Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SEGAMAT, JOHOR Tarikh/Date : 14/12/91 Tajuk/Title : PERASMIAN SISTEM PENGGUNAAN GAS SEMENANJUNG PERINGKAT II Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana menjemput saya ke majlis pagi ini. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis perasmian Sistem Penggunaan Gas Semenanjung Peringkat Kedua atau PGU II ini. 2. Dua setengah tahun dulu, iaitu pada 30 Jun 1989, saya telah merasmikan permulaan kerja-kerja pemasangan paip gas PGU II di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Dan alhamdulillah, hari ini semua kerja pemasangan saluran paip tersebut telah selesai dilaksanakan. Saya difahamkan bahawa gas asli yang dikeluarkan lebih daripada 200 kilometer dari pantai Terengganu kini telahpun berada di Pusat Operasi Gas di Segamat ini. Sebentar lagi, gas ini akan disalurkan ke utara ke Pelabuhan Klang dan ke selatan ke Pasir Gudang. Paip yang telah dipasang dari Terengganu ke Kelang dan Pasir Gudang adalah sepanjang 730 km. 3. Pelancaran penyaluran gas ini menandakan permulaan satu lembaran baru dalam sejarah negara kita, yakni kemasukan Malaysia ke Era Gas yang disalurkan terus. 4. Projek PGU II adalah antara usaha-usaha bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan pembangunan sumber-sumber tenaga akan terus memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara daripada segi pembekalan tenaga dan bahan bakar (fuel) secara efisien kepada pengguna. Ia juga adalah selaras dengan dasar untuk mempelbagaikan bekalan sumber tenaga dan bahan bakar. 5. Memandangkan ekonomi negara dijangka mengalami pertumbuhan pesat pada masa akan datang, keperluan sumber tenaga juga dijangka meningkat, iaitu pada kadar 9.5 peratus setahun bagi tempoh Rancangan Malaysia Keenam. Menjelang tahun 2005, penggunaan tenaga oleh Malaysia dijangka bersamaan kira-kira 600,000 tong minyak sehari berbanding dengan bersamaan 360,000 tong minyak sehari sekarang. Buat masa ini minyak menyumbangkan kira-kira 60 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama negara. Dengan itu, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah dasar untuk mengalihkan pergantungan kepada bahan ini. 6. Dalam hubungan ini, kita bernasib baik kerana negara mempunyai pilihan sumber tenaga yang banyak. Sumber-sumber ini termasuk gas, kuasa hidro, arang batu dan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti suria dan biomass. Antara sumber ini, gas asli adalah paling sesuai untuk menggantikan minyak kerana saiz rezabnya yang besar, iaitu tiga kali lebih banyak daripada rezab minyak. Gas asli juga lebih "versatile" kerana ia boleh digunakan sebagai bahan bakar yang lebih efisien - terutama bagi perjalanan elektrik kitar padu atau "combined cycle", dan ia juga boleh digunakan sebagai bahan mentah bagi industri petrokimia. 7. Projek PGU ini merupakan usaha kerajaan untuk membangunkan satu sumber negara yang penting bagi perkembangan ekonomi. Selama ini sumber asli ini tidak digunakan sepenuhnya. Dengan projek PGU ini, selain daripada membangunkan sumber gas, perlaksanaannya juga akan membuka peluang baru bagi pertumbuhan industri di Malaysia. Untuk itu laluan saluran paip PGU II ini telah dipilih melalui kawasan-kawasan perindustrian utama di negara ini supaya industri-industri di sekitar kawasan laluan saluran paip tersebut mendapat faedah daripada gas yang disalur berdekatan. 8. Menerusi pembangunan projek PGU juga, Kerajaan akan memperolehi punca pendapatan baru untuk negara. Dengan meningkatnya penggunaan gas sendiri oleh sektor penjanaan kuasa dan industri tempatan, lebih banyak gas akan dikeluarkan. Ini akan dapat menambahkan pendapatan dalam bentuk royalti kepada negara dan negeri Terengganu selain daripada pendapatan dalam bentuk cukai dan dividen. Pendapatan tambahan ini akan membolehkan Kerajaan membiayai perbelanjaan bagi menyediakan kemudahan dan infrastruktur lain untuk rakyat dan untuk perkembangan industri eksport. Negeri Terengganu juga akan dapat dibangunkan dengan lebih pesat dengan tambahan royalti ini. 9. Di samping itu, penggunaan gas bagi menggantikan "fuel oil" yang diimport juga akan dapat menjimatkan tukaran asing dan mengurangkan defisit negara. Ini ialah kerana kebanyakan stesen janaelektrik negara kita bergantung kepada "fuel oil" yang diimport. Menjelang tahun 1995 kerajaan menjangka dapat mengurangkan pergantungan kepada "fuel oil" bagi perjanaan kuasa kepada 5.5 peratus, berbanding dengan 42 peratus sekarang; sementara sumbangan daripada gas dijangka meningkat daripada 23 peratus dalam tahun 1991 kepada 75 peratus dalam tahun 1995. Adalah dianggarkan dengan penggantian daripada minyak kepada gas asli sebagai sumber tenaga, mulai tahun ini hingga tahun 2000, Malaysia akan dapat menjimatkan kira-kira 18,000 juta ringgit. 10. Sementara itu, penggunaan gas oleh sektor penjanaan elektrik juga akan membolehkan kita memanfaatkan sepenuhnya faedah-faedah daripada teknologi kitar padu. Generasi terbaru loji-loji penjana kitar padu mampu mencapai efisiensi 50 peratus lebih berbanding dengan 30 peratus efisiensi yang boleh dicapai oleh loji-loji penjana konvensional yang menggunakan "fuel oil". Penjimatan yang boleh dibuat oleh negara dari teknologi kitar padu ini adalah besar dan dapat membantu kita meningkatkan proses perindustrian. 11. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk menggalakkan kegiatan yang boleh menambahkan nilai kepada sumber-sumber asli negara. Projek PGU ini adalah satu usaha Kerajaan ke arah mencapai matlamat ini kerana gas boleh diproses untuk dijadikan bahan sumber atau "feedstock" bagi industri plastik di negara ini. 12. Projek pembangunan gas ini juga akan membuka lembaran baru bagi industri petrokimia yang berteknologi tinggi dan "capital intensive". Industri petrokimia berasaskan gas adalah satu bidang yang berpotensi untuk diperkembangkan di Malaysia. Menjelang tahun depan, negara akan mengeluarkan MTBE dan polypropylene dari loji-loji yang sedang didirikan di Gebeng, Pahang. PETRONAS juga sedang merancang untuk membina loji ethylene dan polyethylene di Terengganu yang dijangka siap dalam tahun 1995. Adalah diharapkan industri- industri tempatan akan merebut peluang daripada bekalan bahan-bahan ini untuk mempertingkatkan lagi tahap industri plastik serta menarik pengguna dari luar untuk menempatkan kemudahan pengeluaran mereka di Malaysia. Justeru itu, projek PGU ini akan memberikan penekanan baru kepada proses perindustrian negara. 13. Dalam usaha kita membangunkan ekonomi negara ke arah perindustrian, mahu tidak mahu kita akan berhadapan dengan masalah pemulihan alam sekitar. 14. Sebagai negara yang bertanggungjawab, kita memberi perhatian berat kepada masalah ini. Deklarasi Langkawi mengenai alam sekitar yang kita terajui jelas menunjukkan betapa prihatinnya kita kepada masalah tersebut. Dalam hal ini, penggunaan gas asli yang lebih "environmentally friendly" menggantikan "fossil fuel" yang lain sebagai bahan bakar bagi sektor penjanaan kuasa dan industri dapat membantu mengurangkan pencemaran udara. 15. Keadaan jerebu yang serius baru-baru ini, selain berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran, diburukkan lagi oleh pencemaran asap kenderaan. Ekoran daripada pembangunan pesat yang berlaku sekarang, jumlah kenderaan bermotor, khususnya di bandar-bandar, juga bertambah. Daripada jumlah kenderaan baru yang dikeluarkan hampir 75 peratus tertumpu di Lembah Klang. Konsentrasi kenderaan seperti ini telah mengakibatkan kadar pencemaran udara begitu meningkat. Dalam hal ini, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengawal pencemaran udara akibat asap kenderaan dengan mengurangkan kandungan plumbum atau "lead" dalam petrol daripada 0.4 gram seliter kepada 0.15 gram seliter mulai tahun lalu. Kita gembira kerana beberapa buah syarikat minyak, termasuk PETRONAS, telah mengambil daya inisiatif sendiri memperkenalkan petrol tanpa plumbum. Dalam belanjawan negara yang dibentangkan baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan penurunan duti eksais dan duti import bagi petrol tanpa plumbum mulai tahun ini. Langkah- langkah akan juga diambil untuk tidak menggalakkan penggunaan petrol berplumbum, termasuk menghentikan import kereta yang boleh atau perlu mengguna petrol yang mempunyai plumbum. 16. Sehubungan dengan ini, PETRONAS akan melancarkan rancangan untuk menggalakkan penggunaan gas asli bagi kenderaan, atau NGV, sebagai alternatif kepada petrol dan diesel. Kenderaan-kenderaan yang boleh menggunakan bahan bakar ini termasuklah "fleet vehicles", teksi, bas dan kenderaan-kenderaan pengangkutan barang. Sebagai insentif bagi rancangan gas asli untuk kenderaan ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menetapkan harga jualan NGV pada kadar separuh daripada harga minyak. Di samping itu NGV juga adalah lebih selamat dan lebih efisien daripada petrol. 17. Untuk memperluaskan lagi penggunaan gas di negara ini, sebuah syarikat usahasama bagi membekalkan gas ke rumah- rumah dan industri di seluruh negara telah ditubuhkan. Langkah ini akan mewujudkan pilihan bagi sumber tenaga dan bahan bakar di samping mengurangkan penggunaan "fuel oil" dan diesel oleh kilang-kilang dan dengan cara itu sekali gus dapat kita mengurangkan pencemaran. 18. Bagi projek PGU II ini saya gembira melihat kemampuan anak-anak tempatan, terutama bumiputera, menyiapkan projek sebesar ini. Mereka ini telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia jika diberi peluang mampu menyahut cabaran menggunakan kebolehan mereka menangani projek-projek canggih dan berteknologi tinggi. Adalah diharapkan dengan pengalaman yang ditimba dan teknologi yang diperolehi daripada perlaksanaan projek PGU ini mereka dapat mempelbagai dan memajukan lagi lain-lain teknologi, misalnya teknologi pendingin udara yang menggunakan kuasa gas, teknologi NGV yang lebih canggih ataupun lain-lain teknologi yang seumpamanya. Syarikat tempatan juga perlu berusaha melibatkan diri dalam projek-projek saluran gas di negara ini. Ini sudah tentunya akan dapat membantu negara memperluaskan lagi "skill basenya" bagi menghadapi proses perindustrian yang dijangkakan lebih pesat pada masa depan. 19. Kejayaan melaksanakan projek PGU Ini juga adalah sebagai lambang kebolehan kita memanfaatkan sumber tenaga kita sendiri untuk faedah rakyat dan negara. Dan bertolak dari usaha yang telah dijalankan ini, Insya-Allah penggunaan gas asli akan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat negara ini tidak lama lagi. 20. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada syarikat MMC Gas Sdn. Bhd. yang telah berjaya memasang paip 36 diameter sepanjang 730 kilometer merentasi hutan dan sungai dalam jangkamasa yang dijanjikan. 21. Akhir kata saya mengucapkan tahniah kepada PETRONAS atas kejayaannya melaksanakan projek PGU II ini dalam tempoh dan belanjawan yang ditetapkan. 22. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sistem Penggunaan Gas Semenanjung Peringkat II ini. Wabillahi taufik wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.