home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	12/06/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN INSTITUT 
			JANTUNG NEGARA 


 
    Saya mengucapkan terima  kasih  kepada  pihak  Institut
Jantung   Negara  Sdn.  Bhd.  kerana  menjemput  saya  untuk
merasmikan Institut Jantung Negara atau IJN pada  hari  ini.
Perasmian  ini  menandakan  satu  era  baru  di dalam bidang
perubatan  negara,  terutama  dalam   perkhidmatan   rawatan
penyakit  jantung  atau  penyakit  kardiovaskular.  IJN yang
ditubuhkan  untuk  meningkatkan   kepakaran   negara   dalam
perkhidmatan  rawatan  penyakit jantung diharap akan menjadi
pusat rawatan, rujukan dan latihan pakar yang terkini  dalam
bidang ini.
2.    Antara  sebab  utama  IJN ditubuhkan ialah kebimbangan
Kerajaan  terhadap  meningkatnya  jumlah   kematian   akibat
penyakit  jantung  setiap tahun.  Mengikut perangkaan, 5,294
kes kematian atau 29.1 peratus daripada jumlah  kematian  di
negara  ini  pada tahun 1989 adalah akibat penyakit jantung.
Antara tahun 1981 hingga tahun 1989, kadar  kematian  kerana
penyakit  ini di Semenanjung Malaysia sahaja telah meningkat
daripada 15 orang kepada 37 orang bagi setiap 100,000  orang
penduduk.   Dalam tempoh antara tahun 1979 hingga 1988 pula,
bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana penyakit
ini juga telah meningkat daripada 19,216 orang kepada 50,584
orang.  Pada tahun 1989, angka ini bertambah  kepada  64,696
orang.
3.   Peningkatan    bilangan   pesakit  jantung  ini   tidak
dapat  ditampung  oleh peralatan dan kemudahan yang terdapat
di  hospital-hospital  Kerajaan,   terutamanya   di  Jabatan
Kardiologi  dan  Kardiothorasik Hospital Besar Kuala Lumpur.
Pada masa itu,  Unit  Kardiothorasik  di  hospital  tersebut
menghadapi  beban  kerja  yang besar dengan bilangan pesakit
yang ramai serta kes lama yang  masih  tertangguh.    Selain
daripada  kemudahan  dan  peralatan  yang  tidak  mencukupi,
kedua-dua  unit  ini  juga  menghadapi  masalah   kekurangan
kakitangan yang terlatih dan berpengalaman. Hanya tiga pakar
bedah  kardiothorasik  dan  enam  pakar  kardiologi yang ada
ketika itu.   Keadaan ini  menyebabkan  terdapat  sesetengah
pesakit  jantung  yang terpaksa menunggu berbulan-bulan, dan
adakalanya sehingga dua tahun sebelum  mereka  boleh  diberi
rawatan awal.
4.   Saya  difahamkan  sekurang-kurangnya  RM30,000   hingga
RM40,000 diperlukan untuk menjalani  pembedahan  jantung  di
luar  negara.    Jumlah  ini  adalah  dua  kali  ganda  jika
dibandingkan dengan jumlah yang diperlukan  untuk  menjalani
pembedahan di dalam negara.
5.   Memandangkan masalah-masalah ini,  Kerajaan berpendapat
sudah   tiba   masanya   negara   mempunyai   sebuah   pusat
perkhidmatan  rawatan  pakar  jantung yang dilengkapi dengan
kemudahan  dan  peralatan  yang  serba  moden  dan  terkini.
Penubuhan  IJN  bukan  sahaja  akan  dapat memenuhi matlamat
negara  untuk  mempertingkatkan  kepakaran   dalam   merawat
pelbagai  jenis penyakit jantung, tetapi juga untuk membantu
mengatasi kes-kes sakit  jantung  yang  tertangguh  semenjak
sekian lama.
6.   Adalah  tidak  benar  bahawa   IJN   ditubuhkan   untuk
memanfaatkan golongan yang berada ataupun mereka yang  mampu
membayar  sahaja.  Matlamat utama penubuhan IJN adalah untuk
menyediakan kemudahan perkhidmatan  kepakaran  bagi  merawat
semua  rakyat  Malaysia  yang mempunyai penyakit jantung dan
bukannya hanya untuk golongan tertentu.   Apabila  keputusan
diambil  untuk  mengkorporatkan  IJN, salah satu objektifnya
ialah agar tanggungjawab sosial  Kerajaan  untuk  menanggung
kos  rawatan  bagi  kakitangannya  dan juga bagi mereka yang
berpendapatan rendah dan layak akan terus dapat  dikekalkan.
Sehingga  kini, objektif ini telah dapat dilaksanakan dengan
baik.   Daripada sejumlah 1,683  orang  pesakit  yang  telah
mendapat  rawatan  di  IJN  sehingga kini, seramai 863 orang
ataupun 51 peratus adalah  terdiri  daripada  golongan  yang
berpendapatan rendah.
7.   Ini  adalah  sejajar dengan kehendak Kerajaan supaya 55
peratus daripada jumlah pesakit yang dirawat di IJN mestilah
terdiri daripada golongan miskin,  sementara  golongan  yang
berada  dihadkan  kepada  15  peratus  sahaja dan selebihnya
untuk  golongan  pertengahan.   Walau   bagaimanapun,   saya
berharap    kemudahan    yang    disediakan   ini   tidaklah
disalahgunakan di mana mereka yang berkemampuan juga memohon
untuk dikecualikan daripada membiayai kos rawatan.
8.   Semenjak  kebelakangan ini  banyak  telah  diperkatakan
mengenai   kemalangan-kemalangan   yang  dikatakan  berpunca
daripada kelalaian dan kecuaian para doktor  dan  kakitangan
hospital.      Pendedahan kes-kes kemalangan ini menunjukkan
bahawa profesion  perubatan  juga  tidak  terlepas  daripada
kritikan  orang  ramai,  seperti  juga  profesion yang lain.
Jelas juga bahawa rakyat Malaysia kini lebih peka akan
hak-hak mereka dan berani menuntut mutu perkhidmatan rawatan
perubatan yang lebih baik dan berkualiti.
9.   Dalam hal ini,  sukalah  saya  menekankan  sekali  lagi
pentingnya     hospital-hospital     sentiasa     memberikan
perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.  Hospital swasta
terutamanya perlu mengimbangi perkhidmatannya  bukan  sahaja
kepada   pendapatannya   tetapi  juga  dengan  tanggungjawab
sosialnya.
10.  Konsep kualiti mempunyai tafsiran dan makna  yang  luas
dan   berbeza.       Ada  yang  mengaitkan  kualiti  sesuatu
perkhidmatan tersebut dengan kos,   iaitu lebih  tinggi  kos
sesuatu  perkhidmatan,  lebih baik kualitinya.   Bagi sektor
swasta pula, kualiti mungkin bermakna peningkatan  di  dalam
keuntungan  syarikat  yang diukur daripada pertambahan dalam
jumlah jualan dan  pelanggan.    Ada  pula  yang  mengatakan
bahawa   perkhidmatan  dan  layanan  kakitangan  yang  boleh
memuaskan hati  pelanggan  seperti  bersopan-santun,  mesra,
cekap,   menepati   masa   dan   boleh   dipercayai   adalah
perkhidmatan  yang  berkualiti.    Tidak  kurang  juga  yang
mengaitkan  peralatan  dan  teknologi  yang digunakan dengan
kualiti, iaitu  semakin  canggih  teknologi  yang  digunakan
dalam sesuatu perkhidmatan, lebih tinggilah kualitinya.
11.   Kesemua tafsiran mengenai kualiti yang disebutkan tadi
mungkin betul dan  harus  ada  pada  bidang  perubatan  yang
menyediakan  kemudahan dan perkhidmatan rawatan kepada orang
ramai.  Bagaimanapun saya rasa pada amnya, perkhidmatan yang
berkualiti ialah perkhidmatan yang  dapat  memenuhi  harapan
atau  'expectation'  pesakit yang datang mendapatkan rawatan
dan mereka  ini  berpuas  hati  dengan  tahap  layanan  yang
diterima.
12.   Kemudahan  atau perkhidmatan  yang disediakan mestilah
juga  selamat  dan  berfungsi  untuk  digunakan,   contohnya
preskripsi  ubat kepada pesakit mestilah dinyatakan dos yang
betul dan mudah digunakan.  Perkhidmatan yang diberikan juga
hendaklah menepati masa yang  bersesuaian  supaya  ia  dapat
memberi faedah yang maksimum kepada orang ramai.
13.   Selain  daripada  itu,  maklumat-maklumat yang ditulis
oleh jururawat atau doktor mengenai pesakit hendaklah  tepat
dan  jelas  agar kesilapan tidak berlaku apabila pesakit ini
nanti dirujukkan ke  bahagian  atau  kakitangan  yang  lain.
Tidak   kurang   penting  juga  ialah  daya  ketahanan  atau
`durability'  sesuatu  kemudahan  yang   disediakan,   iaitu
seperti  ubat  yang diberikan kepada pesakit hendaklah diisi
di dalam bekas yang tidak mudah rosak apabila digunakan.
14.   Selain daripada  kriteria-kriteria  penentuan  kualiti
perkhidmatan  yang  saya  sebutkan  tadi,  pihak  pengurusan
hospital juga  perlu  mempasti  lokasi  atau jarak di antara
sesuatu  jabatan  dengan  jabatan  lain haruslah mudah untuk
dikunjungi  oleh  pesakit.     Kemudahan-kemudahan   fizikal
seperti  papan  tanda,  tandas awam dan tempat menunggu yang
bersih dan selesa juga harus diambilkira  dalam  menyediakan
kemudahan   kepada   orang  ramai.    Layanan  dan  kepekaan
kakitangan  hospital  dalam  melayan  permintaan  dan  aduan
daripada  orang  ramai  serta  tindakan  yang  segera  untuk
mengatasi masalah yang dikemukakan juga mestilah diutamakan.
15.   Dalam hal ini, saya  ingin  menyarankan  kepada  semua
pengurusan  hospital  supaya  dapat  membentuk satu standard
yang   boleh   dijadikan   ukuran   kualiti   bagi   sesuatu
perkhidmatan atau kemudahan yang diberikan.
16.    Setiap  hospital  perlu dilengkapkan dengan peralatan
yang memuaskan,  canggih  dan  berteknologi  tinggi,  tetapi
kelengkapan  peralatan  ini  semata-mata tidak akan menjamin
dapat  memberikan  perkhidmatan  yang  berkualiti  sekiranya
kemahiran kakitangan mengunakannya tidak dapat ditingkatkan.
Latihan-latihan  di  dalam  perkhidmatan  sama  ada di dalam
mahupun di luar negara amat  penting  ke  arah  meningkatkan
kepakaran  dan  kemahiran mereka.   Dengan adanya kakitangan
yang terlatih dan mahir, sudah pasti mereka ini  akan  dapat
memberikan  perkhidmatan  yang berkualiti kepada orang ramai
dan pesakit.
17.  Di samping itu, penyenggaraan peralatan yang  digunakan
juga  perlu  diberikan  perhatian.    Ini  bagi  mempastikan
peralatan tersebut dapat berfungsi dengan baik  setiap  masa
dan  juga  mempunyai  ketahanan  yang  lebih  lama.   Selain
daripada peralatan yang  moden  dan  kakitangan  yang  mahir
untuk  mengendalikannya, beberapa inovasi dan kemudahan baru
harus diperkenalkan  oleh  pihak  hospital  dari  semasa  ke
semasa.
18.   Program   atau    aktiviti-aktiviti    bagi   mencapai
kecemerlangan dalam perkhidmatan  atau  mendapatkan  kualiti
dalam   perkhidmatan  tidak  akan  berjaya  sekiranya  tidak
mendapat   sokongan   daripada  semua  peringkat  kakitangan
hospital yang ada.  Program  ini  juga  tidak  akan  berjaya
sekiranya perubahan pada sikap kakitangan tidak ada.  Adalah
amat penting  bagi  kakitangan  supaya  sentiasa berusaha ke
arah mempertingkatkan  daya  inisiatif  dan  dedikasi  untuk
menentukan  perkhidmatan yang diberikan itu berkualiti.
19.   Akhir kata,  saya percaya dan berkeyakinan usaha-usaha
murni yang dilakukan oleh pakar-pakar jantung serta komitmen
oleh pegawai dan  kakitangan  IJN di  semua  peringkat  akan
dapat   menolong   menyelamatkan   banyak   nyawa.    Dengan
kesungguhan,  komitmen dan dedikasi  yang  ada  pada mereka,
saya  yakin IJN  berupaya  dan  akan  muncul  sebagai  pusat
rawatan dan rujukan kardiothorasik yang unggul bukan  sahaja
dalam negara  tetapi juga di rantau ini.
20.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Institut
Jantung Negara.

 
 



 
Google