home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SHAH ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	20/04/93 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN BANGUNAN 
			PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN PROTON 



 
    Saya ingin mengucapkan terima kasih  kepada  Perusahaan
Otomobil  Nasional  Berhad atau Proton kerana menjemput saya
untuk merasmikan Bangunan  Penyelidikan  dan  Pembangunannya
pada pagi ini.
2.   Hari  ini kita  boleh  berbangga  dengan  prestasi  dan
kejayaan yang dicapai oleh PROTON dan Projek Kereta Nasional
ini.   Kereta  Nasional,  Proton  Saga,  bukan  sahaja  kini
popular  tetapi  telah  dapat   menguasai  pasaran  tempatan
dengan jayanya.  Kereta-kereta PROTON  juga  telah  mencatat
nama di pasaran  antarabangsa dan berjaya  mengharumkan nama
Malaysia sebagai negara membangun yang berjaya  mengeluarkan
keretanya sendiri.
3.  Matlamat  utama projek Kereta Nasional ini  ialah  untuk
mencapai keupayaan negara dalam teknologi ciptaan rekabentuk
dan  kejuruteraan  otomobil dan mempergiatkan lagi pembuatan
komponen.  Dengan terlaksananya projek kereta nasional, kini
terdapat  lebih  daripada   100   syarikat   tempatan   yang
mengeluarkan hampir seribu jenis barangan atau komponen bagi
menampung  pengeluaran  kereta  Nasional ini.   Di masa yang
sama, negara kita telah mencapai peningkatan teknologi  yang
lebih   tinggi,  walaupun    banyak lagi   harus  dipelajari
untuk membolehkan kita membuat Penyelidikan dan Pembangun an
bagi menghasilkan model kereta kita sendiri sepenuhnya.
4.   Kini, PROTON telah mencapai jumlah pengeluaran melebihi
480,000  unit.    Jumlah  pengeluaran  yang  besar  ini  dan
peningkatannya dari  masa  ke  masa  akan  membuat  industri
pembuatan  komponen  tempatan lebih 'viable' dan kompetitif.
Ini jelas dapat dilihat dengan minat yang  ditunjukkan  oleh
syarikat-syarikat komponen luar negeri dan syarikat tempatan
untuk membekal komponen-komponen kepada PROTON.
5.   Perkembangan  yang  positif  ini  juga  dapat   dilihat
daripada sudut minat pelabur-pelabur  membeli  saham  PROTON
semenjak  PROTON  disenaraikan  di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Syarikat PROTON ini telah berjaya menduduki tempat di antara
10  syarikat  teratas  di  Malaysia  daripada  segi  'market
capitalisation'.
6.   Dalam  konteks ini saya sukacita merakamkan penghargaan
kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Kakitangan
PROTON di atas usaha gigih  mereka.    Ucapan  terima  kasih
Kerajaan  juga  dipanjangkan  kepada rakan kongsi Mitsubishi
Motors Corporation (MMC)  dan  Mitsubishi  Corporation  (MC)
yang   sentiasa   memberi  kerjasama  erat  bagi  menentukan
pencapaian yang cemerlang.
7.   Di sektor pembuatan dan pengilangan, terutama di bidang
industri otomotif, aspek  yang  paling  penting  yang  perlu
ditekankan  ialah bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
PROTON kini telah mencapai tahap kemampuan di  bidang-bidang
'assembling  of mass volume vehicles' dan seterusnya berjaya
meningkatkan kebolehan di bidang kejuruteraan.
8.   Saya berbangga kerana jurutera-jurutera PROTON terutama
di Jabatan Penyelidikan  dan  Pembangunan  dan  Kejuruteraan
telah  mampu menyokong kerja-kerja pengubahsuaian rekabentuk
kereta  ke  tahap  'cosmetic  changes'.    Apa  yang   perlu
ditekankan  dan  seharusnya  menjadi  cabaran sekarang ialah
kebolehan dalam mencapai tahap 'capability in design  devel-
opment   and  manufacturing'  secepat  mungkin.    Sementara
kerjasama dengan rakan-rakan dari negara asing seperti Jepun
perlu diteruskan, peningkatan kebolehan kita  sehingga  kita
mampu  membuat semua kerja dari mula sehingga ke akhir dalam
bidang automotif industri, adalah penting.
9.   Kita  sedia  maklum   bahawa  bidang  Penyelidikan  dan
Pembangunan    menjadi    'focal-point'   di   dalam   usaha
mempertingkatkan   mutu   pengeluaran   yang   tinggi    dan
kompetitif.  Ini terutama sekali di bidang industri otomotif
di mana setiap pengeluaran menghadapi persaingan yang hebat,
baik   daripada   aspek  rekabentuk  keluarannya,  cara-cara
pengeluaran serta nilai harganya.    Persaingan  yang  hebat
juga  dirasakan  di  bidang  teknologi,  di samping citarasa
pengguna yang seringkali  berubah  mengikut  arus  peredaran
masa.    Disebabkan faktor-faktor inilah, peranan R&D adalah
amat penting bagi mempastikan kejayaan PROTON berterusan dan
sama sekali tidak boleh diabaikan.
10.   Setiap  syarikat  pembuatan  dan  pengilang  hendaklah
memberi  tumpuan sepenuhnya terhadap bidang penyelidikan dan
pembangunan.  Pada masa ini, usaha-usaha di bidang R&D dalam
bidang pembuatan di negara  ini  masih  terlalu  kecil  jika
dibandingkan  dengan  sektor lain.   Untuk mencapai matlamat
Wawasan 2020, usaha-usaha R&D perlu dipertingkatkan.
11.  Saya  berharap syarikat-syarikat  pengilangan  tempatan
dapat  memberi  penekanan  yang  lebih  kepada  aktiviti R&D
kerana hanya dengan cara  ini  sahaja  dapat  kita  bersaing
dengan  pengeluar-  pengeluar bertaraf antarabangsa.   Untuk
memperbaiki  mutu  barangan  yang   dikeluarkan   dan   bagi
menghasilkan  barangan  yang  baru supaya dapat bersaing dan
kompetitif,  maka  pengeluar-pengeluar  perlu   meningkatkan
aktiviti R&D meskipun ianya memerlukan pelaburan yang besar.
Syarikat pengeluar harus berani untuk memulakan penyelidikan
dengan  menggunakan  teknologi-teknologi  yang  terbaru demi
menghasilkan barangan yang kompetitif lagi bermutu tinggi.
12.  Di samping itu,  rakan-rakan  kongsi  syarikat-syarikat
perlu  mempercepatkan  proses  pemindahan  teknologi  kepada
kakitangan tempatan, agar satu hari kelak negara  ini  dapat
mencapai taraf 'self-reliance' dan dapat melaksanakan kerja-
kerja  R&D sendiri.   Rakan-rakan kongsi tidak perlu bimbang
dengan pencapaian tersebut kerana ia memberi manfaat  kepada
semua   pihak   yang   terlibat   sekiranya   barangan  yang
dikeluarkan  menepati  citarasa   dan   keperluan   pengguna
tempatan  hasil  daripada  kerja-kerja  R&D  yang  dibuat di
negara ini.
13.  Saya   difahamkan   bahawa  di  PROTON  sekarang   ini,
penekanan  diberi  ke  arah  mempergiatkan aktiviti-aktiviti
R&D.  Ini adalah satu langkah yang baik  dan  saya  berharap
pelaksanaannya  akan  terus dipertingkatkan.  Jika aktiviti-
aktiviti R&D ini dapat diteruskan dengan licin  dan  teratur
maka  ini akan mempastikan keupayaan kakitangan PROTON dapat
dipertingkatkan dari masa ke masa.
14.  Satu cara yang digunakan oleh industri  otomotif  untuk
meningkatkan  kecekapan  R&D dan memberangsangkan penyelidik
dan  perekacipta  ialah  dengan  mencipta   "concept   car".
Galakan  perlu  diberi  oleh  Proton  kepada  "concept  car"
ciptaan  bahagian  R&Dnya.   Wang  yang  dibelanjakan  untuk
"concept car"  ini  bukanlah  pembaziran   tetapi  merupakan
satu    pelaburan    yang    wajar   bagi   mempertingkatkan
kecekapan jurutera dan perekacipta Proton.   Segala  galakan
perlu diberikan kepada mereka.  Saya juga  ingin mengumumkan
hadiah  tertentu  untuk  'concept  car'  yang  dicipta  oleh
jurutera-jurutera  otomotif di Malaysia, sama  ada  daripada
industri atau  akademik.    Saya  harap  cadangan  ini  akan
mendapat sambutan hangat daripada semua pihak termasuk rakan
kongsi dari luar negeri.
15.  Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada PROTON
yang   telah   mengumumkan   'Anugerah   Penyelidikan'  yang
menekankan bidang penyelidikan.   Program  ini  juga  secara
tidak  langsung akan memberi perangsang dan inisiatif kepada
penyelidik-penyelidik  tempatan  untuk   meneruskan   bidang
penyelidikan   demi   kebaikan   dan   kebajikan  masyarakat
keseluruhannya.
16.  Dalam  konteks  ini,  adalah  menjadi  hasrat  Kerajaan
untuk  menyokong  perkembangan   industri   otomotif  dengan
menyediakan  kemudahan ujian termasuk  di  suatu  masa  akan
datang  satu  projek  'PROVING GROUND' yang  mana  boleh  di
gunakan  oleh  semua   yang  terlibat   di  bidang  industri
pengangkutan.    Tujuan  utama  kemudahan  seperti ini ialah
untuk  membolehkan  aktiviti-aktiviti  R&D  dijalankan  pada
keseluruhannya di negara kita.
17.  Prospek  untuk  mencapai pertumbuhan di bidang otomotif
adalah  cerah.    Memandangkan  sektor  ini  penting   dalam
menyumbang  kepada  pembangunan  ekonomi, saya ingin menyeru
pihak swasta supaya memainkan  peranan  masing-masing  dalam
menjayakan industri ini.
18.  Kerajaan akan terus memberi sokongan dengan menyediakan
infrastruktur  yang  mencukupi di samping memastikan jentera
kerajaan  bekerjasama  dengan  pihak  swasta  demi  mencapai
matlamat ini.
19.  Strategi  Kerajaan  di bawah  Dasar  Pembangunan Negara
ialah memulakan era baru di  dalam  usaha  untuk  menjadikan
Malaysia  sebuah  negara  maju  menjelang tahun 2020.   Saya
berharap PROTON dapat memberi sumbangan penting dan bersikap
lebih agresif untuk mencapai matlamat ini.
20.  Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan
Penyelidikan dan Pembangunan PROTON ini.
     Sekian, terima kasih.

 
 



 
Google