home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/01/94 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN 
			FRANCAIS SERENTAK DENGAN PERASMIAN 
			PERSIDANGAN FRANCAIS 
			ANTARABANGSA MALAYSIA 




 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Unit  Penyelarasan
dan  Pelaksanaan  dan  Persatuan  Francais  Malaysia  kerana
menjemput  saya  untuk   melancarkan   Program   Pembangunan
Francais  serta merasmikan Persidangan Francais Antarabangsa
Malaysia.   Majlis pada hari  ini  sungguh  bermakna  kerana
inilah    julung-julung    kalinya    Persidangan   Francais
Antarabangsa diadakan di negara ini.
2.   Negara kita telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi  yang
agak  cemerlang  pada  tahun  lalu  dengan kadar pertumbuhan
sebanyak 8.1 peratus.  Kadar pertumbuhan ini  dijangka  akan
meningkat    lagi    jika   tidak   pun   sekurang-kurangnya
dipertahankan dalam beberapa tahun yang akan datang.   Kesan
positif  daripada  kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini
ialah pendapatan dan taraf  hidup  rakyat  Malaysia  semakin
baik.
3.      Sebahagian besar penduduk kita telah menjadi semakin
mewah atau 'affluent' dan kemajuan ekonomi telah  mewujudkan
peluang  pekerjaan  dalam pelbagai sektor.   Di samping itu,
peratusan isi rumah yang merupakan 'dual income earner' juga
telah meningkat.   Masyarakat yang  mewah  sering  mempunyai
citarasa yang berbeza daripada keluarga atau ibu bapa mereka
sebelum  ini.    Dalam  memenuhi  keperluan seharian, mereka
lebih mementingkan  'convenience',  mutu  dan  khidmat  yang
cepat atau 'prompt services'.
4.      Dengan  perubahan  citarasa  ini,  cara-cara melayan
pelanggan juga perlu diubahsuai.  Perniagaan cara lama  yang
kurang teratur dan tidak mengambilkira standard, kualiti dan
masa tidak lagi sesuai dengan citarasa baru ini.
5.    Sebenarnya perubahan telahpun berlaku dan akan berlaku
dengan lebih cepat lagi.  Para peniaga dan  pemberi  khidmat
atau  'service  providers' yang tidak dapat menerima hakikat
perubahan ini akan ketinggalan dan  mungkin  perniagaan  dan
perkhidmatan  mereka  akan  lenyap.    Sebagai contoh, tidak
banyak lagi terdapat kedai-kedai  kopi  di  Bandaraya  Kuala
Lumpur  pada  masa ini.   Kebanyakannya telah diganti dengan
restoran makanan segera.   Begitu juga  kedai  runcit  telah
diganti  dengan  pasaraya  atau 'supermarket' jika tidak pun
'mini-market'.   Bengkel kereta di bawah  pokok  juga  telah
mula  diganti  dengan pusat servis kenderaan yang dilengkapi
dengan alat-alat diagnostik yang  canggih.    Perubahan  ini
sekali  lagi  membuktikan  bahawa  masyarakat  kita  umumnya
mementingkan  khidmat  yang  mudah,  cepat  dan  berkualiti.
Gerai-gerai  kecil dan tidak teratur di tepi-tepi jalan yang
menghalang  jalan  masuk   keluar   bagi   rumah-rumah   dan
kedai-kedai akan menjadi perkara lampau.  Ini bukan bermakna
perniagaan kecil akan terhapus, tetapi cara perniagaan kecil
perlu   disesuaikan   dengan   zaman.     Sebenarnya  dengan
keuntungan yang diperolehi oleh peniaga kecil, mereka  mampu
melabur dalam perniagaan yang lebih canggih.
6.    Semua   perubahan   ini   membawa   implikasi   kepada
pembekal-pembekal   khidmat  bahawa  sekiranya  mereka  mahu
berjaya   mereka   perlu   menyesuaikan   perkhidmatan   dan
perniagaan   mereka  dengan  perubahan  masa  dan  keperluan
masyarakat.   Ini  penting  kerana  keperluan  dan  kehendak
pengguna kian meningkat dan canggih.
7.   Dengan perubahan citarasa pelanggan, kaedah menjalankan
perniagaan juga telah berubah.    Perniagaan  dan  pemberian
khidmat  secara  'independent'  mungkin  tidak  sesuai lagi,
kecuali  bagi  mereka  yang  mempunyai  modal  yang   besar.
Perniagaan   berbentuk  'sole  proprietor'  dan  perkongsian
antara dua  atau  tiga  orang  rakaniaga  tidak  menjanjikan
pulangan  yang tinggi dan tidak membolehkan mereka menikmati
faedah perniagaan dan ekonomi yang besar.  Perniagaan bentuk
ini boleh berkembang tetapi memerlukan  masa  yang  panjang,
modal  yang  besar  dan  tenaga  kerja  sendiri oleh pemilik
perniagaan berkenaan.
8.    Di negara-negara maju misalnya,  perniagaan  berbentuk
'sole  proprietor'  atau 'mom and pop store' dan perkongsian
ini telah banyak diganti dengan perniagaan yang  menggunakan
sistem  francais.   Perniagaan melalui sistem francais telah
mengubah  bentuk  perniagaan   di   Amerika   Syarikat   dan
negara-negara   maju  yang  lain  seperti  Kanada,  Britain,
Perancis dan Jepun.
9.   Di Amerika Syarikat sahaja terdapat lebih 558,000  unit
perniagaan  francais  pada  tahun  1992  yang  menyumbangkan
jualan bernilai kira-kira US$803  billion  atau  35  peratus
daripada  jumlah  nilai  jualan runcit.   Adalah dijangkakan
nilai jualan daripada unit-unit francais ini akan  meningkat
kepada  US$1  trillion  pada  tahun  2000  dengan  satu unit
francais dibuka dalam tempoh enam setengah minit di  Amerika
Syarikat.   Pada tahun  1992 juga, perniagaan melalui sistem
francais ini telah  mewujudkan  lebih  daripada  lapan  juta
peluang  pekerjaan  di negara tersebut.   Perniagaan melalui
sistem  francais  begitu  menarik  sekali   kerana   peratus
kejayaannya tinggi berbanding dengan perniagaan kecil biasa.
Mengikut  kajian,   perniagaan  francais  yang  gagal adalah
dalam  lingkungan lima peratus sahaja berbanding dengan 62.2
peratus bagi perniagaan baru yang bukan berbentuk francais.
10.  Begitu juga di Jepun perniagaan melalui sistem francais
telah berkembang dengan pesatnya.   Pada  tahun  1980  hanya
terdapat  48,500  unit  perniagaan  francais  dan  ini telah
meningkat sebanyak 182 peratus kepada  hampir  137,000  unit
pada tahun 1990.  Manakala nilai jualan pula telah meningkat
sebanyak  323  peratus,  iaitu daripada US$14 billion kepada
US$59 billion dalam tempoh yang sama.
11.  Jelaslah bahawa `franchising has become  a  proven  and
acceptable  method  of  distributing products and services'.
Ini adalah kerana secara keseluruhannya  perniagaan  melalui
sistem francais akan mewujudkan 'a higher level of retailing
and  service  management,  increase  in productivity, create
more  efficient  distribution  of  products  and   services,
increase  technical  assistance  and  last but not least, it
will create a bigger tax base'.
12.   Dalam konteks perancangan dan  pelaksanaan  di  negara
kita    untuk    mewujudkan   Masyarakat   Perdagangan   dan
Perindustrian Bumiputera yang berdayatahan dan  berdayamaju,
pelaksanaan  perniagaan  melalui  sistem  francais merupakan
suatu perubahan yang sesuai.
13.   Ini  adalah  kerana  dalam  sistem  francais,  pemilik
francais,  iaitu  francaisor,  sudahpun  berpengalaman dalam
bidang   perniagaannya.       Sistem    perniagaannya    dan
masalah-masalah   telahpun  dikenalpasti  dan  diselesaikan.
Barangan atau khidmatnya sudahpun diperkenalkan kepada orang
ramai, dan francaisi tidak perlu menunggu sehingga produknya
dikenali baik daripada segi kualiti atau harga.  Yang  perlu
dipelajari  oleh  francaisi  hanyalah sistem yang disediakan
dan pelaksanaan  sistem  itu  dengan  tertib.    Dengan  ini
kemungkinan perniagaan gagal dapat dikurangkan.
14.  Kejayaan pelaksanaan sistem francais memerlukan `mutual
trust'  dan 'collective responsibilities' terutamanya antara
francaisor dan francaisi.   Francaisor ingin  mempertahankan
jenamanya   dan  segala  rahsia  perdagangan  yang  istimewa
baginya,  manakala  pihak  francaisi  pula   ingin   menjaga
semangat keusahawanannya dan memperolehi keuntungan daripada
pelaburannya.   Tanpa semangat dan kesanggupan bekerja dalam
satu  'network',  perniagaan  ala  francais  tidak   mungkin
berjaya   dan   kedua-dua   pihak  tentunya  akan  mengalami
kerugian.
15.  Di negara kita yang berbilang  kaum  ini  permuafakatan
dalam   perniagaan  seperti  ini  adalah  sesuai  kerana  ia
membantu mewujudkan  suatu  rantaian  perniagaan  yang  amat
baik.  Permuafakatan atau `marriage' melalui sistem francais
ini  merupakan  salah  satu asas penting pencapaian matlamat
Wawasan  2020,  iaitu  pewujudan  sebuah  negara  maju  yang
bersatupadu, kukuh dan yang berasaskan satu bangsa Malaysia.
16.    Kita  seharusnya  menerima hakikat bahawa negara kita
menjelang abad 21 akan mempunyai perniagaan yang tidak  lagi
berbentuk 'sole proprietorship'.  Perniagaan secara keluarga
tidak  lagi boleh digunakan sebagai suatu `growth strategy'.
Tetapi jika kaedah  francais  digunakan,  perniagaan  secara
keluarga   masih   boleh  dikembangkan,  iaitu  dengan  satu
keluarga memiliki dan mengurus satu `outlet' sendiri.    Ini
akan  menjamin  bahawa  minat  dan  dedikasi ada bagi setiap
outlet.    Dengan kaedah ini  juga,  peluang  terbuka  untuk
usahawan  dan  peniaga  Bumiputera  yang mempunyai modal dan
penuh komited melibatkan diri  dalam  perniagaan  berkenaan.
Melalui  cara  ini  perkongsian  pengalaman,  `know-how' dan
sumber  kewangan  dapat  dilakukan.    Sementara   pembukaan
cawangan  milik  syarikat  induk  memerlukan penyeliaan dari
jauh, francais `outlet' akan diurus oleh francaisi  sendiri.
Modalnya hanya untuk `outletnya' sahaja.  Peluang Bumiputera
memasuki  perniagaan  yang  terkenal bertambah dengan sistem
ini.   Namun sistem francais bukanlah  cara  untuk  berniaga
tanpa  modal  sendiri  sama sekali dan tanpa risiko.  Sistem
francais adalah sistem perniagaan dan bukan sistem  mendapat
duit  percuma.
17.   Kaedah francais  harus  dijadikan  satu  strategi yang
kreatif dan inovatif  untuk  mewujudkan  unit atau  'outlet'
perniagaan yang baru.   Apa  yang  lebih  menarik  lagi bagi
peniaga atau syarikat yang sudah  menfrancaiskan  perniagaan
mereka ialah,   mereka dapat memperluaskan perniagaan mereka
tanpa menambah modal dan kakitangan sendiri.    Di masa yang
sama kos tetap atau 'overhead' dan promosi  boleh  diagihkan
dan dengan itu dikurangkan.
18.  Semua ini membolehkan pihak francaisor  menumpu  kepada
kerja-kerja   Penyelidikan   dan  Pembangunan  atau  R  & D.
'Outlet' francais dalam  bentuk  'networking'  adalah  lebih
bersifat  'complementary'.    Sebenarnya perniagaan francais
merupakan satu falsafah  perniagaan  yang  menggabungkan  di
antara   satu   entiti   perniagaan   besar  yang  mempunyai
'reputation' dan sudah 'established' dengan  francaisi  yang
mempunyai  inisiatif, modal dan pengetahuan mengenai pasaran
tempatan.
19.  Untuk menggalakkan proses  pembangunan  ekonomi  negara
ini  dan  mewujudkan  kecekapan  dalam  pengurusan  ekonomi,
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai  dasar  yang  inovatif.
Program  penswastaan  jabatan  dan  agensi  kerajaan  adalah
contoh  yang  baik.     Masanya   telah   tiba   bagi   kita
memperkenalkan   sistem  'franchising'  sebagai  salah  satu
strategi yang baik untuk syarikat-syarikat Kerajaan.
20.   Tambahan pula  perniagaan  francais  membolehkan  kita
mengurus   pelaburan   yang   kita  lakukan,  tidak  seperti
pelaburan dalam saham.  Penyertaan melalui  pembelian  saham
tidak  menjanjikan  keupayaan kita untuk memiliki perniagaan
tersebut dan menentukan arah  tujuannya  kerana  polisi  dan
pengurusan  perniagaannya  dibuat oleh pihak lain.  Pulangan
daripada perniagaan francais pula adalah sama jika tidak pun
lebih daripada dividen dan 'market appreciation' saham-saham
yang  dibeli.    Walau  bagaimanapun  ini   tidak   bermakna
pelaburan   di  pasaran  saham  tidak  baik.      Jika  kita
berhati-hati dan tidak terlalu  mengharapkan  kekayaan  yang
senang, kita boleh melabur dalam pasaran saham.  Pasaran ini
bukan untuk bermain-main.
21.    Meskipun  perniagaan  francais mempunyai potensi yang
besar dan menguntungkan  banyak  pihak,  perhatian  perlulah
diberikan   kepada   konsep  kerjasama  francisor-francaisi.
Struktur perhubungan daripada  segi  perjanjian  perundangan
hendaklah  memberi  kepuasan kepada francaisor dan francaisi
yang terlibat.  Saya difahamkan bahawa   Persatuan  Francais
Malaysia   baru   ditubuhkan  dan  mempunyai  peranan  untuk
melaksanakan kawalan  dalaman  atau  'self-regulatory'  bagi
menggalakkan pertumbuhan francais yang sihat.
22.    Memandangkan  perniagaan francais merupakan satu cara
perniagaan  yang  baru  bagi  kita,  program  promosi  untuk
memperluaskan    pemahaman    konsep    francais    perlulah
dilaksanakan secara komprehensif, agresif dan kerap.
23.    Perniagaan  francais  juga  tidak  semestinya   hanya
tertumpu  kepada perniagaan yang memerlukan modal yang besar
sehingga menyulitkan bakal-bakal francaisi untuk  melibatkan
diri.  Jika ini dibiarkan berlaku sampai bila pun perniagaan
mengikut kaedah  francais  tidak  dapat  diperkembangkan  di
Malaysia.   Banyak perniagaan dan perkhidmatan francais yang
tidak memerlukan  modal  yang  besar.    Perkhidmatan  kedai
gunting  rambut,  membaiki kasut dan lain-lain adalah contoh
yang baik.  Jenis perniagaan lain perlulah dikenalpasti  dan
dimajukan pakej francaisnya.
24.    Salah  satu perniagaan tempatan yang belum dieksploit
potensinya secara sepenuhnya ialah  'hospitality  business'.
Perniagaan   yang   termasuk   dalam   konteks   ini   ialah
perkhidmatan  tempat  penginapan,   agen   pelancongan   dan
perjalanan    dan    'cultural   entertainment'.       Sifat
'hospitality' atau 'layanan tetamu' sebenarnya  tidak  asing
bagi  budaya  sesuatu  masyarakat dan negara.   Memandangkan
industri  pelancongan  akan  berkembang  dengan   pesat   di
Malaysia, sudah sampailah masanya untuk mereka yang terlibat
dalam   perniagaan   'hospitality'   ini  membangunkan  satu
perkhidmatan yang berasaskan budaya tempatan seperti layanan
tetamu dan hiasan dalaman tempat penginapan.
25.  Memandangkan potensi perniagaan  francais  yang  begitu
besar di negara ini, Kerajaan telah menerima sistem francais
sebagai   salah  satu  strategi  ke  arah  pembentukan  satu
Masyarakat Perdagangan  dan  Perindustrian  Bumiputera  yang
berdayatahan    dan   berdayamaju   selaras   dengan   Dasar
Pembangunan Nasional.  Semua urusan bersabit dengan francais
akan  dikendalikan   sepenuhnya   oleh   Unit   Penyelarasan
Pelaksanaan,  iaitu  sebagai  Pusat  Francais Setempat.   Di
samping  menentukan  produk-produk  francais  yang   sesuai,
pemilihan  bakal-bakal  francaisi dan francaisi induk adalah
kritikal.
26.    Kejayaan  pelaksanaan  Program  Pembangunan  Francais
banyak   bergantung   kepada   kerjasama  semua  pihak  yang
terlibat.   Di sini saya  suka  mengucapkan  tahniah  kepada
semua  francaisi  yang  telah berjaya menyertai program ini.
Bagi francaisor-francaisor yang  telah  bersetuju  menyertai
program  yang  ditaja  oleh  Kerajaan  ini, saya mengucapkan
terima kasih di atas kesanggupan membantu menjayakan Program
Pembangunan Francais ini.
27.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Program
Pembangunan Francais dan seterusnya  merasmikan  Persidangan
Francais Antarabangsa Malaysia.
                         
 
 



 
Google