home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN UMNO, JALAN TUANKU ABDUL 
			RAHMAN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/03/92 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN INSTITUT TEKNOLOGI 
			TUN ABDUL RAZAK 


 
    Terlebih  dahulu  saya  mengucapkan terima kasih kepada
Koperasi Usaha Bersatu Majlis Berhad atau KUB kerana memberi
penghormatan kepada saya untuk merasmikan Institut Teknologi
Tun Abdul Razak pada petang ini.   Syabas  diucapkan  kepada
KUB  kerana  berkat  kegigihan dan kebulatan tekad, akhirnya
impian  untuk  menubuhkan  sebuah  institusi   pendidikannya
sendiri kini menjadi kenyataan.
2.   Dengan  penubuhan  Institut  ini  KUB  berjaya memenuhi
salah satu daripada objektif  penubuhan  koperasi  ini  yang
termaktub  di  dalam undang-undang kecilnya, iaitu "membantu
antara satu sama lain dan memajukan  pelajaran  di  kalangan
anak-anaknya".
3.   Kerajaan   memang  mengalu-alukan  penubuhan  Institusi
pendidikan oleh pihak swasta seperti Institut Teknologi  Tun
Abdul Razak atau ITTAR ini.  Lebih-lebih lagi ia diilham dan
dilahirkan  oleh  sebuah  koperasi  yang didukung oleh orang
Melayu.
4.   Orang  Melayu  pada  amnya  beranggapan  bahawa  bidang
pendidikan   adalah   tanggungjawab   Kerajaan.     Anggapan
sedemikian ialah kerana sejak negara  merdeka  tanggungjawab
ini  telah  dipikul  oleh  Kerajaan,  bahkan boleh dikatakan
bahawa  Kerajaan  telah  memonopoli  bidang  ini  dari  segi
menyediakan  belanjawan  yang  besar  untuk sekolah-sekolah,
universiti atau biasiswa.
5.   Di suatu  masa  dahulu,  sekolah-sekolah  swasta  hanya
segelintir  sahaja bilangannya.   Sekolah-sekolah swasta ini
ketika itu tidak mempunyai  imej  yang  begitu  baik  kerana
kebanyakan  pelajar  di sekolah-sekolah ini terdiri daripada
mereka  yang  tidak  berpeluang  menyambung   pelajaran   di
sekolah-sekolah    bantuan    Kerajaan    disebabkan   tidak
memperolehi kelulusan yang baik dalam peperiksaan.
6.   Tetapi pada hari ini, keadaan telah  berubah.    Ekoran
dasar  liberal  Kerajaan dalam bidang pendidikan, institusi-
institusi pendidikan swasta seperti kolej atau maktab tumbuh
dengan banyaknya dengan menawarkan  pelbagai  kursus  separa
profesional dan juga profesional.
7.   Nyatalah    daripada    jumlah   pengambilan   pelajar,
institusi-institusi swasta yang tumbuh dalam beberapa  tahun
ini  telah  mendapat  sambutan yang menggalakkan.  Ini ialah
kerana penubuhan institusi-institusi swasta ini adalah untuk
memenuhi kehendak-kehendak pengetahuan  yang  amat  mendesak
atau  "the  great thirst for knowledge" di kalangan penduduk
negara kita sekarang.    Ramai  rakyat  kita  kini  mengejar
pengetahuan  dan  kecekapan  bagi  melengkapkan  diri mereka
untuk  menyahut  cabaran  pembangunan  negara  yang   pesat,
terutama  dalam  bidang perindustrian yang memerlukan begitu
banyak tenaga terlatih dalam bidang  pengurusan,  teknologi,
kemahiran dan sebagainya.
8.   Dasar  meliberalisasikan  bidang  pendidikan  di negara
kita pada hari ini  adalah  suatu  perkembangan  yang  bukan
sahaja  tidak  dapat  dielakkan  tetapi, yang lebih penting,
suatu perkara yang amat diperlukan.  Tidak ada  Kerajaan  di
mana-mana   pun   yang   mampu  mengadakan  semua  keperluan
pendidikan dalam semua bidang.   Oleh kerana  negara  sedang
membangun  dengan  pesat  dan menumpu kepada bidang industri
maka keperluan  bagi  berbagai-bagai  jenis  kecekapan  juga
meningkat  dengan pesatnya.   Dalam keadaan ini pihak swasta
diperlukan menampung apa yang tidak  dapat  disediakan  oleh
Kerajaan kerana belanjawan Kerajaan tetap terhad.
9.   Penubuhan  institusi-institusi pendidikan swasta dengan
sendirinya memperkenalkan elemen penswastaan ke dalam sistem
pendidikan negara, tanpa Kerajaan sendiri mengambil  langkah
tertentu  ke  arah  penswastaan  itu.    Ini  berbeza dengan
penswastaan jabatan-jabatan Kerajaan  seperti  Telekom,  Pos
atau  Tenaga  Nasional Berhad.  Sumbangan sektor swasta yang
lebih besar dalam bidang pendidikan seperti menubuhkan lebih
banyak institusi pendidikan tinggi yang  menawarkan  kursus-
kursus yang kini kebanyakannya terdapat di luar negeri, akan
dapat  mengurangkan  pengaliran  tukaran  asing kita ke luar
negeri.   Adalah  diperhatikan  bahawa  pihak  swasta  lebih
berjaya   mengawal   perbelanjaan   mengendalikan  institusi
pelajaran berbanding dengan Kerajaan.   Ini  juga  merupakan
satu keuntungan bagi negara kerana lebih ramai akan mendapat
pelajaran dari pelaburan yang lebih rendah.
10.  Jika  penswastaan  ke atas agensi-agensi Kerajaan dapat
membantu mengurangkan belanjawan  Kerajaan,  maka  penubuhan
lebih  banyak  pusat  pengajian oleh sektor swasta, termasuk
oleh  institusi  pendidikan  dari  luar  negeri,  juga  akan
membolehkan  Kerajaan  mengagihkan  wangnya  untuk keperluan
lain yang juga  penting.    Untuk  menentukan  standard  dan
kualiti   tidak   terjejas   kerana  perkembangan  institusi
pendidikan yang begitu pesat, Kerajaan ingin melihat program
kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tinggi  yang  ternama
di seberang laut ditingkatkan.
11.  Pada  amnya,  adalah  lebih baik bagi para pelajar kita
menuntut di dalam  negara  mereka  sendiri  sehingga  mereka
lebih  dewasa dan mampu mempertahankan budaya mereka apabila
mereka  pergi  keluar  negeri  untuk  pengajian  yang  lebih
tinggi.    Terdapat banyak masalah di kalangan penuntut yang
terlalu muda apabila mereka terdedah  kepada  budaya  asing.
Di  samping  itu kos pengajian tinggi akan dapat dikurangkan
dan negara akan berupaya mengeluarkan  lebih  banyak  tenaga
mahir yang diperlukan.
12.  Dalam  menyediakan tenaga mahir untuk memenuhi kehendak
pasaran pekerjaan, pihak  swasta  lebih  berupaya  memainkan
peranan  yang  berkesan  kerana  ia fleksibel dalam merangka
sesuatu  pendekatan  mengikut   keperluan   tenaga   manusia
berbanding dengan sektor awam.
13.  Walaupun    Malaysia    mengamalkan   Dasar   Pelajaran
Kebangsaan,  Kerajaan  mempunyai  pandangan  yang  luas  dan
pragmatik.      Hasrat   Kerajaan  ialah  untuk  menyediakan
pendidikan yang berkualiti selaras dengan  matlamat  Wawasan
2020.     Ini  adalah  kerana  maruah  dan  kehormatan  yang
diperolehi oleh sesuatu bangsa  bergantung  kepada  kejayaan
dan  kekuatan  bangsa itu dan bukan kepada desakan supaya ia
dan kebudayaannya dihormati.  Dengan menguasai  segala  ilmu
yang  penting  dan  dengan itu mencapai kemajuan yang tinggi
kebudayaan bangsa akan turut dihormati dan berdayamaju.
14.  Saya merasa bangga kerana Institut Teknologi Tun  Abdul
Razak  ini  dalam  hanya  beberapa bulan sahaja penubuhannya
telah   mendapat   sambutan   yang   menggalakkan   daripada
masyarakat, khasnya orang Melayu. ITTAR juga merupakan satu-
satunya  sekolah  yang  mengadakan  program kerjasama dengan
sebuah kolej di luar negeri, iaitu Institute of Higher  Edu-
cation  di  United  Kingdom,  tanpa  menjejaskan  penggunaan
Bahasa Malaysia dalam  mengendalikan kursus-kursusnya.
15.  Saya penuh yakin bahawa Institut  Teknologi  Tun  Abdul
Razak,  dengan  mengambil nama seorang negarawan yang ulung,
Allahyarham Tun  Abdul  Razak  yang  semasa  hayatnya  telah
mencurahkan  jasa  yang  tiada  terhingga  di  dalam  bidang
pendidikan, akan mampu untuk "live  up  to  its  name",  dan
bersama-sama  membawa  negara  ke arah masa depan yang lebih
gemilang.
16.  Dengan lafaz Bismillahir rahmanir  rahim,  saya  dengan
sukacitanya merasmikan Institut Teknologi Tun Abdul Razak.

 
 



 
Google