Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 27/08/91 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PESTA SUKAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT NASIONAL 1991 Saya ucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola khususnya Kementerian Belia dan Sukan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pesta Sukan Hari Kebangsaan Peringkat Nasional Kali Ke-2 ini. 2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu- alukan kehadiran semua kontinjen dari negeri-negeri di seluruh negara yang akan mengambil bahagian di dalam acara- acara sukan di Ibukota Kuala Lumpur sepanjang tempoh Pesta Sukan ini berlangsung. 3. Pesta Sukan Hari Kebangsaan ini adalah kali yang ke-2 diadakan dan sambutannya amat baik sekali dengan penglibatan yang menyeluruh daripada segenap lapisan rakyat. Ini adalah menggalakkan dan menepati hasrat pihak perancangan pembangunan sukan negara yang inginkan pembentukan rakyat yang sihat, berdisiplin dan bersatupadu. 4. Di dalam perancangan pembangunan negara, Kerajaan menganggap peranan pembangunan sukan tidak kurang pentingnya dengan pembangunan di dalam aspek-aspek yang lain. Justeru itu setiap tahun Kerajaan menyediakan satu peruntukan yang besar khusus untuk pembangunan kemudahan- kemudahan sukan di negara ini. Kerajaan menyedari bahawa sukan memainkan peranan yang penting di dalam menyediakan tenaga manusia yang cergas dan cerdas daripada segi mental dan fizikal yang menjadikan aset yang penting di dalam usaha pembinaan sebuah negara yang maju. 5. Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 1991 Kerajaan telah mengambilkira program-program yang akan dilaksanakan untuk memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat dan ini termasuklah program-program belia dan sukan di seluruh negara. Selaras dengan itu adalah disarankan agar Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain agensi yang berkaitan akan terus merangka program-program berbentuk pembinaan insan ke arah melahirkan rakyat yang sedar serta faham akan tanggungjawab sebagai seorang warganegara. 6. Acara-acara sukan yang akan dipertandingkan bukanlah sekadar untuk memenuhi tuntutan program atau bercorak rekreasi dan kecergasan semata-mata, tetapi lebih daripada itu saya berharap Pesta ini digunakan sebagai satu peluang untuk membantu melahirkan jaguh-jaguh sukan yang akan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Justeru itu semua peserta yang bertanding haruslah menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk diri sendiri dan untuk negeri yang diwakili serta negara. Berhubung dengan sukan menyumpit kebangsaan yang diadakan serentak buat pertama kalinya dengan Pesta ini, adalah diharapkan ianya akan mencapai matlamat untuk mengembangkan sukan ini kepada orang ramai. 7. Akhirnya, saya ucapkan selamat bertanding kepada semua peserta dalam semangat kesukanan yang tinggi dan harmoni. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pesta Sukan Hari Kebangsaan Peringkat Nasional Kali ke-2 1991. Terima kasih.