home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	10/11/92 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA HARI KELUARGA 
			KEBANGSAAN 1992 




 Assalamualaikum dan salam sejahtera.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama menyambut Hari
Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.
2.   Sebagai  rakyat  Malaysia,  kita  seharusnya  berbangga
kerana  berpeluang merayakan satu hari yang khusus ditujukan
kepada semua ahli  keluarga.    Kita  juga  harus  berbangga
kerana  pengiktirafan  kepada keluarga ini jelas membuktikan
bahawa di samping menikmati  kemajuan  ekonomi  yang  pesat,
kita tidak lupa kepada aspek-aspek sosial, terutamanya nilai
dan budaya hidup berkeluarga.
3.   Sistem  keluarga  sebagai institusi dan asas masyarakat
perlu  dikekal  dan  diperkukuhkan  kerana  keluarga   ialah
penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara.  Kekuatan
dan   keutuhan   sesuatu  keluarga  dapat  mempengaruhi  dan
menjamin  kestabilan  sesuatu  masyarakat.    Lantaran  itu,
segala  perubahan dan perkembangan yang berlaku di peringkat
keluarga  sudah  pasti  akan  memberi  kesan  di   peringkat
masyarakat dan negara.
4.   Institusi  keluarga juga merupakan asas yang amat pent-
ing kepada pembentukan masyarakat sesebuah negara kerana  ia
berfungsi  dan  memainkan  peranan  utama  untuk melahir dan
mewujudkan generasi yang bakal menentukan nasib  bangsa  dan
tanahairnya.    Sesebuah  keluarga,  terutamanya  ibu  bapa,
adalah pencorak kehidupan anak-anak sama  ada  akan  menjadi
manusia  yang  berguna atau sebaliknya.   Ini adalah selaras
dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang  bermaksud  setiap  anak
itu  dilahirkan  dengan  fitrah  dan  ibu  bapanya yang akan
menjadikan ia baik, tidak baik ataupun cemerlang.
5.   Perangkaan  1990  menunjukkan  kira-kira   38   peratus
daripada   jumlah   penduduk  negara  ini  terdiri  daripada
golongan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.  Peratusan  ini
jelas  menunjukkan  bahawa golongan ini merupakan sebilangan
besar daripada penduduk Malaysia yang  berjumlah  hampir  18
juta.
6.   Ini  bermakna negara kita mempunyai penduduk yang masih
muda dan mereka ini merupakan potensi serta aset besar  yang
perlu   dipupuk   dan   dibangunkan  dengan  sistematis  dan
terancang kerana mereka boleh menyumbang  ke  arah  kemajuan
dan kegemilangan negara di masa hadapan.
7.   Sehubungan  dengan itu, ibu bapa sebagai pembimbing dan
pendidik utama haruslah sentiasa peka dan prihatin  terhadap
cabaran  dan  harapan dalam membentuk anak-anak supaya dapat
mencapai tahap kecemerlangan yang diidamkan.    Peranan  ibu
bapa  mendidik  anak-anak  bukan sahaja sekadar meningkatkan
kecemerlangan  tetapi  juga  yang   lebih   penting   adalah
pembangunan anak secara menyeluruh agar ia berupaya membesar
menjadi  seorang  yang  berkebolehan,  berperibadi mulia dan
hidup sebagai insan kamil.
8.   Masyarakat masakini  sering  menghadapi  berbagai-bagai
cabaran  dalam  membentuk  sebuah  keluarga  yang  aman  dan
harmoni.  Perubahan budaya hidup yang pesat dan pengaruh me-
dia  massa  serta  persekitaran  luaran,  sedikit  sebanyak,
memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan keluarga.
9.   Di  sini  saya ingin menekankan tentang pentingnya kita
mengkaji peranan institusi keluarga yang akan membawa negara
ini kepada satu tahap kemajuan  yang  mencabar.    Sekiranya
kita mengamati pengalaman negara-negara yang telah membangun
atau   apa   yang   dikenali  sebagai  negara  maju,  proses
transformasi  struktur  ekonomi   sering   diiringi   dengan
perwujudan   ciri-ciri   individualisma  yang  kurang  sihat
seperti   sikap   egoistik,   mementingkan   diri   sendiri,
membelakangkan keluarga dan masyarakat, dan sifat tidak peka
kepada keadaan sekeliling.  Dengan ini institusi perkahwinan
dan keluarga juga runtuh dan didikan awalan tidak lagi dapat
diadakan bagi kanak-kanak.
10.  Justeru  itu,  bagi mengatasi gejala-gejala negatif ini
usaha-usaha perlu dilakukan  untuk  melengkapkan  masyarakat
kita   meningkatkan   ilmu   pengetahuan,   kemahiran  serta
kebolehan  mereka  mewujudkan  ahli  keluarga  yang   sihat,
berkualiti  dan  produktif.    Dalam  hubungan ini, ibu bapa
sebagai pendidik utama anak-anak  perlu  mempelajari  kaedah
bagi  menangani  situasi  dan  masalah-masalah yang dihadapi
oleh  anak-anak.    Strategi  komunikasi  yang   menjalinkan
hubungan  yang rapat dengan anak-anak, di samping menumpukan
penekanan ke atas cara-cara perubahan tingkah laku, perlulah
dipelajari,   dihayati   dan   dipraktikkan   dengan   penuh
kesungguhan.
11.  Apabila segala masalah tersebut dapat diatasi, ibu bapa
bolehlah   memberi   tumpuan   khusus   ke   arah  membentuk
keperibadian, perwatakan serta daya intelek anak-anak.    Di
dalam  usaha  kita  mengejar  kemajuan,  kita mahukan rakyat
Malaysia  yang  bertanggungjawab,  bertimbang  rasa,   taat,
sopan, berdaya tahan, matang dan penyayang.  Kualiti-kualiti
unggul   inilah  yang  boleh  membawa  kecemerlangan  kepada
generasi akan datang.
12.  Mewujudkan satu masyarakat cemerlang  merupakan  impian
kita  bersama.  Hasrat tersebut merupakan salah satu cabaran
yang terkandung dalam Wawasan 2020 di mana  kita  menekankan
cabaran  untuk  mewujudkan  sebuah  masyarakat Malaysia yang
maju,  mempunyai  keyakinan  pada  diri  sendiri,  berbangga
dengan  apa  yang telah dicapai serta gigih menghadapi semua
cabaran.   Masyarakat  sedemikian  rupa  mestilah  mempunyai
ciri-ciri kecemerlangan yang disanjung oleh dunia.
13.  Dengan itu tema Perayaan Hari Keluarga Kebangsaan tahun
ini  iaitu  "Anak  Cemerlang Negara Gemilang" adalah sesuai.
Aspek-aspek  pembentukan  keluarga  khususnya  di  peringkat
kanak-kanak,  ciri-ciri  penyayang dan bertimbang rasa mesti
dipupuk di peringkat awal.
14.  Sempena Perayaan Hari Keluarga  Kebangsaan  pada  tahun
ini,  saya  berharap  setiap ibu bapa mengambil berat kepada
pembangunan anak-anak mereka daripada segi  emosi,  fizikal,
rohaniah,  mental  dan  sosial  agar mereka kelak akan dapat
menyumbang kepada kesejahteraan dan kecemerlangan  keluarga,
masyarakat dan negara.
15.  Semoga  usaha-usaha murni ini diberkati Allah Subhanahu
wa  Ta'ala  dan  akan  sentiasa  diteruskan  serta  mendapat
sokongan daripada semua pihak.
     Terima kasih.
                       
 
 



 
Google