home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KANGAR, PERLIS 
Tarikh/Date 	: 	04/01/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN 
			PERINGKAT KEBANGSAAN KE-35 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Saya  bersyukur  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana  dengan  limpah  kurnia  dan  rahmatNya  dapat   kita
mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi
kali  yang  ke-35  pada  malam  ini.    Majlis ini memainkan
peranan yang penting kerana di samping memperdengarkan ayat-
ayat  suci  al-Quran   serta   tafsirannya,   juga   berjaya
mengumpulkan   umat   Islam  di  negara  ini  dalam  suasana
keagamaan  dan  persaudaraan  yang  dapat  merapatkan   lagi
barisan ummah.
2.   Umat  Islam  di  Malaysia  seharusnya  bersyukur kerana
dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala kita semua dapat hidup
dalam keadaan aman damai.    Keadaan  ini  membolehkan  kita
bukan  sahaja  membuat  amal  ibadat  kita  dengan sempurna,
tetapi  juga  dapat  mengadakan  majlis-majlis  agama  tanpa
gangguan  dan  sekatan.    Keadaan ini berbeza sekali dengan
nasib yang menimpa saudara-saudara Islam kita di  kebanyakan
tempat  di dunia ini, di mana mereka dibunuh, diseksa, tidak
bebas  mengamalkan  ibadat  dan  menghadapi   berbagai-bagai
kesulitan  seperti  kebuluran  dan  pengusiran  dari wilayah
mereka.  Justeru itu, umat Islam di negara ini  harus  insaf
dan  sedar  bahawa  mereka  sangat bernasib baik. Masyarakat
yang insaf dan bersyukur akan lebih tenang, lebih aman,  dan
lebih mungkin menambah nikmat yang diperolehi.
3.   Dalam  ketenangan  inilah  negara  ini  mampu membangun
sektor-sektor  sosial  dan  ekonominya  sehingga   kehidupan
rakyat  menjadi lebih bahagia.  Keadaan ini pula membolehkan
kita menyempurnakan  amal  ibadat  mengikut  kehendak  agama
kita.
4.   Pertumbuhan    ekonomi    yang    menggalakkan    telah
mengakibatkan bidang perniagaan atau perdagangan  berkembang
dengan  pesat.   Banyak peluang untuk mencari kehidupan yang
sempurna  wujud  untuk  rakyat  yang  sanggup  berusaha  dan
bekerja  keras.    Dalam  hubungan ini, ada disebut di dalam
hadis bahawa 9/10 daripada punca rezeki itu adalah  daripada
perniagaan  atau perdagangan.  Selain daripada itu kita yang
menjadikan sunnah Rasul sebagai panduan  hidup  tentu  sedar
bahawa  Nabi  Muhammad  s.a.w.  adalah  seorang peniaga yang
berjaya.   Kejayaannya disebabkan oleh  kesanggupan  Baginda
bekerja dengan kuat dan ikhlas semasa berniaga.  Jika sunnah
Rasul  menjadi  panduan  kita  maka  kita  haruslah memasuki
bidang perniagaan dan  perusahaan  dengan  tekun  dan  jujur
seperti Nabi.
5.   Umat  Islam  diperintah supaya sentiasa berusaha dengan
gigih dalam mencari  rezeki  dan  meningkatkan  taraf  hidup
mereka.   Allah berfirman dalam surah al-Jumaah ayat 10 yang
bermaksud:
     "Kemudian setelah selesai sembahyang, (iaitu sembahyang
     Jumaat) maka bertaburanlah kamu  di  muka  bumi  (untuk
     menjalankan urusan masing-masing)  dan carilah apa yang
     kamu hajati dari limpah kurnia Allah".
Ini  bererti  bahawa pada hari Jumaat pun kita tidak disuruh
beristirahat  semata-mata.    Kita  harus  bekerja   mencari
rezeki.
6.   Memandangkan   kurangnya   kesungguhan  umat  Islam  di
Malaysia mencari rezeki  yang  diredai  Allah  Subhanahu  wa
Ta'ala,  maka  tema  Majlis  Tilawah  al-Quran pada kali ini
ialah "Wawasan  Memajukan  Ummah".    Tema  ini  tepat  pada
masanya kerana pada masa ini kita giat memperkatakan tentang
Wawasan  2020.    Wawasan  memajukan  ummah bermaksud bahawa
sesuatu umat yang inginkan kejayaan  dan  kemajuan  mestilah
mempunyai wawasan yang jelas.
7.   Wawasan negara kita Malaysia ialah untuk menjadi sebuah
negara  maju  menjelang  tahun  2020.   Bagaimanapun, dengan
hanya mempunyai wawasan sahaja tidak menentukan  ianya  akan
menjadi  kenyataan.    Ciri-ciri  dan  sifat-sifat  tertentu
adalah diperlukan.  Sekali lagi Nabi Muhammad  s.a.w.  boleh
menjadi contoh.  Kejujuran dan kegigihan Baginda menyebabkan
Baginda  menjadi  peniaga yang berjaya.  Oleh itu, bagi umat
Islam kualiti yang lebih utama untuk  berjaya  dalam  bidang
perniagaan  dan  perusahaan  ialah  kegigihan dan kejujuran.
Namun nilai-nilai moral yang lain tidak boleh dilupakan.
8.   Dengan memiliki  ciri-ciri  yang  disebutkan  di  atas,
masyarakat Islam di negara ini akan dapat mengambil bahagian
dalam  proses  kemajuan  dan  menjadi  satu  umat  yang maju
setanding dengan bangsa dan kaum  lain.    Dengan  itu  akan
terpulihlah  imej  agama  Islam  dan  umat  Islam yang telah
hilang  semenjak  zaman  kegemilangan  Islam  beratus  tahun
dahulu.
9.   Umat  Islam  yang  mundur  dalam ilmu-ilmu duniawi yang
ditekankan oleh Islam sama seperti  yang  ditekankan  kepada
ilmu  akhirat  tidak  mungkin  memajukan  Islam seperti yang
ianya telah maju dahulu.    Oleh  itu  selaras  dengan  tema
Wawasan  Memajukan  Ummah, adalah wajar umat Islam di negara
ini berusaha  menghayati  ajaran  Islam  yang  sebenar  yang
menuntut  supaya kita mengejar kemajuan dunia bersama dengan
kebahagiaan di akhirat.  Wawasan 2020 yang  akan  meletakkan
rakyat  Malaysia  sebagai  rakyat  yang maju adalah menepati
ajaran Islam.   Harus diingat  bahawa  yang  dituntut  bukan
kekayaan  semata-mata,  kerana banyak negara Islam yang kaya
raya.   Yang dituntut ialah  kemajuan  ilmu,  kecekapan  dan
kebolehan  menguruskan  harta  kekayaan  supaya  kita  dapat
melindungi Islam daripada dihina  seperti  yang  kita  lihat
sekarang.
10.  Dalam  penguasaan  ilmu, umat Islam di negara ini masih
ditahap yang rendah terutama di  bidang-bidang  perdagangan,
perusahaan,  sains  dan  teknologi, walaupun disedari bahawa
bidang-bidang  ini  perlu  untuk  pembangunan   negara   dan
kejayaan  Wawasan.    Kita  jelas tidak mempelajari daripada
sejarah kegemilangan Islam di abad-abad yang  lalu  di  mana
penguasaan  ilmu-ilmu  sains  dan teknologi telah meletakkan
negara dan umat Islam di tempat yang tinggi di mata dunia.
11.  Umat Islam seharusnya tidak  menjadi  pengguna  sahaja.
Mereka  hendaklah  berusaha  menjadi  pencipta dan pengeluar
berbagai-bagai keperluan hidup yang  mereka  beli  dan  guna
sekarang.    Umat Islam yang hanya tahu menggunakan barangan
orang lain akan mudah dikuasai oleh pembekal.
12.  Walaupun  Islam  menegaskan  bahawa  kemiskinan  adalah
hampir  kepada  kekufuran, ramai di kalangan umat Islam yang
percaya bahawa umat yang miskin  lebih  kukuh  iman  mereka.
Justeru  itu  sebarang usaha untuk menjayakan orang Islam di
dunia dianggap tidak  penting,  bahkan  bertentangan  dengan
agama.    Tidak  hairanlah jika kita dapati di seluruh dunia
tidak ada satu pun masyarakat Islam atau negara  Islam  yang
maju  daripada  segi  ekonomi  atau  kecekapan  dalam bidang
pembuatan dan pemasaran.   Yang  kaya  antara  negara  Islam
hanyalah  yang  dikurniakan sumber kekayaan oleh Tuhan.  Dan
mereka  ini  pun  bergantung   kepada   pihak   lain   untuk
mengeluarkan   kekayaan  ini.     Kerapkali  setelah  sumber
kekayaan   ini    dikeluarkan,    mereka    tidak    berjaya
menguruskannya  secara  yang mendatangkan manfaat sepenuhnya
kepada diri sendiri atau umat Islam lain.    Kerapkali  juga
kekayaan  ini  digunakan untuk permusuhan sesama orang Islam
sendiri.
13.  Di Malaysia sikap  orang  Islam  tidak  banyak  berbeza
dengan sikap orang Islam di lain-lain negara di dunia.  Jika
ada  usaha  untuk  memajukan  orang Islam di Malaysia supaya
sekurang-kurangnya setanding  dengan  orang  lain  di  dalam
negara,   akan  ada  kumpulan-kumpulan  yang  giat  berusaha
mengembangkan ajaran anti kemajuan.   Ada yang  ingin  balik
kepada  keadaan  masyarakat  1400  tahun  dahulu seolah-olah
Islam adalah untuk masyarakat di zaman itu sahaja.    Sunnah
yang  ditekankan oleh mereka ialah yang tertumpu kepada rupa
bentuk Islam dan tidak kepada isi kandungan Islam yang  kita
tahu  telah  berjaya  membentuk umat yang sanggup menghadapi
cabaran sehingga dapat mendirikan sebuah empayar Islam  yang
lebih besar dari empayar-empayar yang sebelumnya.
14.  Walaupun   kumpulan-kumpulan  anti  kemajuan  ini  giat
berusaha,  Malaysia  masih  berjaya  menjadi  negara  contoh
kepada  dunia  ketiga.    Malaysia  dianggap  sebagai sebuah
negara membangun yang  berjaya.    Kedatangan  mereka  untuk
mempelajari  cara-cara  kita membangunkan negara membuktikan
kehormatan mereka kepada kita.
15.  Demikian juga dalam dunia Islam,  Malaysia  dan  orang-
orang  Malaysia  yang  beragama  Islam  harus menjadi contoh
kepada negara-negara dan umat Islam keseluruhannya.   Adalah
menjadi  satu  kewajipan kita untuk membuktikan bahawa Islam
adalah agama kejayaan bagi dunia dan  akhirat.    Untuk  ini
kita  harus  ketepikan  pandangan  dan  tafsiran yang sempit
terhadap  ibadat,  terhadap  isi  kandungan   al-Quran   dan
terhadap  hadis  dan  sunnah  Nabi.    Yang menyebabkan kita
mundur dan dipandang rendah bukan al-Quran dan hadis  tetapi
tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh orang-orang tertentu yang
berkepentingan sendiri.
16.  Demikian  ahli-ahli  fikah  di zaman Sepanyol berada di
bawah pemerintahan orang Islam telah terlalu ghairah  dengan
perbahasan  dan  polemik berkenaan dengan hukum-hakam Islam,
sehingga kekuatan pemerintahan dan ketahanan wilayah-wilayah
Islam tidak diberi perhatian.   Apabila  Sepanyol  menyerang
balas  untuk  menakluk  semula  negara mereka, negeri-negeri
Islam tidak mampu mempertahankan diri  walaupun  ulama  pada
masa  itu  mendesak supaya bersungguh-sungguh mempertahankan
wilayah Islam.   Akhirnya orang Islam  dihalau  keluar  dari
Andalusia,  nama yang diberi orang Arab kepada Sepanyol pada
tahun 1492, iaitu 500 tahun dahulu.  Di Afrika  juga  mereka
tidak  selamat.  Akhirnya semua negara Islam di Afrika Utara
dijadikan tanah jajahan kuasa-kuasa Barat.
17.  Sempena Majlis Tilawah al-Quran pada  tahun  ini,  saya
difahamkan   satu  Seminar  al-Quran  yang  bertujuan  untuk
mendalami  isi  kandungan  al-Quran  dan  mengukuhkan   lagi
keyakinan  ummah  melalui  penghayatan  ajaran al-Quran yang
sebenar dalam kehidupan  harian  akan  diadakan.    Al-Quran
tidak  bertukar  tetapi  di masa-masa lampau banyak tafsiran
yang dibuat yang tidak tepat dan perlu dibetulkan.  Al-Quran
yang ditafsir dengan betul tidak  akan  menghalang  kemajuan
umat  sepertimana  ia  tidak  menghalang kemajuan umat Islam
dahulu dan sudah tentu tidak akan  menjadikan  mereka  lemah
dan dihina seperti yang berlaku sekarang.
18.  Justeru   itu,   adalah  diharapkan  semua  pihak  akan
menjadikan al-Quran bersama hadis yang sahih sebagai panduan
hidup yang akan membimbing  manusia  ke  arah  kemajuan  dan
pembangunan  yang  seimbang  di dunia dan akhirat.  Al-Quran
sepatutnya  dijadikan  panduan  hidup  dan  mati  dan  bukan
sekadar  disimpan  sebagai  hiasan  atau  diambil  berkatnya
sahaja.  Saya berdoa ke hadrat  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
agar  usaha  murni  semua pihak untuk meletakkan al-Quran di
tempat yang agung dan mulia diberkatiNya.
19.  Dengan       ini,       saya        dengan        lafaz
'Bismillahirrahmanirrahim'  merasmikan  Majlis  Tilawah  al-
Quran  Peringkat  Kebangsaan  Ke-35  dan  Seminar   al-Quran
Peringkat Kebangsaan yang Pertama.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google