home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	29/05/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG 
			TAHUNAN PARTI GERAKAN YANG KE-22 


 
    Saya mengucapkan  terima  kasih  kepada  Parti  Gerakan
kerana telah menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung
Parti  Gerakan  yang ke-22 pada pagi ini.  Penghormatan yang
diberikan kepada saya  sebagai  Pengerusi  Barisan  Nasional
oleh  majlis  ini  amatlah  bermakna daripada segi perpaduan
parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
2.   Selaku  Pengerusi  Barisan Nasional  (BN)  saya  berasa
bangga    melihat    Parti    Gerakan    berjaya    memenuhi
tanggungjawabnya sebagai anggota komponen Barisan  Nasional.
Persaingan  di antara Gerakan dengan MCA sudah dapat diatasi
dengan  baik  tanpa  menjejaskan  identiti    masing-masing.
Parti  Gerakan juga telah membuktikan keupayaannya memainkan
peranan yang positif dalam usaha Kerajaan mengatasi  masalah
perkauman.
3.   Kejayaan  Parti  Gerakan  ini  adalah  disebabkan  oleh
sokongan  padu  dan  kerjasama   anggota-anggota   berbilang
kaumnya  yang  penuh dedikasi  dan komited kepada perjuangan
parti.  Anggota- anggotanya sungguh berdisiplin, bersemangat
tinggi   dan   berjuang   untuk   kesejahteraan,   kemajuan,
kemakmuran dan keamanan rakyat dan negara.
4.   Pemimpin-pemimpinnya  yang  diketuai  oleh  Presidennya
yang  terkenal  sebagai  pejuang  alam  sekitar  dan  minyak
kelapa  sawit,  telah menunjukkan  kualiti  kepimpinan  yang
tinggi  dan  penuh  bertanggungjawab.   Mereka  jelas  tidak
mementingkan  diri  sendiri  dan  sebaliknya berdedikasi dan
bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang  diamanahkan
oleh  rakyat  kepada mereka.   Mereka juga berani menghadapi
cabaran dan berpegang kepada  kebenaran  walaupun  dijadikan
isu oleh parti lawan.  Hendaknya keadaan ini akan berterusan
malah   seboleh-bolehnya   dimantapkan  lagi  supaya  sistem
kerjasama  dan  tolak-ansur  Barisan  Nasional  akan   terus
berhasil.
5.   Anggota-anggota  parti dalam  gabungan Barisan Nasional
hendaklah sentiasa peka dan  sedar  akan  perkembangan  yang
berlaku  di  luar  parti  mereka.    Ini  amat  penting agar
perjuangan mereka selari dengan aliran  atau  arah  matlamat
Barisan   Nasional.      Sekiranya  mereka  tidak  mengikuti
perkembangan  di  luar   parti,   dan   mengambilkira   juga
kepentingan  parti  komponen  lain, saya khuatir mereka akan
mula berpendirian sempit dan menjejaskan kewibawaan  Barisan
Nasional.
6.   Dalam  hal ini,  anggota-anggota  parti  hendaklah juga
memastikan bahawa mereka  mempunyai  pemimpin-pemimpin  yang
berfikiran  luas  dan terbuka, berwawasan dan dapat memahami
'constraints' yang terdapat dalam negara majmuk ini.    Kita
tidak  mahu adanya pemimpin-pemimpin yang hanya mengutamakan
'popularity' dirinya dalam parti  sahaja.    Pemimpin  tidak
harus menurut kehendak pengikut semata-mata tetapi hendaklah
memimpin dan memberi tunjuk-ajar kepada pengikut.
7.   Semenjak tahun 1990,  sudah dua  parti komponen Barisan
Nasional berpaling tadah.   Parti Bersatu  Sabah  (PBS)  dan
USNO,  kedua-duanya  dari  Sabah  telah meninggalkan Barisan
Nasional semata-mata kerana  pemimpin  mereka  mahu  sesuatu
bagi  diri sendiri.  Untuk ini, mereka sanggup 'menikam kita
dari belakang'.   Dan dua  peristiwa  ini  membawa  beberapa
petunjuk atau pengajaran kepada kita.
8.   Parti-parti yang keluar daripada Barisan Nasional jelas
menunjukkan mereka  tidak mempunyai pendirian.  Mereka tidak
berpegang kepada konsep Barisan Nasional dan matlamat  serta
perjuangannya  untuk negara.   Mereka hanya mengutamakan apa
yang pemimpin mereka boleh dapat daripada  Barisan  Nasional
tanpa  mengambil  berat akan sumbangan mereka kepada Barisan
Nasional  dan  negara.    Kehadiran  mereka  dalam   Barisan
Nasional  hanya  melemahkan Barisan Nasional dan menyebabkan
parti-parti komponen terpaksa memandang ke  belakang  semasa
menghadapi  musuh.   Barisan Nasional tidak boleh pasti bila
akan diserang dari belakang oleh mereka.   Pemergian  mereka
adalah satu 'blessing' yang jelas.
9.   Hari  ini konsep  Barisan  Nasional sudahpun  diakui di
luar negara sebagai satu konsep kerjasama antara  kaum  yang
baik.    Hari ini, ramai yang datang dari negara-negara lain
untuk mempelajari konsep  Barisan  Nasional.    Antara  yang
datang   adalah   ahli-ahli   akademik   dari  negara-negara
demokratik  Barat.    Semua  mereka  kagum  dengan  kejayaan
Barisan  Nasional  bukan  sahaja setakat mewujudkan keamanan
dan kestabilan politik  tetapi  juga    membangunkan  negara
dengan pesat.
10.  Semua  mereka tahu  apa yang  sedang berlaku di negara-
negara berbilang kaum di Asia, Afrika, Eropah  dan  Amerika.
Rusuhan,  penindasan  dan  bunuh  membunuh berlaku di hampir
semua negara ini.  Contoh yang terburuk sekali ialah Bosnia-
Herzegovina, di mana pihak Serb telah, sedang dan akan terus
melakukan 'ethnic cleansing',  satu  jenis  'genocide'  yang
lebih dahsyat daripada 'holocaust'.
11.  Sebaliknya  di Malaysia  di mana terdapat  bukan sahaja
perbezaan  kaum  di  kalangan  penduduk  dan  warganegaranya
tetapi   juga  perbezaan  budaya,  bahasa,  tempat  tinggal,
pencapaian ekonomi dan yang  besar  sekali  ialah  perbezaan
agama,  namun  keamanan, kestabilan politik, kemajuan sosial
dan ekonomi wujud.  Jikalau kita kata ini adalah hasil dasar
dan pendekatan Barisan  Nasional,  kita  bukan  memuji  diri
tetapi ia hanyalah satu kebenaran.
12.  Apakah  yang   akan  berlaku   dalam  negara  ini  jika
parti-parti  lawan  yang  ada sekarang ini memerintah?  Kita
mempunyai contoh  yang  jelas  di  Kelantan  dan  di  Sabah.
Ketegangan  politik  melanda  negeri-negeri  ini dan ekonomi
mereka tidak berkembang.    Perhubungan  antara  kaum  tidak
baik.  Jika tidak kerana Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam
perkara keselamatan, huru-hara mungkin sudah berlaku.  Parti
pembangkang lain yang belum pernah mendirikan Kerajaan sudah
pun  menunjukkan  belangnya  dengan pengurusan parti mereka.
Tidak ada demokrasi dan tidak ada pertukaran pucuk  pimpinan
yang  dibenarkan.    Dan  dasar mereka memang memihak kepada
satu kaum sahaja dan mereka sering memainkan  isu  perkauman
yang  sempit.    Di  samping  itu,  mereka sering bersubahat
dengan orang asing di  luar  negeri  untuk  mengecam  negara
sendiri.    Jika  parti  ini berkuasa, keamanan dan kemajuan
ekonomi yang terdapat sekarang tetap akan rosak.
13.  Sebaliknya  di  bawah   pemerintahan  Barisan  Nasional
negara  stabil, aman dan maju.  Pengkritik-pengkritik dasar-
dasar Kerajaan Barisan Nasional dan negara ini,  dari  dalam
dan  luar  negeri, sukar untuk membuktikan kebenaran tuduhan
mereka sekarang.    Segala  pendekatan  dan  dasar  Kerajaan
Barisan Nasional telah mencapai kejayaan yang jelas.
14.  Barisan Nasional bukan sahaja mendokong dan mengamalkan
demokrasi  dalam  urusan  pemerintahan  negara  tetapi  juga
setiap parti dalam Barisan  Nasional  mengamalkan  demokrasi
dalam   parti.    Kepimpinan  parti-parti  Barisan  Nasional
bertukar ganti tetapi prinsip perjuangan  mereka  kekal  dan
dipegang oleh kepimpinan lama dan baru.
15.  Di sini ingin saya tegaskan bahawa ideologi bukan untuk
ideologi, dan demokrasi bukan untuk demokrasi.  Ideologi dan
demokrasi   adalah  untuk  kebaikan  pengikutnya.    Apabila
ideologi dijadikan 'agama' dan diamalkan tanpa mengambilkira
hasilnya maka ideologi akan  membawa  keburukan.    Sebabnya
ialah  ideologi  adalah ciptaan manusia dan tidak 'perfect',
bahkan penuh kelemahan.
16.  Ideologi  komunis  ada  mempunyai  asas,   prinsip  dan
matlamat  yang  baik  iaitu  untuk  menghapuskan  penindasan
golongan yang berada ke atas golongan pekerja  yang  miskin,
menyamakan   semua  warganegara  dan  membahagikan  kekayaan
secara sama rata.  Tetapi dalam usaha mencapai matlamat ini,
pemerintahan  komunis  telah  melakukan  pembunuhan   rakyat
beramai-ramai,  menyalahguna  kuasa, menjadikan semua rakyat
sama miskin dan bukan sama kaya, memerintah secara  diktator
yang  kejam, menghasut dan mengintip semua rakyat.  Hasilnya
masih juga  tidak  ada  persamaan  tetapi  kemiskinan  terus
ketara.    Selama  70  tahun  berlalu  sebelum komunis sedar
bahawa ideologi  mereka  tidak  membawa  kebahagiaan  kepada
rakyat atau negara.
17.  Sekarang ini Barat ingin menjadikan demokrasi ala-Barat
sebagai   satu  agama  yang  mesti  diamalkan  walau  apapun
terjadi.   Keruntuhan Empayar Soviet  Rusia  memanglah  satu
hasil  demokrasi  yang dunia alu-alukan.   Tetapi di samping
itu, berlaku  peperangan  dan  pembunuhan  beramai-ramai  di
Azerbaijan,  Georgia,  Belarus, Ukraine, Tajikistan dan juga
di  Eropah  Timur,  termasuklah  `genocide'  di  Yugoslavia.
Rusia  sendiri  menjadi tidak stabil, lemah dan miskin hasil
daripada demokrasi dengan sistem pasaran terbukanya.
18.  Di Barat  sendiri,  demokrasi  yang  keterlaluan  telah
membawa   keruntuhan   akhlak   yang  ketara  dengan  dadah,
homoseks, 'single parents' dan ekonomi yang  merosot  kerana
etika  kerja  yang buruk.   Tetapi mereka bukan sahaja terus
mengamalkan demokrasi mereka bahkan juga cuba memaksa  orang
lain menerima dan mengamalkan segala tabiat buruk dan nilai-
nilai  mereka kerana kononnya ia adalah demokratik dan tidak
boleh dipersoalkan.
19.  Kita menerima demokrasi tetapi kita perlu  berhati-hati
supaya   tidak   keterlaluan   sehingga   merosakkan   kita.
Kebebasan  yang  tidak  terhad  adalah  merbahaya.     Dalam
masyarakat  kita  yang berbilang kaum, rusuhan mudah berlaku
jika kita dengan bebas menghasut kaum, menunjuk perasaan  di
jalan-jalan, bermogok
sepanjang  masa    dan  melakukan  perkara-perkara lain yang
kononnya menjadi hak rakyat negara demokratik.
20.  Demikian juga dalam parti.  Jika kita bertanding  hanya
kerana  dibenarkan  bertanding ataupun kita berkempen dengan
menggunakan cara yang buruk  dan  wang  sogokan,  jika  kita
sengaja  memburukkan  calon,  hasilnya  bukan  kejayaan bagi
parti  tetapi  perpecahan  yang  boleh  membawa  kehancuran.
Inilah  yang berlaku kepada UMNO pada tahun 1987.  Demokrasi
ibarat pisau yang tajam, jika digunakan  dengan  baik  boleh
mengukir  sesuatu  yang  cantik, tetapi pisau itu juga boleh
membunuh.    Oleh  itu,  berhati-hatilah  dalam  mengamalkan
demokrasi, baik dalam parti atau dalam negara.
21.  Pengamal  demokrasi  di  Barat  juga  sebenarnya  tidak
begitu demokratik.  Sementara mereka mengecam  negara-negara
membangun   kerana   tidak  demokratik  tetapi  dalam  arena
antarabangsa dan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  mereka
tidak  sanggup  menerima  kedaulatan suara ramai.   Di dalam
negara  mereka  juga  diskriminasi  berlaku  terhadap   kaum
minoriti dan yang kulit berwarna.  Akhbar mereka semua berat
sebelah  dan  tidak  memberi kebebasan bersuara kepada orang
yang mereka tidak  sukai.    Malaysia  hampir  tidak  pernah
mendapat  tempat  dalam  ruang akhbar mereka, melainkan jika
ada berita yang memburukkan kita.
22.  Dalam Barisan Nasional kita demokratik.   Kita  memberi
perwakilan  yang  sama banyak dalam Majlis Tertinggi Barisan
Nasional.   Ini adalah untuk  menentukan  kepentingan  parti
yang  kecil  mendapat  perhatian yang sama dengan parti yang
besar.  Di samping itu, ia juga untuk menentukan  tidak  ada
parti  yang terlalu besar sehingga boleh memerintah sendiri.
Sokongan parti- parti kecil  dalam  Barisan  Nasional  tetap
penting.    Tetapi oleh kerana majoriti dalam Kerajaan besar
dan lebih daripada dua  pertiga,  parti  kecil  tidak  boleh
mengugut  untuk keluar dan menjatuhkan Kerajaan seperti yang
boleh berlaku dalam kerajaan- kerajaan campuran  di  negara-
negara  lain.  Inilah 'check and balance' kita, supaya tidak
ada sesiapa boleh menidakkan suara ramai.   Sebaliknya  jika
kita  mempunyai  sistem  dua  parti  yang  hampir  sama kuat
seperti terdapat di beberapa negara Barat, pemerintahan yang
kuat tidak boleh diadakan.  Sebenarnya masalah yang dihadapi
oleh semua negara Eropah dan Amerika Utara sekarang berpunca
daripada cara mereka mengamalkan demokrasi.
23.  Di sebaliknya, amalan demokrasi  di  Rusia,  di  bekas-
bekas  negara Soviet Union dan di Eropah Timur hanya membawa
perpecahan, rusuhan, peperangan kaum, penindasan, kelemahan,
kerosakan  ekonomi  dan  bermacam-macam   lagi   malapetaka.
Demokrasi dengan sendirinya tidak boleh membawa keamanan dan
kemakmuran.  Bagi bangsa-bangsa dan negara-negara yang tidak
tahu  loghat  dan cara- cara demokrasi, amalannya tetap akan
membawa  keburukan.    Sebaliknya  di  China  dan   Vietnam,
pemerintahan  'authoritarian' dikekalkan sementara reformasi
ekonomi dilaksanakan.  Mereka ini lebih berjaya.    Walaupun
rakyat  mereka belum bebas tetapi mereka lebih makmur.  Saya
yakin apabila sudah makmur, mereka akan  menuntut  kebebasan
yang  lebih.  Cara ini lebih selamat daripada cara yang cuba
diamalkan oleh Rusia.   Apa yang  jelas  ialah  pihak  Barat
mendapat  dividen  yang  besar  daripada percubaan demokrasi
oleh blok Timur.  Hari ini blok Timur hancur dan  lemah  dan
terpaksa  meminta-minta  pertolongan  Barat.    Inilah  yang
dikehendaki oleh Barat, bukan demokrasi, bukan pasaran bebas
dan bukan 'human  rights'.    Jika  pemerintahan  kuku  besi
diamalkan  oleh  negara  yang  menyokong  Barat,  ini  tidak
mengapa.   Mereka terus  mempertahankan  kawan  mereka  yang
tidak demokratik.
24.  Semua  ini perlu disedari dan difahami oleh ahli-ahli
politik dan rakyat negara ini.    Kita  tidak  boleh  terima
demokrasi   ala-   Barat  tanpa  mengambilkira  kesan  buruk
daripadanya.
25.  Bersikap fanatik dalam apa-apa bidang pun,  tidak  akan
membawa  kebaikan.   Demikian juga dengan fanatik demokrasi.
Pendapat bahawa biarlah negara hancur dan  rakyat  menderita
asalkan  ianya  kerana  demokrasi  adalah bodoh.   Demokrasi
adalah untuk kebahagiaan masyarakat dan bukannya  masyarakat
adalah  untuk  keperluan demokrasi.   `Democracy is meant to
serve society and not society to serve democracy'.
26.  Mereka dari  Barat yang  mudah  mengkritik  orang  lain
kerana   kononnya   tidak   demokratik,   sebenarnya  mereka
sendirilah   yang  tidak  demokratik.    Di  negara  mereka,
diskriminasi berlaku terhadap orang yang bukan sebangsa atau
seagama dengan mereka.  Mereka ini dikawal dalam 'ghettoes',
ditindas, dipukul dan dibunuh, tidak diberi hak, tidak dapat
menguasai media,  diletak  di  bawah  telunjuk  kulit  putih
sepanjang   masa   dan   tidak  mendapat  keadilan  daripada
mahkamah.  Tekanan terhadap negara-negara bukan kulit  putih
supaya   mereka   demokratik   adalah   sebahagian  daripada
manifestasi  otokratik  mereka  dari  Barat  ini.     Mereka
berpendapat oleh kerana mereka berkulit putih, maka apa yang
mereka  buat  adalah  demokratik.   Justeru itu mereka tidak
begitu  tegas  dalam  melawan  apartheid.      Sekarang  ini
kekejaman  dan  kezaliman  yang dilakukan oleh tentera Serb-
Bosnia ke  atas  orang  Islam-Bosnia  di  Bosnia-Herzegovina
bukan  sahaja  diterima  tetapi dihalalkan oleh mereka.  Dan
orang seperti ini dengan angkuhnya  mengatakan  bahawa  kita
tidak demokratik.
27.  Janganlah  kita mudah tergoda dengan Barat.  Kita harus
demokratik  tetapi  tidak  sehingga  menjadi  hamba   kepada
demokrasi.   Dalam parti kita, demokrasi penting tetapi jika
parti kita akan hancur dan negara kita menghadapi  huru-hara
kerana amalan-amalan tertentu yang kononnya demokratik, kita
mestilah  memilih  parti dan negara.  Tanpa parti dan negara
demokrasi tidak bermakna.  Kita bernasib baik kerana  amalan
demokrasi  di  Malaysia  tidak membawa malapetaka seperti di
Soviet Union dan Eropah Timur.
28.  Yang penting sekali dalam demokrasi  ialah  kita  boleh
menukar  Kerajaan  atau  pemimpin  tanpa menimbulkan apa-apa
bencana seperti rusuhan.   Dan ini  dapat  kita  lakukan  di
negara kita.
29.  Yang  lain  adalah 'icing' kepada  kek  demokrasi.   Di
Malaysia kita mempunyai banyak 'icing' ini kerana kita  tahu
mengawal  nafsu  dan  sedar  akan  apa yang baik bagi negara
kita.  Tetapi kita tidak perlu kepada jenis  kebebasan  yang
keterlaluan  yang telah mewujudkan masyarakat yang biadap di
Barat.
30.  Saya  mengucapkan  tahniah kepada  parti-parti komponen
Barisan   Nasional  yang   semuanya   berupaya   mengamalkan
demokrasi  yang waras.   Selagi kita dapat berbuat demikian,
akan terselamatlah negara kita.
31.  Saya berharap Parti Gerakan akan selalu demokratik  dan
kukuh.    Pilih  dan  tukarlah  pemimpin  jika  perlu tetapi
jagalah Parti.  Kekuatan Barisan Nasional bergantung  kepada
kekuatan  parti komponennya.  Dengan memelihara parti dengan
baik, saudara- saudari juga memelihara Barisan Nasional  dan
negara.
32.  Dengan  ini,   saya   dengan   sukacitanya   merasmikan
Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang ke-22 ini.

 
 



 
Google