home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	23/07/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PERKHIDMATAN TADBIR DAN 
			DIPLOMATIK PPTD) 


 
    Saya   mengucapkan   terima   kasih   kepada  Persatuan
Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik kerana menjemput saya  ke
Majlis Jamuan Makan Malam PPTD tahun ini.
2.   Saya  berasa  gembira  diberi peluang ini untuk beramah
mesra dan  mengeratkan  lagi  hubungan  antara  kita  semua.
Persefahaman  dan kerjasama antara pemimpin Kerajaan pilihan
rakyat,  iaitu  pemimpin  politik,  para   pentadbir   serta
pemimpin-pemimpin  korporat  di dalam sesebuah negara adalah
sangat  penting dalam usaha memajukan  negara.      Pemimpin
pemimpin pengurusan yang diamanah dan diharapkan oleh rakyat
untuk  menguruskan  hal  ehwal negara perlu sentiasa komited
serta kreatif dalam menangani segala cabaran.  Mereka  harus
cekap  dan  tekun  dalam menjalankan urusan mereka.   Mereka
perlu mempunyai 'vision' dan 'a sense  of  mission'  apabila
menjalankan  tugas.    Bagi  mereka balasan yang utama ialah
prestasi kejayaan yang mereka capai dalam menjalankan tugas.
Dan  kejayaan  ini  terbukti  dan  boleh   diukur   daripada
pertumbuhan yang ditunjuk oleh negara.
3.    Kita  harus  mempunyai  komitmen  yang  mendalam untuk
membawa negara menempuh Abad ke-21.   Hanya Malaysia  sahaja
antara  negara-negara  di dunia yang mempunyai matlamat yang
tetap dan tepat.   Kita  telah  tentukan  bahawa  kita  mahu
menjadi  sebuah  negara  maju  pada  tahun 2020.   Penentuan
matlamat  ini  penting.     Ia  menolong   perancangan   dan
penyusunan langkah untuk matlamat berkenaan.
4.   Segala-galanya  akan ditentukan oleh Tuhan.  Tetapi ini
tidak  bermakna  kita  tidak  boleh  menentukan   arah   dan
matlamat.    Insya-Allah  jika  kita  betul-betul  berusaha,
kemungkinannya  ialah  kita  akan  mencapai  matlamat  kita.
Sebaliknya  jika  kita tidak tahu ke mana hendak kita pergi,
agak sukar bagi kita mengatur langkah dan  kemungkinan  kita
mencapai sesuatu agak lemah.
5.   Untuk  mencapai sesuatu matlamat bagi diri sendiri atau
bagi  negara,  banyak  yang  perlu  diketahui  dan   dibuat.
Semuanya  penting,  walaupun ada yang lebih penting daripada
yang lain.  Antara perkara yang penting bagi sesebuah negara
yang perlu kita tahu  dan  kita  usahakan  ialah  kestabilan
politik.
6.    Kita  boleh  lihat  bagaimana negara yang tidak stabil
politiknya tidak  dapat mencapai  kemajuan  walaupun  faktor
faktor  lain  amat  sesuai.    Sesebuah  negara mungkin kaya
daripada segi sumber alam, kecerdikan rakyat  dan  kecekapan
bekerja,  tetapi kerana politik tidak stabil maka semua aset
ini menjadi sia-sia sahaja.
7.    Sebaliknya jika  politik  stabil  walaupun  kekurangan
aset,  kemajuan  boleh  juga  tercapai.    Di  Malaysia kita
mempunyai banyak faktor  yang  boleh  'destabilise'  politik
kita.    Tetapi  kerana  rakyat  sedar  bahawa politik untuk
politik adalah sia-sia, maka keghairahan  untuk  berideologi
atau  berpuak-puak  atau  bersikap  fanatik  kepada pemimpin
tidak mengganggu ketenteraman dan kestabilan negara.   Tolak
ansur dan toleransi menjadi amalan kita.
8.   Para pentadbir dan pengurus dalam Kerajaan, mahu pun di
pihak   swasta,   perlu  faham  akan  pentingnya  kestabilan
politik.  Mungkin kerananya ada pihak  yang  tidak  mendapat
semua  yang  dituntut.    Tetapi  mendapat sebahagian adalah
lebih baik daripada memperolehi semua yang sudah rosak.
9.   Walaupun secara langsung pengurus dan  pentadbir  tidak
terlibat  dengan  politik,  tetapi  kesan daripada usaha dan
urusan mereka dapat  menentukan  politik  akan  stabil  atau
tidak.   Secara umum negara yang ditadbirkan dengan baik dan
berjaya  daripada   segi   ekonomi   lebih   mudah   stabil.
Sebaliknya seperti yang telah disebutkan, kestabilan politik
pula  memudahkan  proses  pertumbuhan  ekonomi.   Dengan itu
adalah  jelas  bahawa  politik  dan  ekonomi   tidak   boleh
dipisahkan,  bahkan  masing-masing bergantung di antara satu
dengan  lain.    Pengurus  dan  pentadbir  hendaklah   faham
mengenai  kaitan yang rapat di antara kedua-dua perkara ini,
dan dengan itu akan  berusaha  melahirkan  pentadbiran  yang
baik  yang boleh membantu pembangunan ekonomi dan kestabilan
politik.
10.  Faktor kedua yang boleh  menentukan  kejayaan  sesebuah
negara  ialah  peranan pentadbir dan pihak swasta.  Mengikut
tradisi pemerintahan lama,  pentadbir hanya mentadbir segala
galanya termasuk sektor swasta.  Dengan itu sikap  pentadbir
kepada  swasta  ialah  sebagai  pentadbir  atau penguatkuasa
undang-undang  dan  peraturan-peraturan.    Yang  diutamakan
ialah   undang-undang   dan  peraturan-peraturan  dan  bukan
kepentingan swasta.  Adalah dipercayai bahawa  undang-undang
dan peraturan-peraturan adalah untuk kebaikan masyarakat dan
negara.      Bahawa  undang-undang  dan  peraturan-peraturan
mungkin menghalang urusan perniagaan  dan  perusahaan  tidak
mendapat perhatian pentadbir.
11.   Dengan  ini  perhubungan  antara  pentadbir  dan pihak
swasta tidak digalakkan.   Sudah tentu kerjasama  di  antara
kedua-dua pihak ini tidak wujud.
12.   Tetapi  sebenarnya  kekayaan  dan  pembangunan  negara
bergantung kepada kejayaan peniaga  dan  pengusaha.    Bukan
sahaja  mereka  dikehendaki  membayar cukai kepada Kerajaan,
tetapi juga kegiatan mereka  menolong  'money  circulation',
mewujudkan   peluang-peluang   pekerjaan   dan  menggerakkan
ekonomi.  Wang yang tidak  bergerak tidak akan  membawa  apa
apa faedah.  Peniaga dan pengusaha menggerakkan wang.  Tanpa
mereka pertumbuhan ekonomi tidak mungkin.
13.   Jika  peranan swasta dalam  pertumbuhan ekonomi diakui
maka  Kerajaan  yang  ingin  membangunkan  negara  hendaklah
berusaha  supaya  pihak  swasta dapat berfungsi dengan baik.
Justeru itu,  kerjasama  antara  Kerajaan,  pentadbiran  dan
pihak  swasta  adalah  wajar.   Ia boleh menolong mewujudkan
iklim perdagangan yang baik.
14.    Konsep  Persyarikatan   Malaysia   diasaskan   kepada
kesedaran  ini.    Walaupun  penyelewengan  mungkin berlaku,
tetapi faedah daripada kerjasama ini adalah  lebih  daripada
kemungkinan berlakunya perkara yang buruk.
15.    Kita  tidak  dapat  menilai  secara kuantitatif hasil
daripada pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia.   Tetapi
hakikatnya ialah pertumbuhan ekonomi Malaysia sekarang lebih
tinggi dari masa tidak adanya konsep Persyarikatan Malaysia.
Sedikit  sebanyak  konsep ini atau kerjasama awam dan swasta
telah menyumbang kepada kemajuan negara.
16.   Memang  benar  konsep  Persyarikatan  Malaysia  sahaja
dengan  sendirinya  tidak  mungkin membawa kejayaan.  Tetapi
faktor ini tetap berperanan penting.
17.   Faktor  ketiga ialah  organisasi.    Kelebihan  negara
negara  Barat  di  zaman  dahulu ialah mereka lebih tersusun
dalam pentadbiran mereka, sama ada di peringkat negara  atau
di  peringkat  pasukan.    Tentera  mereka  disusun rapi dan
mempunyai 'hierarchy' yang jelas --  daripada  'general'  di
atas  hingga  kepada  'trooper' di bawah.  Cara-cara memberi
arahan juga ditentukan dan mempunyai maksud  yang  diketahui
oleh  semua peringkat.   Dengan ini maka segala urusan dapat
berjalan dengan tertib dan lancar.   Faktor organisasi  yang
kemas  inilah yang membolehkan negara Barat,  dengan pasukan
pasukan  yang  kecil  menakluki,  menguasai  dan   mentadbir
wilayah-wilayah  di  Afrika, Amerika dan Asia yang mempunyai
penduduk yang begitu ramai.
18.  Hari ini kita telah sedar akan pentingnya berorganisasi
dan berperaturan.   Dengan menyusun  diri  dalam  organisasi
kita   telah   dapat  merebut  balik  kemerdekaan  kita  dan
mendirikan pentadbiran yang efektif.    Sudah  tentu  dengan
pentadbiran  yang  lebih  cekap  dan  lebih kemas, kita akan
lebih berjaya.
19.  Para pentadbir dan pengurus tentu  sedar  akan  hakikat
ini.    Usaha  untuk  meningkatkan  struktur  organisasi dan
menyusun pengurusannya tidak mempunyai  had.    Negara  yang
ingin  berjaya perlu menyemak struktur dan urusan organisasi
pentadbirannya  sepanjang  masa.    Dengan  alat-alat  moden
pengurusan  menjadi lebih mudah dan lebih cepat.  Pendekatan
baru dan latihan yang berulang adalah perkara  yang  penting
bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran.
20.  Susunan 'hierarchy' adalah penting.  Tetapi 'hierarchy'
tanpa  disiplin  tidak  bermakna.   Justeru itu, pentadbiran
yang ingin berjaya perlu  berdisiplin.    Disiplin  bermakna
organisasi adalah lebih penting daripada anggota individu.
21.   Malaysia sedang bergerak ke arah Wawasan 2020, ke arah
menjadi sebuah negara maju.  Untuk bergerak dengan berkesan,
selain  daripada  mengenali  matlamat,  kita  perlu   kepada
kefahaman   dan  tindakan.     Banyak  faktor  yang  penting
diperlukan.
22.  Tetapi di sini kita menekankan  beberapa  faktor  utama
sahaja.    Kita perlu kepada kestabilan politik.  Kita perlu
kepada  Persyarikatan  Malaysia.    Dan  kita  perlu  kepada
organisasi-organisasi  yang  berdisiplin.  Insya-Allah  jika
kita ada tiga faktor ini  kemungkinan  kita  menjadi  negara
maju pada tahun 2020 adalah cerah.
23.    Sebagai  anggota  PTD,  tuan-tuan  dan puan-puan akan
memainkan peranan yang kritikal.  Oleh itu fahaman tuan-tuan
dan  puan-puan  terhadap   faktor-faktor  utama  ini  adalah
penting.  Sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan negara
dan bangsa kita bermaruah dan dihormati.
24.   Dengan ini,  saya mengucapkan selamat maju jaya kepada
pegawai-pegawai  Perkhidmatan  Tadbir  dan  Diplomatik   dan
semoga  tuan-tuan dan puan-puan akan terus bekerjasama dalam
memenuhi  amanah  yang   diberikan  kepada   tuan-tuan   dan
puan-puan.
                Terima kasih.

 
 



 
Google