home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TAPAK UNIVERSITI ISLAM 
			ANTARABANGSA, GOMBAK 
Tarikh/Date 	: 	24/08/93 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MELETAKKAN BATU ASAS KAMPUS 
			UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA 
			DI GOMBAK 



Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak  Universiti Islam
Antarabangsa  Malaysia (UIAM) kerana  menjemput  saya  untuk
melakukan  upacara rasmi meletakkan batu asas kampus barunya
di Gombak pada hari ini.
2.   Majlis ini sungguh bermakna sekali kerana UIA merupakan
salah satu sumber kebanggaan  rakyat di negara ini.   Dengan
adanya  kampus  baru  ini,  saya  yakin imej UIA di kalangan
masyarakat  Islam  antarabangsa  akan  dipertingkatkan lagi.
Setelah  10  tahun  ditubuhkan  dan ditempatkan sementara di
Petaling Jaya, sudah  sampai masanya UIA mempunyai kampusnya
sendiri  selaras  dengan  tarafnya  sebagai universiti Islam
antarabangsa.
3.   Dalam beberapa aspek, UIA mempunyai keunikan. UIA tidak
merupakan badan berkanun atau 'public authority' sepertimana
universiti-universiti tempatan yang lain dan  oleh itu ianya
lebih bebas daripada segi pentadbiran dan  pengurusan.   UIA
adalah satu  institusi  perintis  'seeking  to  promote  the
Islamic  concept of unified education, providing alternative
to  the modern secular education that separates the physical
realities from the spiritual'.  Saya  berasa  amat  sukacita
bahawa  UIA  telah  berkembang dengan jayanya dan kini telah
mendapat  pengiktirafan  antarabangsa.  Daripada  dua   buah
fakulti dengan  seramai  159  orang  pelajar  sewaktu  ianya
ditubuhkan    10   tahun  lalu,  bilangan  fakultinya  telah
meningkat kepada empat dengan bilangan pelajar seramai 7,513
orang. Perkembangan pesat ini telah mendorong Kerajaan untuk
membangunkan kampus baru  ini di Gombak  dan  satu  lagi  di
Kuantan.
4.   Selain  daripada   mempunyai   otonomi   dalam    aspek
pentadbiran dan pengurusan, UIA  mempunyai  sumber  kekuatan
daripada segi pelajar dan  tenaga  akademik  yang  berbilang
bangsa, kebudayaan, latar belakang, ideologi, pengalaman dan
disiplin.  Kepelbagaian  ini  merupakan satu aset dan sumber
kekuatan yang harus dimanfaatkan  ke tahap  yang optima bagi
menyumbang   kepada  keperluan  negara  dan  cabaran-cabaran
antarabangsa.  Sesebuah  universiti  itu seharusnya berupaya
mengenalpasti   peluang-peluang    yang   baik    di samping
mengetahui  kekuatan  dan kelemahannya.  Inilah asas penting
bagi membina institusi yang boleh dianggap cemerlang.  Dalam
konteks  ini,  soal  yang  harus  dibangkitkan  ialah sejauh
manakah  UIA  telah  dapat   menampilkan   dirinya   sebagai
institusi Islam yang unggul dan dicontohi di rantau ini atau
menjadi pilihan bagi pelajar dan tenaga akademik?
5.   Kerajaan telah menjelaskan strategi-strategi ekonominya
dan   membayangkan   harapannya   berhubung  dengan  peranan
pendidikan  tinggi  dalam   rancangan-rancangan  lima tahun,
Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua dan beberapa kenyataan
dan perakuan yang terkandung atau  dilahirkan  dalam Wawasan
2020.   Adalah  di  harapkan  UIA  akan   berjaya   mencapai
pembangunan yang selaras dengan cita-cita Kerajaan.
6.   Saya    dimaklumkan    bahawa     universiti-universiti
menjalankan    berbagai-bagai    program  di peringkat  pra-
siswazah,  pasca-siswazah  serta diploma  dan sijil.  Akhir-
akhir ini, dan selaras dengan arus perkembangan,  universiti
juga   menjalankan   program-program  pendidikan  berterusan
(continuing education).  Dalam konteks persekitaran `global'
yang  sentiasa berubah, pembangunan sains dan teknologi, dan
kemajuan komunikasi  dan teknologi maklumat,universiti perlu
menawarkan program-program yang 'market driven', peka kepada
perubahan  persekitaran   dan   relevan   dengan   keperluan
masyarakat  daripada mana penuntut itu datang.  Pada asasnya
kita dapati di negara ini, badan-badan profesional, industri
dan majikan  sering melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
program  serta  kualiti   pelajar   yang   dikeluarkan  oleh
universiti-universiti    tempatan.  Oleh   itu   universiti-
universiti  tempatan  harus berupaya untuk menyesuaikan diri
mereka  dengan  keperluan  pasaran  dan  membuatkan program-
program mereka lebih relevan dan berguna kepada masyarakat.
7.   Terdapat  beberapa  faktor  dalaman  dan   luaran  yang
menyokong  serta  menampilkan  peluang  untuk   membangunkan
Malaysia sebagai pusat antarabangsa bagi pendidikan  tinggi.
Tumpuan perkembangan ekonomi dunia kini telah beralih kepada
Kawasan Pasifik.  Pertumbuhan ekonomi, khususnya di kalangan
'Newly  Industrialised  Countries' (NIC) telah merangsangkan
persaingan  yang begitu hebat dan setiap negara sedar bahawa
untuk  bersaing  mereka  perlu  meningkatkan pelaburan dalam
pembangunan sumber manusia.
8.   Kini terdapat seramai 75,000 pelajar ASEAN  menuntut di
luar  negara  bagi  tahun  1988.  Lebih  kurang  85  peratus
daripada   pelajar-pelajar   ASEAN  tertumpu  di tujuh  buah
negara,  iaitu  Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia,
Jerman, Kanada, Jepun  dan Perancis.  Tetapi perubahan dasar
berhubung dengan yuran,  iaitu  pengenalan  yuran penuh bagi
pelajar  asing  di negara-negara  tertentu  dan faktor kadar
pertukaran  wang  asing  telah memaksa Kerajaan-Kerajaan dan
ibubapa  untuk  memikirkan  negara  alternatif  yang sesuai.
Malaysia  juga  memainkan  peranan yang aktif di forum-forum
antarabangsa  dan serantau seperti Kerjasama Selatan-Selatan
G-15, Pertubuhan  Negara-negara Islam dan ASEAN dan Kerajaan
telah mengemukakan  cadangan  untuk  meningkatkan  kerjasama
dalam  bidang  pendidikan  dan latihan serta kesediaan untuk
membuka  peluang-peluang  dan  kemudahan berkaitan di negara
ini.  Di sini  timbullah peluang bagi negara ini mengaturkan
strategi-strategi  dan   tindakan-tindakan   untuk   menarik
sebahagian  daripada  pasaran  pelajar ini dan menyumbangkan
'reverse flow' pelajar ASEAN.
9.   Usaha untuk menarik pelajar-pelajar asing  dan  selaras
dengan  arus 'internationalisation   of   higher  education'
memerlukan  institusi-institusi   tempatan  memberi  tumpuan
kepada   isu-isu   yang   lebih   luas.    Antaranya   ialah
pengubahsuaian   yang   perlu  dilakukan  kepada   kandungan
program,  kaedah  pengajaran  dan sistem pemindahan  kredit,
kaunseling  dan  sokongan  sosial dan bahasa pengantaraan di
peringkat   fakulti,   institusi  dan  di peringkat   sistem
pendidikan tinggi itu  sendiri  bagi  memudahkan  penerimaan
pelajar-pelajar asing.  Apakah profil dan sistem pembangunan
staf, organisasi serta pembiayaan  penyelidikan  yang  sedia
ada  tidak  perlu  diubahsuai  untuk menghadapi cabaran yang
berbangkit    daripada  'internationalisation   of    higher
education'?
10.  Ada pandangan bahawa universiti menyesuaikan diri  atau
'adapt' terlalu perlahan dengan perubahan-perubahan dunia di
sekeliling  mereka.  Adalah dikhuatiri sekiranya universiti-
universiti tempatan dan institusi pendidikan yang lain masih
mengekalkan  acuan  atau 'mould'  dan  pemikiran  tahun lima
puluhan  untuk   menangani  masalah  dan menghadapi cabaran-
cabaran  semasa dan tahun-tahun menjelang 2020, maka peluang
untuk  membangunkan  negara  sebagai pusat pendidikan tinggi
antarabangsa  akan  terlepas  begitu  sahaja.  Justeru  itu,
negara memerlukan model institusi  yang  lebih  dinamik  dan
dan responsif.
11.  Sebagai  universiti  Islam adalah wajar UIA memperjuang
dan  meningkatkan imej Islam yang begitu rendah kedudukannya
dalam  pandangan  dunia amnya dan memperbetulkan andaian dan
pengetahuan  cetek  mengenai  agama,  masyarakat dan ekonomi
Islam.  Potensi  untuk   UIA    ditampilkan   sebagai  pusat
pendidikan  tinggi  antarabangsa  adalah  begitu luas sekali
jika dibandingkan dengan universiti-universiti tempatan yang
lain.  Ini  adalah  kerana  berberapa  ciri keistimewaan dan
kekuatan yang ada pada UIA.
12.  Di  samping  itu  UIA  juga  perlu berusaha bersungguh-
sungguh  untuk  mengukir  kecemerlangan  dalam bidang-bidang
tertentu supaya ia mendapat pengiktirafan  yang lebih meluas
daripada akademik dan masyarakat antarabangsa.  Matlamat UIA
hendaklah  untuk  menjadi  institusi  pelajaran  tinggi yang
diiktiraf dan dihormati bukan sahaja oleh dunia Islam tetapi
dunia pelajaran tinggi amnya.
13.  Dengan       harapan     ini    saya    dengan    lafaz
Bismillahirrahmanir rahim merasmikan upacara meletakkan batu
asas  kampus  Universiti   Islam   Antarabangsa  Malaysia di
Gombak.

 
 



 
Google