home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/08/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH ESSO 
			UNTUK NEGARA SEMPENA MAJLIS PENUTUP 
			PERAYAAN 100 TAHUN ESSO DI MALAYSIA 



Saya mengucapkan terima kasih kepada ESSO  kerana  menjemput
saya  ke  Majlis  Penyampaian  Hadiah ESSO Untuk Negara  dan
seterusnya merasmikan Majlis Penutup Perayaan 100 Tahun ESSO
pada hari ini.
2.   Tahniah juga kepada ESSO Malaysia kerana  Hari  Jadinya
Yang Ke-100.  Semoga ESSO akan  kekal  beroperasi  di negara
ini.  Sepanjang 100 tahun yang lalu, ESSO bukan sahaja telah
menyumbang  terhadap  pembangunan industri petroleum dan gas
di negara  ini  tetapi  juga  terhadap  pembangunan  negara.
Kerajaan   menghargai  sumbangan  ESSO  dan berharap ia akan
berterusan.
3.   Saya  difahamkan  ESSO  mula  beroperasi  di negara ini
dengan menjual minyak tanah atau `kerosene'  di Pulau Pinang
pada tahun 1893.  Bermula  dengan  perniagaan  secara kecil-
kecilan  ini,  ESSO  telah  berkembang  pesat  untuk menjadi
pengeluar minyak  mentah yang terbesar di Malaysia pada hari
ini.  Saya berasa gembira bahawa ESSO telah melabur sebanyak
RM16  billion  di negara  ini  setakat  ini satu jumlah yang
besar mengikut sebarang 'standard'.
4.    Malaysia memang menggalakkan pelaburan asing ke negara
ini.  Dalam   usaha  ini,  kita  telah  menyediakan pelbagai
insentif  dan  kemudahan  infrastruktur.  Kita  juga  sering
menambah     serta   mempertingkatkan    kemudahan-kemudahan
infrastruktur  ini bagi menampung pelaburan baru.  Usaha ini
telah  mendatangkan  kejayaan dan ini terbukti dengan adanya
berbagai-bagai jenis  industri,  termasuk industri berat dan
canggih di ne gara ini.
5.   Di   samping  mengekalkan  kestabilan  politik  negara,
Kerajaan akan  terus  menyediakan  kemudahan-kemudahan  bagi
menampung  keperluan  pelaburan.  Bagi  Malaysia,  pelaburan
merupakan  nadi  pembangunan  dan kemajuan negara.  Di zaman
teknologi  tinggi  dan  canggih  ini,  mana-mana negara yang
enggan  atau  lewat memperolehinya akan tertinggal dan tidak
dapat dibangunkan. Malaysia tidak mahu ketinggalan.  Justeru
itu, kita harus memasuki industri-industri yang berteknologi
tinggi dan canggih ini.
6.   Bagi Malaysia pelabur asing dianggap rakan  pembangunan
atau 'partners  in  development'.  Sungguhpun  para  pelabur
melabur  kerana  ingin  membuat keuntungan, hakikatnya ialah
melalui  pelaburan  mereka  menyumbang  kepada   pembangunan
negara.  Apabila  mereka  berjaya  dan  membuat  keuntungan,
Kerajaan  turut  mendapat  faedah  melalui  hasil cukai.  Di
samping itu,  pada hari ini banyak syarikat asing yang turut
menyumbang  kepada   masyarakat  setempat  melalui  program-
program   kemasyarakatannya  atau   'community   development
programmes'.  Ini adalah sebahagian  daripada  tanggungjawab
korporat mereka.  Dengan adanya  pelaburan,  peluang-peluang
pekerjaan  bagi  rakyat  di  negara  ini  diwujudkan dan ini
menolong mengatasi masalah pengangguran.   Dalam  erti  kata
yang  lain,  pelaburan  dari  luar  negara  menolong  proses
membasmi kemiskinan dan membangunkan negara.
7.   Kini,  dalam  usaha  negara  menuju ke arah pembangunan
perindustrian  yang  lebih  pesat,  Kerajaan  mengalu-alukan
penubuhan  industri-industri  berteknologi  tinggi yang akan
mendedahkan  rakyat   Malaysia    kepada   kepakaran   serta
teknologi-teknologi baru.  Dalam  hal ini, Malaysia berharap
negara-negara maju yang melabur di negara  ini akan berusaha
memindahkan  teknologi tinggi mereka  ke negara  ini.  Dalam
dunia   yang   saling  bergantung  antara  satu  sama  lain,
membantu  mempercepatkan   kemajuan  sesebuah   negara  akan
membawa manfaat  kepada  semua  yang  terlibat.  Ini  adalah
kerana  apabila  sesebuah  negara  itu  menjadi maju, negara
pelabur  boleh  menjual lebih  banyak barangan kepada negara
tersebut.
8.   Sepertimana  yang  saya  nyatakan tadi, pelabur-pelabur
asing  adalah  rakan  pembangunan  kita.  Adalah  diharapkan
bahawa  falsafah  ini  akan  diterima  baik  oleh  syarikat-
syarikat asing, terutamanya syarikat multinasional di negara
ini.  Usaha  yang  dijalankan oleh ESSO patut dicontohi oleh
syarikat-syarikat multinasional yang lain.
9.   Saya mengalu-alukan langkah  ESSO  menyumbang  sebanyak
RM1.0 juta kepada Perpustakaan Negara.  Ini  adalah  selaras
dengan objektif Kerajaan supaya terdapat kerjasama yang erat
antara pihak swasta dan kerajaan seperti yang terjalin dalam
konsep  Persyarikatan  Malaysia.  Sumbangan ESSO ini membawa
erti   yang  besar  kepada  generasi  muda negara ini kerana
pendidikan  dan  pengetahuan  adalah perkara yang ditekankan
oleh Kerajaan.  Negara  memerlukan  penduduk  yang  berupaya
mengendalikan   teknologi    tinggi,  berpengetahuan   luas,
berdisiplin,   beramanah   serta    berhemah   tinggi  untuk
menghadapi cabaran  masa  depan.  Dalam  hal  ini,  generasi
muda  kita  merupakan  antara  sumber  yang  terpenting bagi
membawa  negara  ke mercu  kejayaan  yang  lebih   cemerlang
berdasarkan  cita-cita  dan  hasrat  yang  dicerminkan dalam
Wawasan 2020.
10.  Walau  bagaimanapun, dalam  mengejar  pengetahuan   dan
teknologi tinggi, kita  tidak  boleh  membelakangkan  nilai-
nilai  murni  kita.  Kemajuan  yang  kita  idamkan  di bawah
wawasan  2020  adalah  pembangunan  yang   seimbang   antara
materialisme dan  kerohanian.  Memanglah  wajar  kanak-kanak
didedahkan  kepada  pendidikan  moral  daripada  kecil  lagi
supaya  mereka   menjadi   warganegara   yang  bukan  sahaja
berwibawa  dalam  segala  aspek tetapi juga bermoral tinggi.
Dalam  kata  lain, komponen moral dan etika mestilah menjadi
sebahagian yang penting dalam usaha mengejar pengetahuan dan
kemahiran.
11.  Di sini  saya  ingin  menyarankan  supaya perpustakaan-
perpustakaan, di samping menyediakan pusat pembelajaran yang
berteknologi   tinggi,   menyediakan  lebih   banyak   bahan
pendidikan moral dalam pelbagai corak, sama ada buku, cakera
padat  ataupun  perisian  komputer  supaya  kanak-kanak kita
dapat  didedahkan  kepadanya  dan menjadi rakyat dewasa yang
bermoral  tinggi.  Hanya moral yang tinggi sahaja yang boleh
menjamin segala nikmat dan kemajuan akan berkekalan.
12.  Kanak-kanak  yang  menggunakan  pusat sumber hipermedia
ini boleh merujuk kepada bahan-bahan rujukan ini  di samping
memperolehi maklumat yang lain. Saya difahamkan bahawa pusat
hipermedia teknologi tinggi  tajaan  ESSO  ini  adalah  satu
pusat pembelajaran yang berlainan daripada yang lain. Kanak-
kanak yang menggunakan  pusat  ini  akan  didedahkan  kepada
pelbagai media maklumat.  Mereka akan menemui dunia komputer
melalui pendekatan membuat sambil mempelajari atau `hands-on
experimentation' dan berinteraksi dengan teknologi  terkini.
Saya yakin pusat-pusat  seperti ini boleh menguji kebolehan
serta mencabar keupayaan kanak-kanak dan menyediakan mereka
untuk  menghadapi  cabaran   zaman  teknologi  tinggi   dan
canggih.
13.  Saya  berharap   pusat   sumber  hipermedia  ini dapat
diperluaskan  ke   perpustakaan-perpustakaan   lain    bagi
mendedahkan  kanak-kanak  di luar  Kuala Lumpur pada kaedah
baru ini.
14.  Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada ESSO atas
sumbangan ini dan berharap ia akan terus bekerjasama dengan
Kerajaan untuk pembangunan negara dan juga rakyat Malaysia.
Semoga  ESSO  akan  terus  mencapai  kejayaan  yang   lebih
cemerlang dinegara ini pada abad-abad yang akan datang.
15.  Dengan ini,  saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis
Penutup Perayaan 100 Tahun ESSO.

 
 



 
Google