Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN MUKTAMAR PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 11/10/91 Tajuk/Title : UPACARA PELANCARAN RASMI YAYASAN UBAIDI Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Yayasan Ubaidi pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Ubaidullah kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran Yayasan ini. 2. Penubuhan Yayasan Ubaidi, yang bertujuan membantu golongan miskin, meningkatkan taraf pendidikan masyarakat serta lain-lain kerja kebajikan merupakan satu langkah yang mulia yang digalakkan oleh agama Islam serta masyarakat umum. Penubuhan Yayasan ini menggambarkan perasaan tanggungjawab pengasasnya untuk berbakti kepada masyarakat. Pengasasnya Tan Sri Ubaidullah bin Kadir Basra adalah seorang peniaga yang berjaya dan telah menjadi tokoh dermawan yang telah banyak memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Kerana sumbangannya kepada agama dan kebajikan masyarakat, beliau telah dianugerah tokoh Maal Hijrah. 3. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan langkah orang perseorangan atau pihak swasta untuk membantu golongan- golongan yang kurang bernasib baik. Satu daripada ibadat yang mulia dalam Islam ialah pengeluaran zakat. Tidak syak lagi bahawa ibadat ini bertujuan untuk keadilan masyarakat dengan mengagih kekayaan yang diperolehi oleh umat yang lebih cekap mengumpul kekayaan kepada yang miskin. Tekanan agama adalah kepada pemberian zakat. Menerima zakat bukanlah satu ibadat yang wajib. Justeru itu kita, umat Islam, tidak harus terlalu berminat untuk menerima sahaja. Adalah lebih baik jika kita utamakan usaha mencari kekayaan secara halal supaya kita dapat bersedekah dan mengeluar zakat daripada terlalu mudah menerima sedangkan kita mampu membuat sesuatu untuk diri kita. Sekarang ini ada yang meminta walaupun untuk yang tidak mendesak. Masyarakat yang lebih suka menerima daripada memberi tidak akan jadi masyarakat yang bahagia. 4. Pembentukan "welfare state" ciptaan ideologist Barat di mana majoriti rakyat menjadi penerima tanpa usaha telah menyebabkan masyarakat mereka menjadi malas dan kucar-kacir dan pembangunan terjejas. Negara yang maju sekalipun telah menjadi lemah kerana sikap ini. Yang harus menerima ialah mereka yang betul-betul tidak mampu. Dan mereka ini pula setelah memulihkan kedudukan kewangan sendiri hendaklah membayar balik kepada masyarakat yang memberi peluang kepada mereka. Dengan ini masyarakat akan dipenuhi dengan dermawan dan sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan tidak akan kecewa kerana sumber bantuan begitu banyak. Masyarakat yang seperti ini tetap akan menjadi masyarakat yang adil dan bahagia. 5. Penubuhan Yayasan ini juga adalah selaras dengan dasar Kerajaan supaya pembangunan ekonomi negara akan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Ada sesetengah pentafsir agama yang berpendapat bahawa sementara orang Islam boleh menerima derma dan bantuan daripada siapa sahaja tanpa mengambil kira agama mereka tetapi orang Islam tidak boleh memberi derma daripada punca tertentu kepada bukan Islam. Walaupun tidak ada bahagian zakat yang khusus bagi bukan Islam tetapi mereka yang miskin dan daif berhak mendapat bantuan tanpa mengambilkira agama mereka. Pandangan terhadap agama Islam akan menjadi amat buruk jika orang Islam sanggup menerima, tetapi tidak sanggup memberi. Melalui Yayasan seperti ini bantuan boleh diberi kepada siapa sahaja yang memerlukan bantuan. Hanya dengan bersanggupan seperti ini baharulah dapat kita bentuk masyarakat penyayang dan adil. 6. Sejak negara mencapai kemerdekaan dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru, ramai rakyat Malaysia telah berjaya memperolehi berbagai-bagai nikmat dan kemewahan. Mereka yang berjaya ini mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. Kita tidak seharusnya mengharapkan Kerajaan semata-mata untuk membantu golongan ini. 7. Penderma yang ikhlas tidak harus fikir bahawa penerima terhutang budi kepadanya. Tidak ada balasan secara langsung yang menjadi hak kepada penderma. Bagi orang Islam balasan akan diterima di akhirat kerana memberi zakat dan bersedekah di dunia. 8. Walaupun penerima tidak harus berasa terhutang budi kepada penderma, tetapi sekurang-kurangnya ia harus berterima kasih kepada penderma dan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Dengan adanya sifat-sifat seperti ini pada penderma dan penerima maka masyarakat akan menjadi lebih tenang dan bahagia dan tidak diselubungi dengan perasaan irihati dan hasad dengki. Jika penderma berasa pihak penerima mesti membalas budi dan yang menerima pula menganggap bahawa apa yang diterima sememangnya haknya dan ia tidak perlu berterima kasih maka tidak ada kebahagiaan yang akan diperolehi oleh masyarakat. 9. Kemuliaan dan kebahagiaan sesuatu masyarakat bergantung kepada sifat-sifat yang mulia yang terdapat pada semua pihak. Saya anggap sifat murah-hati Tan Sri Ubaidullah menepati kehendak agama Islam dan nilai yang dimuliakan oleh masyarakat dan menjadi petanda yang baik yang patut dicontohi. Saya harap mereka yang mendapat bantuan daripada Yayasan ini akan menghargainya dan bersyukur. 10. Dengan harapan bahawa Yayasan Ubaidi ini akan menolong ke arah pencapaian masyarakat penyayang, adil dan bahagia, saya dengan sukacitanya melancarkan dengan rasminya Yayasan Ubaidi ini.