home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/05/93 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR PERANAN HOSPITAL 
			SWASTA DI MALAYSIA PADA MASA KINI 
			DAN AKAN DATANG' 


 
    Saya  mengucapkan   terima   kasih   kepada   Persatuan
Hospital-hospital  Persendirian  Malaysia  kerana  menjemput
saya untuk merasmikan seminar  'Peranan Hospital  Swasta  Di
Malaysia Pada Masa Kini dan Akan Datang' pada hari ini.
2.   Hospital swasta adalah satu fenomena baru  bagi  negara
Malaysia.   Di  waktu  apa  yang  dipanggil sebagai 'western
medicine'  mula diperkenalkan di negara  ini  lebih  seratus
tahun dahulu,  penduduk negeri-negeri  Melayu  tidak  begitu
yakin terhadap perubatan secara saintifik.  Untuk meyakinkan
mereka, Kerajaan kolonial yang telah mengadakan perkhidmatan
perubatan  untuk  pegawai-pegawai   asing   dan   kakitangan
Kerajaan,  telah  memperluaskan perkhidmatan hospital kepada
orang  awam secara percuma.   Semenjak itu  penduduk  negeri
negeri   Melayu   berpendapat   bahawa   memanglah   menjadi
tanggungjawab  Kerajaan   untuk   menyediakan   perkhidmatan
kesihatan dan perubatan secara percuma.
3.    Seratus  tahun  dahulu,  bahkan 50 tahun dahulu, harga
ubat dan kos rawatan amatlah  murah.    Sebotol  ubat  batuk
hanya  berharga  dua  sen.    Pembedahan  pun  tidak  begitu
kompleks dan tidak melibatkan  alat-alat  yang  canggih  dan
mahal  serta  ubat-ubatan  yang  mustajab.    Justeru   itu,
pembekalan  ubat dan rawatan  amatlah  murah  dan  dapat  di
tanggung oleh Kerajaan dengan mudah.
4.   Hari ini ubat  dan  rawatan  serta  pembedahan  amatlah
canggih dan memerlukan belanja yang amat tinggi.  Sebiji pil
mungkin berharga RM5 atau lebih dan kos pembedahan kerapkali
memerlukan  belanja  beribu-ribu  ringgit.   Oleh kerana kos
yang begitu tinggi Kerajaan tidak lagi  mampu  memberi  ubat
dan  rawatan secara percuma atau dengan bayaran yang nominal
kepada semua pesakit.   Sebenarnya negara-negara  yang  maju
dan   terkaya   sekalipun  tidak  dapat  mengadakan  khidmat
perubatan secara  percuma.    Semua  negara  ini  mengenakan
bayaran yuran (contributory health scheme) ataupun rakyatnya
diperlukan mengambil insurans perubatan.  Tetapi di Malaysia
rawatan  percuma  untuk  yang  tidak  mampu  masih diadakan.
Sebab itulah pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia  atau  WHO
berani  mendakwa  bahawa  perkhidmatan kesihatan di Malaysia
adalah jauh lebih baik daripada Amerika Syarikat.
5.   Oleh  kerana beban  yang  berat  inilah  maka  Kerajaan
mengalu-alukan  penubuhan hospital swasta atau persendirian.
Tidak  syak  lagi  hospital  swasta dapat mengurangkan beban
kewangan Kerajaan dan tekanan bilangan penduduk  yang  lebih
ramai   yang   begitu   mengambilberat   tentang  kesihatan.
Sekarang ini, bagi mereka  yang  berada,  rawatan  perubatan
boleh  didapati  dari hospital swasta tanpa menunggu giliran
di hospital  Kerajaan.    Dengan  masyarakat  menjadi  lebih
'affluent',  pesakit  sanggup  membuat  bayaran yang tinggi.
Walaupun  daripada   satu   sudut,   bayaran   yang   tinggi
menyebabkan  ramai  yang berpendapatan sederhana tidak mampu
tetapi pendapatan hospital swasta meningkat  sehingga  dapat
mengadakan  alat-alat  yang terkini dan canggih.  Dengan ini
kualiti  rawatan  dapat  dipertingkatkan   lagi.      Adalah
diharapkan  bahawa kepakaran doktor-doktor swasta juga turut
meningkat sehingga setaraf dengan pakar dunia.  Jika khidmat
pakar-pakar perubatan Malaysia  diakui  baik,  pesakit  dari
luar negeri juga akan datang ke negara ini untuk mendapatkan
rawatan.  Ini  akan  menyumbang  kepada  ekonomi negara  dan
menjadikan  Malaysia dan  kepakarannya  di bidang  perubatan
lebih terkenal.
6.   Semua yang disebut ini adalah  aspek  positif  hospital
dan  perkhidmatan  perubatan  swasta.    Sudah  tentu  aspek
negatif juga ada.  Yang pertamanya ialah kemungkinan  doktor
doktor swasta lebih mengutamakan perniagaan  dan  pendapatan
yang    lumayan    daripada    berkhidmat   mengikut   ikrar
'hippocratic' mereka.   Dengan ini  bayaran  yang  dikenakan
amat  tinggi  dan ramai pesakit mungkin ditolak kerana tidak
mampu.   Profesion kedoktoran  tidak  patut  terlalu  sangat
diperdagangkan.    Unsur khidmat perlu ditekankan.  Walaupun
pendapatan penting, hospital swasta  harus  juga  bertimbang
rasa dan mempunyai tanggungjawab sosial.
7.   Amalan menolak pesakit 'emergency' yang tidak mempunyai
deposit   tidak   secocok   dengan   profesion   kedoktoran.
Sekurang-kurangnya  'emergency  treatment'  patut  diberi.
Walaupun  ini  akan menyebabkan pendapatan pada hujung bulan
terkurang sedikit, tetapi ini  sepatutnya  dianggap  sebagai
sebahagian  daripada  kos.    Hari  ini pun pendapatan pakar
perubatan swasta adalah empat atau lima  kali  lebih  banyak
daripada pakar yang setaraf yang berkhidmat dengan Kerajaan.
Saya  percaya  kekurangan  sedikit pendapatan ini tidak akan
menjadi masalah  yang  besar.    Lagipun  ini  tidak  selalu
berlaku.    Ia  merupakan  'emergency'  yang  lebih bercorak
'first-aid'.
8.   Kita di Malaysia bertuah kerana amalan mendakwa  doktor
di  mahkamah  kerana  kecuaian  tidak  begitu ketara.   Jika
adapun, undang-undang menyekat bayaran pampasan yang terlalu
tinggi.  Gantirugi hendaklah dibayar tetapi ianya  hendaklah
berpatutan.
9.    Kerajaan tidak ingin melihat 'litigation' dan tuntutan
yang keterlaluan.   Di negara-negara di  mana  doktor  kerap
dihukum oleh mahkamah supaya membayar gantirugi yang terlalu
tinggi,   perkhidmatan   perubatannya   adalah  amat  buruk.
Hospital dan  doktor  membuat  pemeriksaan-pemeriksaan  yang
tidak begitu perlu kerana takut dituduh  cuai.   Dengan  itu
kos  rawatan  melambung  tinggi.    Bayaran  juga  dinaikkan
kerana bayaran insurans doktor dan  hospital  adalah  tinggi
dan jika  gantirugi  hendak  dibayar  doktor  akan  bankrap.
Adakalanya   doktor   mengelak   daripada   memberi  rawatan
kecemasan   atau   menyentuh   pesakit  kerana   kemungkinan
pesakit   akan   mendakwanya   di  mahkamah  untuk  mendapat
gantirugi.   Masyarakat akan rugi jika kita mempunyai tabiat
'litigation' itu.
10.    Namun  doktor  tidak  harus  cuai  dalam  menjalankan
tugasnya.   Mereka  hendaklah memberi  khidmat  yang  sebaik
baiknya  sama  ada  kepada  yang  mampu membayar banyak atau
sedikit.   Janganlah  hendaknya  pemeriksaan  dengan  alatan
alatan  yang  canggih  dan  mahal  dibuat  semata-mata untuk
menaikkan  pendapatan  atau  mengelak  daripada  didakwa  di
mahkamah kerana cuai.
11.   Amalan  'fee-splitting'  dan  'ambulance chasing' juga
tidak harus dibuat.   Pakatan dengan peguam  untuk  mendapat
'business'   patut   dielakkan.     Demikian   juga   amalan
'feesplitting'  dengan  doktor-doktor lain  dan  pemeriksaan
serta pembedahan  yang  tidak  perlu   tidak  harus  dibuat.
Sebenarnya  tanpa  sebarang  amalan  yang  tidak  baik  yang
membelakangkan ikrar doktor (hippocratic  oath),  pendapatan
yang lumayan boleh diperolehi.   Dan  pendapatan ini  adalah
lebih kekal  dan  tidak  mempunyai  risiko  tindakan  undang
undang.  Di samping itu, profesion perubatan akan  dihormati
dan  disanjung tinggi oleh masyarakat.
12.    Seperti  yang  telah  saya  nyatakan, hospital swasta
membantu mengurangkan beban Kerajaan dalam  memberi  khidmat
perubatan.    Tetapi  masalah yang besar bagi Kerajaan ialah
perbezaan jauh di antara  pendapatan  doktor  dan  jururawat
swasta  dengan  gaji doktor dan jururawat Kerajaan.  Amatlah
mudah mencadangkan supaya gaji doktor dan jururawat Kerajaan
dinaikkan.    Masalah  dalam  perkhidmatan  Kerajaan   ialah
'parity'  adalah  perkara  utama.    Jika  jarak antara satu
kumpulan kakitangan Kerajaan adalah sekian, ia  tidak  boleh
dilebih  atau dikurangkan.   Jika berubah sedikit pun, pihak
yang terkilan akan membuat tuntutan, bahkan  ugutan.    Jika
tuntutan ini dilayan maka semua kategori kakitangan Kerajaan
terpaksa dibayar gaji yang lebih.  Ini bukan sahaja bermakna
perbelanjaan  tambahan  Kerajaan  meningkat  tinggi,  tetapi
perasaan  tidak  puas  hati  doktor  atau   jururawat   akan
berkekalan  kerana  jarak  di antara gaji mereka dengan gaji
kakitangan lain masih tidak berubah.  Di samping itu, doktor
swasta pula boleh meningkatkan  lagi  bayaran  dan  menambah
pendapatan   mereka.      Dengan  ini  perbezaan  di  antara
pendapatan mereka dengan gaji rakan  mereka  dalam  Kerajaan
terus  jauh.    Oleh  kerana  kenaikan gaji sedikit sebanyak
menyumbang kepada  inflasi,  tidak  sesiapa  pun  yang  akan
memperolehi faedah daripada percubaan mengurangkan perbezaan
pendapatan di antara doktor swasta dengan doktor Kerajaan.
13.  Tetapi jika perbezaan ini tidak dikurangkan, pengaliran
doktor   dan   jururawat  Kerajaan  ke  sektor  swasta  akan
berterusan.  Akhirnya perkhidmatan kesihatan Kerajaan  tidak
dapat diadakan dengan sempurna.
14.   Masalah ini hanya boleh diatasi jika jumlah doktor dan
pakar perubatan meningkat  sehingga  persaingan  yang  besar
berlaku  di kalangan doktor-doktor swasta.  Jika pengeluaran
doktor tidak meningkat dengan ketara, maka Kerajaan terpaksa
membenarkan doktor asing masuk dan bekerja  dengan  Kerajaan
atau hospital swasta atau persendirian.
15.    Di  samping  kita melindungi apa juga profesion dalam
negeri, kita juga harus ingat bahawa kepentingan umum adalah
lebih utama daripada  kepentingan  individu  atau  mana-mana
kumpulan.      Sebenarnya   hospital  dan  perubatan  swasta
berkembang maju kerana masyarakat Malaysia mewah  dan  boleh
membayar  bayaran  yang  dikenakan.    Ini  bermakna  doktor
terhutang budi kepada masyarakat, baik daripada segi peluang
belajar  mahu pun  daripada  segi  praktisnya.  Justeru  itu
hospital   swasta  dan   juga  doktor-doktor  patut  memberi
khidmat  kepada   masyarakat   di  samping   perlunya  untuk
mendapatkan  pendapatan yang tinggi.
16.  There is a place for private hospitals in Malaysia  now
and  in  the  future  but the commercial aspect of this role
must go hand in hand with the social  aspect.  Then and then
only will the  private  hospitals  and  private  doctors  be
regarded with respect by the community and the nation.
17.   Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan seminar
'Peranan Hospital Swasta Di Malaysia Pada Masa Kini Dan Akan
Datang'.

 
 



 
Google