home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KAWASAN PERINDUSTRIAN, SHAH ALAM 
Tarikh/Date 	: 	26/01/93 
Tajuk/Title  	:	 MAJLIS PERASMIAN KILANG PHN 
			INDUSTRY SDN. BHD. 


 
    Terlebih  dahulu  saya  ingin  mengucapkan terima kasih
kepada pihak PHN Industry Sdn. Bhd.  kerana  sudi  menjemput
saya  untuk  merasmikan  pembukaan  kilang barunya pada pagi
ini.
2.   Saya berbangga kerana satu  lagi  projek  usahasama  di
antara  pelabur-pelabur  Malaysia  dengan Jepun dalam bidang
industri  otomobil  di  Malaysia  telah  dapat   ditubuhkan.
Sekiranya  kita  berpandukan  kepada pengalaman dan kejayaan
projek-projek usahasama di antara  pelabur-pelabur  Malaysia
dengan  Jepun yang lain, kita yakin bahawa PHN Industry juga
akan turut berjaya.
3.   Pada keseluruhannya industri  otomotif  di  negara  ini
telah  berjaya  membuat  sumbangan  yang besar kepada proses
perindustrian  dan  pembangunan  ekonomi.    Pada  peringkat
awalnya,  iaitu  di peringkat pemasangan kenderaan, industri
ini telah mewujudkan banyak peluang  pekerjaan  bagi  rakyat
Malaysia.
4.   Proses  pemindahan  teknologi  ini  tidak statik tetapi
berterusan.  Secara perlahan-lahan tetapi  pasti,  teknologi
sedang  dipindahkan  ke  negara  kita  melalui projek-projek
usahasama dengan negara-negara maju.    Kejayaan  pemindahan
teknologi   ini   banyak   bergantung   kepada  kesungguhan,
kemampuan  dan  komitmen  individu-individu  yang   terlibat
secara  langsung  dengan  teknologi  berkenaan.    Individu-
individu  ini  perlu  sentiasa  peka  terhadap  perkembangan
teknologi di dalam bidang masing-masing dan sentiasa memberi
tumpuan  terhadap  teknologi  yang lebih tinggi dan terkini.
Di  samping  itu,  setelah  menguasai   sesuatu   teknologi,
penerima harus berani meningkat dan membuat inovasi sendiri.
Tidak  ada  hanya  satu  cara  sahaja  untuk membuat sesuatu
barang.  Pasti ada berbagai-bagai cara,  sama  ada  ortodoks
atau  tidak, untuk membuat sesuatu.  Mereka yang terkongkong
dengan hanya cara yang biasa sahaja tidak akan maju dan akan
selalu  bergantung  kepada  pihak  lain   untuk   teknologi.
Teknologi  yang dibeli memang lebih mahal daripada teknologi
ciptaan sendiri.
5.  Masa depan sektor pengilangan  negara  kita  sememangnya
cerah.   Tetapi yang menjadi isu penting untuk memastikan ia
terlaksana ialah pemindahan teknologi yang mempunyai  nilai-
tambah  yang  lebih tinggi supaya kita boleh memberi tumpuan
kepada operasi pengilangan produk yang menyeluruh.
6.   Justeru itu, langkah  yang  wajib  ke  arah  pencapaian
matlamat   ini   ialah  dengan  memberi  penekanan  terhadap
pelaksanaan usaha-usaha Penyelidikan dan Pembangunan atau  R
&  D   di dalam negeri.  Pada masa ini, usaha-usaha R & D di
dalam bidang pengilangan masih terlalu kecil, misalnya  jika
dibandingkan  dengan  sektor pertanian.   Sebagai contoh, 93
peratus daripada peruntukan yang telah digunakan untuk  R  &
D,  telah  dianjurkan  oleh sektor awam, dan daripada jumlah
itu tiga perempat  adalah  untuk  usaha-usaha  R  &  D  yang
berasaskan pertanian atau 'agro-based'.
7.   Jika  dibandingkan  dengan  United Kingdom, kita dapati
bahawa hanya 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan R  &  D
di  negara  itu  dibiayai oleh sektor awam.   Sembilan puluh
enam  peratus  daripada  usaha-usaha  R  &  D  mereka   pula
dikendalikan  oleh  sektor  pengilangan.   Kita sedar bahawa
terdapat beberapa halangan di dalam usaha-usaha  R  &  D  di
negara kita.
8.   Namun   halangan-halangan   ini   hendaklah   dijadikan
pencabar dan bukan alasan.  Semua pihak yang terlibat dengan
R &  D,  terutamanya  sektor  swasta,  hendaklah  memastikan
bahawa     mereka     terlibat    dalam    aktiviti-aktiviti
mempertingkatkan lagi R & D di dalam  bidang  masing-masing.
Saya  berharap  agar  rakan-rakan usahasama di dalam projek-
projek kita akan terus memberikan sokongan dan kerjasama  ke
arah  usaha  ini.    Dalam  masa  yang  sama rakyat Malaysia
sendiri mestilah menyiapkan  diri  untuk  menyambut  cabaran
ini, dan kita yakin rakyat Malaysia mempunyai kemampuan.  Di
samping  itu, struktur untuk menyokong aktiviti-aktiviti R &
D di sektor pengilangan swasta juga perlu diperkukuhkan.
9.   Rakyat Malaysia juga perlu peka dan sentiasa  mengikuti
perkembangan  amalan-amalan  di kalangan pengusaha-pengusaha
industri.   Misalnya, tenaga  kerja  kini  kian  kompetitif.
Yang  menjadi  rebutan  ialah  tenaga  kerja  yang mempunyai
berbagai-bagai kemahiran.  Pengusaha-pengusaha industri kini
sibuk memperkatakan soal TQC, pengaliran maklumat dua  hala,
dan    penekanan    terhadap    konsep    pengurusan    yang
berorientasikan kumpulan.  Segala-gala konsep ini  mendorong
pembentukan    tenaga    kerja   yang   berkualiti   tinggi.
Kesimpulannya, kita mesti mewujudkan golongan  tenaga  kerja
yang berkualiti.  Kita mahu hakikat ini menjadi daya penarik
kepada para pelabur dan bukan tenaga kerja yang murah.
10.  Kebelakangan ini, jumlah pelaburan oleh pelabur-pelabur
tempatan  dan  asing telah banyak meningkat.  Namun ia belum
memadai untuk mencapai pertumbuhan seperti yang dirancangkan
di dalam  Rancangan  Perindustrian  Malaysia.    Kita  perlu
memesatkan   lagi   langkah-langkah   ke  arah  meningkatkan
pelaburan di dalam sektor pengilangan.
11.  Pada hari ini pula, industri ini telah berkembang  maju
dan  di  dalam  proses  tersebut  telah  juga  merintis  dan
menggalakkan  pertumbuhan  industri  komponen-komponen  atau
peralatan   kereta,   bukan   sahaja   untuk  kegunaan  atau
permintaan pasaran alat ganti  tetapi  juga  lebih  penting,
industri  ini  telah  dapat  mempertingkatkan kadar kegunaan
komponen-komponen  atau  alat-alatan  keluaran  tempatan  di
dalam kenderaan-kenderaan yang dipasang di negara kita.
12.  Pada  tahun 1982, Kerajaan telah mengambil langkah yang
kontroversial untuk membangunkan industri kenderaan bermotor
secara  integrasi  dengan  menubuhkan  Perusahaan   Otomobil
Nasional   Bhd.   (PROTON)  dan  melancarkan  projek  Kereta
Kebangsaan.  Harapan Kerajaan ialah kereta  kebangsaan  akan
menjadi  'catalyst'  bagi industri komponen dan kejuruteraan
di Malaysia.   Strategi  ini,  sedikit  demi  sedikit  telah
berjaya   meningkatkan   secara   sistematik   dan  tersusun
pengeluaran komponen yang semakin canggih,  persis,  bermutu
tinggi,  kemahiran  daripada segi teknologi dan kejuruteraan
tempatan khusus untuk bidang kenderaan bermotor.
13.  Memandangkan bahawa pasaran dalam  negeri  kita  adalah
terhad,  Kerajaan  berharap industri komponen-komponen serta
peralatan  kereta  akan  dapat  bersaing  di  dalam  pasaran
antarabangsa.    Pengeluar-pengeluar  komponen tempatan juga
boleh  mengambil  peluang  untuk  memasuki   pasaran   ASEAN
menerusi  usahasama Skim Perindustrian ASEAN atau 'ASEAN In-
dustrial   Join-Venture   (AIJV)    Scheme'    serta    Skim
Komplementasi  'Brand-to-Brand'  di dalam industri otomotif.
Akhir-akhir  ini,  Kerajaan  bersama-sama  dengan  Kerajaan-
Kerajaan  ASEAN  yang  lain sedang melaksanakan skim 'Common
Effective Preferential Tariff' (CEPT) dan menerusi skim ini,
kita berharap akan wujud pasaran  bebas  ASEAN  (ASEAN  Free
Trade  Area)  yang  dapat  memberi galakan berterusan kepada
industri komponen otomotif.
14.  Setakat  ini,  terdapat  lebih  daripada  200  syarikat
pengeluar  komponen  otomotif dan lebih daripada 70 daripada
mereka  khusus  mengeluarkan  barangan  untuk  pasaran  asal
pengeluar-pengeluar  kenderaan atau 'original equipment mar-
ket'.   Dengan adanya dasar skim  kandungan  tempatan  untuk
kenderaan  penumpang  dan  komersil  yang dipasang di negeri
kita berharap  dapat  membantu  mengembangkan  lagi  pasaran
terhadap komponen-komponen tersebut.
15.  Berdasarkan  kepada  angka-angka  pengimportan komponen
serta  peralatan  kereta,  terdapat  ruang  yang  luas  bagi
mempertingkatkan  pengeluaran komponen serta alatan kritikal
di dalam industri  kenderaan  bermotor.    Di  dalam  tempoh
Januari  hingga November 1992, import komponen dan peralatan
berjumlah RM2.1 billion.  Komponen-komponen tersebut mungkin
boleh dikeluarkan bagi dibekalkan kepada Proton atau  kereta
yang  lain  atau  pun mungkin dieksport.   Sehubungan dengan
itu, Kerajaan telah mewartakan  pengeluaran  komponen  serta
peralatan  kenderaan  sebagai  satu aktiviti yang digalakkan
dan dengan itu adalah layak untuk dipertimbangkan  pemberian
galakan  cukai  seperti  Taraf  Perintis  atau galakan Elaun
Cukai Pelaburan.
16.  Kerajaan  memang  menggalakkan   pelaburan   di   dalam
industri  ini  daripada  sumber  tempatan  atau luar negeri.
Kita berpendapat bahawa usahasama di dalam bidang  ini  akan
mempertingkatkan   lagi  kadar  pertumbuhan  dan  penggunaan
teknologi   serta   dapat   menyediakan   peluang    pasaran
antarabangsa  menerusi  'marketing  network'  yang sedia ada
oleh pengeluar-pengeluar luar negeri tersebut.
17.  Kerajaan menggalakkan projek  usahasama  dengan  pihak-
pihak asing di dalam bidang-bidang berikut:-
     -    pengeluaran  komponen  kritikal  seperti enjin dan
          peralatan transmisi;
     -    pengeluaran barangan  separuh  siap  (intermediate
          materials)  seperti barang tuangan untuk enjin dan
          transmisi (raw  castings  for  engine  and  trans-
          mission), peralatan penempaan (forged parts) serta
          komponen-komponen   kecil   yang  digunakan  dalam
          pemasangan  komponen-komponen  besar   atau   yang
          utama;
     -    pengeluaran   bagi  tujuan  mengeksport  komponen-
          komponen tersebut untuk pasaran antarabangsa;
     -    penubuhan industri khidmat  sokongan  kejuruteraan
          seperti membuat acuan dan perkakas (tool/mould and
          die making).
18.  Justeru    itu,   Kerajaan   mengalu-alukan   penubuhan
usahasama oleh PHN Industry Sdn. Bhd. yang bergiat di  dalam
bidang  pengeluaran pengecapan komponen otomotif (automotive
metal-stamped components).  Sebagai sebahagian daripada Pro-
gram Pembangunan Pembekal kepada Proton, syarikat ini  telah
diberi  peluang  untuk  menyertai  serta mendapat pengalaman
dalam  mengeluarkan  komponen  otomotif  persis.      Adalah
diharapkan  PHN  Industry  Sdn.  Bhd. akan dapat membekalkan
sepenuhnya keperluan pengecapan alatan otomotif untuk Proton
supaya PROTON menggunakan kapasiti dan sumber yang sedia ada
untuk  digemblengkan  kepada  aktiviti-aktiviti  pengeluaran
yang lain.
19.  Saya  difahamkan  bahawa  PHN  Industry Sdn. Bhd. bukan
sahaja akan menjadi pengeluar utama  'metal  stamped  parts'
untuk   industri   kenderaan  bermotor,  tetapi  juga  untuk
membekalkan  keluarannya  kepada   industri   elektrik   dan
elektronik.        Umpamanya,    terdapat    peluang   untuk
memperkembangkan aktiviti atau  pengeluaran  'metal  stamped
parts'  bagi mengeluarkan panel-panel untuk peti sejuk serta
mesin basuh.
20.  Adalah diharapkan PHN Industry Sdn.  Bhd.  tidak  hanya
melibatkan  diri  sebagai  pembekal peralatan asal (original
equipment supplier)  untuk  Proton  sahaja  malahan  diharap
dapat  juga  mengkaji  untuk membekalkan pasaran alat ganti,
terutama bagi komponen-komponen kenderaan.
21.  Adalah diharapkan bahawa PHN Industry  Sdn.  Bhd.  akan
dapat  memberikan  sumbangan  yang  besar kepada pembangunan
industri  acuan  dan  perkakas  (mould  and  die   industry)
tempatan  dengan  mengeluarkan  barangan  tersebut di negara
ini.   Ini juga akan dapat  mempertingkatkan  lagi  hubungan
atau  linkages  di  antara pembekal-pembekal komponen dengan
industri  pemasangan  kereta  dan  dengan  ini  akan   dapat
mempertingkatkan  mutu  serta  kemampuan  industri  sokongan
kejuruteraan di negara kita.
22.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya  merasmikan  kilang
baru PHN Industry Sdn. Bhd.

 
 



 
Google