home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 06/06/92 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah, Ampun Tuanku, Dengan hormat dan penuh takzimnya patik bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat, serta diri patik sendiri, mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku hari ini. Patik sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua sentiasa berada di dalam kandungan sihat serta penuh kesejahteraan dan kedaulatan. Ampun Tuanku, 2. Syukur alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala negara terus berada dalam keadaan yang aman, tenang dan makmur. Keadaan ini dapat terus diwujudkan kerana rakyat berbilang kaum di negara ini lebih mementingkan perpaduan, keharmonian dan kestabilan. Mereka sedar bahawa hanya dengan terus bersatu padu dan hidup sal- ing hormat menghormati antara satu sama lain baharulah negara dapat mengatasi segala masalah perkaumam. Kestabilan politik yang dialami oleh negara telah membolehkan Kerajaan dan rakyat jelata menumpukan sepenuh tenaga terhadap pembangunan ekonomi yang lebih pesat. Negara juga bernasib baik kerana telah dihindari daripada malapetaka yang besar sepertimana yang melanda lain-lain negara. 3. Berkat usaha gigih Kerajaan, rakyat dan masyarakat peniaga dan pengusaha ekonomi negara terus mengalami pertumbuhan yang memuaskan tahun lalu. Walaupun pada tahun ini kadar pertumbuhan dijangka lebih sederhana, ianya masih tetap kukuh dan stabil. Keadaan ini akan membolehkan Kerajaan meneruskan usaha-usaha membangunkan negara dengan pesat. Bagi menjamin negara akan terus membangun selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju, Kerajaan akan terus mengamalkan sikap liberal terhadap pelaburan. Di masa yang sama, sektor swasta akan terus digalakkan untuk memainkan peranan penting sebagai jentera penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Dengan pengurusan ekonomi yang bijak, kesanggupan rakyat untuk terus berusaha dengan gigih untuk meninggikan produktiviti serta kecekapan dan kesediaan sektor swasta menerokai pasaran-pasaran baru bagi barang-barang keluaran Malaysia, patik yakin negara akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. 4. Untuk memastikan keadaan ekonomi, sosial dan politik negara tidak kucar-kacir, semua pihak hendaklah bekerjasama dalam usaha-usaha mempertahankan sistem undang-undang. Undang-undang di negara ini perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua. Tanpa menghormati pentadbiran dan sistem undang-undang, kita tidak mungkin stabil dan berjaya sebagai sebuah negara yang disegani oleh masyarakat antarabangsa. Aturan-peraturan Kerajaan dan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang harus dipatuhi jika masyarakat yang adil hendak diwujud. Pihak Kerajaan dan rakyat sekalian berasa bangga kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyokong kuat terhadap keluhuran undang-undang di negara ini. Ampun Tuanku, 5. Pembangunan merupakan satu istilah yang mempunyai banyak dimensi dan pada lazimnya bererti juga perubahan sosial. Perubahan yang berlaku kadangkala mempunyai kesan yang negatif pada golongan-golongan tertentu walaupun ia membawa kebaikan kepada keseluruhan masyarakat dalam jangkamasa yang panjang. Kesabaran rakyat Malaysia menjadi faktor yang penting bagi kejayaan sesuatu perubahan. 6. Dalam konteks ini Kerajaan akan berusaha menentukan supaya pembangunan yang wujud di negara ini adalah positif dan seimbang. Dasar-dasar dan program-program yang dibentuk akan dipasti mencapai matlamat akhir, yakni pertumbuhan diikuti dengan pengagihan yang saksama tanpa menjejas mana- mana pihak. Patik yakin kita mampu mencapai matlamat- matlamat yang telah dirancangkan dalam Dasar Pembangunan Nasional dan Rancangan Malaysia Keenam. 7. Selain daripada itu, dasar-dasar Kerajaan juga menentukan supaya rakyat bersikap cermat dan tidak boros dalam membelanja pendapatan mereka. Sikap yang boros akan mendatangkan keburukan kerana ia akan menyumbang kepada inflasi, di mana peningkatan pendapatan hanya menjadikan rakyat lebih miskin. Ini disebabkan kejatuhan nilai matawang terutama jika produktiviti tidak meningkat. Namun patik yakin rakyat negara ini berfikiran waras dan tahu akan keburukan tabiat boros berbelanja, tidak menabung, dan tidak meningkatkan produktiviti. 8. Patik bagi pihak Kerajaan berasa bangga Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengambil berat serta menunjukkan minat yang mendalam terhadap perjalanan pentadbiran negara dan dalam hal ini Tuanku sanggup membuat lawatan ke negara-negara asing demi mempereratkan hubungan negara ini dengan negara berkenaan. Dengan wujudnya ikatan persahabatan di antara Malaysia dengan negara-negara asing, patik yakin kita akan berjaya menentukan keamanan bukan sahaja tercapai di rantau ini tetapi juga menyumbang kepada keamanan dunia. Perhubungan yang baik ini juga akan dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan seterusnya mempastikan perkembangan ekonomi negara kita. 9. Malaysia akan terus memainkan peranan cergas di peringkat antarabangsa. Kita akan terus menjalinkan perhubungan erat dengan seluruh negara di dunia terutama dunia ketiga. Demi kedaulatan negara dan keadilan, Malaysia akan terus menyuarakan pandangannya terhadap isu-isu yang dianggap penting kepadanya. Dalam penyelesaian masalah antarabangsa serta pembentukan Orde Baru Dunia, Malaysia akan meneruskan sokongannya kepada Bangsa-bangsa Bersatu. 10. Patik dan rakyat sekalian berbangga dengan usaha dan teladan yang ditunjuk oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Tuanku Bainun dan sukacita memaklumkan bahawa rakyat dan kakitangan Kerajaan berazam berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memastikan pembangunan yang pesat dan kemakmuran negara ini. Ampun Tuanku, 11. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patik sendiri patik dengan penuh hormat dan takzimnya memohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah. Ampun Tuanku. |