home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	17/05/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENANDATANGANI MEASAT-1 


 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Binariang
Sdn  Bhd  kerana  menjemput  saya  ke  majlis menandatangani
kontrak  bagi  projek  satelit  serantau  yang  akan   dapat
mengubah corak komunikasi di negara kita pada masa depan.
2.      Malaysia  akan  melancar  dan  mengendalikan satelit
serantaunya yang pertama, iaitu Satelit Asia Timur  Malaysia
(MEASAT)  tidak  lama  lagi.   Pada mulanya, Kerajaan diberi
jaminan hanya satu satelit akan  dilancarkan  tetapi  majlis
menandatangani  perjanjian ini  melibatkan dua satelit dalam
sistem MEASAT.   Saya  mengucapkan  tahniah  kepada  Jabatan
Telekom  Malaysia (JTM) dan MEASAT atas usaha mereka membawa
satelit  MEASAT  ini  menjadi  kenyataan  kerana   ia   akan
mengukuhkan   kedudukan   strategik  Malaysia  di  peringkat
antarabangsa masa ini dan pada masa depan.  Kerajaan gembira
dengan  kerjasama  di  antara   konsortium   MEASAT   dengan
rakan-rakan   teknologi  seberang  lautnya  dalam  memajukan
sistem satelit ini bagi  memenuhi  keperluan  dan  peraturan
komunikasi  Kerajaan.    Kajian  yang meluas telah dilakukan
untuk rekaan dan menetapkan konfigurasi MEASAT dan  hasilnya
itu ialah yang pertama bagi Asia Timur.
3.   MEASAT bukan sahaja akan  menjadi  sebahagian  daripada
keperluan   telekomunikasi  dan  penyiaran  Malaysia  tetapi
juga   akan   menjadi   pusat   komunikasi   serantau   yang
berpangkalan di Malaysia.  Dengan adanya satelit MEASAT  ini
hubungan komunikasi di seluruh Malaysia tidak akan mempunyai
batas   lagi   termasuk   hubungan   dengan  kawasan-kawasan
pendalaman   yang   jauh.      Malah   ia   menjangkau    ke
kawasan-kawasan luar dari Malaysia iaitu yang dapat diliputi
oleh  satelit  MEASAT.    Ini  akan merapatkan lagi hubungan
negara  kita   dengan   negara-negara   jiran   di   samping
meningkatkan hubungan dengan India dan negara-negara lain di
Asia.    Sebagai  satu  sistem satelit serantau, MEASAT akan
memainkan peranan utama dalam  sumbangan  Malaysia  terhadap
pembangunan komunikasi di Asia.
4.    Ini telah diakui semasa mesyuarat-mesyuarat koordinasi
yang diadakan bersama negara-negara berkenaan  sepanjang  18
bulan  lalu.    Untuk  pelancaran satelit kedua dalam sistem
satelit MEASAT ini dalam tahun 1996, Malaysia mengalu-alukan
penyertaan pihak-pihak serantau yang lain.    Kerajaan  akan
menggalakkan MEASAT untuk melabur dalam satelit-satelit lain
yang dilancarkan oleh negara-negara  Asia.  Kerajaan mahukan
hubungan  komunikasi  serantau ini bergantung dan berkait di
antara satu dengan lain dan berupaya memelihara  nilai-nilai
tradisi kita.
5.      Yang paling penting, MEASAT akan membawa Malaysia ke
dalam  era  baru  perkhidmatan  penyiaran  secara   teratur.
MEASAT  akan  merintis  penggunaan  transponder Rangkaian-KU
(Ku-band) yang dahulunya dianggap  tidak  sesuai  di  rantau
Asia  kerana  penerimaan  oleh  antena  kecil di rumah-rumah
tidak sempurna akibat hujan lebat.  Sistem satelit yang lain
di  rantau  ini  hanya  beroperasi  dalam  Rangkaian-C  bagi
telekomunikasi   analog   dan   penggunaan  penyiaran,  yang
memerlukan antena dan sistem  kabel  berkaitan  yang  besar.
MEASAT  telah  direka dengan teknologi yang terkini termasuk
pengunaan modulasi digital, teknik tekanan dan  'encryption'
iaitu  penyiaran  kandungan  rancangan  yang boleh dikodkan.
Penduduk negara ini tidak lama lagi akan  dapat  menggunakan
perkhidmatan   Terus ke Pengguna atau Direct to User  (DTU)
melalui Rangkaian-Ku di mana hanya penerima yang  dibenarkan
boleh mendapat rancangan-rancangannya.
6.    Sistem DTU yang direka oleh MEASAT  dan  Hughes  bukan
sahaja  akan memberi mutu siaran dan penerimaan yang tinggi.
Teknologinya telah membolehkan Kerajaan melesenkan MEASAT di
bawah Akta Penyiaran, tidak seperti siaran Rangkaian-C  dari
seberang   laut   yang  tidak  boleh  dikawal.    Satu  lagi
'safeguard'  ialah  sebarang   satelit   lain   yang   ingin
memasukkan  Malaysia dalam liputannya perlu menyelaraskannya
dengan Kementerian Tenaga,  Telekom  dan  Pos.    Oleh  itu,
kemasukan   sebarang   sistem   baru   yang  setaraf  dengan
Rangkaian-KU ke Malaysia akan tertakluk  kepada  dasar-dasar
negara ini.
7.   Sekarang terdapat satu konsep baru yang agak pelik yang
cuba diketengahkan iaitu sebarang negara tidak mempunyai hak
untuk  mengawal  siaran  satelit kepada rakyatnya.  Kononnya
adalah tidak demokratik siaran seperti ini ditakluk di bawah
undang-undang tempatan.    Sebenarnya  sejak  radio  dicipta
tidak  sekalipun  frekuensi siaran tidak pernah dikawal oleh
Kerajaan.   Lagipun Kerajaan  berhak  untuk  mengutip  hasil
daripada siaran-siaran dalam negaranya.
8.      The Malaysian Government has always been cautious in
licensing communications technologies due  to  our  concerns
about  securing  the nation's cultural and social integrity.
The  broadcasting  licences  of  Measat  Broadcast   Network
Systems Sdn.  Bhd. will incorporate the customary conditions
of  the  Ministry  of Information.   Furthermore, the MEASAT
consortium is committed to  build  a  regional  broadcasting
centre   in   Malaysia   for  video  and  audio  broadcasts.
Utilising the rights negotiated  by  MEASAT  with  countries
within  its footprint, the group has given an undertaking to
the Government of Malaysia and the other administrations  in
the  region,  to  build  a truly Asian broadcasting network.
Malaysia will lead the region in  using  the  Measat  design
technology  effectively  to  licence satellite broadcasting,
and   deliver   consumer-oriented   DTU   services.
9.   Selain daripada rancangan-rancangan berita dan hiburan,
perkhidmatan  DTU  boleh   juga   digunakan   untuk   tujuan
pendidikan  yang sentiasa mendapat perhatian utama Kerajaan.
Siaran   program-program   pendidikan  ke   sekolah-sekolah,
institusi  pendidikan  tinggi  dan  universiti-universiti di
seluruh negara dan negara-negara yang  diliputi oleh  MEASAT
boleh    mengatasi   kekurangan   sumber-sumber   pengajaran
sekarang.   Selain daripada  itu,  perkhidmatan-perkhidmatan
DTU  akan  membolehkan  kita  memaju  dan  meningkatkan mutu
pendidikan di kawasan luar bandar.  Dalam sektor perniagaan,
perkhidmatan-perkhidmatan DTU akan memberi kesan yang  besar
daripada  segi  penyediaan  berita  terkini  di  rantau ini,
'video conferencing'  dan  penghantaran  data-data  kewangan
dengan pantas.
10.   Malaysia pada hari ini perlu berfikir secara 'global'.
"Not global imports but global exports.  Not just exports of
commodities and manufactured goods, but exports of  services
derived from talent and brainpower."
11.   Akhir sekali saya mengucapkan selamat maju jaya kepada
Konsortium MEASAT dalam usahanya menyedia dan  mengendalikan
satelit  yang  inovatif.   MEASAT akan mempelopori teknologi
siaran di rantau ini.   Usaha-usaha  seperti  ini  mempunyai
risikonya,  tetapi saya yakin ia tidak merugikan jika MEASAT
boleh  mencapai  matlamat-matlamat  yang  telah   ditetapkan
olehnya.
     Sekian.

 



 
Google