home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : LOT 10, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 10/07/92 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMERAN "BELIA DALAM PEMBINAAN NEGARA" Saya mengucapkan terima kasih kepada Pemuda MCA kerana menjemput saya untuk merasmikan Pameran "Belia Dalam Pembinaan Negara" hari ini. 2. Pameran ini adalah wajar memandangkan kaum belia turut memainkan peranan penting dalam pembinaan negara. Melalui pameran seperti ini orang ramai, khasnya belia dapat mengetahui dengan lebih mendalam dan dekat sumbangan, peranan dan kegiatan-kegiatan belia dalam pembangunan negara. Fungsi mereka sebagai belia pembina negara atau penggerak kemajuan akan dapat dilihat dengan jelas melalui pameran ini. 3. Belia merupakan golongan yang paling aktif dalam masyarakat dan bilangan mereka adalah hampir separuh daripada jumlah penduduk negara kita. Sejak kemerdekaan, belia negara kita telah turut sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara. Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan. 4. Belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Oleh itu usaha-usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka. Ini amat perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh oleh para belia adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan satu persiapan atau persediaan diri yang hebat. Negara kita sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan kemajuan negara. 5. Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan adalah agak sukar bagi belia untuk mengharungi kesulitan kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negara. Ini boleh menjejaskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan yang hendak dicapai selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. 6. Sebagai langkah pertama ke arah persediaan itu, sikap lama para belia harus ditukar atau disesuaikan mengikut keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata- mata kepada orang lain seperti Kerajaan untuk mendapatkan sesuatu. Para belia harus mempunyai sikap berdikari dalam segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan. Pendekata sikap-sikap yang negatif seperti takut menghadapi risiko, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis dan dibuangkan. 7. Langkah kedua ialah meningkatkan ilmu pengetahuan para belia. Di era letupan informasi sekarang ini para belia tidak dapat tidak harus mengikuti pelbagai perkembangan maklumat dan ilmu yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Kemajuan pesat yang berlaku dalam berbagai-bagai bidang seperti industri pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan moden, komputer, komunikasi, pengangkutan, seni bina dan sains dan teknologi, tidaklah boleh dipandang sepi oleh para belia. Ilmu-ilmu dalam pelbagai bidang ini harus dicari dan dipelajari oleh belia- belia negara. Golongan belia harus sedar tanpa ilmu yang tinggi mereka tidak akan dapat ke mana atau membawa negara ke mercu kejayaan pada masa depan. 8. Para belia juga perlu menambahkan kemahiran mereka. Kemahiran atau kepakaran ini mesti dimiliki oleh golongan belia di segenap lapangan usaha dan kegiatan. Tanpa kemahiran ini belia-belia kita tidak akan dapat menjalankan atau mengendalikan apa-apa tugas yang memerlukan kecekapan, kepandaian dan kepakaran mereka. 9. Kesemua langkah-langkah ini boleh dicapai melalui teknik-teknik atau cara-cara latihan dan pembelajaran seperti latihan sambil bekerja, lawatan sambil belajar, kursus dan bengkel, ceramah, seminar, 'apprenticeship' dan sebagainya. Inilah peranan yang harus dan boleh dimainkan oleh persatuan-persatuan belia dalam melengkapkan anggota- anggota mereka untuk menjadi penggerak negara. 10. Jelas sekali belia negara generasi kini akan menentukan halacara pembangunan dan corak kepimpinan negara masa akan datang. Di samping ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran yang diperlukan, golongan belia harus juga mempunyai sikap dan nilai yang positif seperti toleran, sanggup bertolak ansur, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara. Nilai-nilai ini boleh disemai dan diterapkan kepada belia oleh persatuan-persatuan mereka melalui program-program membina diri dan semangat. 11. Suatu gejala yang tidak sihat yang kini melanda para belia negara kita ialah sikap suka mengagung-agungkan budaya dan nilai hidup secara barat. Sebagai negara yang sedang membangun, kita banyak mempelajari dan menyerapkan nilai- nilai barat yang positif ke dalam kehidupan kita. Tetapi malangnya ramai belia negara kita sekarang suka menerima apa sahaja dari barat, tanpa mengira sama ada nilai-nilai itu baik ataupun boleh memberi kesan buruk kepada kita. Perkara-perkara seperti budaya 'rock', berambut panjang dan memakai subang telinga bagi lelaki, penagihan dadah dan kegiatan tidak bermoral telah meningkat dan menjadi amalan sesetengah belia kita. Belia-belia seperti ini tidak akan menolong menjayakan generasi baru yang bakal memimpin negara. Nilai-nilai hidup belia yang kurang sihat ini hendaklah dibanteras supaya ia tidak akan menggugat keutuhan warisan budaya kita. Wawasan 2020 bertujuan melahirkan satu masyarakat yang bermoral, beretika dan bebas daripada sebarang pengaruh seperti kehidupan yang terlalu bebas sehingga apa sahaja sanggup dibuat tanpa mengambilkira kesan baik atau buruk. 12. Kerajaan sentiasa memberi galakan kepada belia-belia untuk bergerak cergas dalam persatuan-persatuan belia. Adalah diharapkan melalui pameran ini kesedaran belia negara, terutama belia Cina dapat ditingkatkan supaya lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti belia peringkat kebangsaan dan yang melibatkan belia pelbagai kaum. 13. Interaksi antara belia berbilang kaum adalah sangat penting dalam usaha kita melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ke arah pencapaian matlamat ini adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengurangkan persatuan- persatuan belia yang berasaskan atau beridentitikan kaum. Budaya kaum termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana kita merapatkan hubungan antara kaum. Jika semasa muda belia diasingkan kerana kaum maka sudah tentu perpaduan kaum bagi orang dewasa tidak akan tercapai. Salah satu matlamat Wawasan 2020 ialah untuk melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang bersatu padu. Inilah peranan yang harus dimainkan oleh para pemimpin belia tidak kira pemimpin dari persatuan politik, sosial, budaya dan ekonomi. 14. Kita harus sentiasa sedar dan menginsafi bahawa matlamat akhir negara ialah untuk mencapai kestabilan politik, perpaduan kaum dan keamanan hidup rakyat yang berkekalan. Ini adalah asas yang paling penting yang diperlukan untuk membawa negara memasuki era pembangunan yang maju dalam tempoh 30 tahun ini. Kita mahu menjelang tempoh itu masyarakat dan negara kita akan menjadi lebih maju, matang, progresif, berteknologi tinggi dan saintifik serta dihormati dan disanjung oleh negara-negara lain. 15. Saya berharap Pameran ini akan dapat memberi semangat kepada golongan belia khasnya dan masyarakat umum amnya untuk membina satu masyarakat yang maju, gemilang dan berjaya. 16. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran "Belia Dalam Pembinaan Negara". |