home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PASIR GUDANG, JOHOR Tarikh/Date : 16/04/92 Tajuk/Title : PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG TITAN HIMONT HIMONT POLYMERS Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan Syarikat Titan Himont Polymers (M) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilang induknya pada hari ini. 2. Pembukaan kilang ini melambangkan kemajuan setapak lagi negara kita ke arah matlamat mencapai tahap sebuah negara industri. Saya difahamkan kilang ini yang mengeluarkan 'polypropylene resins', iaitu bahan utama dalam pembuatan barang-barang plastik, merupakan fasa pertama di dalam rancangan keseluruhan syarikat untuk mendirikan sebuah kompleks barang-barang berasaskan petrokimia. Apabila dua lagi kilang berasingan yang akan mengeluarkan 'high and low density polyethylene' dan 'ethylene/propylene' mula beroperasi tahun hadapan, bukan sahaja jumlah modal projek ini akan melebihi seribu juta ringgit, tetapi juga Malaysia akan menjadi di antara pengeluar bahan plastik yang utama di rantau ini. 3. Projek raksasa ini mendapat restu pihak Kerajaan berasaskan dua faktor penting. Pertama ialah ianya memberi dorongan kepada perkembangan industri plastik negara ini yang kini mula berkembang pesat. Faktor yang kedua ialah ianya merupakan sebahagian daripada industri petrokimia yang boleh menggunakan gas asli sebagai 'feedstock'. 4. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, negara kita mempunyai rezab gas asli yang banyak. Pada tahun lepas keluaran gas asli negara dianggarkan 7,600 juta tan, bernilai M$3,845 juta, kebanyakannya dalam bentuk gas asli cecair (LNG) yang dieksport ke Jepun dan Korea Selatan. Menjelang tahun 1995, jumlah pengeluaran gas asli cecair kita dijangka meningkat kepada 11,500 juta tan. 5. Di bawah Rancangan Malaysia Keenam, gas asli dijangka akan memainkan peranan yang lebih penting di dalam sektor- sektor komersil, industri, pengangkutan dan sektor domestik. Menjelang tahun 1995, gas asli dijangka mencapai tahap 39 peratus daripada bekalan bahan bakar komersil utama termasuk penjanaan kuasa letrik, manakala tahap penggunaan minyak mentah akan menurun kepada 52 peratus. Ini bermakna pengaliran tukaran asing untuk membeli minyak akan berkurangan sementara hasil daripada eskport gas dan minyak tempatan akan meningkat. 6. Rasional penggunaan gas asli ialah oleh kerana rezab minyak mentah negara hanya dapat bertahan lebih kurang 15 tahun manakala rezab gas asli kita dijangka bertahan selama satu abad. Daripada segi kebersihan alam sekitar, penggunaan gas asli sebagai bahan bakar adalah lebih bersih daripada minyak mentah. Berasaskan faktor-faktor ini, pihak Kerajaan menggalakkan industri yang menggunakan gas asli sebagai bahan mentah atau bahan api dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan gas asli. Di dalam hal ini PETRONAS dijangka melabur lebih daripada M$3,000 juta untuk projek pembesaran kompleks LNG di Bintulu serta mendirikan projek- projek petrokimia, termasuk pengeluaran baja, 'polypropylene' and polyethylene resins' secara usahasama dengan syarikat-syarikat 'multinationals'. 7. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kongsi di dalam projek ini yang melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa dari Taiwan, Australia/United Kingdom, Amerika Syarikat/Itali dan juga Malaysia. Peranan rakan kongsi dari Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) ialah untuk mempelajari selok-belok industri ini dengan tujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan anak watan kita dalam satu-satunya industri yang benar-benar 'capital-intensive'. Saya rasa bahawa untuk mencapai taraf negara industri, tidak ada jalan lain melainkan melabur wang ringgit dan tenaga kita untuk mempelajari dengan mendalam sektor industri di mana kita kurang kepakaran. Kita yakin dalam jangkamasa satu dekad pelaburan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi dan kecanggihan industri Malaysia. Ini selaras dengan pendekatan yang ditekankan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (RM6), iaitu memesatkan lagi perkembangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga mengembangkan industri-industri tempatan yang berteknologi tinggi dan canggih. 8. Di dalam hal ini kita harus mencontohi negara Taiwan yang telah melabur beribu juta wang ringgitnya untuk membeli teknologi asing serta melatih rakyatnya untuk mengendalikan aktiviti meningkatkan kepakaran tempatan. Kini satu pertiga daripada jumlah eksport Taiwan merupakan barangan berasaskan ataupun berkaitan dengan petrokimia. Oleh yang demikian, amat wajar sekali Malaysia memaksimakan nilai ditambah sumber asli kurniaan Tuhan demi masa hadapan rakyatnya. 9. Akhir kata, saya harap agensi-agensi Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri akan menentukan bahawa projek-projek syarikat ini dan semua projek perindustrian swasta diberi sokongan yang sewajarnya agar semuanya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Ini juga ditujukan kepada projek-projek raksasa anjuran PETRONAS dan syarikat-syarikat asing yang lain. Asalkan syarat-syarat asas dipenuhi, iaitu ianya tidak menjejas alam sekitar dan projek tersebut membawa manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat, kita harus membantu perlaksanaannya. 10. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan kilang 'polypropylene resins' Syarikat Titan Himont Polymers (M) Sdn. Bhd. |