home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MALAYAWATA STEEL BERHAD DI PRAI, PULAU PINANG Tarikh/Date : 20/12/93 Tajuk/Title : UPACARA PEMBUKAAN LOJI ROD DAWAI DAN PELANCARAN LOJI PEMBUATAN KELULI NO. 2 Saya mengucapkan terima kasih kepada Malayawata Steel Berhad kerana menjemput saya untuk merasmikan Pembukaan Loji Rod Dawai dan Pelancaran Loji Pembuatan Keluli No. 2 pada hari ini. 2. Saya sukacita mendapati bahawa Malayawata telah berjaya menyelesaikan segala masalah yang lepas, untuk muncul sebagai sebuah organisasi yang lebih padu dan efisien di dalam industri besi waja dalam negara hari ini. Apa yang lebih meyakinkan ialah kesediaan Malayawata untuk terus maju ke hadapan, dan tidak sekadar berpuas hati dengan segala yang telah dicapai setakat ini, sepertimana jelas di dalam pembukaan Kilang Rod Dawai dan Pelancaran Kilang Pembuatan Keluli No. 2 hari ini. 3. Malayawata boleh diibaratkan sebagai anak pertama di dalam industri besi waja kita dan berkat semangat perintisnya, syarikat ini telah berjaya dalam segala bidang yang ada. Ianya merupakan satu nama yang berpengaruh di dalam sektor pembuatan keluli kita pada masa ini. Pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen, dedikasi dan taat setia pekerja-pekerja syarikat. Prestasi Malayawata yang cemerlang memperkukuhkan lagi kepercayaan saya bahawa semangat inovasi dan dedikasi di kalangan kakitangan adalah amat perlu untuk kejayaan sesebuah syarikat. 4. Malayawata telah membuka jalan kepada penubuhan industri besi waja kita. Ia, saya kira, merupakan syarikat yang pertama di dalam memperkenalkan teknologi pembuatan keluli ke negara ini. Ianya adalah antara syarikat-syarikat usahasama Malaysia-Jepun dan Kilang Keluli Bersepadu yang pertama di Malaysia. Ia menyemarakkan kebolehan kita di dalam pengilangan besi waja dengan relau bagas yang pertama di Asia Tenggara. Dan tidak syak lagi, upacara hari ini merupakan permulaan kepada kejayaan Malayawata di dekad akan datang, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya di dalam industri keluli kita. 5. Dekad akan datang akan menyaksikan kemunculan kita sebagai sebuah negara industri. Negara industri tidak akan wujud melainkan ia mempunyai industri besi waja yang dapat menampung sekurang-kurangnya separuh daripada keperluannya sendiri. Kita akan memerlukan besi waja bukan hanya untuk pembinaan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan bangunan tetapi juga sebagai bahan untuk diproses menjadi produk-produk yang lebih tinggi nilainya. Oleh itu, kita hendaklah menyediakan banyak peluang untuk industri ini tumbuh bersama pembangunan negara. 6. Penubuhan loji keluli bukan sahaja melibatkan modal yang besar. Ianya memerlukan pengurusan yang komited dan canggih, infrastruktur dan komunikasi yang baik serta tenaga buruh yang mahir. Syarikat keluli juga perlu berupaya menghadapi persaingan. "The pressures of technology developments and marketing expertise will push companies towards specialising -- such as producing rods and bars, flat products, special steel, etc." Oleh itu pembukaan loji baru Malayawata ini yang akan mengeluarkan keluli untuk pembinaan dan kejuruteraan adalah satu langkah yang tepat. Dari sini ia harus berkembang mengeluarkan gred-gred keluli khas untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam industri. 7. Malayawata telah berkecimpung di dalam industri ini selama 25 tahun. Ia telah menimba kepakaran yang boleh menyumbang ke arah mengukuhkan lagi industri keluli negara. Rancangannya untuk berkembang dan mempelbagaikan kegiatannya adalah hasil daripada kekuatan ini. Kekuatan ini saya yakin boleh menentukan industri keluli Malaysia memasuki fasa pengeluaran keluli yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. 8. Bagaimanapun, sehingga hari ini industri ini tidak banyak melabur dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan atau R & D. Masanya sudah tiba bagi Malayawata berusaha mendirikan satu pusat R & D dan satu Pusat Latihan bagi industri keluli di negara ini. 9. Keperluan untuk menjadi lebih kompetitif dirasakan lebih mendesak memandangkan pelaksanaan sekim CEPT bagi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN. "The CEPT scheme provides for the elimination of all quantitative barriers upon enjoyment of the concessions and an elimination of other non-tariff barriers within five years after the enjoyment of the concessions." Industri keluli patut mengambil 'advantage' daripada AFTA dan mempelbagaikan barang-barang keluarannya. Langkah ini akan meningkatkan keupayaan industri keluli untuk menembusi pasaran eksport di rantau ini. Sebenarnya, Malaysia dianggap oleh pengeluar-pengeluar keluli asing sebagai pangkalan yang baik bagi pengeluaran barang-barang keluli untuk dieksport ke rantau Asia tenggara. Ini lebih-lebih lagi memandangkan rantau ini dijangka mengalami pertumbuhan yang tinggi dalam permintaan bagi 'flat products'. Ini adalah hasil daripada perkembangan pesat industri-industri yang menggunakan barang-barang jenis tersebut. 10. Di Malaysia pasaran bagi 'flat products' ialah di antara satu hingga dua juta tan metrik setahun dan ini dijangka meningkat kepada tiga juta tan metrik dalam jangka waktu beberapa tahun akan datang dan sehingga lima juta tan metrik menjelang tahun 2000. 11. Kepada banyak negara yang menandatangani Multilateral Steel Agreement (MSA), tindakan Amerika Syarikat mengenakan 'countervailling duties' dan sekatan 'anti-dumping' adalah membimbangkan. Negara-negara ini terpaksa mencari pasaran alternatif ataupun mengurangkan pengeluaran. Ini bukanlah satu pilihan yang mudah memandangkan di seluruh dunia industri keluli kini adalah dalam keadaan kurang sihat. Bagaimanapun tidak semua ini disebabkan oleh kemerosotan ekonomi. Barang-barang plastik dan bahan-bahan yang lain telah berjaya mengambilalih pasaran daripada keluli. Walau bagaimanapun prospek bagi industri keluli telah beransur pulih. 12. Oleh itu pengeluar-pengeluar keluli Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk mencari pasaran-pasaran eksport baru di Asia Timur dan Asia Tengah. Pengeluar-pengeluar keluli juga patut melaksanakan strategi yang menumpu ke arah menjamin supaya harga-harganya adalah stabil. Untuk menjamin harga-harga tetap stabil mereka hendaklah mengamalkan pendekatan yang berdisiplin terhadap pengeluaran. 13. Keadaan bekalan yang berlebihan serta pasaran dunia yang meningkat merupakan faktor-faktor utama yang seharusnya membuat pengeluar-pengeluar keluli tempatan lebih berpandangan jauh. Langkah-langkah mesti diambil untuk meningkatkan pertalian atau 'linkages' di antara syarikat-syarikat huluan dengan hiliran. "A scheme similar to the Vendors Development Programme recently established for the electronics industry, will enable upstream companies to get easy access to a fund to support and nurture the growth of downstream industries. There is great potential for steel fabrication and manufacture in the machinery and engineering sector, especially if importers are able to source their components locally." 14. Memandangkan industri ini dijangka menghadapi lebihan 'capacity', industri keluli di negara ini hendaklah meningkatkan 'competitivenessnya' bagi memenuhi permintaan pasaran-pasaran tempatan dan eksport. Lazimnya matlamat pengeluar-pengeluar keluli di seluruh dunia ialah kuantiti dan bukan kualiti. Ini telah menyebabkan banyak 'shortcomings' dalam industri ini, termasuk lebihan 'capacity', harga-harga yang rendah dan kemelesetan di dalam industri-industri pelanggan. Di sebaliknya, pengeluar-pengeluar keluli di Jepun yang mendapat permintaan tempatan yang menggalakkan daripada industri-industri otomotif, pembinaan dan jentera, menikmati pulangan yang tinggi. Sementara harga-harga keluli pada keseluruhannya telah merosot di Eropah, harga-harga keluli di Jepun terus kukuh. Industri ini di Jepun juga menghadapi lebihan 'capacity' pada awal 1980an. Bagaimanapun ianya masih merupakan 'the fittest' di dunia setelah pengeluar-pengeluarnya melaksanakan program-program 'diversification'. 15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Malayawata kerana menjemput saya ke upacara hari ini. Dengan pelaburan dan pembesaran kedua-dua Kilang Rod Dawai dan pembuatan keluli ini, saya yakin syarikat ini akan maju dan akan dapat meluaskan pasarannya ke luar negara. 16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Loji Rod Dawai dan Pelancaran Loji Pembuatan Keluli No. 2 Malayawata Steel Berhad. |