home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 26/05/94 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN T.Y.T. DR. HAMED KAROUI, PERDANA MENTERI TUNISIA Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Tunisia, Puan Karoui dan ahli-ahli rombongan ke Malaysia. Ini merupakan pertama kali kami menerima kunjungan seorang Perdana Menteri dari Tunisia. Kami gembira mendapat kesempatan untuk membalas sambutan mesra dan meriah yang diberikan kepada saya, isteri saya dan rombongan saya sewaktu lawatan kami ke Tunisia pada tahun 1992. Isteri saya dan saya gembira sekali menerima kunjungan Tuan Yang Terutama dan isteri serta rombongan ke rumah kami malam ini sebagai tetamu kehormat. 2. Lawatan rasmi pertama saya ke Tunisia yang sungguh indah telah meninggalkan kenangan yang manis. Lawatan tersebut tidak sahaja mengeratkan tali persahabatan bahkan telah meningkatkan pemahaman saya dan ahli-ahli rombongan Malaysia mengenai sejarah, keindahan dan pembangunan pesat yang berlaku di Tunisia. Sukacita saya menyatakan bahawa lawatan tersebut juga telah meletakkan asas ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan kesedaran di antara kedua-dua negara. 3. Kita telah mengadakan perbincangan yang berhasil pagi ini mengenai cara-cara memperkukuhkan lagi hubungan, terutama dalam bidang ekonomi. Kita telah mengkaji dan mengenalpasti bidang-bidang berpotensi bagi meluaskan lagi interaksi ekonomi, saintifik, teknologi dan politik antara kita. Komitmen bersama kita ke arah memperkukuhkan kerjasama dua hala jelas kelihatan apabila kedua-dua buah negara menandatangani dua perjanjian pagi ini, iaitu perjanjian mengenai Ekonomi dan Kerjasama Teknikal dan Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang Sains dan Teknologi. Selain daripada itu, agensi-agensi berkenaan daripada kedua-dua buah negara juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang perdagangan, sains dan teknologi. Saya yakin perjanjian-perjanjian ini akan menghasilkan bentuk kerjasama yang nyata yang akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua buah negara serta menggalakkan usaha-usaha pembangunan dalam negara masing-masing. 4. Walaupun kita berminat untuk memajukan kerjasama duahala, potensi kita belum lagi diterokai sepenuhnya. Ini sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan hubungan dan maklumat mengenai kemajuan dan potensi masing-masing. Saya gembira mendapati Tunisia telah menjadi pelanggan SITTDEC. Malaysia akan menubuhkan sebuah pejabat perdagangan di Tunisia dan mengalu-alukan Tunisia untuk mendirikan pejabat yang sama di Kuala Lumpur. Kami yakin usaha-usaha ini di samping perjanjian-perjanjian duahala yang telah di tandatangani akan memperkukuhkan lagi dan menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan terus di antara Malaysia dengan Tunisia dalam semangat kerjasama Selatan-Selatan. Malaysia percaya kerjasama di kalangan negara-negara membangun adalah penting. Kami percaya kerjasama Selatan-Selatan mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam perdagangan tetapi juga pelaburan yang akan menggalakkan pengaliran kewangan yang lebih besar dan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan serta menggalakkan pertukaran teknologi yang berkenaan. Dalam konteks hubungan Malaysia-Tunisia, saya percaya kita baharu sahaja mula menerokai permulaan potensi dalam kerjasama Selatan-Selatan. 5. Saya sungguh tertarik hati dengan usaha-usaha Kerajaan Tuan Yang Terutama ke arah reformasi ekonomi dan politik di Tunisia. Berdasarkan pendekatan-pendekatan pragmatik yang diambil oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama, saya yakin Tunisia akan berupaya mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih besar di masa akan datang. Malaysia bersedia bekerjasama dan menyumbang kepada usaha-usaha memperbaiki ekonomi Tunisia. Walaupun kami bukannya pengeksport modal yang besar, namun kami mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang mana kami bersedia berkongsi dengan Tunisia jika ianya relevan. 6. Perubahan-perubahan besar telah berlaku di peringkat global dalam tempoh beberapa tahun yang lepas. Negara-negara baru telah muncul sementara yang lama telah hilang. Tidak ada suatu negara yang mampu berdiri sendiri dan begitu juga tidak ada suatu negara pun yang boleh mendominasi lain negara melalui kekuatan politik, tentera atau ekonomi. Negara-negara membangun yang kecil seperti Malaysia patut bersatu menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu-isu yang melibatkan mereka. Sementara kami melihat kegagalan yang membimbangkan dalam menyelesaikan cabaran-cabaran berhubung sistem perdagangan global yang lebih bebas yang memberi faedah kepada semua, kami percaya keuntungan yang lebih besar boleh diperolehi daripada perdagangan antara negara-negara. Namun adalah penting kita berusaha ke arah sistem perdagangan berbagai hala dan memberi sokongan kepada penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 7. Malaysia juga bimbang mengenai bagaimana isu-isu global di urus dan ditangani. Kami dapati kerapkali keputusan-keputusan yang melibatkan ramai pihak dibuat oleh sebilangan kecil mereka yang istimewa. Kami sungguh kecewa dengan kegagalan untuk menyelesaikan dengan adil tragedi di Bosnia-Herzegovina. Belum pernah dunia menyaksikan pencabulan hak asasi manusia yang begitu terus terang seperti yang berlaku di sana. Namun kuasa-kuasa besar dan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang telah mengisytiharkan dengan jelas bahawa mereka tidak akan membiarkan pencabulan hak asasi manusia di mana-mana pun telah gagal memberikan bantuan yang bermakna. Sementara kami percaya sistem UN boleh menyediakan mekanisma yang wajar bagi mewujudkan order dunia yang lebih adil, kejadian Gorazde, bagaimanapun, telah menyebabkan Malaysia kehilangan kepercayaan sepenuhnya terhadap kredibiliti UN dalam membantu negara-negara yang lemah. Justeru itu, adalah perlu proses membuat keputusan global dijadikan benar-benar demokratik. Monopoli ke atas proses keamanan di Bosnia patut ditamatkan dan negara-negara lain hendaklah dibenarkan menyelia dan mengawasi rundingan-rundingan perdamaian tersebut. Ancaman-ancaman supaya menerima perdamaian atau kami biarkan anda dibunuh beramai-ramai tidak seharusnya dijadikan asas rundingan. 8. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Rwanda sekali lagi membuktikan kelemahan UN dalam menangani masalah pencabulan hak asasi manusia. Hanya jika kepentingan pihak tertentu terlibat baharulah UN digunakan. Ini amat mengeciwakan. 9. Malaysia sungguh kagum dengan peranan aktif yang dimainkan oleh Tunisia dalam diplomasi antarabangsa, terutama dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Tuan Yang Terutama. Sumbangan Tuan Yang Terutama kepada Liga Arab, Kesatuan Maghreb Arab dan Persidangan Pertubuhan Islam serta menggalakkan kerjasama dan perpaduan di kalangan negara-negara Arab dan Islam adalah sesuatu yang dipuji. Malaysia menyanjungi pendirian tegas Tunisia ke atas isu-isu Palestin dan Bosnia- Herzegovina sebagai contoh sokongan tidak berbelah bagi Tunisia terhadap perjuangan bagi kebebasan dan keadilan selaras dengan ajaran-ajaran Islam. 10. Adalah diharapkan lawatan Tuan Yang Terutama hari ini akan merintis jalan baru dan menggalakkan interaksi yang lebih besar dalam bidang-bidang ekonomi dan perdagangan di antara kedua-dua negara. Saya berharap dalam lawatan singkat ini, Tuan Yang Terutama akan dapat melihat sedikit sebanyak negara kami dan pembangunan ekonomi yang telah dicapai. 11. Akhir kata, sekali lagi saya ingin menyatakan kegembiraan kami menerima Tuan Yang Terutama, Puan Karoui dan ahli-ahli rombongan dari Tunisia bersama kami petang ini. |