home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	AUDITORIUM BESAR, ANGKASAPURI, 
			KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	01/07/92 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PELANCARAN PROGRAM 
			"RUMAHKU SYURGAKU" 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Saya  bersyukur  ke  hadrat  Allah S.W.T. kerana dengan
limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat berhimpun di audito-
rium ini pada malam ini.    Saya  mengucapkan  terima  kasih
kepada  pihak  penganjur  kerana memberi penghormatan kepada
saya untuk melancarkan  suatu  program  yang  amat  bermakna
kepada negara.
2.   Dalam usaha membangunkan negara, kita mestilah sentiasa
peka  kepada  tujuan hidup kita yang bukan semata-mata untuk
memenuhi  keperluan  kehidupan.    Matlamat  kita  membentuk
negara  maju  ialah  untuk  kesejahteraan  di dunia dan juga
akhirat.  Untuk itu kita mestilah mengimbangi kehidupan kita
dengan keperluan  kebendaan  dan  kerohanian  bagi  mencapai
tahap  kesejahteraan  yang  sebenar.   Kita tidak seharusnya
terikut-ikut dengan cara hidup barat,  yang  walaupun  telah
mencapai  tahap  negara  maju dari segi perkembangan ekonomi
dan  teknologi,  tetapi  mengalamai  keruntuhan  moral   dan
kesejahteraan  kerohanian.   Keruntuhan moral dan kerohanian
ini sudah menjadikan masyarakat mereka tenggelam  punca  dan
tidak tentu haluan.  Tidak syak lagi bahawa keruntuhan moral
dan   panduan   hidup  akan  merosakkan  pembangunan  mereka
akhirnya.
3.   Salah satu akibat yang nyata daripada keruntuhan  moral
dan   kerohanian   di  negara-negara  maju  di  barat  ialah
keruntuhan institusi keluarga.  Keluarga adalah  suatu  unit
yang  penting  dalam masyarakat.   Keluarga menentukan asas-
asas yang mulia untuk kehidupan  dapat  diteruskan.    Tanpa
keluarga   tidak  akan  ada  kesinambungan  nilai  hidup  di
kalangan generasi yang menurut.   Dengan itu  segala-galanya
dilakukan  mengikut  nafsu individu semata-mata.  Masyarakat
yang dipenuhi dengan anggota yang hanya mengikut nafsu tidak
akan tenteram dan tidak mungkin maju-jaya.
4.   Keruntuhan  moral  dan  kehancuran  institusi  keluarga
berpunca  dari  pengabdian barat kepada kebebasan yang tidak
terhad.  Apa sahaja boleh dibuat sebagai hak individu  dalam
masyarakat  bebas.   Dengan itu segala nilai yang dimuliakan
oleh masyarakat digugur dan diganti dengan nilai-nilai  yang
bertentangan.    Demikian  jika  dahulu  ibu bapa dihormati,
sekarang mereka tidak  diindahkan,  jika  dahulu  ketertipan
disanjung,  sekarang  ketidaksiuman  diagung-agungkan,  jika
dahulu pasangan bagi lelaki  ialah  wanita,  sekarang  tanpa
segan-segan  dipamirkan  cinta  antara lelaki dengan lelaki.
Proses keruntuhan ini akan  terus  berlaku  kerana  falsafah
kebebasan tanpa had masih dipuja.
5.   Oleh kerana ancaman terhadap kekeluargaan oleh falsafah
barat  inilah  maka  Kerajaan  memberi  perhatian yang lebih
serius kepada keluarga dan peranannya dalam masyarakat kita.
Kerajaan  bukan   sahaja   berusaha   untuk   mempertahankan
institusi   keluarga   tetapi   untuk  meningkatkan  kualiti
keluarga melalui berbagai agensi dan program supaya keluarga
lebih mampu mengecap hasil pembangunan negara.
6.   Melalui program pembasmian kemiskinan,  Kerajaan  telah
mengenal  pasti  keluarga-keluarga  termiskin  dan  berusaha
sedaya upaya membantu  mereka  supaya  bebas  dari  belenggu
kemiskinan.    Di dalam hal ini pendekatan Kerajaan terhadap
masalah kemiskinan tidak hanya dilihat dari sudut  kebendaan
semata-mata,  tetapi  kemiskinan  itu  dilihat juga daripada
segi kualiti  manusia  yang  menyeluruh.    Ini  termasuklah
kemiskinan  ilmu  pengetahuan,  kerendahan  moral,  adab dan
kesopanan yang  mana  semua  ini  mempunyai  kesan  terhadap
kesejahteraan masyarakat dan negara.
7.   Hasrat  Kerajaan  untuk mewujudkan masyarakat penyayang
tidak akan tercapai sekiranya individu yang  menjadi  elemen
terpenting   dalam   masyarakat  membelakangkan  sifat-sifat
positif yang sepatutnya mereka miliki.  Oleh itu sifat-sifat
mulia yang dianjurkan oleh Islam seperti  sayangkan  negara,
cintakan keluarga, rajin dan tertib, berdaya saing, bertolak
ansur,   tidak   mensia-siakan  masa  dan  sebagainya  perlu
dipraktik lebih daripada yang diperkatakan.
8.   Begitu juga hasrat negara untuk  melahirkan  masyarakat
yang  prihatin dan produktif menjelang tahun 2020 tidak akan
menjadi kenyataan  sekiranya  ibu  bapa  berpendapat  bahawa
semua   usaha  ke  arahnya  adalah  tanggungjawab  Kerajaan.
Sebenarnya ibu bapa hari ini mempunyai peranan yang  penting
untuk   memahami  hasrat  negara  dan  dengan  itu  menolong
membentuk  peribadi  generasi  muda  supaya  sesuai   dengan
perubahan-perubahan yang akan berlaku menjelang tahun 2020.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Anak  merupakan  amanah  dari  Allah kepada kita semua.
Oleh itu para ibu bapa perlu menjaga amanah tersebut  dengan
betul dan cermat supaya ia tidak mendatangkan mudarat kepada
semua pihak.  Pelancaran program Rumahku Syurgaku tepat pada
masanya  di  waktu  Kerajaan  sedang  menyusun  strategi dan
perancangan menuju ke arah negara maju.
10.  Al-Quran sebagai kitab  panduan  hidup  kepada  manusia
telah  memberikan  beberapa  panduan  kepada ibu bapa supaya
mereka tidak akan tergelincir dari  jalan  yang  benar  yang
diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Dalam surah Luqman
ayat 13 Allah telah berfirman yang bermaksud :
     "Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya,
     semasa   ia  memberi  nasihat  kepadanya:  "Wahai  anak
     kesayanganku, janganlah  engkau  mempersekutukan  Allah
     (dengan  sesuatu  yang  lain),  sesungguhnya  perbuatan
     syirik itu adalah kezaliman yang besar"
11.  Demikianlah al-Quran menjelaskan bagaimana seorang bapa
yang mempunyai wawasan, memastikan  hidup  anak-anak  mereka
berterusan  di  atas  jalan yang benar dan mencapai kejayaan
iaitu melalui jalan yang diredhai oleh Allah.
12.  Demikianlah  juga  kepada  anak-anak   yang   merupakan
pewaris yang akan menerajui pimpinan negara di masa hadapan,
perlu  mempunyai  saksiah  yang  baik serta memiliki tingkah
laku yang terpuji terutama ketika  berhadapan  dengan  orang
tua  mereka.  Hal ini kita dapat faham daripada firman Allah
dalam surah al Israa' ayat 23 yang bermaksud:
     "Dan Tuhanmu  telah  perintahkan  supaya  engkau  tidak
     menyembah    melainkan   kepadaNya   semata-mata,   dan
     hendaklah engkau berbuat baik kepada  kedua  ibu  bapa.
     Jika  salah  seorang  dari  keduanya, atau kedua-duanya
     sekali  sampai  kepada  umur  tua  dalam   jagaan   dan
     pemeliharaan  mu,  maka janganlah engkau berkata kepada
     mereka (sebarang perkataan kasar)  sekalipun  perkataan
     "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
     tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia."
13.  Ajaran  Islam  mendidik manusia, bukan sekadar ibu bapa
yang  perlu  menanggung  dan  memelihara  anak-anak  mereka,
tetapi  anak-anak  juga  perlu membalas jasa dan pengorbanan
ibu bapa mereka terutama  setelah  ibu  bapa  mereka  lanjut
usia.  Budaya yang suka menghantar orang-orang tua ke rumah-
rumah  kebajikan  dirasakan tidak sesuai dengan budaya timur
apatah lagi dengan ajaran Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Masyarakat  yang  berkasih  sayang  adalah  lahir  dari
rumahtangga   yang  aman  damai.    Ianya  akan  meghasilkan
produktiviti yang baik,  membolehkan  suami  bekerja  dengan
tenang  dan  isteri  melaksanakan  tugas dengan sempurna dan
dengan itu  menghindarkan  segala  sengketa.    Dengan  yang
demikian ekonomi rumahtangga dan negara akan meningkat.
15.  Faktor   terpenting   ke  arah  mewujudkan  rumahtangga
bahagia adalah faktor didikan dan asuhan.    Bagi  seseorang
muslim,   didikan  Islamlah  yang  menjadi  teras  utamanya.
Apabila setiap anggota dalam rumahtangga terutama  anak-anak
dan  isteri diberi pemahaman yang secukupnya tentang peranan
dan tanggungjawab mereka, Insya-Allah akan terbinalah sebuah
rumah yang boleh  diisytiharkan  sebagai  Rumahku  Syurgaku.
Faktor-faktor  lain  yang  perlu  dipupuk  dalam  menghayati
keluarga  bahagia  ialah   kejujuran,   keikhlasan,   tolong
menolong  dan  bertolak ansur.  Begitu juga mereka perlu ada
sifat "bersyukur" dengan apa yang dikurniakan kepada mereka.
Dengan sifat ini  bukan  sahaja  hati  manusia  akan  merasa
tenang   dan  aman  bahkan  akan  mendorong  mereka  bekerja
bertungkus lumus memerah tenaga bagi mencapai kejayaan hidup
yang lebih sejahtera  dan  cemerlang.    Firman  Allah  yang
bermaksud:    "Sekiranya  kamu  bersyukur  nescaya kami akan
tambahkan rezeki kamu berlipat ganda".
16.  Saya amat gembira kerana sejak akhir-akhir  ini  banyak
kursus  dan  latihan pra perkahwinan telah diadakan sama ada
dianjurkan  oleh  Kerajaan  atau  pihak  swasta.    Kerajaan
menghargai  sumbangan pihak swasta dan orang perseorangan ke
arah mewujudkan rumahtangga yang  sempurna.    Kita  percaya
kursus  atau  seminar  yang  dianjurkan itu sedikit sebanyak
mendatangkan faedah kepada bakal-bakal  suami  atau  isteri.
Saya  harap  tidak ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan
ini  dengan  menjadikan  kursus  perkahwinan  sebagai  suatu
"bisnes".
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.  Masalah-masalah  sosial  yang  berlaku dalam masyarakat
hari ini adalah berpunca  dari  kurang  didikan  dan  asuhan
agama.      Kita  sering  mendengar  kes-kes  penderaan  dan
penganiayaan terhadap kanak-kanak yang tidak  berdosa.    Di
manakah  letaknya  isi hati dan perasaan kemanusiaan mereka,
sehingga  sanggup  melakukan  perbuatan  terkutuk  tersebut.
Selain  daripada itu perlu diingat bahawa penderaan terbesar
yang dilakukan terhadap anak-anak  bukan  sekadar  penderaan
fizikal,  tetapi tidak memberi didikan agama yang sewajarnya
kepada mereka juga tergolong dalam kategori penderaan.
18.  Saya  menaruh  harapan  penuh  kepada  barisan   pemuda
harapan  bangsa  supaya matlamat Wawasan 2020 menjadi agenda
utama dalam perjuangan mereka.  Pergerakan belia dan  pemuda
di  semua  peringkat  sepatutnya merancang berbagai aktiviti
dan  program  bagi  mencapai  matlamat  tersebut.     Mereka
sepatutnya  menjadi  jurucakap Kerajaan dalam mempertahankan
wawasan  tersebut  sekiranya  ada  pihak-pihak   yang   cuba
menggagalkannya.
19.  Saya   menyeru  kepada  semua  pihak  supaya  memainkan
peranan masing-masing ke arah mewujudkan  keluarga  bahagia,
kerana  keluarga  merupakan unit terpenting dalam masyarakat
yang boleh menentukan arah dan arus  pembangunan  masyarakat
berkenaan.    Sama ada kita berjaya menjadi negara maju atau
tidak banyak bergantung kepada kualiti keluarga Malaysia.
20.  Begitu juga saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru
semua  Kerajaan  Negeri  supaya  mengambil  inisiatif  untuk
melaksanakan program Rumahku Syurgaku di peringkat negeri.
21.  Saya  berdoa  ke  hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala agar
usaha murni ini diberkati dan mencapai objektifnya.   Dengan
lafaz   "Bismillahirahmanirahim"   saya  dengan  sukacitanya
melancarkan program Rumahku Syurgaku.
Wassalamualaikum Warahmatullah wabarakatuh.

 
 



 
Google