Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN SERBAGUNA, IBU PEJABAT TNB,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/08/93
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MIC kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan
Perhimpunan Agung MIC tahun ini. Ini sudah menjadi tradisi
parti-parti komponen Perikatan dan Barisan Nasional semenjak
zaman Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj menjadi pengerusi gabungan parti-parti kita. Tradisi
ini adalah unik bagi kita. Ia berpunca daripada semangat
perpaduan dan persaudaraan di kalangan kita.
2. Malangnya ada pihak di luar negeri yang tidak mahu
melihat perpaduan ini sebagai satu kebaikan. Mereka lebih
suka jika kita bermusuh-musuhan dan berpecah-belah. Justeru
itu, apabila saya mendapat sambutan gemuruh sebagai
Pengerusi Barisan Nasional di Mesyuarat Agung MCA baru-baru
ini, kebanyakan media asing membuat komen bahawa saya hadir
untuk mengesahkan atau 'endorse' pemimpin MCA. Mereka tahu
dengan komen ini, mereka memberi peluru kepada parti lawan
dan orang Cina untuk menyerang MCA. Dengan ini mereka
berharap perpaduan parti dan perpaduan kaum dalam BN akan
terjejas.
3. Mereka amat tidak senang melihat kita yang terdiri
daripada kaum-kaum yang berlainan tidak bersengketa dan
bermusuh-musuhan seperti yang berlaku di kebanyakan negara
berbilang kaum yang lain. Mereka kecewa kerana negara kita
aman dan stabil dan kita dapat membangunkan negara dengan
pesat. Mereka lebih suka jika kita dilandai dengan rusuhan
kaum yang hebat dan negara kita kucar-kacir dan tidak dapat
dibangunkan. Dengan ini mereka dapat memuaskan keangkuhan
nafsu mereka yang sentiasa berperasaan mereka 'superior' dan
lebih tahu tentang politik di mana-mana sahaja. Mereka suka
memberi nasihat berkenaan dengan segala-galanya seolah-olah
mereka lebih tahu tentang apa sahaja. Tetapi sebenarnya
mereka tidak tahu. Dan di negara mereka, mereka tidak lebih
mampu mentadbir daripada kita. Bahkan dalam soal-soal
perkauman mereka lebih ekstrim dan tidak toleran. Mereka
lupa bahawa semasa mereka menjajah kita dahulu, mereka
mengamalkan 'white superiority' dengan begitu angkuh.
Tetapi sekarang mereka cuba berlagak sebagai orang yang
begitu bebas daripada perasaan perkauman dan cuba mengajar
kita.
4. To them I would say, look at yourself first. You are
less perfect than we are. In many ways you are still
racist. You like to pass comment on others but when others
comment on your behaviour you accuse them of being unduly
sensitive. In fact, it is you who are sensitive and
intolerant.
5. In Malaysia, the Chairman of Barisan Nasional is not in
the business of endorsing leaders of the component parties.
He cannot even endorse the leaders in his own party. But in
Malaysia we believe in goodwill and togetherness. It is for
that reason that the Chairman of Barisan Nasional
traditionally officiates the opening of the general
meetings of component parties.
6. Saya gembira dan berbangga bahawa MIC sebagai salah
sebuah parti komponen Barisan Nasional kini adalah lebih
bersatu padu, stabil dan kukuh. Kekukuhan, kestabilan dan
perpaduan ini menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan
kepimpinan MIC dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh
parti. MIC hari ini lebih diterima oleh masyarakat India
Malaysia sebagai parti yang dapat menjaga kepentingan mereka
dengan lebih berkesan. Ini dapat dilihat daripada kegiatan-
kegiatan parti yang bertujuan membantu meninggikan lagi
taraf ekonomi masyarakat keturunan India. Saya juga gembira
bahawa MIC bersama-sama dengan parti-parti komponen Barisan
Nasional yang lain telah memainkan peranan yang berkesan
dalam meningkatkan perpaduan kaum dan pembangunan negara.
Ini penting jika kita ingin melihat negara ini terus stabil,
maju dan makmur.
7. MIC mungkin parti yang kecil berbanding dengan UMNO,
tetapi bagi BN, MIC adalah sama penting. Dalam BN semua
parti adalah sama atau `equal'. Tidak ada parti dalam BN
yang diberi layanan yang kurang sama. Dalam BN kita hormat-
menghormati di antara satu sama lain. Atas dasar inilah
parti-parti komponen Barisan Nasional boleh bekerjasama
antara satu sama lain. Tidak seperti parti pembangkang, BN
sentiasa mengambilkira kepentingan parti-parti komponennya.
Parti-parti pembangkang lebih mementingkan diri masing-
masing. Itulah sebabnya parti-parti pembangkang tidak
dapat menubuhkan Barisan Pembangkang yang berkesan kerana
DAP dan PAS sentiasa mahukan layanan yang khas bagi diri
masing-masing dan menganggap parti mereka lebih penting.
8. Malaysia kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah
negara maju. Dalam proses menjadi sebuah negara maju,
negara perlu perkembangan ekonomi yang pesat. Untuk
membolehkan kita mencapai matlamat Wawasan 2020, kita
memerlukan kadar pertumbuhan purata sebanyak 7 peratus
setahun. Ini kita yakin dapat dicapai dengan adanya
keazaman rakyat untuk bekerja dengan kuat dan meningkatkan
lagi produktiviti negara. Jika semenjak kita merdeka kita
berjaya mencapai pertumbuhan purata sebanyak 6.7 peratus
setahun, kita yakin akan kebolehan kita menambah hanya 0.3
peratus lagi untuk mencapai 7 peratus setahun. Wawasan kita
bukan satu impian tetapi adalah matlamat yang waras. Kita
boleh.
9. Kerajaan juga yakin banyak peluang ekonomi akan wujud
dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju. Dalam hal ini,
adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melihat semua kaum,
termasuk kaum keturunan India, memperolehi peluang dan
faedah dan tidak ketinggalan dalam proses pembangunan.
Kerajaan akan menentukan tidak ada mana-mana kaum yang
diketepikan. Bagaimanapun rakyat Malaysia tidak patut
mengharapkan Kerajaan semata-mata untuk membantu mereka.
Rakyat juga perlu berusaha dan bekerja kuat untuk merebut
peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan. Kerajaan yakin
'economic cake' yang akan kita wujudkan adalah cukup besar
untuk dibahagi-bahagikan kepada semua kaum di negara ini.
10. Justeru itu, masyarakat keturunan India Malaysia di
negara ini hendaklah sentiasa bersedia untuk merebut
peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan. Di negara kita
tidak ada halangan dan sekatan terhadap usaha-usaha
mengumpulkan harta kekayaan. Semua kaum bebas untuk mencari
kekayaan. Bagi mereka yang sanggup berusaha kuat dan tabah
menghadapi cabaran, mereka boleh berjaya. Kejayaan tidak
mengenal kaum. Ini terbukti jika kita lihat mereka yang
telah berjaya dalam sektor korporat. Mereka yang berjaya
terdiri daripada berbagai-bagai kaum.
11. Tidak ada gunanya kita menyalahi pihak-pihak lain di
atas kelemahan dan kegagalan kita. Memanglah senang untuk
kita menyalahkan orang lain. Ia merupakan cara paling
popular untuk mendapat pengaruh dan sokongan. Bagaimanapun,
ianya boleh menjadi bahaya kerana ianya boleh menaikkan
sentimen dan emosi sesuatu kaum. Jika kita tidak berhati-
hati dan hanya mementingkan kepentingan diri sendiri sahaja,
ianya boleh menimbulkan keadaan yang kurang baik. Inilah
yang sentiasa cuba dielakkan oleh Kerajaan. Kita tidak mahu
menjadi seperti parti lawan yang suka mengeksploitasikan
sentimen perkauman untuk mendapat pengaruh dan menyalahkan
Kerajaan setiap kali sesuatu masalah atau kecuaian berlaku.
12. Saya telah melawat banyak negara di dunia ini. Saya
telah berbincang dengan pemimpin-pemimpin negara-negara ini
dan melihat sendiri keadaan ekonomi dan hidup rakyat mereka.
Tidaklah keterlaluan kalau saya menyatakan bahawa kita di
sini sungguh bernasib baik. Malaysia adalah sebuah negara
yang paling berjaya dalam mengatasi masalah politik, ekonomi
dan sosial. Dalam hal ini, ramai pemimpin negara-negara
yang saya lawati mengakui akan hakikat ini dan menyanjung
tinggi kejayaan Malaysia. Mereka merasakan kita bernasib
baik kerana negara kita bukan sahaja aman dan stabil, tetapi
juga berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan
sedangkan negara-negara lain termasuk negara-negara maju
mengalami kemerosotan. Demokrasi juga diamal dan berjalan
dengan baik di negara ini walaupun ada pihak yang mencemuh
kita.
13. Pimpinan atau leadership sesebuah negara adalah penting
dan ianya adalah antara faktor utama yang menentukan
kejayaan sesebuah negara itu. Kejayaan Malaysia selama ini
adalah antara lain kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin
yang bukan sahaja berkemampuan dan berdedikasi tetapi juga
ikhlas dan jujur untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Tidak ada yang lebih buruk bagi sesuatu negara daripada
mendapat pemimpin yang tidak berwibawa. Lihatlah nasib
beberapa negara yang menjadi mundur walaupun memiliki sumber
alam yang kaya dan rakyat yang cekap dan rajin hanya kerana
pemimpin mengamalkan ideologi atau pendekatan yang salah.
Apabila pemerintahan dialih di bawah pemimpin baru seperti
di China, negara-negara ini dalam jangkamasa yang singkat
dipulihkan dan mencapai kemajuan.
14. Albania yang baru saya lawati merupakan sebuah negara
yang mana rakyatnya menderita begitu lama di bawah sistem
komunis disebabkan pemimpinnya, Enver Hoxha, yang tidak
mementingkan nasib rakyatnya. Buat begitu lama, di bawah
kepimpinan komunis, Albania menjadi sebuah negara yang
tertutup atau 'isolated'. Akibatnya ekonomi negara itu
musnah dan rakyatnya menderita. Kini sistem komunis di
Albania telah dihapuskan dan negara itu sedang berusaha di
bawah kepimpinan baru yang progresif dan dinamis untuk
memulihkan semula ekonomi negara itu.
15. Nasib yang malang juga telah menimpa beberapa negara di
Afrika dan Amerika Latin. Oleh kerana para pemimpin mereka
lebih mementingkan kuasa untuk diri sendiri daripada nasib
hidup rakyat, maka ekonomi negara-negara tersebut tidak
dapat berkembang. Akibatnya rakyat menderita dan hidup
dalam serba kekurangan.
16. Kita di sini sungguh bernasib baik. Taraf hidup kita
bukan sahaja telah meningkat, tetapi kita juga disediakan
dengan berbagai-bagai kemudahan oleh Kerajaan. Justeru
itu, adalah amat penting rakyat memilih wakil dan
pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab, berkemampuan,
jujur dan ikhlas serta mempunyai 'vision' untuk menjaga
nasib dan kebajikan rakyatnya. Jika kita salah memilih,
atau kita asyik dengan menukar-nukar pemimpin tanpa sebab,
atau kerana cita-cita besar individu tertentu, yang akan
rugi ialah negara dan rakyat.
17. Pada hari ini rakyat Malaysia boleh berasa bangga
kerana Malaysia adalah salah satu negara di dunia yang telah
berjaya. Kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama
semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbagai-bagai
kaum. Walaupun selepas negara merdeka, ramai yang
pesimistik. Kini kita telah membuktikan bahawa sesebuah
negara berbilang kaum, agama dan budaya boleh hidup aman,
damai, maju dan makmur.
18. Dengan adanya sekarang Wawasan yang menjadi panduan
untuk kita tujui, saya yakin Malaysia boleh terus mencapai
kemajuan yang lebih pesat. Ini kerana kita mempunyai
'ingredients' yang sesuai untuk terus maju. Malaysia bukan
sahaja kaya dengan hasil buminya, tetapi juga mempunyai
sumber pekerja dan pengusaha yang rajin, cekap dan
produktif. Oleh itu, rakyat Malaysia hendaklah terus
bersatupadu, bekerjasama antara satu sama lain dan hidup
saling hormat menghormati serta bertoleransi. Marilah kita
menganggap ciri kita sebagai sebuah negara berbilang kaum,
agama dan budaya sebagai satu `plus factor'. Kita telah
membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia keturunan
Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain boleh
hidup aman, damai, maju dan makmur serta mengemudi negara
ini ke tahap kejayaan. Oleh itu tidak ada sebab kita tidak
boleh membina kejayaan yang lebih besar bersama-sama di masa
depan.
19. Yang penting ialah kestabilan politik negara perlu
dikekalkan. Dalam hal ini, hanya BN sahaja yang boleh
menjamin kestabilan negara akan berterusan. Justeru itu,
saya harap masyarakat keturunan India di negara ini akan
terus menyokong MIC dan BN. Masyarakat keturunan India
perlu terus menyokong BN untuk menjamin negara akan terus
aman, maju dan makmur. MIC adalah satu-satunya parti yang
boleh mewakili kaum keturunan India dan menjaga kepentingan
mereka. Lagipun MIC mempunyai sokongan UMNO, MCA dan parti-
parti lain dalam Barisan Nasional.
20. Saya harap Perhimpunan Agung MIC ini akan berjalan
dengan baik. Sebagai parti yang mengamalkan demokrasi,
sudah tentu ahli-ahli bebas mengemukakan pendapat dan
cadangan. Saya percaya banyak perkara yang menyentuh
kepentingan kaum keturunan India akan dibangkitkan dalam
perhimpunan ini. Bagaimanapun saya berharap ahli-ahli juga
akan memberi perhatian berat kepada isu-isu nasional serta
mengambilkira kepentingan negara dalam membuat pandangan-
pandangan dan tuntutan-tuntutan. Saya yakin perhimpunan ini
akan menghasilkan resolusi-resolusi yang bukan sahaja akan
memberi faedah kepada kaum keturunan India tetapi juga akan
membantu mengukuhkan lagi pembangunan negara.
21. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ini.
|