home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/93 
Tajuk/Title  	:	SEMPENA TAHUN BARU 1994 



 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
    Negara baru sahaja diselubungi kesedihan kerana tragedi
Kondominium  Highland  Towers  baru-baru  ini  yang  meragut
banyak nyawa.  Kita semua bersimpati dengan keluarga  mangsa
tragedi  ini.    Kita  berdoa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala
mencucuri rahmat ke atas mereka yang menjadi mangsa.
2.   Setiap sesuatu yang berlaku tetap mempunyai pengajaran.
Kita percaya demikian jugalah dengan tragedi ini.  Hari  ini
kita  semua  sedar akan pentingnya kita mengambilkira segala
kemungkinan apabila membuat sesuatu.
3.    Di waktu yang sama  rakyat  Malaysia  boleh  berbangga
dengan  usaha  yang  tidak tahu penat-lelah yang ditunjukkan
oleh pasukan-pasukan polis,  tentera, bomba, badan  sukarela
seperti  Persatuan Bulan Sabit Merah dan persatuan-persatuan
lain serta  orang  awam  untuk  menyelamatkan  mangsa-mangsa
tragedi  tersebut.    Kerajaan  mengucapkan terima kasih dan
tahniah kepada semua yang terlibat termasuk  pasukan-pasukan
penyelamat dari Jepun, Singapura dan Perancis.
4.   Jika kita ingin tahu sama ada sifat-sifat penyayang ada
kepada  rakyat  Malaysia, reaksi mereka terhadap tragedi ini
bolehlah dijadikan bukti.
5.    Sementara kita boleh gembira  kerana  menyambut  tahun
baru  1994,  kita  tentulah  tidak akan lupa untuk bersyukur
banyak-banyak kerana kita terselamat.   Dalam keadaan  dunia
yang   terus  bergolak,  rakyat  Malaysia  tentu  insaf  dan
bersyukur  kerana  kita  bukan   sahaja   dijauhi   daripada
penderitaan  akibat  peperangan atau persengketaan kaum atau
perang saudara, tetapi sebaliknya dikurniakan kemakmuran dan
kemajuan yang berterusan.
6.     Keadaan  aman,  stabil,  tenteram  dan  makmur  serta
kemajuan  yang  kita  nikmati sekarang bukanlah wujud secara
kebetulan atau datang  bergolek  kepada  kita.    Sebenarnya
sebahagian  besarnya  adalah hasil usaha gigih dan kerjasama
semua pihak --  rakyat,  Kerajaan,  pekerja  dan  pengusaha.
Penggemblengan  padu  usaha  semua  golongan, alhamdulillah,
telah membolehkan  Malaysia  mencapai  prestasi  yang  terus
menggalakkan di semua bidang sepanjang tahun 1993.
7.        Semua  masyarakat  di  mana-mana  negara  inginkan
kemakmuran dan kebahagiaan.   Untuk  ini  banyak  teori  dan
ideologi  dicipta.  Ada yang berpendapat bahawa manusia akan
merasa bahagia jika kekayaan dibahagi-bahagikan secara  sama
rata  kepada  semua anggota masyarakat.  Dengan itu dibentuk
dan diamalkan ideologi  seperti  sosialisme  dan  komunisme,
serta suatu sistem negara kebajikan di mana segala kebajikan
rakyat ditanggung oleh Kerajaan, dari buaian hingga ke liang
lahad.
8.      Niat untuk merata dan menyamakan semua rakyat memang
baik tetapi ideologi-ideologi ini tidak mengambilkira naluri
manusia.   Persamaan antara  kita  hanyalah  di  waktu  kita
dilahirkan,  di waktu mana kita semua bersih daripada segala
dosa.  Sama ada kita berjaya atau tidak menjadi manusia yang
baik atau sebaliknya  apabila  membesar,  bergantung  kepada
sikap  dan  usaha  kita.    Pihak  lain boleh menolong kita.
Kerajaan boleh menolong kita.  Tetapi akhirnya yang  membawa
kejayaan atau tidak kepada kita ialah usaha kita sendiri.
9.      Sebab  itu  anggota  masyarakat tidak boleh berharap
kepada masyarakat  atau  Kerajaan  untuk  menyediakan  semua
kemudahan seperti yang dijanjikan oleh negara kebajikan atau
'welfare  state' ala Barat.  Mengharapkan pihak lain bekerja
keras dan lebih bertanggungjawab tetapi dengan  upahan  yang
sama  supaya  kita  yang  tidak  bekerja  keras  dan  kurang
bertanggungjawab mendapat  kebahagiaan  hidup  adalah  tidak
waras.  Jika semua pihak diberi nikmat yang sama, tidak akan
ada  sesiapa yang ingin memikul kerja yang berat.  Dan tidak
ada  cara  untuk  menjadikan  semua   kerja   sama   ringan.
Percubaan  untuk  membayar  gaji  yang sama untuk kerja yang
berbeza-beza  hanya  akan  menghalang  kemajuan  masyarakat.
Negara  yang  tidak  maju  dan  makmur tidak mungkin memberi
kebahagiaan hidup kepada rakyatnya.  Yang mudah  dibahagikan
secara  sama rata ialah kemiskinan dan hidup merana.  Negara
kebajikan yang bergantung kepada paksaan undang-undang tidak
akan  berjaya  menjadi  negara  kebajikan.    Sebab   itulah
negara-negara  komunis  sudah musnah dan negara sosialis dan
'welfare state' menghadapi masalah ekonomi yang merosot.
10.  Tetapi ini tidak bermakna negara kebajikan tidak  boleh
diwujudkan  sama sekali.   Ia boleh diadakan jika ada rakyat
yang mampu dan cekap  dan  boleh  mengejar  kekayaan  dengan
bebas.   Jika masyarakat mempunyai sifat-sifat penyayang dan
sanggup menghulur derma dan bantuan dengan rela hati  kepada
yang  kurang  bernasib  baik  maka  negara  kebajikan  boleh
diwujudkan.   Tetapi tujuannya bukanlah  supaya  yang  tidak
bernasib  baik menjadi sama kaya dengan penderma.  Tujuannya
ialah untuk  mengurangkan  nasib  buruk  mereka  yang  tidak
berjaya  kerana  apa  juga sebab.   Dengan itu jurang antara
yang miskin dengan yang kaya tidaklah terlalu jauh.
11.            Kerajaan masih mempunyai peranan dalam negara
kebajikan seperti ini.  Kerajaan mengenakan  cukai  terhadap
yang  kaya  untuk  membiayai  kemudahan-kemudahan yang boleh
digunakan oleh semua.   Tetapi  cukai  tidak  harus  terlalu
tinggi  sehingga melemahkan semangat pihak yang berkebolehan
menambah kekayaan mereka.  Orang yang cekap mencari kekayaan
berguna kepada kebajikan  masyarakat dan negara.  Jika tidak
ada mereka, atau,  seperti  dalam  negara  komunis  di  mana
mereka tidak dibenar mengumpulkan harta kekayaan, tidak akan
ada   cukai   yang   boleh   dipungut  oleh  Kerajaan  untuk
perbelanjaan kepentingan awam.  Sudah tentu masyarakat tidak
boleh menumpang mereka yang kaya jika mereka tidak ada.
12.  Teori bahawa Kerajaan boleh mengadakan  perniagaan  dan
perusahaan  dan  mengambil  semua keuntungan dan tidak hanya
sebahagian  sahaja  melalui  cukai  adalah  tidak   berasas.
Perniagaan  Kerajaan  biasanya  rugi,  terutama  jika  semua
anggota dan kakitangan syarikat Kerajaan dibayar  gaji  yang
sama  seperti disarankan oleh komunis dan sosialis.  Lagipun
sistem  birokrasi  Kerajaan  menyekat  pengurusan   daripada
bertindak  sebagai  orang  berniaga.   Dengan itu keuntungan
sukar diperolehi.   Pengalaman di  Malaysia  ialah  syarikat
Kerajaan perlu bantuan Kerajaan sepanjang masa.
13.   Syarikat milik Kerajaan juga kerap menghadapi tuntutan
kenaikan gaji dan tindakan  mogok  oleh  pekerjanya.    Jika
tuntutan  tidak  dilayan,  Kerajaan  mungkin  tidak mendapat
sokongan  apabila  pilihanraya  diadakan.    Dengan  melayan
tuntutan  pula,  kerugian akan bertambah atau harga barangan
yang  dikeluarkan  akan  naik.    Pendapatan  Kerajaan  akan
semakin  berkurangan dan tidak dapat membiayai bekalan untuk
kepentingan awam.
14.  Sebaliknya Kerajaan tidak boleh mencari keuntungan yang
berlebihan.  Dengan itu Kerajaan sebagai pemilik  perniagaan
tidak  boleh  membayar  gaji yang baik kepada kakitangannya.
Dengan gaji yang rendah, rakyat, yang kebanyakannya  bekerja
dengan Kerajaan dalam negara kebajikan ala barat tidak dapat
membeli barangan mewah yang biasanya memberi keuntungan yang
tinggi.
15.          Banyak  lagi   masalah   yang   dihadapi   oleh
syarikat  milik  Kerajaan.   Hakikatnya ialah teori sosialis
atau komunis yang berkata bahawa jika semua  punca  kekayaan
dimiliki   oleh   Kerajaan,   maka  Kerajaan  boleh  memberi
kehidupan yang bahagia  kepada  semua  rakyat  adalah  tidak
benar.     Masyarakat  manusia  memerlukan  kebebasan  untuk
mencari kekayaan bagi diri sendiri.   Tugas  Kerajaan  ialah
menolong  mereka ini mencari seberapa banyak kekayaan secara
halal, dan kemudian mengenakan cukai yang  berpatutan  untuk
mengagihkan  kekayaan  itu  kepada seluruh masyarakat supaya
mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih tinggi mutunya.
16.  Di Malaysia kita mempunyai  falsafah  yang  tersendiri.
Kita  memberi  kebebasan yang sepatutnya kepada semua pihak.
Kita percaya semua  pihak,  daripada  pekerja  kasar  hingga
kepada   pengusaha,   pemodal,  ahli  politik  dan  pengurus
mempunyai peranan.   Peranan  mereka  tidaklah  sama  tetapi
mereka semua tetap menyumbang kepada apa juga kemajuan.
17.   Pada satu ketika di barat, pemodal dianggap orang yang
terpenting sekali.  Mereka dengan itu menjadi  begitu  tamak
sehingga  tidak  menghargai peranan pengurusan atau pekerja.
Masyarakat mereka memanglah masyarakat  kapitalis.    Kerana
mereka  terlalu  tamaklah maka revolusi komunis dan sosialis
telah berlaku.
18.     Masyarakat  sosialis  dan   komunis   yang   terlalu
mengutamakan  pekerja  juga  tidak mendatangkan kejayaan dan
keadilan.  Hari ini di Barat  muncul  pula  masyarakat  yang
terlalu  menghargai  pengurus.    Kononnya  penguruslah yang
menjayakan segala perniagaan dan  perusahaan.    Dengan  itu
mereka  menuntut  gaji  yang  amat  tinggi  dengan bonus dan
opsyen saham dan faedah-faedah atau `perks' yang lain.
19.  Dalam usaha mereka untuk menunjuk  kejayaan  pengurusan
mereka,  pengurus-pengurus  cuba  mencatat  keuntungan  yang
besar supaya boleh membayar dividen yang tinggi.  Dengan itu
mereka akan  mendapat  upah  yang  bertambah  dan  banyaklah
syarikat  gergasi  yang cuba 'membeli' mereka dengan tawaran
gaji yang semakin tinggi.
20.  Di Malaysia juga sudah terserap falsafah ini.  Pengurus
menuntut gaji dan 'perks' yang semakin tinggi.    Sudah  ada
yang  meminta  dibayar  jumlah  upahan berbagai-bagai bentuk
bernilai hampir dua juta ringgit setahun.
21.  Sebenarnya pengurus-pengurus yang tamak seperti  inilah
yang   menyebabkan   syarikat-syarikat  gergasi  di  Amerika
Syarikat gagal dan bankrap,  dan  ekonomi  Amerika  merosot.
Mereka  terlalu  mengutamakan keuntungan cepat bagi syarikat
mereka  sehingga  tidak  ada  pelaburan   untuk   pembesaran
perniagaan  dan  usaha  Penyelidikan  dan  Pembangunan  atau
R & D.     Dengan itu mereka menjadi tidak kompetitif  dalam
pasaran.
22.    Nasib  yang  malang  inilah  juga  yang  akan melanda
syarikat-syarikat  di negara ini jika pengurus dan  pengarah
urusan menuntut gaji yang terlalu tinggi.
23.    Kita bernasib baik kerana kita masih terus maju.  Dan
kita  akan  terus  maju  jika  kita  berhati-hati,  bersikap
sederhana  dan  tidak tamak.  Sama ada kita buruh kasar atau
pemilik syarikat gergasi atau pengurus besar, sama ada  kita
di  pihak  awam atau swasta, tidak ada sesiapa daripada kita
yang begitu penting sehingga tidak perlu kepada orang  lain.
Semua  kita  mempunyai  peranan,  sama ada kecil atau besar.
Justeru itu kita perlu menilai dan  menghargai  semua  pihak
secara adil dan saksama.
24.  Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada budaya,
iaitu  jumlah  semua nilai hidup dan kepercayaan bangsa itu.
Empayar yang  terbesar  dalam  sejarah  pun  runtuh  apabila
budayanya tidak sesuai lagi dengan kemajuan.  Jika pada hari
ini  kita  masih terus maju sebabnya ialah kerana kita belum
lupa daratan.
25.             Peristiwa keruntuhan kondominium Hulu  Klang
membuktikan  bahawa kemewahan tidak menghapuskan sifat-sifat
penyayang dan keinsafan di kalangan  kita.    Alhamdulillah.
Kita  susuli  peristiwa  ini dengan mengambil berbagai-bagai
keputusan dan tindakan yang kita percaya boleh menolong kita
mengelak daripada berulangnya tragedi seperti ini.    Tetapi
hendaklah kita elak daripada sikap yang keterlaluan terhadap
bangunan tinggi atau kemudahan moden yang lain.
26.   Sebagai bangsa yang waras kita harus berani meneruskan
pembangunan negara kita.   Kita akan berhati-hati  dan  akan
mengambil  segala  tindakan  yang  diperlukan.   Tetapi kita
tidak akan lari daripada cabaran pembangunan negara moden.
27.  Dalam tahun-tahun yang akan datang kita akan menghadapi
lebih banyak cabaran.  Sebagai bangsa yang ingin maju,  yang
ingin   dihormati   kita  mesti  menerima  hakikat  ini  dan
menyediakan diri kita.  Budaya yang tahan cabaran  hendaklah
dibentuk  dan diamalkan oleh kita semua, di samping falsafah
yang telah kita bentuk bersama.
28.     Pada  permulaan  tahun  1994   ini,   marilah   kita
memperbaharui  azam  kita  untuk  mengamal  nilai-nilai yang
mulia supaya dapat kita membangunkan negara kita,  Malaysia,
insya-Allah.
     Selamat Tahun Baru.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
                         
 
 



 
Google