home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NURUL IMAN, BANDAR SERI BEGAWAN Tarikh/Date : 02/08/93 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN NEGARA SEMPENA LAWATAN RASMI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BISMILLAHHI RAHMANNIR RAHIM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli-Duli Yang Teramat Mulia, Para Tetamu Yang Dihormati sekalian, Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Izinkan patek terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku di atas limpah perkenan Tuanku mengadakan Majlis Jamuan pada malam ini sempena lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam. Ribuan terima kasih juga diucapkan di atas sambutan serta layanan mesra yang telah diberikan kepada rombongan Malaysia semenjak tiba di Bandar Seri Begawan yang indah lagi aman ini. Sambutan dan layanan mesra ini adalah satu penghormatan yang besar kepada kami semua dan juga kepada Kerajaan Malaysia. 2. Sungguhpun lawatan ke Negara Brunei Darussalam sudah beberapa kali dilakukan, namun lawatan rasmi ini adalah tanda penghormatan dan sanjungan tinggi Kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang merdeka dan berdaulat. Di sini, sukalah juga disampaikan ucapan selamat dan salam persahabatan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia kepada Tuanku, Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam, berserta doa semoga persahabatan dan persaudaraan di antara kedua-dua negara akan terus berkekalan. Tuanku, 3. Kerajaan Malaysia berasa amat puashati bahawa pada hari ini hubungan di antara kedua-dua negara kita amat rapat dan akrab sekali. Banyak perjanjian kerjasama telah dimeterai dan tukar- menukar lawatan sering diadakan. Semuanya ini bertujuan merapatkan lagi kerjasama dan persahabatan di antara kedua-dua negara. Dengan adanya persetujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bersama di antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam, dipercayai usaha ke arah kerjasama dua hala yang lebih luas dapat dipertingkatkan lagi dan apa- apa masalah yang ada di antara kedua-dua negara dapat diselesaikan secara aman dengan semangat persaudaraan. Persefahaman dan kerjasama ini begitu penting bukan sahaja sebagai asas keamanan dan kestabilan di rantau kecil ini, tetapi juga sebagai sumbangan positif terhadap keamanan dan kestabilan di seluruh Asia Tenggara. Juga pentingnya ialah hubungan erat di antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam ini dapat meningkatkan terus kegemilangan bangsa dan budaya Melayu yang sama-sama kita cintai. Budaya Melayu yang kaya dan indah ini perlu digembur dan dipupuk supaya ia terus subur dan mendapat tempat yang dihormati dalam budaya antarabangsa. 4. Di samping kerjasama dua hala, kedua-dua negara kita juga telah bekerjasama rapat dan saling bantu-membantu dalam ASEAN dan di forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam. Kerjasama ini lahir kerana Malaysia dan Negara Brunei Darussalam mempunyai pandangan dan pendirian yang sama mengenai isu-isu penting yang melibatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan antarabangsa. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Tuanku atas sokongan Negara Brunei Darussalam kepada beberapa inisiatif yang diambil oleh Malaysia, termasuklah EAEC yang sekarang mendapat persetujuan negara-negara Asia Timur. 5. Di sini sukalah ditegaskan betapa pentingnya bagi negara- negara ASEAN mengadakan kerjasama yang menyeluruh antara mereka supaya ASEAN benar-benar teguh dan bersatu bagi menghadapi tekanan dan cabaran daripada mana-mana pihak. Sambil mengalu- alukan kerjasama dan sokongan daripada negara-negara luar, ASEAN haruslah menjadi penggerak utama dan menerajui apa juga usaha berkaitan dengan ekonomi, keamanan dan kestabilan Asia-Tenggara. Kemampuan ASEAN memainkan peranan ini jelas terbukti daripada kejayaan yang dicapai dalam usaha mencari penyelesaian bagi masalah Kemboja, persetujuan menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dalam jangka waktu lima belas tahun dan juga persetujuan menubuhkan EAEC. Tuanku, 6. Syukur alhamdulillah kedua-dua negara kita menikmati keamanan dan kemakmuran sekian lama. Di bawah pemerintahan Tuanku, Negara Brunei Darussalam telah mencapai banyak kemajuan dan sanggup memainkan peranan yang aktif dalam fo- rum antarabangsa. Begitulah juga Malaysia di mana Kerajaan Barisan Nasional telah berjaya menyatu-padukan rakyat dan membangun negara dengan pesatnya. Dalam keadaan aman dan makmur ini dan sesuai dengan pendirian Kerajaan untuk menyumbang ke arah perdamaian dan kestabilan dunia dan membantu mereka yang malang, Malaysia telah mengambil bahagian dalam beberapa operasi keamanan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu, termasuk di Kemboja dan Somalia. Pada masa ini Malaysia sedang memberi perhatian serius kepada keadaan di Bosnia-Herzegovina, di mana rakyat Islam terutamanya, sedang menghadapi kekejaman dan keganasan puak Serb. Laungan meminta pertolongan dan bantuan untuk mempertahankan diri langsung tidak dihiraukan oleh negara-negara Eropah. Malaysia tidak sanggup melihat keadaan ini berlarutan dan sedang berusaha dengan negara-negara lain untuk membantu rakyat Islam Bosnia mempertahankan nyawa dan hak mereka. Dalam hal ini Kerajaan Malaysia mengalu-alukan apa jua sokongan dan bantuan Kerajaan Tuanku bagi menyelamatkan negara Bosnia-Herzegovina mencapai matlamat ini. 7. Akhir kata, patek memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala agar Tuanku, Raja Isteri dan Pengiran Isteri serta semua kerabat di Raja dan rakyat Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat peliharaan dan perlindungan daripadaNya serta dikurniakan keberkatan, rahmat dan hidayat ke arah kejayaan yang cemerlang dalam usaha pembangunan Negara Brunei Darussalam. Wabillahi taufik, walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |