home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : LOT 10, JALAN SULTAN ISMAIL, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 12/08/93 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MINGGU JANTUNG KE-3 YAYASAN JANTUNG MALAYSIA, Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia kerana menjemput saya untuk merasmikan Minggu Jantung Ketiga anjurannya pada hari ini. 2. Sebagaimana kita sedia maklum, pembangunan negara telah berkembang dengan pesatnya sepanjang dua dekad yang lalu. Berbagai-bagai kemajuan telah dicapai dan telah memberi manfaat kepada masyarakat. Rakyat pada keseluruhannya telah menikmati taraf hidup yang lebih baik dan selesa dari dekad-dekad yang lalu. 3. Taraf kesihatan rakyat Malaysia juga telah meningkat hasil kejayaan usaha-usaha Kerajaan membangunkan perkhidmatan kesihatan yang baik di seluruh negara. Namun pembangunan pesat negara ini telah membawa masalah baru, iaitu perubahan dalam corak atau jenis penyakit yang menyerang penduduk negara ini. Hari ini penyakit yang disebabkan oleh gaya hidup atau 'lifestyle' yang mewah lebih kerap berlaku dari dahulu. 4. Kemajuan pembangunan bidang sosio-ekonomi di negara ini telah meninggikan taraf penghidupan rakyat sehingga mencapai tahap yang ' affluent' dan 'sophisticated'. Keadaan ini dengan secara sedar atau tidak sedar telah mengubah cara hidup kita. Misalnya, di masa yang lampau kita bekerja kuat menggunakan tenaga dan mengeluarkan keringat tetapi kini kebanyakan daripada kita tidak lagi menggunakan tenaga untuk kerja berat. Kerja-kerja kita boleh diselesaikan dengan menggunakan alat-alat teknologi yang canggih, tanpa bergerak dari tempat kerja atau tempat duduk. Penggunaan tenaga yang berkurangan tidak seimbang pula dengan makanan yang kita makan. Makanan kita seringkali merupakan makanan yang mempunyai kandungan kolesterol, gula, lemak dan garam yang tinggi. 5. Gaya hidup yang moden juga telah menggalakkan sesetengah daripada kita meminum minuman keras dan merokok berlebihan. Gaya dan cara hidup yang berubah tidak membawa kita ke arah hidup yang positif bahkan membawa kita hidup secara negatif dan ke arah pengidapan berbagai-bagai penyakit moden atau 'penyakit orang kaya' seperti darah tinggi dan kencing manis. Ini kemudiannya melarat kepada penyakit jantung yang kini sudah menjadi punca utama kematian di negara ini. 6. Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung koronari, 'stroke' dan lain-lainnya telah menjadi 'Pembunuh Utama' atau 'No. 1 Killer' di negara ini. Dua puluh sembilan peratus daripada kematian yang didaftarkan di hospital di Semenanjung Malaysia di dalam tahun 1990 adalah berpunca daripada penyakit kardiovaskular. Di antara tahun 1981 hingga 1989 pula, kadar kematian itu meningkat daripada 15.3 bagi setiap 100,000 orang kepada 37 bagi setiap 100,000 orang, pertambahan sebanyak 142 peratus. 7. Angka kemasukan ke hospital-hospital disebabkan penyakit kardiovaskular juga menunjukkan peningkatan kadar yang sangat ketara, iaitu sebanyak 534 peratus dari tahun 1965 hingga tahun 1989. 8. Dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, rakyat Malaysia yang mengidap penyakit ini terpaksa mendapat rawatan dari luar negeri dengan dikenakan bayaran yang amat tinggi. Ini ialah kerana pada masa itu Malaysia tidak mempunyai kemudahan rawatan penyakit jantung. Hanya pada akhir tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan, pusat-pusat jantung telah diwujudkan di Hospital Universiti dan hospital besar serta beberapa hospital swasta. Banyak antara warganegara Malaysia yang telah mendapat rawatan daripada pusat-pusat jantung ini. 9. Tahun 1992 merupakan tahun yang paling beruntung bagi pesakit-pesakit jantung di Malaysia kerana pada tahun itu, Institut Jantung Negara telah dibuka. Kemudahan Institut itu dibuka kepada semua golongan rakyat, termasuk mereka yang kurang berada. Malahan warganegara luar di rantau ASEAN juga telah menggunakan kemudahan-kemudahan di sini. 10. Kerajaan kini terpaksa mengkaji kos untuk membiayai kesihatan rakyat yang selama ini ditanggung oleh Kerajaan. Sistem pembiayaan percuma rawatan pesakit di Malaysia dimulakan pada zaman penjajah sebagai satu cara mempopularkan rawatan secara Barat. Di waktu itu rawatan terhad kepada pemberian ubat yang amat murah harganya, iaitu sebanyak sepuluh hingga dua puluh sen sebotol sahaja. Pembedahan pula jarangkali diperlukan dan begitu mudah sehingga tidak melibatkan kos yang tinggi. Dengan itu khidmat perubatan oleh Kerajaan secara percuma tidak menjadi beban dan tidak menyebabkan banyak wang Kerajaan dialih daripada perbelanjaan pembangunan lain untuk rakyat. Hari ini keadaan amat berbeza. Rawatan pesakit memerlukan belanja yang tinggi dan Kerajaan tidak lagi mampu membiayainya dengan percuma tanpa menjejaskan perbelanjaan untuk infrastruktur yang lain. Oleh itu Kerajaan terpaksa mengenakan bayaran yang 'nominal' dan untuk kes-kes yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi, bayaran yang berpatutan dikenakan. 11. Masalahnya ialah Kerajaan masih ingin memberi rawatan dengan bayaran yang murah tetapi sistem gaji Kerajaan tidak menarik bagi pakar-pakar perubatan yang diperlukan. Justeru itu, ramai yang akan meninggalkan hospital Kerajaan kerana upahan yang diperolehi tidak tinggi seperti di hospital swasta. Sebab itu Kerajaan mencuba sistem separuh swasta bagi rawatan sakit jantung. Dengan cara ini kakitangan Kerajaan yang berhak masih boleh mendapat rawatan pakar dan orang awam pula mendapat rawatan yang tidak begitu tinggi bayarannya kerana Kerajaan membantu dengan menyediakan kemudahan fizikal. Pendekatan ini sedang dicuba kerana cara rawatan percuma dahulu tidak lagi dapat dipikul oleh Kerajaan. Namun bayaran rawatan perubatan dan pembedahan di negara kita masih lebih rendah daripada di negara-negara lain. Sebab itu ramai warganegara asing datang untuk mendapat rawatan di negara kita. 12. Perbelanjaan Kerajaan dan tanggungan rakyat boleh dikurangkan dengan tindakan pencegahan. Bagi mengurangkan insiden penyakit kardiovaskular, yang penting ialah cara hidup yang sihat. Sebenarnya cara hidup yang sihat ini bukan sahaja akan mengurangkan kos perubatan tetapi juga mengurangkan kos sara hidup. Umpamanya satu daripada cara hidup yang baik ialah tidak merokok. Sudah tentu ini akan mengurangkan perbelanjaan yang membazir ini. Selain daripada itu ialah mengelakkan makanan yang mempunyai banyak kolesterol atau garam atau gula dan lain-lain lagi yang memudaratkan. Jelas sekali amalan pemakanan yang sihat menjimatkan perbelanjaan. 13. Mengurangkan berat badan dan melakukan senaman seperti berjalan kaki dan pergerakan anggota lain juga tidak melibatkan perbelanjaan. Sebaliknya ia berkesan mengurangkan kemungkinan diserang sakit jantung. Memang benar mereka yang kurus dan ringan dan tidak merokok juga boleh mendapat sakit jantung. Ini mungkin kerana ketegangan hidup atau 'stress of living'. Tetapi pada purata, mereka yang mengamalkan cara hidup yang sihat adalah lebih selamat. Justeru itu slogan 'Mencegah Lebih Baik Daripada Rawatan' atau 'Prevention Is Better Than Cure' adalah tepat untuk penyakit kardiovaskular ini. 14. The establishment of corporate health promotion and wellness programmes would have value to both the employees and the employers and also to the nation. A healthy workplace should be for all and not to a group of people committed to their own wellness. It involves the integration of the functions of traditionally separate departments including occupational health and safety, human resource development, communications, employee benefits and public relations. The concepts extend to managing the workforce for wellness by creating a corporate culture based on the belief that concern for the health of individual employees provides a competitive edge in this evolving, complex, global market place of today and tomorrow, the year 2020 and beyond. 15. Sesungguhnya adalah wajar kita meningkatkan usaha untuk menjadikan rakyat Malaysia rakyat yang sihat daripada segi jasmaninya, mentalnya dan jantungnya. Tanggungjawab ini terletak kepada kita semua. 16. Dalam hal ini saya ingin menggesa 'healthcare providers' -- hospital-hospital awam dan swasta -- melaksanakan program-program 'preventive health' dan '{ommunity extension'. Para doktor, jururawat dan ahli-ahli profesional kesihatan lain perlu memainkan peranan cergas dalam program-program 'preventive health'. Sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi oleh hospital-hospital swasta, kumpulan pengamal-pengamal kesihatan dan klinik hendaklah diperuntukkan untuk program-program seperti ini. Philanthropists and corporations may contribute funds for preventive health programmes and health research studies that would be of direct benefit to the people. 17. Saya berasa bangga bahawa Yayasan Jantung Malaysia telah bergerak cergas. Kegiatan-kegiatannya seperti Minggu Jantung, Pameran Jantung Sihat dan forum perubatan boleh membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pencegahan penyakit jantung. Saya juga difahamkan Yayasan ini telahpun mewujudkan tabung bagi projek kajian penyakit ini. Syabas saya ucapkan kepada Yayasan Jantung yang sedang merancang memberi perkhidmatan perubatan bantuan (para-medical) dan juga mewujudkan sebuah Rumah Lindungan sebagai projek barunya. 18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Minggu Jantung ke-3 Yayasan Jantung Malaysia. |