home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KOTA SAMARAHAN, SARAWAK 
Tarikh/Date 	: 	31/08/93 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA MELETAKKAN BATU ASAS 
			UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) 



 Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  pihak pengurusan
dan staf akademi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kerana
menjemput saya untuk melakukan upacara rasmi meletakkan batu
asas kampus tetap UNIMAS di Kota Samarahan pada hari ini.
2.   Kewujudan UNIMAS menandakan kelahiran sebuah  institusi
pelajaran  tinggi  yang  baru, iaitu universiti yang kelapan
bagi Malaysia, dan yang pertama  tertubuh  di  Sarawak  atau
Sabah.    Kelahiran  UNIMAS adalah hasil perjuangan pemimpin
dan  cendekiawan  tempatan   yang   mahu   melihat   sejarah
pendidikan  negeri  ini  tercatat  dengan  kewujudan  sebuah
universiti.  Kelahiran UNIMAS mencerminkan kesepaduan sistem
pendidikan negara  yang  berasaskan  pembinaan  satu  Bangsa
Malaysia.
3.    Membangunkan sesebuah universiti bukanlah satu perkara
yang mudah.  Sebaliknya, mewujudkan  serta  menyelenggarakan
sesebuah  universiti  memakan  perbelanjaan yang amat besar.
Dalam Rancangan Malaysia Kelima, Kerajaan Persekutuan  telah
membelanjakan  sebanyak  RM1.7 bilion bagi pendidikan tinggi
dan dalam Rancangan Malaysia Keenam, sebanyak  RM2.8  bilion
dijangka dibelanjakan.
4.      Memandangkan  perbelanjaan  yang  begitu  besar yang
diperuntukkan kepada pendidikan  tinggi,  soal  yang  sering
ditimbulkan  ialah  kenapakah Kerajaan sanggup membelanjakan
wang yang begitu banyak yang memberi manfaat secara langsung
hanya kepada sebilangan yang kecil  sahaja  daripada  rakyat
negara  ini?    Apakah penting Kerajaan membelanjakan begitu
besar,  khususnya  bagi  pendidikan   tinggi   mereka   ini?
Sepertimana  kita  sedia  maklum,  universiti-universiti  di
kebanyakan negara  lain  dimiliki  oleh  pihak  swasta  yang
biasanya  mengenakan  yuran  yang  tinggi  kepada  penuntut.
Tetapi di Malaysia beban  kos  membiayai  pendidikan  tinggi
ditanggung hampir kesemuanya oleh Kerajaan.  Selain daripada
belanja   pengurusan   universiti,   Kerajaan  juga  memberi
biasiswa kepada ramai penuntut.  Mereka yang membayar  yuran
sendiri  pun  tidak  membiayai belanja sepenuhnya.  Kerajaan
masih memberi subsidi kepada mereka.
5.   Justeru itu mereka yang dapat ke  universiti,  terutama
yang  mendapat biasiswa harus menganggap diri mereka sebagai
rakyat yang beruntung dan bernasib  baik  berbanding  dengan
rakyat  lain  yang  tidak berpeluang ke universiti.   Mereka
harus berasa terhutang budi  bukan  sahaja  kepada  Kerajaan
tetapi  juga  kepada  masyarakat.    Jika  mereka  sedar dan
menghargai  pengorbanan  masyarakat  untuk  mereka  mendapat
pelajaran,  maka  tentulah  mereka  akan menggunakan masa di
universiti  dengan  sebaik-baiknya  untuk  belajar.    Tidak
berbuat demikian bermakna membazirkan wang rakyat yang boleh
digunakan  untuk  maksud lain.   Sebaliknya ijazah yang akan
didapati  adalah  untuk  kegunaan  diri  sendiri.    Melalui
kelulusan  universiti,  penuntut  akan  berpeluang  mendapat
pekerjaan yang lebih  baik  berbanding  dengan  mereka  yang
tidak  ke universiti.  Sesiapa pun yang insaf akan bersyukur
kerana dapat ke universiti yang mana ini menjamin masa depan
yang lebih cerah.
6.   Orang  yang  insaf  tidak  akan  lupa  jasa  masyarakat
kepadanya.   Sudah tentu dia akan rela membantu membangunkan
masyarakat itu, terutama  jika  khidmatnya  dihargai  dengan
upahan  yang lumayan.  Inilah harapan masyarakat dan harapan
Kerajaan apabila menyediakan peruntukan  yang  begitu  besar
untuk pelajaran tinggi.
7.   Penubuhan   UNIMAS    menunjukkan   universiti    tidak
semestinya tertumpu di satu-satu kawasan atau negeri sahaja.
Memang benar mengadakan institusi pelajaran tinggi di tempat
yang mempunyai ramai penduduk adalah mudah.  Tenaga pengajar
dan  lain-lain  kemudahan lebih mudah dicari.  Tetapi sebuah
universiti berfungsi juga sebagai 'growth centre'.    Dengan
sendirinya  kawasan  di  sekeliling  akan  tumbuh  dan  maju
semata-mata kerana universiti di tempatkan di situ.  Justeru
itu penubuhan UNIMAS di  Sarawak  akan  membawa  hasil  yang
lebih daripada perkembangan pelajaran sahaja.
8.    Dalam konteks ini UNIMAS harus mengambil peluang untuk
mencari cara-cara yang membolehkannya mengeksploitasi sumber
asli  negeri  ini.       UNIMAS  harus   mengambilkira   dan
memanfaatkan  kekayaan  dan kekuatan rantau ini supaya dapat
dijadikan   sumber   untuk   pengajian   dan   penyelidikan.
Kekayaan  sumber  asli  dapat  dijadikan bahan pengajian dan
penyelidikan.  Begitu juga, kepelbagaian budaya  yang  wujud
di  negeri  ini  adalah  punca kekuatan untuk dipelajari dan
diketahui supaya dapat menjadi asas  kekuatan  negara  dalam
menghadapi   persaingan   'global'  masakini.    Kita  perlu
mengetahui budaya mereka  serta  kaitannya  dengan  kemajuan
yang  dicapai.    Kekuatan  kita  daripada segi kepelbagaian
budaya harus dijadikan sandaran  kepada  pengajian  mengenai
budaya negara-negara lain.
9.    Dekad  90an  telah  menonjolkan  era yang penuh dengan
saingan yang hebat di pasaran antarabangsa, yakni  berikutan
daripada  peningkatan  kesedaran  golongan  pengguna tentang
mutu   barangan,   'business   globalisation',    kemunculan
'regional  groupings'  dan  penubuhan  pasaran-pasaran baru.
Kita tidak boleh lagi bergantung kepada eksport  bahan-bahan
mentah  dan komoditi-komoditi utama seperti getah dan kelapa
sawit.  Bagi maksud mempertahankan daya saingan kita, adalah
kritikal   bagi   Malaysia   membangunkan   sumber    tenaga
manusianya.    Adalah penting bagi kita untuk membentuk satu
golongan tenaga manusia yang mempunyai kepakaran,  mutu  dan
'versatility'    bagi    menyahut    keperluan   pembangunan
perindustrian negara dengan lebih  dinamik.    Memang  benar
Malaysia  telah  berjaya  mencatat kadar pertumbuhan ekonomi
yang pesat. Walaubagaimanapun kita masih perlu mempergiatkan
lagi  usaha  kita,  terutamanya  daripada   segi   kemampuan
teknologi yang ada sekarang.
10.      Satu   perkara  yang  selalu  kita  tekankan  ialah
Penyelidikan dan Pembangunan  (R&D).    Penyelidikan  adalah
satu   kegiatan  akademik.    Ia  merupakan  sumber  latihan
akademik dan melaluinya pengajar akan dapat menyampaikan isi
ilmunya.   Pengajaran  yang  bukan  berasaskan  penyelidikan
terutama  tentang aspek masakini boleh jadi kaku, malah akan
menjemukan kalau sudah lapuk bahannya.   Ada pensyarah  yang
tidak  mengulangkaji bahan-bahan pengajarannya dan tiap-tiap
tahun mengulangi bahan yang  sama,  malah  'kata-kata  lucu'
(jokesnya)  pun  sama juga.  Oleh itu, penyelidikan mestilah
sentiasa menjadi satu kegiatan 'integral'  bagi  universiti.
Bagaimanapun  penyelidikan  mestilah seiring dengan prioriti
negara.   Ia  mesti  berorientasikan  'mission'  dan  hasil.
Kerajaan  bersedia  memperuntukkan beribu-ribu juta ringgit.
Kerajaan  juga  telah  mengadakan   satu   mekanisme   untuk
menangani  masalah  pembiayaan  projek  penyelidikan  dengan
mewujudkan Intensification of  Research  on  Priority  Areas
(IRPA).  Tetapi Kerajaan ingin melihat hasilnya.  Kita ingin
melihat manfaat daripada segala pelaburan kita, dan tentunya
rakyat   Malaysia   akan   turut   berbangga  sekiranya  ada
penyelidik kita yang  menerima  hadiah-hadiah  besar  seperi
Hadiah Nobel dalam bidang yang terkhusus, unik dan kompleks.
Tetapi  lebih  penting  ialah  hasil-hasil  penyelidikan itu
dapat  dikaitkan  dan  digunakan  terus  dalam   pembangunan
negara.    Hasil  penyelidikan  perlu  lebih berfokus kepada
proses pembangunan negara untuk memenuhi keperluan  industri
dan   masyarakat  nasional.  Ini  tidak  semestinya  bererti
penyelidikan itu tidak lagi  bertaraf  antarabangsa.    Para
akademik  tidak  seharusnya  mengenepikan keperluan industri
tempatan untuk menghasilkan bahan penyelidikan yang bertaraf
tinggi.
11.    Penglibatan  dalam  penyelidikan   mengenai   hal-hal
tempatan  tidak  seharus  pula  dijadikan  alasan  melakukan
penyelidikan yang  tidak  bermutu.    Budaya  saingan  tidak
berakhir   di  universiti  semata-mata.    Universiti  harus
sentiasa membandingkan  dirinya  dengan  institusi-institusi
yang  lain.    Universiti  harus  bersaing,  bukan sahaja di
peringkat  kebangsaan  tetapi  di  peringkat   antarabangsa,
kerana  itulah  budaya  persaingan dan cabaran yang dihadapi
oleh seluruh sektor.  Pasaran kita bukan lagi  dalam  negeri
tetapi  di  medan  antarabangsa.    Universitilah yang harus
menyemaikan semangat bersaing di  kalangan  pelajar-pelajar,
bahkan  di  kalangan  seluruh  komuniti  kampus dan komuniti
luar.
12.   Budaya  kecemerlangan  hendaklah  dijadikan  asas  dan
amalan  sesebuah  universiti.    Kriteria ganjaran hendaklah
berupa   sesuatu   yang   dapat   meningkatkan   mutu    dan
kecemerlangan universiti.  Sungguhpun sistem universiti kita
masih  baru  jika  dibandingkan  dengan sistem universiti di
negara maju, tetapi kita harus bertekad  untuk  meningkatkan
mutu  piawaian  pendidikan universiti.  Oleh itu, universiti
tempatan  hendaklah  bergerak  ke  arah  menetapkan  kualiti
tinggi  dalam  segala  aspek  kegiatannya, supaya universiti
kita akan dapat menjadi contoh di  rantau  ini,  dan  supaya
kemahiran  kita  dalam  pendidikan  tinggi  dapat dieksport.
Tidak ada sebab mengapa sistem pendidikan tinggi kita  tidak
dapat  dijadikan satu industri, sepertimana yang sedang kita
saksikan   hari   ini,   di   mana    negara-negara    asing
berlumba-lumba  mengadakan  program  pendidikan  kembar  dan
sebagainya  dengan   negara   kita.      Mereka   sebenarnya
mengeksport  kepakaran  yang  ada  kepada kita.   Kita tidak
boleh  berdiam  diri  menerimanya  sahaja.      Kita   perlu
berikhtiar   untuk   memasarkan   kepakaran   dan  kemahiran
pendidikan kepada komuniti antarabangsa.
13.   Untuk mencapai  objektif-objektif  pembangunan  negara
amnya,   dan   matlamat   universiti  khususnya,  universiti
haruslah bekerjasama  dengan  Kerajaan.      Kerajaan  sedia
menerima  sebarang  'idea' dan hasil penyelidikan yang dapat
membawa keuntungan kepada negara dan rakyat.   Yang  penting
ialah  ahli-ahli  akademik  perlu  lebih peka kepada isu-isu
pembangunan, isu-isi yang  relevan  dengan  keadaan  sosial,
ekonomi dan politik negara.
14.   Kita di Malaysia tidak mampu bermegah dengan kewujudan
universiti yang bebas daripada  keadaan  realiti  kehidupan.
Universiti  tidak  dapat  dipisahkan daripada masyarakat dan
ekonominya.  Sebaliknya universiti mesti mempunyai  hubungan
yang  erat dengan masyarakat dan industri.  Universiti harus
terlibat dalam  proses  pembangunan.    Ia  harus  mendekati
industri.    Sehubungan  ini,  universiti  hendaklah memberi
tumpuan  kepada  usaha-usaha  mendekatkan   dirinya   dengan
industri.    Kerajaan  akan  memberi sokongan.   Tetapi yang
penting ialah  para  akademik  harus  menukar  sikap  supaya
berusahasama   dengan  industri.    Ini  mungkin  memerlukan
penukaran    norma-norma     lazim     mengenai     hubungan
universiti-industri.    Norma-norma  yang menjadi penghalang
kepada pembinaan rangkaian hubungan yang baik perlu  diubah.
Universiti  tidak  seharusnya  menanti  agar industri datang
kepadanya, tetapi sebaliknya, universiti patut menjadi lebih
agresif memasarkan perkhidmatannya kepada  industri  melalui
perancangan  dan  pemasaran  strategik.   Malah bukan sahaja
mencari  pasaran  dengan   industri   tetapi   juga   dengan
masyarakat   dan  Kerajaan.     Universiti  harus  ke  depan
menyampaikan pandangan dan  hasil  kajian  kepada  Kerajaan.
Jelas sekali, usahasama yang ikhlas antara universiti dengan
Kerajaan,  industri dan masyarakat bukan lagi merupakan satu
opsyen tetapi satu prasyarat yang penting.
15.   Dalam konteks  hubungan  universiti  dengan  Kerajaan,
Kerajaan  tidak  ingin  mengenakan  sekatan-sekatan terhadap
sebarang kegiatan ilmiah yang berupaya meraih manfaat kepada
negara.    Kerajaan  sanggup  memberi  pertimbangan   kepada
melegakan  kedudukan  universiti  dari segi pengawalan untuk
memberi fleksibiliti kepada  universiti  menjalankan  urusan
pengurusan  dengan  lebih  cekap.    Universiti  juga  harus
meneliti  corak  pentadbirannya,  kaedah  membuat  keputusan
dalaman,  serta  isu-isu  lain  yang boleh meningkatkan lagi
peranannya dalam  masyarakat.    Universiti  tempatan  harus
meninjau   kembali   sistem  yang  dianuti  daripada  sistem
universiti di zaman penjajah, supaya  pengurusan  universiti
lebih  'contemporary' sifatnya, yang membolehkannya bergerak
dengan ciri-ciri yang dihasratkan  iaitu  bermutu,  agresif,
proaktif  dan  inovatif.    Universiti  harus  mencari jalan
supaya   lebih       bertangungjawab        dan        dapat
dipertanggungjawabkan.    Budaya  inilah yang perlu disemai
dan dipupuk di kalangan komuniti pelajar.
16.  Saya ingin mengambil kesempatan ini  untuk  mengucapkan
tahniah  dan syabas kepada pelajar-pelajar UNIMAS yang telah
terpilih untuk menerokai satu sistem pendidikan tinggi  yang
agak  mencabar.      Saudara-saudari adalah pelajar perintis
yang akan menentukan arah dan halatuju Universiti ini.  Oleh
itu, ambillah peluang keemasan ini  untuk  menimba  sebanyak
ilmu   yang   mungkin   supaya  saudara  dan  saudari  boleh
menerapkannya dalam dunia kerja dan sebagai persediaan untuk
kehidupan bermasyarakat. Dunia kerja  hari  ini  bukan  lagi
bergantung  kepada  ilmu  teori semata-mata tetapi merupakan
penggemblengan antara ilmu asas dengan  pengalaman  praktik.
Oleh   itu,  para  pelajar  perlu  menggunakan  masa  dengan
sebaiknya supaya kedua-dua aspek ilmu ini dapat diimbangkan.
17.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan  upacara
meletakkan  batu  asas  Universiti  Malaysia  Sarawak, iaitu
UNIMAS.

 

 



 
Google