home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/06/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 
			PELANCARAN PERAYAAN JUBLI 
			PERAK BERNAMA 


 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada  pihak  Pengurusan
BERNAMA  kerana  menjemput  saya  dan  isteri saya ke Majlis
Makan Malam sempena pelancaran perayaan Jubli Perak BERNAMA.
Saya  dimaklumkan  bahawa   majlis   malam   ini   merupakan
sebahagian   daripada   pelbagai  acara  yang  disusun  oleh
Pengurusan dan Kelab Keluarga  BERNAMA  sehingga  penghujung
tahun  ini,  bagi  mengingati  Ulangtahun  Ke-25  Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA.
2.   Tempoh 25 tahun itu sesungguhnya satu tempoh yang  agak
panjang  juga.    Kalau diibaratkan sebagai seorang manusia,
pada usia sedemikian ia merupakan seorang belia  yang  serba
bertenaga  dan  bersemangat  perjuangan yang berkobar-kobar.
Saya berharap tenaga dan semangat BERNAMA juga tidak  kurang
daripada belia berumur 25 tahun.
3.   BERNAMA  memulakan  perkhidmatannya  pada 20 Mei,  1968
sebagai sebuah  agensi  berita  kebangsaan  yang  ditubuhkan
melalui  satu  Akta  yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia.
Dengan hanya bermula secara  kecil-kecilan,  dengan  tumpuan
liputannya berkisar di sekitar Kuala Lumpur, agensi ini kini
telah   berjaya  menubuhkan  Pejabat-Pejabat  Bironya  bukan
sahaja di semua Ibu Negeri di seluruh negara tetapi juga  di
beberapa  buah  bandar  penting di luar negara.   Agensi ini
juga telah mengambil satu langkah yang saya rasa berani  dan
tepat   pada   waktunya   apabila   pada   tahun   1984,  ia
mengembangkan lagi  sayapnya  untuk  bergiat  dalam  bidang-
bidang  yang  pada  ketika  itu  masih  dianggap  asing bagi
sesebuah agensi berita, terutama di negara-negara membangun.
4.   Pengurusan BERNAMA pada waktu itu telah  mempelbagaikan
kegiatan  agensi  ini  bagi mencakupi kegiatan-kegiatan yang
bukan 'conventional' seperti pembekalan maklumat tepat masa,
data-data kewangan dan profil syarikat.    Berikutan  dengan
langkah  tersebut yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada
Kerajaan, Akta BERNAMA telah dipinda  yang  secara  langsung
merombak  sifatnya daripada sebuah agensi yang hanya bergiat
dalam pemungutan dan penyebaran berita kepada sebuah  agensi
berita  dan  maklumat  yang  terlibat  dalam pengumpulan dan
penyebaran berita serta pelbagai bentuk maklumat.
5.   Usaha  ini  telah  mula  mendatangkan   hasil  semenjak
beberapa tahun kebelakangan ini.  Kalau pada mula ditubuhkan
BERNAMA  terpaksa  bergantung  100  peratus  kepada Kerajaan
untuk menampung biaya mengurusnya, pergantungan  itu  secara
sedikit  demi  sedikit  telah  mula  berkurangan.   Kerajaan
memang sengaja  mengurangkan  peruntukannya  kepada  BERNAMA
secara  berperingkat-peringkat  untuk membolehkan agensi ini
berusaha sendiri  menampung  keperluan  kewangannya.    Saya
sukacita  mendapati  BERNAMA  telah berjaya menyahut cabaran
ini.  Dalam tempoh tiga tahun yang lalu,  agensi  ini  telah
berjaya  menunjukkan  prestasi  kewangan  yang  menggalakkan
setelah terus menerus mengalami  kerugian  pada  tahun-tahun
sebelumnya.
6.   Mulai  tahun 1990 agensi ini berjaya dipulihkan (turned
around)  dengan  mencatatkan   sedikit   'surplus'   setelah
mengalami   kerugian  pada  tahun-tahun  sebelumnya.    Saya
diberitahu bahawa buat pertama  kalinya  pada  tahun  lepas,
defisit  terkumpul  BERNAMA sebanyak RM9.5 juta bukan sahaja
dapat dihapuskan, malah mencatatkan 'surplus' sebanyak RM3.1
juta.    Sesungguhnya,  ini  merupakan  satu  prestasi  yang
membanggakan.  Saya  lebih gembira lagi mendapat tahu bahawa
pergantungan BERNAMA kepada Kerajaan daripada segi  kewangan
kini kurang daripada 15 peratus setahun.
7.   Saya   mengucapkan   tahniah   kepada   Pengurusan  dan
kakitangan BERNAMA  atas  kejayaan  tersebut.    Bagi  pihak
Kerajaan,  saya  ingin  menyatakan  di sini bahawa kita akan
terus mengurangkan elemen subsidi ini  kepada  BERNAMA  pada
tahun-tahun  akan datang.   Ini bukan merupakan satu langkah
yang aneh.  Ia sebenarnya selaras dengan dasar Kerajaan yang
dilaksanakan  semenjak  beberapa  tahun   yang   lalu   bagi
menggalakkan   agensi-agensi   Kerajaan,  termasuk  jabatan-
jabatan Kerajaan, untuk mengambil apa-apa juga langkah  bagi
menambahkan sumber kewangan masing-masing.
8.   Dalam  hubungan  ini,  BERNAMA  tidak  harus mudah leka
dengan kejayaannya setakat ini.  Sebaliknya, ia harus  terus
berusaha   untuk   mengukuhkan  lagi  kedudukannya  sehingga
menjadi sebuah agensi berita dan maklumat yang terunggul  di
negara  ini.    Saya  dimaklumkan bahawa di samping BERNAMA,
terdapat beberapa buah  syarikat  tempatan  lagi  yang  juga
terlibat   dalam   perniagaan   maklumat   seperti  BERNAMA.
Syarikat-syarikat  ini  telah  berusaha   bersungguh-sungguh
untuk menyaingi BERNAMA dalam pasaran maklumat tempatan.
9.   Potensi  dalam bidang  ini  adalah  amat luas dan terus
berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi negara.   Ini
bertepatan  dengan  andaian  bahawa industri maklumat adalah
industri masa depan.  Bagaimanapun, saya  difahamkan  bahawa
BERNAMA   kini  menguasai  cuma  sebahagian  kecil  daripada
industri maklumat negara yang dianggarkan  bernilai  puluhan
juta  ringgit  setahun.    Sebahagian besar daripada pasaran
maklumat dalam negara masih lagi dikuasai oleh agensi-agensi
asing.   Orang sering berkata  bahawa  maklumat  itu  kuasa.
Sambungan  daripada  natijah  ini ialah orang yang menguasai
maklumat itu sebenarnya memegang kuasa.  Kuasa  ini  mungkin
lebih  besar daripada kuasa yang ada pada ahli-ahli politik.
Kalau  kuasa  yang  ada   pada   ahli-ahli   politik   boleh
disalahgunakan,   kuasa   yang  ada  pada  syarikat-syarikat
maklumat juga boleh disalahgunakan.   Bayangkanlah apa  yang
akan  terjadi  kepada  negara  dan  masyarakat sekiranya ini
berlaku.
10.   Sebaliknya,   jika  maklumat  itu   digunakan   secara
bijaksana   dan   disebarkan  kepada  rakyat  secara  tepat,
objektif dan meluas, ia boleh membantu melahirkan masyarakat
bermaklumat.  Satu-satu masyarakat yang kaya dengan maklumat
dan pandai menggunakannya akan menjadi masyarakat yang maju.
11.  Satu-satunya cara yang mungkin BERNAMA  boleh  fikirkan
untuk  mengkukuhkan  lagi kedudukannya ialah dengan menjalin
satu bentuk kerjasama yang lebih berkekalan  dengan  agensi-
agensi  yang lebih 'established', khususnya agensi-agensi di
Asia Timur.   Saya yakin  adunan  kepakaran  yang  ada  pada
BERNAMA  dengan  pengalaman  serta  teknologi  terkini  yang
dikuasai oleh agensi-agensi  yang  lebih  'established'  ini
akan   berjaya  menghadapi  apa  juga  bentuk  saingan  yang
dijangka dihadapi pada tahun-tahun akan datang.  Di  samping
itu, usaha meluaskan 'income base', pengenalan produk-produk
baru,  peningkatan  taraf  dan mutu produk-produk yang sedia
ada serta pengurangan  kos  yang  dijalankan  sekarang  juga
harus   diteruskan.      Ini   penting  bukan  sahaja  untuk
mengekalkan prestasi kewangan yang baik sekarang tetapi juga
untuk meningkatkannya lagi.
12.   Apa juga pendekatan yang  akan  diambil  oleh  BERNAMA
dalam  tahun-tahun  akan datang tidak seharusnya mengabaikan
fungsi asalnya yang termaktub  dalam  Akta  penubuhannya  --
iaitu   mengumpul  dan  menyebarkan  berita.    Tanpa  tugas
'conventional' ini, BERNAMA tidak akan wujud di negara  ini.
Malangnya  kegiatan  'editorial' ini, sama seperti lain-lain
tanggungjawab sosial yang  dijalankan  oleh  mana-mana  juga
organisasi,   merupakan  satu-satunya  kegiatan  yang  tidak
mungkin  mendatangkan  keuntungan.    Di  samping  kos  yang
meningkat  tahun demi tahun, BERNAMA juga menghadapi masalah
untuk menaikkan  yuran  langganan  di  kalangan  pertubuhan-
pertubuhan media tempatan.
13.  Akibatnya,  sebahagian  besar  daripada keuntungan yang
diperolehi  daripada kegiatan penjualan maklumat kepada para
pelanggan bukan media  terpaksa  digunakan  sebagai  subsidi
untuk   para   pelanggan   media.    Dalam   hubungan   ini,
pertubuhan-pertubuhan media di negara  ini,  termasuk  media
elektronik dan cetak perlu memikirkan cara yang lebih sesuai
untuk  membantu BERNAMA menjalankan tanggungjawab sosial ini
secara yang lebih berkesan.
14.  Jabatan-jabatan Kerajaan termasuk di  peringkat  negeri
serta  Kerajaan-kerajaan  negeri  sendiri mungkin boleh juga
membantu  dengan  berlanggan  kepada   perkhidmatan   berita
BERNAMA.      BERNAMA   boleh  mengenakan  bayaran  terhadap
perkhidmatan  yang  dibekalkan  kepada  Kerajaan,   termasuk
perkhidmatan sosial yang saya katakan tadi.
15.  Kerajaan  yakin  bahawa BERNAMA boleh memainkan peranan
ke  arah  mewujudkan   sebuah   masyarakat   Malaysia   yang
bermaklumat  menjelang  tahun  2020.   Lebih banyak maklumat
yang dikuasai oleh satu-satu masyarakat, maka  akan  menjadi
lebih  majulah  masyarakat  tersebut.    Ini bermakna rakyat
Malaysia harus  didedahkan  kepada  pelbagai  maklumat  yang
canggih untuk menjadikan mereka 'a well-informed society'.
16.  Dunia  kewartawanan  hari ini telah banyak berubah jika
dibandingkan dengan kewartawanan yang kita kenal pada tahun-
tahun menjelang kemerdekaan atau selepas  kemerdekaan  dulu.
Hari  ini,  kita  bukan  sahaja berusaha mengisi kemerdekaan
tetapi juga meningkatkan lagi isi dan mutu kemerdekaan  itu.
Usaha   ini   bukanlah  merupakan  satu  usaha  yang  mudah.
Daripada segi  citarasa  pembaca  atau  'audience'  sendiri,
ianya  telah  banyak berubah.  Mereka kini lebih terpelajar,
canggih dan lebih kritikal daripada,  misalnya,  keadaan  25
tahun  yang  lalu, akibat pembangunan sosial dan ekonomi dan
peningkatan taraf serta kualiti hidup. Kecuali kita mengubah
sikap dan pendekatan kita, kita  mungkin  akan  ditinggalkan
oleh arus perubahan itu sendiri.
17.  Kalau  dulu para pembaca mungkin berpuas  hati  membaca
perkara-perkara  yang asas dalam  akhbar-akhbar  kita,  hari
ini  mereka  tidak boleh dipuaskan semudah itu.  Kalau  dulu
orang  cuma  ingin  tahu   tentang  sesuatu   yang  berlaku,
hari  ini  mereka  bukan  sahaja  mahu tahu apa yang berlaku
tetapi  juga  kenapa  perkara  itu  berlaku.  Isu-isu   yang
dibincangkan  dalam  akhbar-akhbar  juga  kini sudah menjadi
terlalu sofistikated.  Dulu mungkin kita tidak pernah dengar
tentang 'merger' atau 'takeover', atau turun naik  saham  di
bursa-bursa saham tempatan dan luar negara.  Tetapi hari ini
perkara-perkara sedemikian menjadi topik perbualan di kedai-
kedai  kopi  dan  warung.    Kalau  mereka  berbual mengenai
politik, mereka  tidak  lagi  memperkatakan  perkara-perkara
asas.  Sebaliknya mereka berbincang mengenai 'intricacies of
politics',  tentang  sama ada orang ini akan lawan orang itu
dalam pemilihan UMNO November ini, tentang sama ada  dakwaan
pemimpin  ini tidak akan lawan pemimpin itu boleh dipercayai
dan bermacam-macam lagi.
18.  Rakan-rakan saya dalam Kabinet  sering  mengadu  bahawa
mereka  mengesyaki  kebanyakan wartawan, terutama yang muda-
muda, yang menemuramah mereka tidak membuat `homework'.  Ini
berdasarkan  kepada  soalan-soalan  yang  dikemukakan  serta
maklumat  latar belakang mereka.  Saya berpendapat sekiranya
kita  ingin  menjalankan  tugas  kita  secara   yang   lebih
berkesan,  kita  harus  menjadikan  diri  kita lebih canggih
daripada pembaca kita.
19.  Ini boleh kita lakukan  dengan  lebih  banyak  membaca,
menghadiri  kursus  atau  seminar  atau berusaha mendapatkan
kelulusan yang lebih tinggi.  Memang tidak  dapat  dinafikan
bahawa  tahun-tahun  yang  akan datang merupakan tahun-tahun
yang serba mencabar bagi tuan-tuan dan  puan-puan  sekalian.
Cabaran ini akan terus meningkat selaras dengan peranan yang
diperlukan dalam usaha pembangunan negara.
20.  Bagi Kerajaan,  usaha  akan terus diambil untuk memudah
dan  meluaskan  lagi  penyebaran  maklumat  kepada   rakyat.
Seperti  yang  sedia  dimaklumi, tidak lama lagi sebuah lagi
stesen  TV  swasta  akan  muncul  di  negara   ini.
21.  Kerajaan  juga  telah memutuskan untuk menjadikan Kuala
Lumpur  sebagai  Pusat Media  dan  Maklumat bagi rantau ini.
Pelbagai  persediaan  telah  dibuat  kearah  itu.   Beberapa        telah
syor dirumuskan  oleh  sebuah  Jawatankuasa Pelbagai Jabatan
bagi  memudahkan   lagi  urusan  keluar masuk  dan   operasi
wartawan-wartawan  asing  di  negara  ini.    Kerajaan  akan
mengkaji perakuan-perakuan ini dan sekiranya didapati sesuai
,ia akan melaksanakannya demi kebaikan bersama.
22.  Sekali lagi,  saya  ingin  merakamkan  setinggi-tinggi
tahniah  kepada  BERNAMA  sempena  Perayaan Jubli Perak ini.
Saya mendoakan semoga BERNAMA akan  terus  maju  jaya  dalam
menghadapi cabaran-cabaran di masa hadapan.
23.  Dengan  ini,   saya   dengan  sukacitanya   melancarkan
Perayaan Jubli Perak BERNAMA.
Terima kasih.

 
 



 
Google