home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SUBANG MERLIN, SUBANG JAYA, SELANGOR Tarikh/Date : 20/11/93 Tajuk/Title : MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN KUB KE-13 Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana menjemput saya pada hari ini dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Usaha Bersatu (KUB) ke-13 ini. 2. Kini lebih daripada dua tahun sudah berlalu semenjak pelancaran semula KUB. Dalam dua tahun kebelakangan ini saya percaya pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah KUB telah mengambil peluang untuk memperbaiki segala kelemahan-kelemahan yang terdapat di KUB di samping cuba membawa KUB kepada kejayaan yang diharapkan oleh ahli-ahli KUB. 3. Kita dapati hari ini perkembangan ekonomi negara serta ekonomi Asia Tenggara berada di paras yang terbaik sama ada ditinjau daripada segi sejarah mahupun daripada segi perbandingan dengan ekonomi kawasan-kawasan lain dalam dunia. Malaysia boleh berbangga kerana sektor korporat sedang tumbuh dengan pesatnya. Ini terbukti daripada perkembangan Pasaran Saham Kuala Lumpur yang telah berjaya menjadi pasaran saham yang terbesar di Asia Tenggara. Kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam sektor korporat mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara kita yang pesat. 4. Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita terhadap pertumbuhan ekonomi serta sektor korporat, sektor koperasi merupakan satu potensi yang tidak harus diabaikan, malahan usaha-usaha hendaklah di lipatgandakan untuk memajukan sektor ini. Dalam pembangunan ekonomi moden koperasi mempunyai tempat atau 'niche' yang tersendiri. Memang terdapat banyak aktiviti di mana konsep koperasi mempunyai kelebihan tersendiri. Tambahan pula koperasi sangat sesuai dalam membantu dan melibatkan 'the small man' iaitu para petani, pekebun kecil, penangkap ikan, pewarung serta pengusaha berbagai-bagai industri kecil-kecilan. Konsep koperasi membolehkan modal orang kecil disatukan dan dibantu oleh langganan daripada mereka sendiri untuk menguntungkan mereka dan menurunkan harga barangan. 5. Sesuai dengan matlamat tersebut adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk memastikan supaya kegiatan koperasi dapat dimajukan dan supaya ianya tidak ketinggalan dalam usaha kita mencapai Wawasan 2020. Gerakan koperasi mempunyai tempatnya yang tersendiri dalam skim ekonomi moden dengan segala cabarannya termasuk masalah 'globalisation' serta kemunculan teknologi baru. Koperasi boleh memainkan peranan penting dalam 'mobilising resources' demi untuk menentukan bahawa ekonomi kita dapat tumbuh dengan cergas dan dinamik. Ini memandangkan bahawa ahli koperasi di Malaysia sudah pun melebihi empat juta orang. Di sekolah-sekolah pula koperasi sudah melebihi 1,000 buah. Justeru itu adalah penting pertubuhan-pertubuhan koperasi bergerak aktif untuk sama-sama seiring maju dengan sektor korporat dalam usaha mencapai Wawasan 2020. 6. Untuk mencapai potensinya pada masa depan gerakan koperasi perlu membuat beberapa perubahan. Sistem koperasi yang asal yang telah saya sebutkan tadi mungkin sesuai untuk mengelolakan koperasi-koperasi kecil, tetapi ia tidak lagi sesuai untuk koperasi yang mempunyai ahli yang ramai serta kegiatan perniagaan dan pelaburan yang melibatkan berjuta-juta ringgit dalam industri dan perniagaan besar. Koperasi juga perlu menambah daya tarikannya sebagai majikan yang mampu menarik para profesional serta pekerja mahir untuk berkhidmat dengannya sama seperti badan-badan korporat lain. Struktur pengurusan dan pentadbiran juga perlu sifat-sifat 'flexibility' yang sesuai dengan keadaan persekitaran. Sistem 'delegation' dan pengurusan profesional juga perlu untuk menentukan supaya keputusan dan tindakan boleh dijalankan dengan cepat. Zaman 'syarikat jimat-cermat pinjam-meminjam tanggungan berhad' yang diurus secara sambilan oleh beberapa ahli sudah hampir berakhir. 7. Salah satu cabaran kepada pelabur koperasi di negara ini ialah untuk mencari jalan supaya sistem koperasi boleh disesuaikan bagi mengelola koperasi yang besar secara efektif dan efisyen. Jika konsep syarikat boleh digunakan untuk menjalani 'one-man company' yang kecil serta gergasi 'multinational conglomerates' maka tidak ada sebab mengapa konsep koperasi juga tidak berupaya berbuat demikian. Ini harus difikirkan oleh pihak-pihak berkenaan bagaimana konsep koperasi boleh diterapkan dengan ciri-ciri yang 'flexible' supaya koperasi berbagai-bagai bentuk saiz dan kegiatan ekonomi yang dijalankan di negara ini dapat bersaing maju dengan badan-badan perniagaan lain. 8. Seperti juga dengan sektor-sektor korporat atau Kerajaan, koperasi harus dipimpin dan ditadbir dengan betul dan berteraskan prinsip-prinsip pengurusan sejagat. Malangnya sebagaimana kita ketahui, pengalaman koperasi di negara ini pada masa lalu tidak begitu menggalakkan. Sungguhpun kebanyakan koperasi di negara ini berjalan dengan baik dan teratur, koperasi-koperasi kita dilanda berbagai-bagai masalah dalaman yang mana kebanyakannya berpunca daripada kurang amanah, penyalahgunaan kuasa, pengurusan yang tidak cekap dan sikap negatif ahli-ahli. 9. Di sini ingin saya merujuk kepada sejarah KUB sebagai contoh riwayat sebuah koperasi yang agak 'typical' di negara ini. KUB ditubuhkan untuk memberi peluang kepada pelabur-pelabur kecil terutama ahli-ahli UMNO mengambil bahagian dalam perniagaan yang mana koperasi mempunyai beberapa kesempatan yang diberikan oleh Kerajaan. 10. Pada mulanya KUB berjalan dengan baik walaupun pencapaiannya tidaklah istimewa. Kemudian orang yang berkepentingan politik diri telah 'dilantik' untuk menerajui KUB. Dengan serta-merta KUB dijadikan alat untuk politik pihak tertentu. Pengerusi dan pengarah mengambil gaji yang tinggi dan memberi kemudahan-kemudahan kepada diri sendiri. Kepentingan perniagaan diketepikan. Dengan itu KUB mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. Namun pengurusan dan Lembaga Pengarah tidak dapat ditukar kerana taktik-taktik yang tertentu yang digunakan oleh Ketua dan Pengarah-pengarah untuk mengekalkan tempat mereka. 11. Hanya selepas KUB menjadi hampir bankrap baharulah pengarahan dan pengurusan dapat ditukar dan KUB dipisahkan daripada politik pihak berkenaan. 12. Apabila KUB diambilalih oleh pihak yang mempunyai kecekapan berniaga yang tidak mengutamakan kepentingan politik diri, ia dapat dipulihkan sepenuhnya. Hari ini KUB adalah lebih sihat. 13. Masalah koperasi kerap berkisar daripada pengurusan yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan koperasi dan ahli-ahlinya. Perniagaan tidak susah. Jika amalan-amalan yang sihat diamalkan, insya-Allah kejayaan boleh dicapai. Tetapi apabila perniagaan dicampur-adukkan dengan perkara-perkara lain atau tidak ada kerajinan (due diligence) maka apa juga perniagaan akan gagal. Sudah tentu apabila pengurusan tidak beramanah, tidak akan ada kejayaan sama sekali. 14. Masalah penyelewengan dalam koperasi tidak terbatas di peringkat koperasi itu sahaja. Ahli atau penyimpan dalam koperasi terlibat akan mendesak Kerajaan untuk mencari penyelesaian. Penyelesaian yang dimaksudkan ialah suntikan wang oleh Kerajaan atau dalam perkataan lain, wang pembayar cukai digunakan untuk menolong penyimpan serta ahli koperasi yang gagal. Sukalah saya menekankan di sini bahawa bukanlah menjadi hasrat Kerajaan untuk mengguna wang orang ramai sebagai subsidi untuk menampung keperluan seperti ini. 15. Oleh itu, adalah penting semua ahli serta penyimpan dalam koperasi meneliti perjalanan koperasi masing-masing. Periksalah akaun koperasi tuan-tuan, bertanyalah dan dapatkan penjelasan, dapatkan bantuan mereka yang lebih arif berkenaan perniagaan dan sebagainya. Tuan-tuan dan puan-puan tidak boleh bergantung kepada mana-mana pihak lain jikalau koperasi tuan-tuan gagal atau menghadapi kesulitan. 16. Ini bukanlah bermakna bahawa Kerajaan akan berpeluk tubuh jikalau penyelewengan dilakukan. Kerajaan tetap mengawasi perjalanan koperasi dengan tegas untuk menentukan sebarang penyelewengan tidak berlaku. Untuk tujuan ini, Akta Koperasi 1992 sudahpun diwartakan dan penguatkuasaannya akan bermula sebaik sahaja Kementerian berpuas hati dengan persiapan yang sedang dijalankan. Saya berharap ahli-ahli koperasi cuba memahami Akta Koperasi 1992 ini dan menggunakan jentera yang ditubuhkan di bawah Akta tersebut, termasuk Jawatankuasa Odit yang perlu ditubuhkan oleh semua koperasi. 17. Kita sedia maklum bahawa penyelesaian yang muktamad bukan bergantung kepada 'legislation and more legislation'. Undang-undang yang terlalu ketat akan menyukarkan pengurusan koperasi. Bukanlah tujuan Kerajaan untuk membebankan koperasi-koperasi yang berjalan dengan betul. Oleh itu terpulanglah kepada ahli untuk mengawasi dan meneliti koperasi masing-masing. 18. KUB merupakan sebuah koperasi yang dianggap penting sebagai lambang kepada kita semua. Ianya bukan sahaja institusi yang penting daripada segi jumlah ahli, jumlah saham ahli serta keluasan kegiatannya. KUB juga sedikit sebanyak melambangkan masalah serta peluang yang dihadapi oleh sektor koperasi di negara kita dan kejayaan atau kegagalan KUB akan mencerminkan kejayaan atau kegagalan perjuangan koperasi di negara ini. 19. Pada tahun yang lepas, saya telah membuat beberapa teguran serta cabaran kepada pengurusan KUB. Memang benar bahawa beban untuk membaiki KUB dan membinanya ke arah kecemerlangan bukanlah mudah. Namun begitu, usaha yang gigih oleh semua pihak dalam KUB, termasuk ahli, kakitangan, pengurusan dan Lembaga Pengarahnya telah berjaya memulihkan dengan cemerlang prestasi KUB. 20. Saya difahamkan bahawa KUB sekarang ini telah menceburi dalam berbagai-bagai bidang selain daripada memberi perkhidmatan kepada ahli-ahli. Apa yang penting ialah supaya segala kegiatan ini dikelolakan dengan sebaik-baiknya daripada segi perancangan serta pengelolaan. Kakitangan perlu diberi latihan yang mencukupi terutama berkenaan etika kerja supaya mereka mampu memikul beban yang ditugaskan. 21. Gunakanlah peluang yang didapati daripada pertambahan modal dengan sebaik-baiknya. Saham-saham ahli merupakan wang yang telah diamanahkan kepada pengurusan dan Lembaga Pengarah untuk digunakan bagi projek-projek yang bersesuaian daripada segi keuntungan, risiko serta kemampuan pengurusan KUB. 22. Binalah budaya korporat serta budaya kerja yang sihat lagi efektif demi membangunkan sebuah institusi yang boleh menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain dalam negara kita. Buktikan bahawa koperasi juga berpotensi serta boleh memainkan peranan yang penting dalam ekonomi moden ini. 23. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Usaha Bersatu yang Ke-13. |