home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	08/12/92 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN 
			YANG TERUTAMA KHAMTAY SIPHANDONE 
			PERDANA MENTERI REPUBLIK 
			DEMOKRATIK RAKYAT LAOS 



 
    Saya   bersama-sama   isteri  saya  dengan  sukacitanya
mengalu-alukan  kedatangan  Tuan  Yang  Terutama  dan   Puan
Siphandone  serta  ahli  rombongan ke Malaysia.  Kami berasa
bangga pada  malam  ini  kerana  dapat  meraikan  Tuan  Yang
Terutama dalam kunjungan yang pertama ke Malaysia.
2.   Sungguhpun  Malaysia  dan  Laos adalah dua negara jiran
dan telah mengadakan hubungan diplomatik semenjak tahun 1966
namun  hubungan  dua  hala  antara  kedua-dua  negara  hanya
berkembang   semenjak   beberapa   tahun  kebelakangan  ini.
Kunjungan Tuan Yang Terutama kali ini melambangkan permulaan
satu  era  baru  dalam  hubungan  antara  kedua-dua  negara.
Dengan  adanya  hasrat  dan  tekad  bersama untuk menegakkan
kemerdekaan,  keamanan  dan  kestabilan,  kita  akan   dapat
meningkatkan  persefahaman  dan  kerjasama antara rakyat dan
memperkukuhkan  lagi  hubungan  antara   kedua-dua   negara.
Meskipun  lawatan  Tuan  Yang Terutama adalah singkat, namun
ianya memberi peluang untuk kita berdua berkenal-kenalan dan
memupuk hubungan kerja yang baik.
3.   Pada  petang  tadi  kita  telah   berkesempatan   untuk
bertukar-tukar  fikiran  berkenaan pelbagai perkara hubungan
dua hala, isu-isu serantau dan antarabangsa.    Perbincangan
itu  sungguh  bermanfaat.   Saya sesungguhnya percaya bahawa
memang ada skop untuk memantap dan mengeratkan lagi hubungan
antara  Malaysia  dan  Laos.    Peluang  dan  potensi  untuk
meningkatkan   kerjasama   antara   kedua-dua  negara  dalam
pelbagai   bidang   seperti   perdagangan,   pelaburan   dan
kebudayaan  adalah luas.  Usaha ini boleh kita pertingkatkan
dari sekarang.
4.   Dalam beberapa bulan yang lalu Malaysia dan Laos  telah
mencapai  kemajuan  dalam hubungan dua hala.  Kedua-dua buah
negara  telah  menaikkan  taraf  perwakilan  diplomatik   ke
peringkat  Duta  Besar dan melantik Duta Besar masing-masing
bermastautin di kedua-dua ibu negara.
5.   Ini dengan sendirinya mencerminkan keazaman kita  untuk
bersama-sama  menjalin hubungan yang lebih rapat lagi.  Saya
berasa gembira mendapati lebih ramai  rakyat  Malaysia  kini
melawat  Laos.    Sebahagian  daripada  mereka  begitu aktif
mencari peluang perniagaan dan  pelaburan  di  sana.    Saya
berharap rakyat Laos juga akan membuka langkah yang sama dan
datang  melawat Malaysia untuk meneliti peluang-peluang yang
ada di sini.  Kedua-dua negara patut menggalakkan perjalinan
hubungan yang lebih rapat di peringkat rakyat jelata.
6.   Pada hari ini Malaysia dan  Laos  telah  menandatangani
tiga   perjanjian   iaitu   Perjanjian  Perkhidmatan  Udara,
Perjanjian Perlindungan Pelaburan dan  Perjanjian  Kerjasama
Ekonomi, Saintifik dan Teknikal.  Ini akan menjadi asas yang
baik  bagi  meningkatkan  kerjasama yang merangkumi pelbagai
bidang di masa hadapan.  Saya berharap perjanjian-perjanjian
ini akan menjadi penggerak kepada hubungan kerjasama ekonomi
yang baik antara Malaysia dan Laos.
7.   Malaysia   telah   mengikuti   dengan    penuh    minat
perkembangan-perkembangan  positif  yang  berlaku  di  Laos.
Pelaksanaan dasar  yang  memberi  penekanan  kepada  ekonomi
pasaran  bebas  pada  mulanya  mungkin  menimbulkan beberapa
kerumitan.  Walau bagaimanapun, saya yakin Laos akan berjaya
mengatasi masalah-masalah yang timbul dan mencapai  objektif
yang   dicita-citakan.    Saya  difahamkan  bahawa  beberapa
kejayaan   telahpun   dicapai   semenjak    Kerajaan    Laos
melaksanakan  polisi  ini.    Malaysia  pula  sebagai sebuah
negara jiran sentiasa bersedia  bekerjasama  dan  berganding
bahu  dengan  Laos  dalam  bidang-bidang  di  mana  Malaysia
mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemampuan selaras dengan
komitmen kami terhadap usaha-usaha meluaskan lagi  kerjasama
Selatan-Selatan.
8.   Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia sebenarnya tepat
pada   masanya.    Negara-negara  di  Asia  Tenggara  secara
individu  ataupun  secara  bersama   sedang   dalam   proses
menangani  perubahan-perubahan  yang sedang berlaku di arena
politik dan ekonomi antarabangsa.  Justeru itu persefahaman,
semangat setiakawan, pengukuhan persahabatan  dan  kerjasama
di  rantau  ini  perlu  digalak dan ditingkatkan lagi.  Kita
mesti sanggup menyelesaikan sebarang masalah secara aman dan
mengelakkan diri kita daripada  mengambil  tindakan-tindakan
yang  boleh  membawa  akibat buruk kepada keamanan di rantau
ini.  Sekarang adalah peluang yang sesuai bagi negara-negara
di Asia Tenggara berusaha secara bersama untuk membangun dan
menikmati kesejahteraan dalam suasana aman dan  stabil  yang
berkekalan.
9.   Proses   perdamaian  di  Kemboja  berikutan  Perjanjian
Perdamaian Paris, kini menghadapi beberapa  cabaran.    Saya
percaya  Laos  sebagai  sebuah negara jiran yang bersempadan
dengan Kemboja sangat berharap  agar  proses  perdamaian  di
negara  itu  akan  berjalan lancar dan mencapai objektifnya.
Kami di Malaysia mendukung harapan yang sama.    Saya  ingin
mengingat  kembali  kerjasama rapat antara Laos dan Malaysia
bersama-sama dengan puak-puak yang berkenaan di Kemboja  dan
negara-negara  lain  yang  terlibat dalam usaha menghasilkan
Perjanjian Perdamaian Paris berkenaan  Kemboja.    Kedua-dua
negara  kita  telah  memberi  sumbangan  yang  agak  bererti
sebagai Pengerusi Bersama  Jawatankuasa  Kedua,  Persidangan
Antarabangsa   berkenaan  Kemboja  di  Paris.    Kita  mesti
mengakui bahawa kemajuan yang dicapai bagi memenuhi objektif
Perjanjian Paris setakat ini tidak berjalan  lancar.    Oleh
itu penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan di Kemboja
hanya  boleh dicapai sekiranya semua puak di Kemboja memberi
kerjasama sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Peralihan PBB  di
Kemboja  (UNTAC)  dalam  melaksanakan  mandat  mereka  serta
menghormati keputusan yang dibuat  oleh  Majlis  Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
10.  Di   atas   semangat   kejiranan   dan  demi  keamanan,
kestabilan dan penyatuan serantau,  Malaysia  mengalu-alukan
keputusan  Laos  menandatangani  Perjanjian Persahabatan dan
Kerjasama di Asia  Tenggara.    Kami  juga  menyokong  penuh
keputusan  ASEAN  memberi status pemerhati kepada Laos dalam
mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.   Kami  berharap  Laos
akan  dapat  menjadi  anggota  ASEAN satu hari nanti.   Kami
berpendirian Laos dan negara-negara lain  di  Asia  Tenggara
patut  diberi  peluang  menikmati  kemajuan yang pesat mulai
dari sekarang.   Ini akan membuka ruang  kepada  rantau  ini
menjadi  kawasan  pertumbuhan  yang  lebih dinamik lagi yang
dapat memainkan peranan yang berkesan dalam  sistem  ekonomi
dan dagangan dunia.
11.  Kami mengalu-alukan perkembangan positif di dalam arena
politik  antarabangsa.    Tetapi  kami juga bimbang terhadap
kemunculan corak baru kerjasama  serantau  dan  antarabangsa
yang  lebih cenderung ke arah pewujudan sekatan dan kumpulan
yang eksklusif.  Kita khuatir akan peraturan-peraturan  baru
yang    diperkenalkan   yang   mungkin   akan   membantutkan
pertumbuhan negara-negara membangun.    Dalam  keadaan  ini,
saya percaya kerjasama yang lebih rapat antara negara-negara
membangun  adalah  sangat perlu.  Persidangan G-15 baru-baru
ini,  di  mana  Malaysia  telah  mengambil  bahagian,  telah
mengenalpasti  bidang-bidang  kerjasama yang lebih luas yang
boleh dijalankan oleh negara-negara Selatan.
12.  Prospek mengembangkan kerjasama di  rantau  Asia  Timur
bagi  mengukuhkan  lagi ekonomi serantau yang dinamik adalah
sangat baik.  Justeru itu, cadangan Perundingan Ekonomi Asia
Timur atau 'East Asia Economic Caucus' (EAEC)  akan  memberi
sumbangan   dan   galakan   yang   bermakna   kepada  sistem
perdagangan dunia yang bebas dan  terbuka.    Inisiatif  ini
akan mengukuhkan lagi pendekatan yang menyeluruh di kalangan
negara-negara  Asia  Timur  dalam menghadapi isu-isu penting
yang melibatkan semua negara di  rantau  ini.    Saya  ingin
menegaskan   sekali   lagi   bahawa  EAEC  adalah  mekanisma
perundingan yang akan memberi peluang  kepada  negara-negara
di rantau Asia Timur berbincang dan menyelaras pandangan dan
pendirian  mereka  mengenai  perkara-perkara  yang berkaitan
dengan perdagangan dan perniagaan antarabangsa yang bebas.
13.  Saya berharap Tuan Yang Terutama akan berasa selesa dan
gembira semasa berada di  Malaysia.    Kami  telah  berusaha
menyediakan  aturcara  yang  diharapkan  akan dapat memenuhi
kehendak Tuan Yang Terutama.   Kami sedar bahawa  Laos  baru
saja   kehilangan  seorang  pemimpin  yang  agung,  Presiden
Kaysone Phomvihane yang meninggal dunia baru-baru ini.  Kami
turut  berdukacita  di  atas  pemergian  beliau   dan   kami
menyanjung  tinggi kesediaan Tuan Yang Terutama dan delegasi
membuat kunjungan ke Malaysia dalam saat-saat ini demi untuk
mengeratkan lagi hubungan dua hala sebagai  memenuhi  hasrat
mendiang Presiden Kaysone.
                          
 
 



 
Google