home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : WISMA MCA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 15/08/92 Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN MCA Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA kerana terus berpegang kepada semangat Barisan Nasional dengan sekali lagi menjemput saya sebagai Pengerusinya untuk berucap dan merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini. Perhimpunan yang diadakan setiap tahun ini adalah penting kerana di samping membolehkan pemimpin-pemimpin parti bertemu muka dengan para wakil, ianya juga memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin parti daripada semua lapisan membincangkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan kepentingan tempatan, parti dan negara. 2. Saya merasa gembira kerana hubungan dan kerjasama antara parti-parti komponen Barisan Nasional amatlah baik. Di kalangan pemimpinnya terdapat persefahaman yang tinggi dan perasaan yang mendalam bahawa kita semua adalah satu keluarga. Persefahaman yang tinggi ini perlu diperluaskan juga kepada ahli-ahli biasa parti-parti komponen kerana ia boleh mengukuhkan lagi Barisan Nasional serta terus membantu menstabilkan politik negara. Saya percaya kerjasama dan hubungan rapat antara anggota parti-parti komponen Barisan Nasional tetap akan membantu kita menghadapi cabaran-cabaran akan datang, terutama sekali dalam usaha kita mencapai matlamat Wawasan 2020. 3. Hasil daripada corak kerjasama dan cara pemerintahan Barisan Nasional, negara kita kini berada di tahap kestabilan dan pembangunan yang amat membanggakan. Dalam keadaan kestabilan ini kadar pertumbuhan ekonomi kita terus meningkat dan membolehkan Kerajaan menumpukan usaha ke arah meninggikan taraf hidup rakyat. Pada hari ini tiada siapa boleh menafikan bahawa taraf hidup kita adalah lebih tinggi dan jauh lebih baik daripada kebanyakan negara membangun. Kemakmuran yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia pada hari ini ialah kerana ekonomi negara masih pesat berkembang walaupun kebanyakan negara di dunia, yang maju dan yang membangun, mengalami pertumbuhan yang lembab. 4. Lebih penting ialah kekayaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional telah dapat diagih-agihkan dengan adil dan saksama. Bagi masyarakat Cina peluang untuk berniaga dan menjalankan kegiatan-kegiatan ekonomi yang lain adalah terbuka luas bagi mereka yang sanggup berusaha dengan gigih. Mungkin ini jugalah sebabnya masyarakat perniagaan pada hari ini tidak berapa "bising" terhadap Kerajaan kerana wujudnya banyak peluang perniagaan. Hakikat bahawa ekonomi kita sedang mengalami pertumbuhan yang menggalakkan dapat dilihat dengan kejayaan MCA memungut derma berjuta-juta ringgit untuk Kolej Tunku Abdul Rahman dalam masa yang singkat. Dalam keadaan ekonomi yang maju rakyat biasanya lebih bermurah hati. 5. Kejayaan kita membangunkan ekonomi negara adalah kerana wujudnya kerjasama dan perpaduan yang semakin erat di kalangan semua kaum di semua peringkat. Justeru itu, bagi menjamin pembangunan ekonomi yang pesat ini berterusan amatlah penting kita sentiasa berusaha meningkatkan lagi kerjasama dan mengukuhkan perpaduan di kalangan kita semua. Sungguhpun rakyat berbilang kaum di negara ini hidup aman damai dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain, kita sentiasa perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap pihak-pihak tertentu, terutama parti-parti lawan yang ingin melihat kita berpecah belah. Kita tidak boleh bersaing atau compete dengan mereka yang ekstrim daripada segi perkauman atau menyalahgunakan agama. Kita lihat bagaimana DAP begitu menentang apabila orang Cina memeluk agama Islam tetapi tidak mengambil kisah tentang penukaran agama orang Cina kepada agama Kristian, umpamanya. Tentangan terhadap perkara ini adalah sebahagian daripada sikap pemimpin- pemimpin DAP yang tidak suka kepada agama Islam dan orang Melayu. Parti-parti bukan Melayu dalam BN tidak harus berlumba dengan DAP dalam hal ini. Tidak ada paksaan dalam Islam. Islam tidak menyuruh sesiapa memeluk agama Islam melalui paksaan atau penipuan. Mereka harus menerima Islam secara rela hati. Jika mereka ditipu atau dipaksa, mereka sebenarnya bukan Islam dan pengembalian mereka ke pangkuan agama asal adalah masalah peribadi mereka. Justeru itu, tidak ada sebab mengapa kita harus terperangkap dengan perkara yang sengaja diada-adakan oleh DAP. Demikian juga dengan hukum hudud yang digunakan oleh PAS untuk cuba memerangkap UMNO. "Hukum hudud" PAS dan hukum hudud Islam bukanlah perkara yang sama. UMNO tetap tidak akan menyokong hukum "hudud PAS". 6. Perpaduan yang wujud di negara kita adalah, antara lain, berasaskan kepada pembangunan yang memastikan bahawa nikmat kekayaan yang diperolehi oleh setiap kaum adalah adil dan saksama. Pengalaman di negara ini jelas menunjukkan bahawa adalah tidak mustahil bagi kita mencapai pembangunan pesat semasa melaksanakan pengagihan kekayaan yang saksama. Kerajaan tidak menghalang masyarakat Cina memajukan perniagaan atau menyekat mereka daripada mendapat pendidikan. Tetapi mereka sendiri hendaklah sedar akan pentingnya mengambilkira pembahagian hasil ekonomi negara secara samarata antara kaum. Dalam hal ini mereka harus menerima penyertaan kaum bukan Cina secara berkesan dan aktif dalam perniagaan mereka. 7. Prinsip berkongsi ini merupakan asas penting kepada jalinan dan ikatan yang kuat di kalangan parti-parti komponen BN. Dalam hal ini perlu ditekankan bahawa kestabilan politik serta keharmonian kaum mempunyai hubungan rapat dengan pembangunan ekonomi dan sosial negara. Oleh itu, kaum Cina tidak harus teragak-agak memberi sokongan mereka kepada Kerajaan Barisan Nasional. Pengalaman di masa-masa yang lalu menunjukkan bahawa sekiranya kaum Cina bersatu dan menyokong Barisan Nasional, maka kita akan dapat mencapai cita-cita membangunkan negara dengan lebih cepat. Agihan kekayaan kepada kaum-kaum secara saksama dalam ekonomi yang maju tidak akan mengurangkan jumlah hasil yang didapati oleh tiap-tiap kaum. Oleh yang demikian, sokongan kepada Barisan Nasional tetap akan menjadikan masa depan masyarakat Cina lebih cerah lagi. 8. Kerjasama antara parti-parti komponen Barisan Nasional adalah kritikal untuk menentukan kejayaan negara di masa- masa akan datang. Tidak ada golongan atau coalition parti di dunia yang lebih berjaya daripada Barisan Nasional yang sekarang berusia 37 tahun. Justeru itu, janganlah kita musnahkan keistimewaan ini yang menjadi ciri penting Barisan Nasional. Janganlah kita take for granted prinsip kerjasama yang telah kita usahakan selama ini. Sebaliknya kita patut menyuburkan lagi kerjasama dan persefahaman ini. 9. Jika kita melihat ke belakang kita akan dapati program- program pembangunan negara telah memberi manfaat kepada semua kaum, seperti Cina, India dan Bumiputera. Kita dapati kesan pembangunan adalah positif dan kini jumlah golongan termiskin semua kaum telah menurun. Mutu kesihatan rakyat kian meningkat dan perkara-perkara seperti kadar kematian bayi dan kadar kematian ibu menunjukkan aliran menurun. Apa yang jelas dan patut disedari oleh semua ialah pelaksanaan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional bukanlah memberi manfaat kepada Bumiputera semata- mata, tetapi telah memanfaatkan keseluruhan rakyat Malaysia. Kemewahan dan nikmat ini tidak mungkin tercapai oleh "coali- tion" tiruan yang lain. 10. Sungguhpun kita telah berjaya dalam bidang pembangunan di mana MCA juga turut menyumbang, kita mestilah berwaspada dan berhati-hati dengan taktik dan telatah parti-parti pembangkang seperti DAP. Mereka ini sememangnya ingin melihat kita berpecah belah dan keliru. Parti-parti pembangkang lebih suka jika masyarakat Cina mengasingkan diri dan tidak bekerjasama dengan kaum-kaum lain. Oleh itu DAP sanggup membuat apa sahaja untuk menjejaskan kerjasama di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional dan menggunakan apa sahaja isu untuk tujuan ini. Justeru itu, masyarakat Cina di Malaysia mestilah sentiasa berhati-hati dan tidak terikut-ikut ataupun mudah dipengaruhi oleh hasutan-hasutan DAP. 11. Saya percaya masyarakat Cina akan terus menyokong MCA. MCA pada hari ini bukan sahaja lebih kukuh tetapi telah berjaya menjaga kepentingan masyarakat Cina dalam konteks masyarakat berbilang kaum. Sokongan ini terbukti dengan kejayaan MCA menggembleng bantuan kewangan masyarakat Cina terhadap Kolej Tunku Abdul Rahman. Saya belum menyaksikan sebelum ini betapa masyarakat Cina tampil ke hadapan untuk menyahut seruan MCA membantunya menjayakan sesuatu projek. Sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina menunjukkan bahawa MCA kini adalah lebih diterima oleh kaum Cina. Sebaliknya pungutan wang oleh parti lawan untuk tujuan memburuk-burukkan negara di kalangan orang asing tidak mendapat sambutan. 12. Kita semua mengetahui bahawa DAP tidak jujur dan sanggup berbuat apa jua demi mencapai objektifnya. DAP sanggup menerima PAS dan Semangat 46 sebagai rakan sungguhpun prinsip-prinsip mereka bertentangan dengan prinsip-prinsip parti PAS dan Semangat 46. DAP sanggup berbuat demikian kerana ia opportunistic dalam perjuangannya dan lebih sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan sendiri. Sentimen orang Cina adalah alat DAP. Mereka tidak menghiraukan kesan-kesan yang boleh timbul daripada tindakan membakar hati orang Cina. 13. Sebenarnya parti MCA yang lebih mampu menyatupadukan kaum Cina di negara ini. Justeru itu sepertimana yang saya katakan tadi, saya percaya kaum Cina akan terus memberi sokongan kepada MCA yang merupakan salah satu rakan penting Barisan Nasional. Hanya parti Barisan Nasional sahaja yang boleh memberi kestabilan dan kemakmuran serta menentukan kekayaan negara diagih-agihkan secara adil dan saksama kepada semua kaum, termasuk kaum Cina. Hanya Kerajaan Barisan Nasional sahaja yang dapat memahami aspirasi dan keperluan semua kaum. Yang penting disedari ialah kestabilan politik di bawah Barisan Nasional adalah satu kejayaan yang istimewa dan kita semua perlu mengekalkannya. 14. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA kerana menjemput saya ke Perhimpunan ini. Saya percaya banyak perkara yang akan dibincangkan oleh para perwakilan MCA. Negara kita mengamalkan demokrasi dan oleh itu kita bebas membincangkan apa jua perkara atau isu. Kebebasan memerlukan sikap bertanggungjawab atau a sense of responsibility jika kita ingin terus bebas. Oleh itu sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan kebudayaan, kita hendaklah sentiasa memperhitungkan sensitiviti kaum lain serta mengambilkira kepentingan negara dalam membincangkan sesuatu. Hanya dengan cara ini sahajalah dapat kita mengelakkan persengketaan dan perpecahan yang boleh memusnahkan segala-gala yang telah kita capai. 15. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MCA bagi tahun 1992. |