home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	05/06/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN 
			SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN 
			SERI PADUKA BAGINDA YANG 
			DI-PERTUAN AGONG 



 Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah,
Tuanku,
    Dengan hormat dan penuh takzimnya  pihak  Kerajaan  dan
seluruh  rakyat  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena
Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku hari  ini.    Rakyat
sekalian  berdoa  ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga
Tuanku  serta   Tuanku   Bainun   dilanjutkan   usia   serta
dilimpahkan  rahmat  dan  hidayah-Nya,  mudah-mudahan Tuanku
berdua berada dalam keadaan sihat dengan penuh kesejahteraan
dan kedaulatan.
Tuanku,
2.    Syukur alhamdulillah kerana  dengan  izin  dan  limpah
kurnia  Allah  Subhanahu wa Ta'ala negara terus berada dalam
keadaan aman dan makmur.  Suasana aman damai ini wujud hasil
daripada kerjasama rakyat berbilang kaum.    Setelah  begitu
lama tinggal bersama, rakyat sedar akan pentingnya perpaduan
dan  keharmonian  kaum.   Kunci utama terhadap perpaduan dan
keharmonian kaum ini ialah keinginan rakyat  untuk  sentiasa
hidup   aman   damai  dan  bebas  daripada  segala  rusuhan.
Peristiwa-peristiwa persengketaan kaum  dan  agama  di  luar
negeri  juga  telah memberi iktibar kepada rakyat negara ini
tentang pentingnya penduduk berbilang kaum  bersatupadu  dan
bekerjasama  antara satu sama lain.  Peristiwa-peristiwa ini
diyakini telah menguatkan keazaman rakyat negara  ini  untuk
mengukuhkan lagi perpaduan dan kerjasama di kalangan mereka.
Ini  sudah  tentu akan mengukuhkan kestabilan politik negara
ini dan dengan itu  membolehkan  Kerajaan  menumpukan  usaha
terhadap pembangunan.
3.    Bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
di  samping  mempunyai  kestabilan,  ekonomi  negara   terus
menunjukkan  prestasi  yang  menggalakkan.    Walaupun kadar
pertumbuhan  dijangka  kurang   sedikit   pada   tahun   ini
berbanding  dengan  tahun  lalu, ianya masih tinggi.   Lebih
menggalakkan ialah pertumbuhan tinggi  ini  disertai  dengan
kadar  inflasi  yang  rendah.   Ini telah membolehkan rakyat
terus menikmati taraf hidup yang lebih baik.  Kerajaan  pula
telah  dapat  meneruskan  usaha-usaha pembangunan yang lebih
pesat bagi faedah rakyat.  Kejayaan kita menguruskan ekonomi
dengan  baik  adalah  hasil  kerjasama  yang  rapat   antara
Kerajaan, rakyat dan pihak swasta.
4.      Kerajaan  sedar  bahawa banyak lagi usaha yang perlu
dijalankan   untuk   memastikan   negara   akan  terus  maju
dan  makmur.    Ke  arah  ini,   Kerajaan telah menggariskan
dasar-dasar  dan  arah   pembangunan  sektor-sektor  penting
seperti pembangunan perindustrian,  pertanian,  pelancongan,
alam sekitar serta sains dan teknologi.
5.   Sementara kita boleh berbangga dengan kejayaan  ekonomi
negara,   kita   tidak   harus   leka   dan   berpuas  hati.
Tanggungjawab menentukan  ekonomi  terus  berkembang  adalah
tanggungjawab semua pihak.
6.    Di  samping  itu,  semua pihak harus memainkan peranan
yang  berkesan  untuk  terus  mengawal  inflasi.    Kerajaan
khuatir  jika  inflasi  ini tidak dikawal ianya akan memberi
kesan negatif kepada negara.  Rakyat boleh memainkan peranan
dengan berjimat-cermat dan berhati-hati apabila  berbelanja.
Di  samping  mengurangkan penggunaan yang berlebihan, rakyat
juga perlu meningkatkan lagi kadar simpanan  mereka.    Para
pekerja  kita  juga  boleh  membantu  dengan  tidak menuntut
kenaikan gaji yang berlebihan.  Sebarang kenaikan gaji  yang
tidak  selaras dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan
akan menyebabkan inflasi  yang mana  ini akan  mensia-siakan
sahaja pendapatan yang bertambah.
7.    Di  pihak   Kerajaan,   sukacita   dinyatakan   bahawa
langkah-langkah  yang   sesuai   telah   pun  diambil  untuk
memastikan inflasi  terus  terkawal.    Kerajaan  juga  akan
meneruskan  dasar-dasarnya  untuk  mengurangkan perbelanjaan
dan berjimat cermat selaras dengan hasil pendapatan negara.
Tuanku,
8.    Kerajaan juga akan terus mengamalkan  dasar  pelaburan
yang   liberal   untuk   menggalakkan   pelaburan,  terutama
pelaburan asing.  Dalam hal ini, Kerajaan  akan  memperbaiki
lagi   kemudahan-kemudahan  infrastruktur  yang  diperlukan.
Usaha-usaha juga akan  diteruskan  untuk  meningkatkan  lagi
keupayaan pekerja kita daripada segi produktiviti, kecekapan
dan  daya saingan.   'Competitive edge' yang ada pada negara
hanyalah kos pekerja yang rendah berbanding  dengan  negara-
negara  maju.    Dengan  tidak  mempunyai teknologi sendiri,
modal dan pasaran dalaman yang mewah, kenaikan  kos  pekerja
akan  menghapuskan  'competitive  edge' kita.   Justeru itu,
adalah penting pekerja tidak dihasut oleh  kesatuan-kesatuan
sekerja asing supaya menuntut upahan yang berlebihan.
9.   Sebagaimana termaklum, langkah menggalakkan pelancongan
juga   merupakan   salah  satu  strategi  untuk  menambahkan
pendapatan negara.   Di  dalam  Rancangan  Malaysia  Keenam,
teras   pembangunan   pelancongan   adalah   dengan   tujuan
memperluas   dan   mempelbagaikan   aktiviti   serta    asas
pelancongan.      Ini   kerana  pelancongan  dijangka  dapat
mewujudkan lebih banyak lagi  pekerjaan,  pendapatan,  nilai
ditambah  serta  perwujudan  berbagai-bagai rangkaian dengan
sektor-  sektor  lain  dalam  pembangunan  ekonomi   negara.
Kerajaan  telah  pun  menetapkan  tahun  1994  sebagai Tahun
Melawat Malaysia dan persiapan-persiapan telah  dibuat  bagi
maksud menarik lebih ramai pelancong ke sini.
10.    Tahun  1993  merupakan tahun yang penting bagi negara
menggerakkan usahanya ke  arah  mencapai  cita-cita  menjadi
negara  maju.   Cita-cita ini boleh dicapai jika semua pihak
-- Kerajaan, rakyat dan pihak swasta -- berganding bahu  dan
bekerjasama  rapat.    Faktor  utama  yang  perlu ditekankan
adalah sikap yang komited terhadap keinginan untuk memajukan
negara.  Selain daripada itu, kita juga perlu menanam  sikap
rajin   berusaha,   mempunyai  disiplin  yang  tinggi  serta
mempunyai dedikasi terhadap kerja.
11.     Pihak   Kerajaan   berasa   bangga   bahawa   Tuanku
menitikberatkan   soal   perjalanan   jentera  Kerajaan  dan
mengambil berat mengenai kebajikan rakyat.  Kesediaan Tuanku
menghadiri dan mendengar taklimat-taklimat yang dibuat  oleh
jabatan-jabatan  Kerajaan  memperlihatkan kesungguhan Tuanku
untuk mengetahui dengan mendalam selok-belok dan dasar-dasar
Kerajaan.  Kerajaan dan negara juga menghargai minat  Tuanku
mengambil  berat  mengenai hubungan antarabangsa.  Dalam hal
ini, lawatan-lawatan Tuanku ke luar  negeri  telah  membantu
Malaysia menjalin hubungan yang rapat dengan dunia luar.  Di
sini  pihak  Kerajaan  ingin menyatakan bahawa Malaysia akan
sentiasa  memainkan  peranan  yang   cergas   di   peringkat
antarabangsa tanpa segan dan takut.
12.    Kerajaan  sedar  bahawa  pentadbiran  yang  cekap dan
produktif adalah penting untuk menjamin  negara  akan  terus
maju   dan   makmur.     Dalam  hal  ini,  Kerajaan  melalui
kakitangannya akan berusaha dengan sepenuhnya untuk mencapai
mutu kerja yang lebih cemerlang.
Tuanku,
13.  Pada hari yang mulia dan  penuh  dengan  adat  istiadat
ini,  Kerajaan  dan rakyat dengan penuh hormat dan takzimnya
menyampaikan ikrar  taat  setia  yang  tidak  berbelah  bagi
kepada Tuanku sebagai Raja yang memerintah.

 
 



 
Google