home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA Tarikh/Date : 30/08/93 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya dapat kita sekali lagi menyambut Hari Kebangsaan Hari Kemerdekaan negara kita. 2. Pada tahun ini genaplah 36 tahun negara kita merdeka. Kita boleh bersyukur serta berbangga kerana Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara yang baru merdeka yang berjaya. Bukan sahaja politik negara kita stabil, bahkan ekonominya juga berkembang maju. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala. 3. Di waktu kemerdekaan dituntut, bangsa yang dijajah memang berharap nasib mereka menjadi lebih baik apabila berhak memerintah diri sendiri. Tetapi harapan tidak selalu menjadi kenyataan. Sebenarnya harapan ini lebih kerap menjadi kekecewaan, kerana perebutan kuasa sesama sendiri, ketidakstabilan dan kekurangan kecekapan mentadbir dan menguruskan negara. Akibatnya ialah kemerdekaan tidak bermakna bahkan negara kembali dijajah kerana negara terpaksa meminta- minta bantuan daripada bekas penjajah yang membantu hanya jika syarat-syarat mereka diterima. 4. Rakyat berbilang kaum Malaysia patut berasa bernasib baik dan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dijauhi daripada nasib malang yang menimpa rakyat di beberapa negara yang telah merdeka. Walaupun cabaran-cabaran yang kita hadapi adalah lebih besar, disebabkan penduduk yang berlainan kaum, agama, bahasa dan budaya, kita telah berjaya mengatasi cabaran-cabaran ini. Kita hanya perlu mengingati peristiwa Mei 1969 dan melihat Yugoslavia, Ireland Utara, Lubnan dan beberapa buah negara majmuk yang lain untuk menginsafi dan bersyukur akan nasib baik kita. 5. Akibat ketidakstabilan dan rusuhan, banyak negara yang telah merdeka menjadi mundur. Ada antaranya mengalami keadaan yang lebih teruk daripada sebelum merdeka. Dalam keadaan ini, maruah dan kedaulatan mereka sebagai negara merdeka terjejas. Kemerdekaan bagi rakyat negara-negara ini tidak membawa apa-apa pengertian. Di sebaliknya, rakyat mereka berasa amat hampa. 6. Justeru itu, kita hendaklah terus mengelak daripada bersengketa sesama kita. Sesungguhnya keuntungan yang diperolehi melalui sengketa dan rusuhan adalah jauh lebih sedikit daripada bahagian yang didapati melalui agihan hasil usaha dalam keadaan aman dan makmur. 7. Dunia telah mengalami banyak perubahan. Kini Perang Dingin telah berakhir. Namun ianya tidak menunjukkan bahawa dunia akan menjadi lebih aman dan konflik akan berkurangan. Di sebaliknya, di beberapa tempat di dunia kita melihat konflik yang lebih dahsyat berlaku. Di samping itu, dagangan dunia terus bertambah sukar kerana negara-negara maju yang dahulu menjunjung dagangan bebas, hari ini asyik menyekat dagangan untuk mengelak saingan daripada negara-negara industri baru dari Selatan. 8. Kita perlu atasi cabaran yang datang dari negara-negara maju ini. Kita telah menentukan matlamat kita. Kita ingin menjadi negara maju menjelang tahun 2020; negara maju yang menguasai segala kecekapan pentadbiran, dagangan, ilmu dan industri di tahap yang sama tinggi dengan negara yang sudah maju, tetapi kekal dengan nilai-nilai murni dan cara hidup yang mulia. Dengan kemajuan ini kita percaya kita akan lebih mampu bersaing dan mempertahankan kemerdekaan negara kita. Jika kita berjaya dalam usaha ini, insya-Allah, maruah bangsa dan kedaulatan negara Malaysia akan terpelihara. Di samping itu, insya-Allah, kita akan bebas daripada sebarang tekanan daripada luar. Kehidupan semua rakyat akan menjadi lebih bahagia. 9. Justeru itu, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu ` Bersatu Menuju Wawasan ' amatlah tepat sekali. Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu bersatu hati dan tenaga. Hanya dengan kita bersatupadu sahaja dapat kita menentukan tidak ada pihak yang boleh menggagalkan hasrat negara kita untuk menjadi sebuah negara maju yang bebas. 10. Sudah tentu dalam kita menuju ke matlamat menjadi negara maju, banyak ranjau yang perlu kita lalui serta cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi. Ini adalah kerana tidak ada jalan yang mudah dan senang dalam apa juga usaha ke arah mencapai sesuatu yang menjadi idaman kita. Ketika kita menuntut kemerdekaan daripada penjajah dahulupun, berbagai-bagai cabaran terpaksa dihadapi. Kemudian terdapat pula pihak-pihak yang pesimistik bahawa kita boleh berjaya jika kita merdeka memandangkan kita terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tetapi kita telah dapat mencipta satu formula politik untuk bekerjasama yang mana ini kemudian menular ke bidang-bidang lain. Walaupun ada ketikanya pihak-pihak yang cuba membakar api perkauman dan perpecahan tetapi majoriti rakyat menolak mereka. Sebaliknya, saranan supaya diwujudkan perpaduan kaum berhasil dan kita telah dapat mengecewakan pihak-pihak yang pesimis. Hari ini banyak badan antarabangsa dan negara yang ingin mempelajari asas perpaduan kita. 11. Ada negara-negara Barat yang mencemuh sistem demokrasi kita. Mereka mendakwa kita tidak cukup demokratik. Sebenarnya mereka ingin kita mengamalkan demokrasi yang membawa keadaan tidak stabil, kemerosotan ekonomi dan kemiskinan. Dengan itu mereka dapat mengugut dan menguasai kita. Mereka mendesak supaya Soviet Union, Yugoslavia dan negara-negara lain di Eropah Timur mengamalkan demokrasi. Hasilnya ialah perpecahan dan rusuhan, 'penghapusan etnik' dan keganasan lain. Semua ini melemah dan menghancurkan kuasa-kuasa yang dahulu menjadi musuh mereka. Mereka membiarkan sahaja malapetaka, hasil daripada percubaan mengamal demokrasi, terus melarat tanpa memberi apa-apa pertolongan. 12. Kita mengamalkan demokrasi dengan memberi hak kepada rakyat memilih wakil mereka secara bebas. Inilah asas demokrasi yang terpenting. Kebebasan yang keterlaluan bukanlah demokrasi tetapi adalah anarki, keadaan tanpa peraturan-peraturan dan undang-undang. Segala kebebasan perlu ada hadnya. Ini adalah kerana kita tidak mahu kebebasan satu pihak menjadi tekanan kepada pihak yang lain. Kebebasan yang keterlaluan tetap akan mengancam masyarakat. Jika tidak ada sekatan terhadap politik perkauman umpamanya, hari ini ketegangan dan rusuhan kaum pasti akan berlaku dan ini sudah tentu akan menjejaskan kestabilan dan kemajuan negara. 13. Mereka yang mengecam kita kononnya kerana tidak cukup demokratik, sebenarnya berniat supaya kita akan menjadi seperti negara-negara Soviet dan Yugoslavia yang sekarang menghadapi rusuhan kaum dan tidak stabil. Dalam keadaan ini mereka tidak dapat bersaing dengan negara-negara Barat. Sementara Barat mendesak supaya negara-negara Soviet menjadi demokratik, mereka tidak pula sanggup menolong walau sedikitpun apabila rusuhan berlaku dan ekonomi negara-negara tersebut hancur akibat mencuba sistem demokrasi. Rakyat Malaysia janganlah mudah terpedaya dengan saranan pihak asing ini. Mereka hanya ingin kita terus mundur dan tidak dapat bersaing dengan mereka. Mereka hanya ingin berkata kita tidak mampu merdeka dan mentadbir diri sendiri. Mereka ingin melihat kita lebih mundur dari masa kita dijajah oleh mereka. 14. Hari Kebangsaan adalah satu hari bagi kita mengenang kembali sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Generasi muda terutamanya perlu mengetahui sejarah perjuangan ini supaya mereka tidak lupa akan pentingnya memelihara dan menghargai kemerdekaan ini. Ini adalah kerana kalau kita tidak berhati-hati, imperialisma dalam bentuk yang halus melalui tekanan ekonomi, pengaruh budaya dan sebagainya, boleh kembali semula. Melalui sambutan Hari Kebangsaan ini juga, diharapkan rakyat dapat meninjau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh negara, dan dengan itu akan lebih menghargai usaha-usaha membangunkan negara sejak merdeka. Janganlah kita `take for granted' kejayaan- kejayaan dan pencapaian-pencapaian kita. 15. Sempena menyambut Hari Kebangsaan ini, marilah kita semua bersatupadu serta meningkatkan keazaman kita untuk menjayakan wawasan negara. Insya-Allah, jika kita semua berusaha bersungguh-sungguh dan mengetahui matlamat yang hendak ditujui oleh negara, maruah bangsa dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara. |