home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), 
			KUALA LUMPUR(KL) 
Tarikh/Date 	: 	21/05/93 
Tajuk/Title  	:	MAJLIS PELANCARAN MODEL 
			TERBARU PROTON 


 
    Saya   mengucapkan   terima   kasih  kepada  Perusahaan
Otomobil  Nasional  Berhad  (PROTON)  dan  Edaran   Otomobil
Nasional  Berhad (EON) kerana menjemput saya dan isteri saya
ke majlis ini untuk melancarkan model terbaru Proton, kereta
nasional Malaysia.
2.   Pelancaran model terbaru Proton ini merupakan satu lagi
detik  sejarah  dalam  perkembangan  dan  kemajuan  industri
kereta  negara.    Ia merupakan satu kebanggaan dan kejayaan
Malaysia  yang  telah  membuktikan  kemampuannya   menerokai
teknologi  canggih  dalam  industri  otomobil  melalui  satu
proses  perancangan,  penyelidikan  dan  pembangunan   serta
kepakaran  kejuruteraan yang dimiliki oleh tenaga kerja yang
terdiri daripada kalangan  anak-anak  tempatan  terutama  di
Proton.
3.   Saya  telah  difahamkan  bahawa projek untuk melahirkan
model terbaru Proton ini telah memakan  masa,  tenaga  serta
pelaburan  yang  banyak  dan  telah  bermula  semenjak empat
setengah tahun yang lalu.  Hasilnya tentu  mengkagumkan  dan
tuan-tuan  dan  puan-puan  boleh lihat sendiri model terbaru
Proton ini sebentar lagi.
4.   Untuk melambangkan keteguhan,  kekuatan,  kuasa,  serta
kualiti  maka kereta nasional generasi kedua  ini  dipanggil
dengan  nama 'PROTON WIRA'.   Proton generasi baru ini lebih
aero-dinamik,   berciri  moden,   canggih   dan   dilengkapi
dengan   ciri-ciri  keselamatan   yang  lebih   baik   untuk
penumpang.  Saya  pasti  PROTON  WIRA setaraf dengan  kereta
yang sama kelas dengannya di pasaran antarabangsa  dan sudah
tentu  memberikan  'top value for money'.
5.   Kerajaan  gembira projek kereta nasional telah mencapai
kejayaan demi kejayaan.   Projek kereta nasional  ini  telah
memberikan  banyak  faedah  kepada  negara dalam pembangunan
industri hiliran terutama dalam pembuatan  komponen  kereta,
perpindahan  teknologi,  pemasaran, pembangunan tenaga kerja
mahir serta peningkatan penyertaan Bumiputera dalam industri
kereta.
6.   Sekarang  terdapat  lebih   daripada  seratus  syarikat
tempatan  melibatkan  diri  dalam  pembuatan  dan pembekalan
lebih daripada seribu dua ratus jenis komponen  kereta  Pro-
ton.    Kandungan  tempatan  di  dalam kereta nasional turut
meningkat  kepada  80  peratus  sekarang.    Saya   berharap
peratusan  kandungan  tempatan  ini  akan dapat ditingkatkan
lagi ke paras yang lebih tinggi di masa akan datang.
7.   Pelancaran model terbaru ini juga melenyapkan berbagai-
bagai anggapan negatif mengenai  keupayaan  rakyat  Malaysia
untuk   menerima  pindahan  kemahiran  berteknologi  tinggi.
Model terbaru Proton ini adalah hasil ciptaan, penyelidikan,
rekaan serta usaha rakyat Malaysia.    Lebih  daripada  itu,
penyesuaian    kilang    Proton   dan   alat-alatnya   untuk
mengeluarkan  kereta  hari  ini  adalah  juga  hasil   usaha
jurutera  dan  pekerja  tempatan.    Dengan  ini  sebahagian
daripada  matlamat  Kerajaan  untuk  meningkatkan  keupayaan
tempatan  dalam  bidang  'engineering'  termasuk 'production
engineering'  sudahpun tercapai.
8.   Proton haruslah  meningkatkan  usaha  Penyelidikan  dan
Pembangunannya (R&D) untuk memastikan  kereta nasional terus
berkemampuan  menandingi  prestasi kereta  lain  di  pasaran
antarabangsa.   Proton  harus   berupaya  membuat  perubahan
kosmetik  terhadap  model-model   kereta  nasional,   bahkan
mencipta sepenuhnya model-model  baru  bagi memberi kepuasan
kepada pembeli yang selalu bertukar citarasa.
9.   Kereta Proton telah berjaya menembusi pasaran di banyak
negara.  Kualiti kereta nasional yang tinggi sudah  terbukti
dengan  enam  anugerah  emas  yang  dimenanginya  di pameran
antarabangsa di United Kingdom.   Banyak negara  kini  telah
menunjukkan   minat   untuk   mengimport   kereta  nasional.
Kerajaan berharap  dengan  adanya  PROTON  WIRA  ini,  usaha
mencari  pasaran baru dapat dipertingkatkan lagi.  Untuk ini
Proton perlu menambah keupayaannya mengeluarkan lebih banyak
kereta   di   samping   menerokai   pasaran-pasaran    baru.
Pengeluaran  model pandu sebelah kiri atau 'left-hand drive'
amatlah penting bagi menjayakan usaha ini.
10.  Kejayaan  sesebuah perniagaan  adalah  juga  bergantung
kepada   perkhidmatan   lepas   jualannya  atau  'after-sale
service'.  Kepercayaan pengguna  terhadap  sesuatu  barangan
itu  biasanya  bergantung  kepada  keupayaan  pengedar  atau
penjualnya   menyediakan    perkhidmatan    penyelenggaraan,
nasihat,  panduan  dan  pembaikan  barangan  yang dijualnya.
Perkhidmatan  ini  amatlah  penting  bagi  industri  kereta.
Justeru  itu,  EON mestilah sentiasa memberikan perkhidmatan
lepas jualan dan layanan yang baik  kepada  pelanggan  untuk
memastikan  kereta-kereta Proton terus mendapat tempat dalam
pasaran tempatan.
11.  Kini terdapat lebih daripada 400,000 kereta  Proton  di
jalanraya  seluruh  negara.   Ini membuka peluang untuk satu
lagi industri yang penting -- iaitu industri 're- condition-
ing' kereta lama.  Dengan adanya industri ini,  kereta  yang
telah dipakai bukan sahaja akan mempunyai kualiti yang baik,
tetapi  ada  kemungkinan  ianya juga dieksport jika harganya
berpatutan.    Adalah  penting  kereta  terpakai   hendaklah
dibaikpulih terlebih dahulu supaya ianya tidak menjadi punca
kemalangan di jalanraya.
12.  Walaupun  kapasiti   pengeluaran  kilang  Proton  sudah
ditingkatkan kepada 120,000  buah  setahun  daripada  80,000
buah  setahun,  daripada  minat yang ditunjukkan oleh banyak
negara yang  belum  mengimport  kereta  Proton,  peningkatan
kapasiti  yang  lebih  adalah diperlukan.   Jika model pandu
sebelah kiri dikeluarkan, banyak pasaran luar yang baru yang
menggunakan  kereta  jenis  ini  boleh   dijadikan   sasaran
pemasaran Proton.
13.  Saya berharap Proton akan memberi perhatian yang serius
kepada eksport dan menyediakan diri untuk maksud ini. Dengan
meningkatkan 'volume' bukan sahaja 'economies of scale' akan
tercapai,  tetapi  juga industri sampingan dan sokongan akan
berkembang dengan lebih pesat.  Dengan itu,  Malaysia  boleh
menjadi  pembekal komponen-komponen kepada industri otomobil
di negara-negara lain.
13.  Saya  percaya PROTON  WIRA  yang  bermutu  tinggi  ini,
dengan  harga  yang  berpatutan  di  samping mempunyai lebih
keselesaan dan ciri-ciri  keselamatan  yang  menjamin,  akan
mendapat  tempat  di hati rakyat Malaysia dan sambutan hebat
daripada pembeli-pembeli.
14.  Akhir kata, saya dengan sukacitanya melancarkan  kereta
'PROTON WIRA' dengan rasminya.

 
 



 
Google