home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 06/08/93 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERPADUAN HARI PEKERJA 1993 Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke Majlis Makan Malam Perpaduan Sempena Hari Pekerja tahun ini. Ini adalah kali ketiga Kerajaan menganjurkan upacara Sambutan Hari Pekerja dan ianya merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap sumbangan para pekerja kepada pembangunan negara. Adalah diharapkan Majlis seumpama ini dapat memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan, majikan dan para pekerja dalam usaha kita membawa Malaysia ke taraf negara maju menjelang tahun 2020. 2. Kita patut bersyukur, bahawa sementara negara-negara Barat dan perindustrian serta negara-negara membangun yang lain mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan kadar yang menggalakkan. Ini disebabkan keadaan politik negara yang stabil, dan tenaga pekerja kita yang terkenal kerana rajin, cekap, produktif dan berdisiplin. Faktor- faktor ini telah menjadi daya penarik kepada para pelabur asing dan tempatan untuk melabur di negara kita. Dengan ini kita berjaya menjadikan sektor perkilangan sebagai teras dan paksi kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi menggantikan industri sumber alam seperti getah dan bijih timah. 3. Dengan kejayaan program perindustrian, usaha kita untuk menjadi negara maju adalah cerah. Jika peralihan dari pengeluaran bahan mentah kepada industri pembuatan tidak dibuat pada waktu yang tepat, hari ini ekonomi kita akan lumpuh kerana harga timah dan getah adalah begitu rendah. Ramai pekerja kita akan menganggur. Namun kita harus ingat bahawa membuat keputusan untuk mengalih daripada pengeluaran bahan mentah kepada industri pembuatan adalah mudah. Yang menjadi masalah ialah tindakan susulan untuk menjayakan peralihan ini. Banyak yang perlu dilakukan oleh Kerajaan dan tidak kurang pentingnya ialah penerimaan dan kesanggupan masyarakat pekerja terhadap perubahan cara bekerja dan cara hidup mereka. 4. Mengikut 'World Competitiveness Report 1993', Malaysia sekali lagi merupakan negara keempat yang paling 'competitive' di kalangan 'industrialising countries'. Ini satu pencapaian yang boleh kita banggakan memandangkan pada hari ini semua negara membangun sentiasa mengambil langkah- langkah untuk meningkatkan lagi daya saing atau 'competitiveness' mereka. Daya saing barangan yang sama kualiti dan kecanggihan bergantung kepada kos. Antara faktor-faktor yang boleh mengurangkan kos ialah upahan yang tidak tinggi dan peningkatan daya pengeluaran. Jika pada hari ini negara-negara membangun yang tidak mempunyai modal atau teknologi atau pasaran yang besar, atau kecekapan pengurusan, atau sokongan media dapat bersaing dengan jayanya dengan negara-negara maju yang memiliki semua kelebihan ini, sebabnya ialah kerana kos upahan pekerja negara-negara maju kini terlalu tinggi dan pekerja-pekerja mereka mengurangkan masa kerja. Jika kita yang serba kekurangan ini mengikuti desakan mereka supaya menaikkan upahan dengan sewenang-wenangnya, mengurangkan masa kerja dan kerap mengadakan tindakan perusahaan, maka kos kita juga akan meningkat dan kita akan menjadi tidak kompetitif. Pelaburan oleh pelabur asing dan tempatan akan berkurangan dan pekerja akan menganggur. Dalam keadaan pengangguran yang tinggi, upah bagi pekerja akan menurun. 5. Apakah ini bermakna bahawa upahan pekerja tidak harus naik sama sekali? Sebenarnya kemajuan negara tidak bermakna jika masyarakat pekerja yang menjadi sebahagian besar daripada warganegara tidak menikmati taraf hidup yang semakin baik. Pendapatan pekerja harus meningkat. Tetapi peningkatannya hendaklah melalui peningkatan daya pengeluaran. Dengan ini kos tidak akan meningkat dan daya saing tidak akan terjejas. Di samping itu inflasi juga tidak akan melanda pasaran kita, dan tambahan pendapatan pekerja boleh membeli lebih banyak barangan kerana harganya tidak naik. Upahan yang naik tidak bermakna jika harga barangan turut naik pada paras yang sama. 6. Peningkatan daya pengeluaran boleh dicapai dengan peningkatan kecekapan, dengan bekerja lebih kuat, dengan bersedia mempelajari cara-cara pengeluaran yang baru, dengan etika kerja yang tinggi, dengan suasana kerja yang tertib, dengan disiplin dan banyak lagi cara. Semua cara ini tidak melibatkan tambahan kos. Sebaliknya pengeluaran akan meningkat. Inilah yang dikatakan peningkatan daya pengeluaran atau 'increased productivity'. Dengan ini upahan boleh dinaikkan tanpa menambah kos dan menaikkan harga barang. 'Competitiveness' tidak akan terjejas. 7. Kegagalan industri di Barat adalah disebabkan oleh kenaikan kos sehingga barangan mereka tidak lagi dapat bersaing dengan barangan dari Asia, termasuk negara-negara membangun seperti Malaysia. Di zaman kolonial mereka boleh menghalang industri daripada diadakan di tanah yang dijajah oleh mereka, boleh mengawal dan menurunkan harga bahan mentah dari tanah jajahan mereka dengan menggunakan 'kuli-kuli' India dan Cina yang dibayar upah yang rendah dan memaksa penduduk tanah jajahan mereka membeli barangan buatan mereka dengan apa juga harga yang ditetapkan oleh mereka. 8. Dengan cara ini mereka boleh menaikkan gaji pekerja mereka, mengurangkan masa kerja, membayar 'severance pay' dan elaun menganggur yang tinggi sepanjang masa. Majikan mereka dapat mengaut keuntungan yang tinggi dan membayar dividen yang lumayan. Industri mereka berkembang maju dan bertambah, sementara pekerja mereka mendapat peluang bekerja yang banyak. Namun pekerja mereka terus menuntut upahan yang lebih tinggi. Jika mereka menggugat 'Industrial peace' dengan mengambil berbagai-bagai tindakan perusahaan, tidak ada apa-apa kesan buruk berlaku kerana mereka menguasai sumber bahan mentah, kos di tanah jajahan mereka dan pasaran dalam empayar mereka. Inilah 'economic order' zaman kolonial, di mana segala-galanya ditentukan oleh kerajaan kolonial. 9. Hari ini mereka tidak mempunyai empayar lagi. Negara- negara yang bebas daripada penjajahan mereka boleh memasuki bidang industri pembuatan dan boleh mengeluarkan barangan yang dahulu hanya mereka sahaja boleh mengeluarkan. Dengan itu negara-negara Barat terpaksa bersaing dalam pasaran terbuka dengan negara-negara membangun. Tetapi tabiat kerja mereka tidak berubah. Mereka terus menuntut upahan yang tinggi, masa kerja yang semakin kurang dan bayaran pengangguran yang tinggi. Eksekutif mereka mahu gaji yang terlalu tinggi dan pemegang saham mereka mahu dividen yang berlebihan. Hasilnya ialah harga barangan mereka meningkat sehingga tidak dapat bersaing dengan barangan yang sama dari negara membangun seperti Malaysia. 10. Mereka juga masih tidak sanggup mengurangkan upahan mereka dan bayaran 'dole' yang tinggi. Oleh kerana Kerajaan membayar 'dole' yang tinggi, upahan kerja tidak dapat diturunkan. Dengan itu pelabur tidak berminat untuk melabur di negara mereka kerana tidak mungkin mendapat keuntungan. Sebaliknya mereka melabur di negara-negara membangun di mana upahan adalah rendah. Dengan tindakan ini, semakin ramai yang menganggur dan semakin tinggi belanja Kerajaan untuk membayar 'dole'. Dan Kerajaan yang menghadapi masalah ekonomi yang malap tidak mampu membayar 'dole' yang meningkat. Tetapi mereka tidak dapat mengurangkan 'dole' kerana sara hidup di negara mereka begitu tinggi. Lagipun mana-mana Kerajaan yang cuba mengurangkan bayaran 'dole' akan dikalahkan dalam pilihanraya. 11. Oleh kerana mereka tidak sanggup mengurangkan upahan pekerja dan menurunkan taraf hidup mereka untuk memulihkan keupayaan bersaing, mereka merancang untuk menaikkan kos barangan dari negara-negara membangun. Tiba-tiba pekerja dan kesatuan sekerja di negara-negara maju menunjukkan simpati kepada pekerja di negara-negara membangun. Kalau dahulu mereka tidak mempedulikan nasib malang 'kuli-kuli' yang bekerja ditanah jajahan empayar mereka, sekarang mereka menyatakan kesedihan mereka kerana pekerja di negara membangun kononnya tidak bebas mengambil tindakan perusahaan, di bayar upah yang rendah dan dikenakan beban kerja yang berat. 12. Mereka mahu supaya para pekerja negara membangun mengadakan kesatuan sekerja yang kuat dan militan yang gemar mogok dan sepanjang masa menuntut kenaikan gaji dan mengurangkan masa kerja dan lain-lain lagi yang boleh menaikkan kos pengeluaran barangan. Dengan ini mereka berharap barangan mereka akan dapat bersaing dengan jayanya dengan barangan dari negara-negara membangun. 13. Yang anihnya mereka tidak menghiraukan nasib pekerja- pekerja yang termiskin yang tidak mengeluarkan barangan yang bersaing dengan barangan mereka. Sebenarnya nasib pekerja di 'least developed countries' atau LDC yang gagal memasuki bidang industri adalah jauh lebih buruk. Tetapi tidak ada simpati dan 'brotherhood' yang ditunjukkan oleh pekerja dan kesatuan sekerja dari negara maju ini kepada pekerja dari LDC. Di sini jelaslah bahawa simpati dan persaudaraan pekerja dan kesatuan sekerja dari negara maju ini tidak ikhlas, tetapi bertujuan untuk menghancurkan ekonomi negara membangun yang berjaya memasuki bidang industri seperti Malaysia. 14. Kita berharap pekerja dan kesatuan sekerja di Malaysia tidak terpedaya dengan simpati dan persaudaraan pekerja daripada kesatuan sekerja negara maju ini. Jika nasihat dan bantuan mereka diterima akibatnya ialah pembangunan negara kita akan terjejas dan peluang kerja serta 'security' pekerjaan kita akan tergugat. Akhirnya kita akan balik semula menjadi miskin sementara mereka akan terus kaya dan hidup mewah dengan upahan dan kemudahan yang lumayan. 15. Sebenarnya tidak ada cara untuk cepat kaya, baik bagi pengusaha atau pekerja. Mogok dan ugutan kepada majikan mungkin akan berjaya menaikkan upahan dan lain-lain balasan dengan cepat. Tetapi negara dan pekerja yang terkenal kerana suka mengambil tindakan perusahaan tidak akan dapat menarik pelabur dan membangunkan negara. Pengangguran akan meningkat. Negara seperti Malaysia di mana kita tidak mampu mengadakan sistem 'dole' akan menghadapi tekanan pengangguran yang teruk. Apabila bilangan penganggur meningkat, upah tetap akan menurun kerana permintaan untuk pekerja adalah kurang daripada bekalan. Akhirnya tindakan mogok pun tidak akan berhasil. Lebih banyak perusahaan terpaksa gulung tikar dan berpindah. 16. Sebaliknya cara yang terselamat dan lebih terjamin untuk menaikkan upahan ialah dengan menjayakan perusahaan di mana kita bekerja. Kita lihat di Malaysia, kerana strategi dan insentif Kerajaan berkesan, hari ini bilangan pekerja kurang daripada peluang kerja yang ditawarkan. Jika majikan tidak sanggup menaikkan upah, mereka tidak akan mendapat pekerja. Tetapi kita harus selalu sedar bahawa jika upah naik terlalu tinggi dan cepat pelabur akan pergi ke negara lain. 17. Hakikatnya ialah 'industrial peace' dan 'high produc- tivity' lebih berkesan dan lebih kekal dalam menaikkan upah pekerja daripada cara-cara yang usang seperti tindakan perusahaan. 18. Kenaikan upah cara ini pula tidak akan menyebabkan inflasi. Dengan itu tambahan pendapatan bermakna kenaikan 'purchasing power' atau daya pembelian. Jika kenaikan upah adalah kerana ugutan, dengan tidak ada kenaikan daya pengeluaran, maka inflasi tetap akan berlaku. Apabila inflasi berlaku maka kenaikan upahan tidak dapat menambah daya pembelian. Apakah gunanya pendapatan meningkat tetapi barangan yang boleh dibeli dengannya tidak bertambah? 19. Kita ingin melihat negara kita menjadi negara maju. Negara maju bermakna pekerja mendapat upahan yang meningkat dan daya pembelian yang naik bersama. 20. Inilah niat Kerajaan. Percayalah Kerajaan pilihan rakyat ini lebih bersimpati dengan pekerja negara ini daripada pekerja dan kesatuan sekerja asing. Simpati mereka adalah simpati palsu. Niat mereka adalah kebaikan bagi diri mereka dan bukan bagi pekerja kita. Sudah tentu mereka tidak bersimpati terhadap aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang mampu bersaing dan mengalahkan mereka. 21. Justeru itu pada hari ini, Hari Pekerja, kita semua harus sedar dan bertindak untuk kebaikan diri kita dengan tidak terpengaruh dengan kata-kata manis pihak asing. Hanya kita sahaja yang boleh menolong diri kita sendiri. Sekian. |