home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	16/08/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA MINDEX 


 
    Saya  mengucapkan   terima   kasih   kepada   Persatuan
Rekabentuk  dan  Rekacipta Malaysia (MINDS) kerana menjemput
saya ke majlis  makan  malam  ini  sempena  pamerannya  yang
kelima,  iaitu  MINDEX '93.   Tahniah kepada MINDS atas daya
usahanya untuk meningkatkan kefahaman dan penggunaan  kaedah
sains dan teknologi dengan cara yang paling praktikal.
2.    Kita  harus  sedar  bahawa  dalam  usaha  kita ke arah
menjadi sebuah negara maju, adalah penting kita menggalakkan
cara pemikiran  yang  lebih  saintifik  dan  inovatif.    Di
samping  itu,  kita juga perlu menggalakkan usaha-usaha yang
lebih pragmatik dalam menjadikan amalan sains dan  teknologi
sebagai  satu  pendekatan yang lumrah di kalangan masyarakat
Malaysia.
3.    Dalam  dua  dekad  yang  lepas,   kita  telah  melihat
bagaimana  pemindahan teknologi telah menjadikan negara kita
sebagai salah sebuah negara membangun yang  paling  maju  di
dunia.    Daripada  sebuah  negara  yang  bergantung  kepada
eksport  komoditi  asli,  kini  'manufacturing   industries'
merupakan  kegiatan  ekonomi  negara yang penting.   Melalui
pemindahan teknologi, kita kini telah menjadi antara  negara
pengeksport  bahan-bahan  komponen  dan barang-barang buatan
elektrik  yang  terkemuka.     Kita   juga   telah   berjaya
mengeksport kereta rekaan dan buatan kita ke luar negeri.
4.    Kita  tentu   maklum   bahawa   pemindahan   teknologi
sahaja tidak memadai jika kita ingin menjadikan Wawasan 2020
satu  kenyataan.    Untuk  ini  kita  perlu  tahu  bagaimana
memanfaatkan  teknologi  ini  dalam  perusahaan  milik  kita
sendiri.    Lebih  daripada  itu  kita  perlu tahu bagaimana
menggunakan teknologi yang diperolehi  untuk  aplikasi  yang
baru  atau  membuat  lain-lain  inovasi  dan  `improvement'.
Akhirnya kita akan dapat mencipta teknologi dan rekaan  yang
betul-betul  tulen  atau asli.  Apabila kita sampai ke tahap
ini maka kita akan benar-benar menjadi negara maju.
5.   Bangsa yang ingin maju perlu mengkaji dan menyoal semua
perkara yang sedang dibuat atau diterima untuk mencari cara-
cara baru yang lebih baik  atau  bentuk  yang  lebih  sesuai
dengan  alam  dan  pemikiran  semasa.    Sebab itulah kereta
umpamanya, bertukar rupa dan memiliki kekuatan  atau  fungsi
mekanikal  atau  elektronik yang lebih canggih setiap tahun.
Tidak akan ada keadaan  yang  mana  sesuatu  barangan  sudah
begitu 'perfect' sehingga tidak boleh diperbaiki lagi.
6.    Dalam  hubungan  ini,  segala  usaha harus digabungkan
untuk terus meningkatkan pembangunan teknologi  kita  supaya
selaras  dengan  pembangunan  ekonomi  yang  sedang  dilalui
sekarang.  Semua kerja Penyelidikan  dan  Pembangunan  (R&D)
tidak  seharusnya  terhad  kepada  teknologi  tinggi  sahaja
tetapi hendaklah lebih menyeluruh, iaitu di semua  peringkat
pengeluaran.    Inovasi  dalam  teknologi  pengeluaran  amat
berkesan dalam semua perusahaan dan perlu  diberi  perhatian
setiap  masa.    Di  sini  pekerja  biasa  pun boleh memberi
sumbangan.
7.    R&D  harus  dilaksanakan  selaras  dengan   permintaan
pasaran baik dari dalam mahupun luar negeri.  Ini akan lebih
menguntungkan kita.  Tidak ada gunanya jika sesuatu barangan
atau   teknologi  itu  dihasilkan  jika  ia  gagal  memenuhi
keperluan pihak yang perlu menggunakannya.  Cara-cara  untuk
'commercialise'  satu-satu  rekacipta   hasil  daripada  R&D
hendaklah  dijadikan  satu  daripada  kecekapan   pengurusan
supaya   ianya  tidak  menjadi  sia-sia  atau  menjadi  satu
'academic exercise' sahaja.
8.    Rekabentuk keluaran industri  juga  perlu diambilkira.
Buat  masa ini kita masih lemah dalam bidang ini.   Walaupun
Malaysia kini telahpun mengeksport barangan yang telah siap,
tetapi kita belum lagi merekacipta barangan kita yang  boleh
dikaitkan dengan  identiti  diri kita.    Di  sini kecekapan
membuat prototaip amatlah  penting.   Prototaip  yang  tidak
menarik dan  dibuat secara  kasar  akan  menghadapi  masalah
kurang keyakinan  pelabur  atau  'financier'.   Perbelanjaan
yang mencukupi  untuk  prototaip  yang  baik  bukanlah  satu
pembaziran.
9.     Langkah  begini  adalah  perlu  bukan  untuk  pasaran
antarabangsa  sahaja  tetapi  juga  untuk  pasaran  tempatan
kerana rakyat Malaysia kini  adalah  masyarakat  yang  lebih
tinggi   tahap  kesedaran  dan  pendedahan  mereka.    Pihak
pengeluar barangan  tidak  boleh  lagi  menganggap  pengguna
Malaysia  sebagai  pengguna  kelas  kedua  berbanding dengan
pengguna antarabangsa.  Mereka kini turut menuntut  barangan
dan  perkhidmatan  yang bermutu, setanding dengan nilai yang
perlu mereka bayar.   Sebenarnya masyarakat  Malaysia  lebih
kritikal  kerana  mereka masih menganggap barangan dari luar
negeri sebagai lebih baik daripada barangan tempatan.
10.  Dengan ini saya harap semua pihak yang  terlibat,  baik
syarikat  kecil atau syarikat korporat, akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh  untuk  mengambil  langkah-langkah   yang
lebih   menyeluruh  ke  arah  meningkatkan  mutu  dan  nilai
barangan Malaysia.   Program-program,  baik  dari  peringkat
konsep  hingga  ke  peringkat pengeluaran ataupun pemasaran,
harus dibuat dengan teliti dan jitu.
11.    Masanya  sudah  lama  tiba  bagi  pengeluar  tempatan
menerima   piawaian  atau  'standard'  antarabangsa  sebagai
'standard' nasional.    Dengan  itu  kita  perlu  menganggap
syarat-syarat  mutu  antarabangsa sebagai cabaran yang mesti
kita atasi dan kita buktikan kepada masyarakat dunia  bahawa
Malaysia  juga  mampu  bersaing  dengan  pengeluar-pengeluar
terbaik antarabangsa.
12.   Label 'Made in Malaysia' yang dipasang  pada  barangan
buatan  Malaysia hendaklah menjadi jaminan  kepada  pengguna
seluruh   dunia  bahawa  barangan  itu   berkualiti  tinggi.
Apabila  label  'Made  in  Malaysia'  sudah  dapat diterima,
separuh daripada masalah pemasaran sudah  diatasi.   Justeru
itu,  kos yang  tinggi di peringkat  awal  untuk  menentukan
barangan   Malaysia   mempunyai   'standard'   yang   tinggi
adalah wajar dan menguntungkan.   Mereka yang cuba mengeluar
dan  mengeksport  barangan  yang  'sub-standard'  sepatutnya
dihalang  dan  dihukum kerana mereka menjejaskan kredibiliti
barangan  lain dari Malaysia.    Pencipta  dan  perekaperlu
sentiasa berwaspada  dan  menerima  ujian  yang  ketat  bagi
segala  ciptaan   mereka.    Apa   yang   dikehendaki  ialah
penerimaan  oleh  dunia  akan  semua  barangan  ciptaan  dan
keluaran Malaysia sebagai bermutu dan menepati diskripsi.
13.  Mungkin SIRIM, yang setakat  ini  memainkan  peranannya
menentukan  mutu  pengeluaran  barangan  tempatan akan terus
mengkaji dan meningkatkan  'standard'  yang  ditetapkan  dan
diberi kuasa ke atas kelayakan barangan untuk eksport.
14.    Saya  yakin  kita  mampu melaksanakan apa sahaja yang
dilakukan oleh negara-negara maju.  Contohnya, kejayaan kita
di Geneva baru-baru ini.   Antara rekacipta yang  menang  di
pameran antarabangsa itu ialah ciptaan 'smart lamp'.
15.    Dalam hubungan ini saya berasa bangga kerana kejayaan
syarikat ini adalah juga menerusi MINDS.    Ini  menunjukkan
bahawa  bukan  syarikat-syarikat besar sahaja yang mempunyai
kemudahan penyelidikan yang boleh menghasilkan sesuatu  yang
baru tetapi juga syarikat-syarikat kecil.
16.    MINDS,  sejak 1989, telah membuktikan bahawa Malaysia
mempunyai  ramai  perekacipta  dan  perekabentuk.    Melalui
Malaysian  Invention and Design Society Exhibition (MINDEX),
Malaysia telah berjaya menonjol beberapa  bakat  yang  mampu
menunjukkan  daya  kreatif  dan kemampuan ahli-ahlinya.
17.   Daya kreatif seseorang itu sebenarnya tiada  batasnya.
Ia tiada batasan agama,  bangsa atau budaya.  Sesiapa sahaja
boleh menjadi seorang perekacipta dan perekabentuk.   Semoga
MINDEX   akan   dapat   terus  mencungkil  bakat-bakat  yang
terpendam.
18.  Saya berharap perekacipta-perekacipta perseorangan akan
mengambil  inisiatif  untuk  memahami   undang-undang   yang
melindungi  rekacipta  atau rekabentuk yang mereka hasilkan.
Mereka harus berwaspada supaya keuntungan yang mereka dapati
daripada ciptaan mereka tidak dikaut oleh pihak  yang  tidak
bertanggungjawab.    Di  samping itu mereka juga harus ingat
bahawa tanpa  kecekapan  'commercialisation'  dan  teknologi
pengeluaran,  ciptaan mereka tidak akan mendatangkan apa-apa
hasil.    Justeru  itu,  mereka  harus   sanggup   berkongsi
pendapatan daripada rekaan mereka.
19.    Malaysia   mempunyai    undang-undang   'patent'  dan
'copyright'  tersendiri.     Mereka  yang   terlibat   dalam
rekacipta  dan  rekabentuk perlulah mengambil berat terhadap
setiap   perkembangan   terbaru   tentang    'patent'    dan
'copyright'.
20.  Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi daya
usaha  dan  pengeluaran  rakyat Malaysia.   Bagi mereka yang
terlibat dalam bidang  rekacipta  dan  rekabentuk,  Kerajaan
menerusi  Kementerian  Sains,  Teknologi  dan  Alam  Sekitar
telahpun melancarkan Yayasan Rekacipta.
21.  Peruntukan kewangan memang  disediakan  oleh  Kerajaan.
Tetapi  saya  harap  sektor swasta juga akan turut memainkan
peranan mereka dalam menyumbang kepada yayasan ini.
22.   Adalah  juga  diharapkan  bahawa  sektor  swasta  akan
memainkan  peranan yang lebih aktif dalam perkembangan sains
dan teknologi serta penyelidikan.    Kita  perlu  mewujudkan
masyarakat  yang  lebih  prihatin kepada bidang yang penting
dalam pembangunan teknologi dan ekonomi negara ini.
23.   Saya  berharap   lebih  ramai  lagi,   baik   individu
mahupun badan korporat, dapat memberi sokongan di  masa-masa
akan  datang  dalam usaha murni ini.  Saya yakin dan percaya
kita akan terus bersatu dalam  usaha  kita  untuk  memajukan
Malaysia.  Insya-Allah satu hari nanti, kita akan melahirkan
satu  generasi  yang  mempunyai  daya cipta dan daya inovasi
yang tinggi dan akan  menolong  mengukir  nama  Malaysia  di
kalangan masyarakat antarabangsa.

 
 



 
Google