home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DI HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	11/12/92 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN MUZIUM DAN 
			YAYASAN KEBUDAYAAN IBRAHIM HUSSEIN 



 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih kepada saudara Ibrahim
Hussein kerana menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua
kata  dan  seterusnya   melancarkan   Muzium   dan   Yayasan
Kebudayaan Ibrahim Hussein.
2.   Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara
Ibrahim  Hussein  kerana  inisiatifnya menubuhkan Muzium dan
Yayasannya sendiri.  Penubuhan Muzium dan Yayasan Kebudayaan
Ibrahim  Hussein  di  Pulau  Langkawi  amat   tepat   sekali
memandangkan usaha Kerajaan untuk menjadikan Langkawi sebuah
pusat  pelancongan  yang  terkenal.    Saya  yakin penubuhan
Muzium dan Yayasan ini akan membantu meningkatkan lagi  imej
Langkawi khususnya dan Malaysia amnya.
3.   Saudara  Ibrahim Hussein memang tidak asing dalam dunia
seni lukis dan dalam karier keseniannya telah mencapai  satu
kedudukan  yang  begitu tinggi yang membanggakan kita semua.
Melalui penglibatannya dalam bidang seni lukis beliau  telah
berjaya  menjalin hubungan dan persahabatan yang baik dengan
ahli-ahli seni dan artis antarabangsa.  Interaksi di  antara
ahli-ahli  seni  dan  artis tempatan dan antarabangsa adalah
penting dalam usaha meningkatkan lagi daya dan imej seniman-
seniman kita serta memperkenalkan mereka  kepada  masyarakat
dunia  antarabangsa.    Saya  percaya negara kita akan dapat
menggunakan  hubungan  dan  persahabatan  beliau  itu   bagi
memperkenalkan Malaysia amnya dan Pulau Langkawi khususnya.
4.   Karya  ataupun lukisan hasil artis-artis serta seniman-
seniman kita mempunyai nilai yang tinggi kerana ianya adalah
sebahagian daripada ciptaan yang mencerminkan  budaya  kita.
Ciptaan  seperti ini merupakan satu dimensi budaya kita yang
akan dibawa daripada satu generasi ke  generasi  yang  lain.
Ini adalah warisan tradisi kita yang mencerminkan pencapaian
masyarakat  Malaysia di satu-satu masa.  Justeru itu, budaya
kita  penting  dicorak  dan  dibentuk   supaya   benar-benar
memperlihatkan   identiti   negara   kita   yang   unik  dan
tersendiri.
5.   Dalam konteks  ini  adalah  penting  kita  menggalakkan
individu   dalam   masyarakat   kita  supaya  meningkat  dan
mengembangkan hasil kesenian dan budaya kita.  Individu yang
kreatif di antara artis-artis tempatan harus diberi  peluang
bukan  sahaja  untuk  menghasil  dan  membentuk karya mereka
tetapi lebih penting mereka harus diberi tempat yang  sesuai
supaya  berpeluang  untuk berinteraksi sesama sendiri dan di
kalangan  artis  dan  seniman  di  peringkat   antarabangsa.
Dengan  adanya  muzium  ini  maka  akan  berpeluanglah artis
tempatan yang berbakat berinteraksi dan mencari ilham  dalam
bidang lukisan.
6.   Negara  kita sedang dalam proses menuju ke taraf negara
maju.   Kemajuan negara  yang  kita  mahukan  bukan  setakat
pembangunan   ekonomi   dan   sosial   sahaja,  tetapi  juga
perkembangan budaya yang meliputi antara lain bentuk abstrak
seperti ideologi dan artifak seperti hasil tulisan,  barang-
barang dan lukisan-lukisan.
7.   Justeru  itu,  penubuhan  Muzium dan Yayasan Kebudayaan
Ibrahim Hussein seharusnya  mendapat  sokongan  semua  pihak
memandangkan  ianya  adalah  selaras  dengan  cita-cita kita
untuk menjadi negara maju.   Menjadi maju atau  moden  bukan
bererti  penambahan  bilangan  teknokrat semata-mata, tetapi
bererti juga perwujudan bilangan artis-artis dan pakar-pakar
seni.  Proses perindustrian negara kita akan lebih  bermakna
sekiranya  ia  melibatkan  semua  rakyat,  daripada kalangan
pentadbir sehingga kepada artis yang berbakat dan maju.  Ini
penting dalam menentukan kekayaan seni dan budaya  kita  dan
ini akan menentukan kesinambungan budaya kita bagi generasi-
generasi akan datang.
8.   Saya  difahamkan bahawa melalui Yayasan Ibrahim Hussein
ini sebuah Kompleks Kesenian akan dibina di  Pulau  Langkawi
yang  bukan  sahaja  akan menyimpan dan mempamerkan lukisan-
lukisan,  terutama  karya-karya  Ibrahim  Hussein   sendiri,
tetapi  juga  akan  dijadikan  tempat  pertemuan  bagi  para
seniman kebangsaan dan antarabangsa.   Apabila kompleks  ini
terbina  kelak,  maka  ia  pasti akan juga menjadi satu daya
tarikan pelancongan yang agak luar biasa dan memikat.
9.   Perwujudan  sebuah  yayasan  serta  kompleks   kesenian
seperti  yang  dirancangkan  ini,  adalah kena pada masanya,
iaitu  tatkala  kita  sedang  menuju  ke   arah   masyarakat
perindustrian.    Memang  dalam perjalanan ke arah itu, kita
barangkali terlalu banyak menumpukan perhatian kepada  soal-
soal  ekonomi.  Tetapi mungkin ini akan menjamin bidang seni
tidak diabaikan.
10.  Perkembangan kesenian kita  pada  umumnya  sudah  boleh
dibanggakan.  Contoh yang gemilang dalam lapangan seni lukis
dapat  dilihat  daripada  pencapaian saudara Ibrahim Hussein
sendiri.  Jikalau kita hendak mengambil tempat yang wajar di
dalam  dunia  moden,   maka   kita   patutlah   menggalakkan
perkembangan kesenian yang dinamik dan segar.  Daripada segi
ini,  kita  sudah  mempunyai  bakat-bakat  yang baik.   Yang
diperlukan  ialah  sokongan   yang   tidak   berbelah   bagi
terutamanya daripada pihak swasta.
11.  Dengan  itu  saya  mengalu-alukan  penubuhan Muzium dan
Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein, dan  saya  menyeru  agar
berbagai  pihak  memberikan sokongan kepada beliau.  Saudara
Ibrahim  Hussein  telah  memberikan  khazanah   yang   tidak
ternilai  yang ada pada dirinya, iaitu bakat, pengalaman dan
hubungan  mesra  dengan  seniman  antarabangsa  yang   telah
dipupuknya   berpuluhan   tahun.      Kita   semua  patutlah
menggunakan khazanah diri beliau itu  bagi  kemajuan  bangsa
dan negara kita.
12.  Di  sini  kita diberi kesempatan untuk membina Malaysia
sebagai salah satu pusat  interaksi  kesenian  antarabangsa,
tempat  berkembangnya  daya  kreatif bagi memperlengkapi dan
memperindahkan  lagi  pembinaan  industri  dan   penghidupan
peribadi  kita.  Kita akan dapat lakukan ini di dalam negara
kita  sendiri,   tanpa   begitu   bergantung   lagi   kepada
perkembangan dari luar.
13.  Dengan  itu  saya dengan sukacitanya melancarkan Muzium
dan Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein.

 
 



 
Google