami perubahan dan penyesuaian semenjak tahun 1986. Ini adalah selaras dengan kehendak Kerajaan supaya industri ini tidak bergantung hanya kepada pengeluaran 'semiconduc- tor'. 9. Pada tahun 1986, 81 peratus daripada pengeluaran industri elektronik adalah komponen-komponen elektronik, 12.3 peratus barang-barang elektronik dan 6.2 peratus 'in- dustrial electronics'. Tetapi, menjelang tahun 1990, struktur pengeluaran ini telah berubah di mana pengeluaran bahagian komponen-komponen elektronik menurun kepada 57 peratus, manakala pengeluaran barangan-barangan elektronik dan 'industrial electronics meningkat kepada 23.2 peratus dan 19.2 peratus masing-masing. 10. Seiring dengan aliran penyusunan semula ini, bilangan projek-projek yang diluluskan juga menunjukkan peningkatan. Pada tahun 1986, sembilan belas projek diluluskan bagi mengeluarkan komponen-komponen elektronik, sebelas projek bagi mengeluarkan barang-barang elektronik dan hanya lapan projek bagi 'industrial electronics'. Jumlah pelaburan yang dicadangkan ialah M$117.5 juta ringgit. Sebagai perbandingan, tahun 1990 mencatatkan prestasi yang mengkagumkan di mana 164 projek bagi mengeluarkan komponen- komponen elektronik, 30 projek bagi barang-barang elektronik dan 51 projek 'industrial electronics' telah diluluskan. Jumlah pelaburan yang dicadangkan pada keseluruhannya melebihi M$4.5 ribu juta ringgit. 11. Komitmen Kerajaan terhadap penyediaan infrastruktur yang cukup bagi memenuhi keperluan para pelabur yang beroperasi di Malaysia jelas kelihatan daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan sektor pengangkutan yang puratanya berjumlah 18 peratus di bawah setiap Rancangan Pembangunan Lima Tahun yang telah lalu. Kerajaan percaya bahawa penyediaan kemudahan infrastruktur yang cukup pada setiap masa adalah amat perlu bagi menarik pelaburan. Di bawah Rancangan Malaysia Keenam, sektor-sektor pengangkutan dan komunikasi di beri peruntukan yang terbesar, berjumlah M$10.8 ribu juta ringgit atau bersamaan 19.6 peratus daripada peruntukan keseluruhannya. Bagi tenaga elektrik dan telekomunikasi, lebih daripada M$20 ribu juta ringgit akan dibelanjakan oleh Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad bertujuan mempertingkatkan lagi perkhidmatan masing-masing kepada pengguna mereka. 12. Ini adalah di samping segala kemudahan lain yang disediakan oleh Kerajaan seperti galakan-galakan cukai yang menarik serta bekalan tenaga pekerja mahir yang sentiasa diberi perhatian serius kerana Kerajaan juga sedar tanpa faktor-faktor ini, segala rancangan, strategi dan dasar yang digubalkan tidak akan berjaya. 13. Oleh itu, saya amat bangga sekali bahawa syarikat ternama seperti Philips telah bertapak sedemikian lama di Malaysia dan telah mengorak langkah untuk memperbesar dan mempelbagaikan operasinya. Satu ciri yang menarik ialah usahasamanya dengan syarikat JVC dari Jepun bagi mengeluarkan 'video cassette recorders' dan 'printed circuit board assemblies' untuk eksport seratus peratus. Ini adalah satu perkembangan yang menggalakkan dan seharusnya menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain kerana ianya merupakan sebahagian daripada strategi 'globalization' yang pada masa kini giat dipraktiskan oleh syarikat-syarikat 'multina- tionals'. 14. Memandangkan pasaran dunia semakin membesar pada dekad 90an, strategi sedemikian adalah tepat dan saya amat gembira terdapatnya contoh 'perkahwinan korporat' dua syarikat ternama dalam bidang 'audio/video' di Malaysia. Saya rasa keputusan untuk menempatkan projek ini di Shah Alam mencerminkan keyakinan penuh kedua-dua belah pihak kepada masa hadapan negara ini. Pihak Kerajaan akan terus memberi sokongan positif kepada projek-projek seperti ini yang mengeluarkan barang-barang yang bernilai tinggi, mengandungi input teknologi yang terbaru serta menyumbang kepada peningkatan teknologi di kalangan pekerja tempatan. 15. Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada syarikat- syarikat di bawah Kumpulan Philips di atas sumbangan mereka kepada pembangunan negara Malaysia selama ini dan saya juga berharap usaha-usaha mereka akan berjaya dan menyumbang lagi kepada kemajuan Malaysia. 16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Kumpulan Philips di Malaysia dan perayaan Hari Ulangtahun Ke-100 Kumpulan Philips.