home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JITRA, KEDAH DARUL AMAN 
Tarikh/Date 	: 	16/01/92 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KILANG TAKAGI (MALAYSIA) 
			SDN. BHD. 



 
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada pihak Pengurusan
Syarikat Takagi (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana  menjemput  saya
untuk  merasmikan  kilangnya  di Bandar Darul Aman pada hari
ini.
2.   Saya juga mengucapkan tahniah  kepada  syarikat  Takagi
kerana  mengambil keputusan menempatkan kilangnya di kawasan
perindustrian Bandar Darul Aman.   Langkah ini  adalah  satu
keputusan  yang  berani  dan  bijak  --  berani kerana yakin
dengan masa hadapan  syarikat  di  negeri  Kedah  dan  bijak
kerana  tidak mengikuti jejak langkah syarikat-syarikat lain
yang biasanya menumpukan  perhatian  kepada  kawasan-kawasan
yang  lebih  maju.    Dengan  kemajuan  seimbang yang sedang
dilaksanakan di seluruh  Malaysia,  saya  yakin  lambat-laun
kesangsian para pelabur terhadap sesuatu lokasi kilang tidak
akan  menjadi masalah di dalam membuat keputusan menempatkan
kilang mereka.
3.   Faktor utama yang  mungkin  mendorong  Syarikat  Takagi
menempatkan  kilangnya  di  Bandar Darul Aman ialah wujudnya
bekalan para pekerja yang  sesuai  untuk  operasinya,  iaitu
mengeluarkan  "earthenware  figurines"  khusus untuk pasaran
eksport.  Ini bermakna syarikat memerlukan para pekerja yang
serasi dengan industri seramik yang mementingkan kualiti dan
memerlukan kesabaran serta minat  kepada  bidang  kraftangan
yang halus.
4.   Saya percaya syarikat ini tidak akan menghadapi masalah
kerana faktor-faktor ini  merupakan sebahagian daripada ciri
kebudayaan   kita   yang   semulajadi   memandangkan  bidang
kraftangan adalah satu-satunya kebanggaan negara kita.   Ini
terbukti   dengan   wujudnya   sejak   berkurun  lagi  hasil
kraftangan  tradisional  kita   seperti   pottery,   tenunan
songket, ukiran kayu, keluaran-keluaran emas, perak, tembaga
dan juga batik.
5.   Adalah   satu  perkembangan  yang  menggalakkan  bahawa
industri  barangan  seramik  kini  telah  mula  bertapak  di
Malaysia   secara  besar-besaran.    Ianya  dipelopori  oleh
syarikat ternama Franklin Porcelain  dari  Amerika  Syarikat
dengan  tertubuhnya  kilang  mereka di kawasan perindustrian
Kulim pada tahun 80-an.  Dengan perlaksanaan projek tersebut
dan disusuli pula dengan projek pembesarannya beberapa tahun
berikutnya, keupayaan para pekerja Malaysia di dalam  bidang
ini  tidak  menjadi  tanda  tanya  lagi.    Seperti di dalam
industri-industri  lain  yang  berkembang  di  negara   ini,
pengusaha-pengusaha  Jepun telah mula mengorak langkah untuk
mendirikan projek-projek berasaskan seramik di Malaysia.
6.   Perkembangan   ini   didorongi   oleh    faktor    kos.
Sepertimana  yang  kita  sedia  maklum,  kos  pengeluaran di
negara Jepun telah melambung naik.   Bagi  syarikat-syarikat
seperti  Takagi, yang sebahagian besar pasarannya bergantung
kepada permintaan Disneyland, mereka tidak  ada  jalan  lain
melainkan   memindahkan   operasi  mereka  ke  negara-negara
membangun seperti Malaysia.  Sungguhpun Malaysia kini  tidak
lagi  boleh dianggapkan sebagai negara kos rendah, saya amat
gembira terdapat banyak lagi syarikat seumpama ini bercadang
mendirikan kilang mereka di Malaysia.
7.   Selain daripada Syarikat Takagi,  yang  mana  pelaburan
modalnya adalah sebanyak M$12 juta, pelaburan modal di dalam
industri  ini  dari  tahun  1980  hingga bulan November 1991
berjumlah M$166.4 juta.  Daripada jumlah  tersebut,  M$118.5
juta  atau  71.2  peratus  adalah sumbangan pelaburan asing,
majoritinya syarikat Jepun.  Sungguhpun angka-angka ini agak
kecil jika dibandingkan dengan  angka-angka  bagi  industri-
industri  lain  seperti  elektronik,  kesannya  adalah besar
daripada segi 'spin-off effects'.  Di samping itu,  ia  juga
mengharumi  nama  Malaysia  di pasaran dunia dan hakikat ini
tidak harus dipandang ringan.  Sejumlah 15 buah projek  yang
diluluskan  sejak  1989  dijangka  memberi peluang pekerjaan
kepada hampir 4,000 orang rakyat Malaysia.  Syarikat  Takagi
misalnya akan menambah tenaga pekerjanya dari 275 orang pada
masa sekarang kepada 800 orang menjelang 1996.
8.   Daripada   segi   nilai   eksport   barangan   'ceramic
figurines' pula, ianya telah  meningkat  dengan  pesat  dari
M$50.6  juta  pada  tahun  1990 kepada hampir M$70 juta pada
tahun 1991.  Ini berpandukan kepada statistik masakini serta
mengambilkira jumlah pengeluaran dan penjualan projek-projek
yang sedang beroperasi dan  yang  akan  dilaksanakan  kelak.
Jika  diambilkira  bahawa sebahagian besar daripada barangan
ini akan dijual di Disneyland serta di kedai-kedai eksklusif
di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun,  Australia  dan  Kanada,
imej   Malaysia  sebagai  pengeluar  barangan  bermutu  akan
diperkukuhkan lagi.
9.   Bagi  menentukan  bahawa  momentum  yang   kini   telah
mencapai  satu  tahap yang menggalakkan dapat dipercepatkan,
industri seramik  negara  ini  harus  diberi  tumpuan  serta
bimbingan  yang serius.  Ini berdasarkan dua faktor penting.
Satu  daripadanya  ialah  negara   kita   mempunyai   sumber
"kaolin",  iaitu  bahan  utama  di  dalam pembuatan barangan
seramik.   Saya  difahamkan  "deposit  kaolin"  terdapat  di
kawasan Bidor-Tapah di Perak, kawasan Jemaluang di Johor dan
juga  di  Sarawak.    Oleh  itu  tindakan  yang segera perlu
diambil untuk memastikan  Ceramic  Technology  Centre  (CTC)
yang  dipelopori  oleh Kerajaan Negeri Perak menjadi realiti
secepat  mungkin.     Dengan  adanya   infrastruktur   serta
kemudahan-kemudahan  sokongan  seperti kawasan perindustrian
khusus untuk industri seramik  dan  pusat  Penyelidikan  dan
Pembangunan  atau  R  &  D,  ini  akan mencerminkan komitmen
Kerajaan Malaysia kepada kemajuan dan perkembangan  industri
seramik.
10.  Faktor  yang  kedua ialah penyertaan rakyat Malaysia di
dalam industri yang  merupakan  pelbagaian  kepada  aktiviti
yang  telah  lama  disertai oleh syarikat-syarikat tempatan,
iaitu  barangan  berasas  tanah  liat.     Syarikat-syarikat
tempatan  perlu  memandang  jauh di dalam merancang strategi
korporat jangka panjang masing-masing kerana dalam  abad  ke
21,  "scenario" perdagangan antarabangsa akan bertukar wajah
selaras dengan perkembangan serta pergolakan  politik  dunia
semasa.  Justeru itu, untuk memastikan penyertaan yang lebih
bermakna  oleh  syarikat tempatan di dalam arena perdagangan
antarabangsa menjelang tahun 2000, proses pelbagaian seperti
ini amat penting.  Adalah malang sekali jika  kita  berpeluk
tubuh   sahaja   dan   membiarkan   syarikat-syarikat  asing
menggunakan  sumber   tempatan   dan   mendapat   keuntungan
daripadanya.
11.  Sungguhpun buat masa kini kebanyakan syarikat pengeluar
barangan  seramik menggunakan bahan-bahan mentah diadun yang
diimport,  saya   percaya   dengan   bertambahnya   bilangan
syarikat-syarikat  pengeluar  barangan  seramik  kelak, akan
tiba masanya apabila jumlah keperluan mereka terhadap bahan-
bahan mentah  itu  akan  membuka  peluang  penubuhan  kilang
pemprosesan  berbagai  jenis  "formulated clay mixture" yang
diperlukan.  Di dalam hal ini, saya ingin menyarankan supaya
syarikat-syarikat tempatan yang telah lama  berkecimpung  di
dalam  bidang  industri  barangan tanah liat mengkaji dengan
lebih mendalam peluang-peluang yang kini kian terbuka  dalam
industri barangan seramik.
12.  Kerajaan  sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengusaha-
pengusaha, khususnya daripada segi  peranan  mereka  sebagai
pelopor  di  dalam bidang industri baru.  Ini sekaligus akan
menjadi  pendorong  kepada  bukan  sahaja  syarikat-syarikat
asing lain tetapi juga membuka mata syarikat tempatan kepada
peluang-peluang yang wujud di dalam sektor pembuatan.
13.  Dengan  ini,  saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang
Takagi  (Malaysia)   Sdn.   Bhd.   dengan   harapan   segala
rancangannya akan terlaksana dengan jayanya.

 
 



 
Google