home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 19/06/94 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH UMNO jarangkali mengadakan perhimpunan khas yang terasing daripada Perhimpunan Agung biasa. Kita mengadakan Perhimpunan Khas ini kerana perkara yang akan kita bincang dan bahaskan amatlah berat dan penting bukan sahaja bagi parti kita, bahkan juga bagi orang Melayu dan Bumiputera lain khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Maju-mundurnya UMNO, orang Melayu dan Bumiputera lain dan negara Malaysia serta tercapainya atau tidak Wawasan 2020, bergantung kepada keputusan dan pengamalannya yang menyusul Perhimpunan Agung Khas kita ini. Jika kita silap atau gagal maka akan mundurlah negara kita. Besar kemungkinan kita akan dijajah semula, dihina dan ditindas. Segala nikmat dan kemakmuran yang dinikmati sekarang akan hilang dan kita, terutama orang Melayu dan Bumiputera lain, akan kembali menjadi bangsa yang dihina, ditindas dan dipermain-mainkan. 2. Tidak dapat dinafikan bahawa sedikit sebanyak kita telah berjaya memulihkan kaum, bangsa dan negara kita. Daripada jajahan takluk kuasa Barat, kita bukan sahaja telah berjaya membebaskan bangsa dan negara kita, tetapi yang lebih bermakna lagi ialah kita telah berjaya mentadbir dan membangunkan negara kita dengan begitu baik sehingga kita mampu memainkan peranan di arena antarabangsa dengan berwibawa. 3. Sebagai ukuran, daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam perdagangan antarabangsa, kita hari ini adalah yang kesembilan belas terbesar antara negara-negara dagangan di dunia. Ini kita capai walaupun negara kita kecil daripada segi bilangan penduduk dan luasnya berbanding dengan negara-negara gergasi yang disenaraikan bersama kita seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, Jepun dan China. Lebih bererti lagi ialah kita bukan lagi pengeluar bahan mentah semata-mata. Eksport barangan buatan yang canggih oleh negara kita adalah dua kali ganda lebih besar daripada eksport bahan mentah. Sebenarnya jika kita tidak berjaya menukar negara kita daripada negara pengeluar bahan mentah kepada negara industri pembuatan, hari ini kita akan menjadi antara negara yang termiskin di dunia. Betapa tidak? Hari ini bijih timah tidak berharga sama sekali. Getah asli pula membawa hasil yang rendah. Hanya minyak kelapa sawit dan minyak mentah yang boleh membantu eksport kita sedikit. Bahan-bahan mentah ini merupakan 29 peratus daripada jumlah eksport kita sekarang. Jika kita bergantung kepada bahan-bahan mentah ini sahaja, sudah tentu kita tidak akan menjadi negara dagangan yang kesembilan belas terbesar di dunia. 4. Daripada segi pengagihan kekayaan antara kaum juga kita telah berjaya. Melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sahaja terdapat lebih daripada tiga juta Bumiputera yang memiliki saham bernilai lebih daripada 40,000 juta ringgit. Bukan PNB sahaja yang memiliki saham bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera, Tabung Angkatan Tentera, Koperasi Polis, KUB, Amanah Saham negeri-negeri dan badan-badan lain juga memiliki saham bernilai ribuan juta ringgit untuk orang Melayu dan Bumiputera. 5. Peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera sekarang terlibat dalam perniagaan dan perusahaan daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah ke peringkat gergasi. Jika dahulu tidak pernah ada berita disiarkan mengenai peniaga dan pengusaha Bumiputera dalam akhbar tempatan pun, hari ini sudah ada pengusaha Bumiputera yang dilaporkan dalam Majalah 'Fortune' di Amerika Syarikat yang hanya biasa dengan Lee Iacocca, Rothschild, Rockefeller dan usahawan-usahawan Barat terkemuka yang lain. Barangan buatan syarikat Bumiputera telah berjaya memenangi hadiah kerana teknologinya yang canggih berbanding dengan produk yang sama daripada negara lain, termasuk yang maju. 6. Barangan buatan syarikat milik Bumiputera dieksport dan dijual di negara-negara maju setanding dengan barangan jenama terkenal yang lain. Bahkan Bumiputera serta syarikat-syarikat mereka memiliki harta dan syarikat perusahaan di negara-negara asing yang bernilai ribuan juta ringgit. 7. Saya boleh senaraikan lebih banyak lagi kejayaan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara dan antarabangsa. Hanya mereka yang buta hati sahaja yang tidak dapat melihat. Hanya mereka yang mempunyai sikap benci kepada Bumiputera yang berjaya atau kepada Kerajaan Barisan Nasional sahaja yang menafikan kejayaan ini. 8. Sementara kita mengakui orang Melayu dan Bumiputera telah berjaya, kejayaan ini juga membawa masalah. Jika dahulu UMNO bersidang untuk membincangkan dengan sedihnya tentang kegagalan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi negara, hari ini kita bersidang kerana kejayaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi telah membawa masalah; masalah yang boleh menghancurkan kuasa politik Bumiputera, yang boleh menghancurkan ekonomi dan kemakmuran negara dan segala-gala yang telah kita bina. 9. Masalah yang dimaksudkan ialah politik wang dan sifat tamak dan tidak bertanggungjawab di kalangan sesetengah orang Melayu dan Bumiputera akibat daripada kekayaan yang mereka miliki. Mereka bukan sahaja mahukan kekayaan tetapi juga jawatan dan kuasa bagi diri mereka atau bagi orang yang boleh dipermain-mainkan oleh mereka. 10. Masalah ini menjadi-jadi kerana UMNO berkuasa, kerana orang Melayu dan Bumiputera lain berkuasa. Kuasa boleh membawa rasuah. 'Power corrupts, and absolute power corrupts absolutely'. Kuasa yang mutlak membawa rasuah yang tidak terbatas. 11. Kombinasi kemewahan wang ringgit orang Melayu dan Bumiputera dengan kuasa yang mereka miliki sekarang telah membentuk peribadi yang semakin merosot daripada segi moral. Hanya dengan memiliki kuasa memberi satu undi sahaja pun sudah menjadikan kita begitu tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menggadaikan maruah, parti dan bangsa kita. Apatah lagi jika kita mempunyai lebih daripada hanya kuasa mengundi. 12. Sistem undi dan sistem demokrasi bertujuan untuk memelihara tiap seseorang daripada kita daripada kebinasaan. Melalui undi kita boleh menentukan nasib kita dan nasib negara kita. Undi merupakan modal besar untuk mereka yang tidak mempunyai apa-apa kekayaan. Ia menyamakan yang miskin dengan yang kaya dan yang lemah dengan yang kuat. Tetapi seperti juga dengan modal yang lain, ia boleh disalahgunakan dan membawa bencana kepada diri sendiri dan masyarakat. Ia boleh diperjudikan dengan menghasilkan kesan-kesan yang termaklum daripada perjudian. 13. Di sesetengah negara, undi pilihanraya boleh dibeli secara terbuka. Tetapi di Malaysia umumnya kita masih bebas daripada amalan jenayah ini. Malangnya dalam pemilihan kepimpinan parti kita di semua peringkat, bencana ini secara tersembunyi telah meresap ke dalam jiwa kita di masa-masa yang lampau ini. Secara langsung dan tidak langsung pembelian undi diamalkan. 14. Dengan itu kita tidak lagi memilih orang yang layak dan berkemampuan daripada segi kaliber memimpin parti. Kita memilih orang yang menyogok kita dengan wang atau hadiah atau lain-lain. 15. Orang yang sanggup membeli undi tidak akan segan-segan menjual dirinya apabila ia berkuasa sebagai pemimpin. Yang akan diutamakan bukanlah perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Yang akan diutamakan ialah dirinya sendiri, pengekalan dirinya sebagai pemegang jawatan dan pengumpulan harta kekayaan bagi dirinya. Orang seperti ini akan menjual negara dan bangsanya. Orang seperti ini tidak mempunyai maruah dan tanggungjawab. 16. Memang benar urusan parti memerlukan wang. Tidak ada keadaan di mana jumlah yang diperlukan mencukupi. Akan ada sahaja perbelanjaan yang difikirkan perlu dibuat. Tetapi banyak manakah yang diperlukan? Dan dari manakah dan bagaimanakah wang ini harus diperolehi dan dibelanjakan? 17. Apabila ada sahaja orang yang boleh membiayainya, akan timbullah keperluan membelanjakan wang. Kita katakan bahawa dahulu kita tidak memerlukan wang. Jika kita perlukan wang, setiap seorang daripada kita akan membelanjakan duit sendiri. Jika tidak ada, kita gunakan apa juga tenaga yang ada pada diri kita. Kita buat sesuatu kerana agama, bangsa, parti dan tanahair. Jika kita sebutkan kejayaan perjuangan kita di masa lampau tanpa wang -- bagaimana kita menubuhkan parti, menentang Malayan Union dan memperjuangkan kemerdekaan -- ada di kalangan kita yang akan berkata: "Itu dahulu. Itu zaman kita tidak ada duit. Itu zaman kita menentang kezaliman dan penjajahan." 18. Mereka tidak mahu mendengar cerita lama ini. Dahulu lain sekarang lain, kata mereka. Tetapi sebenarnya tidak ada perbezaan. Pengorbanan adalah baik di sepanjang masa. Rasuah adalah buruk pada bila-bila masa pun. Tidak ada zaman atau masa di mana pengorbanan itu buruk dan rasuah itu baik. 19. Berkorban dialu-alukan dan disuruh bukan sahaja oleh agama tetapi juga oleh masyarakat yang siuman. Demikian juga rasuah bukan sahaja ditegah oleh agama tetapi oleh semua masyarakat. 20. Kita tentu akan berkata bahawa tidak perlu dijelaskan mengapa berkorban itu baik dan rasuah itu buruk. Kita semua tahu. Kita bukan bodoh. Kita tidak perlu sesiapa berkhutbah mengenai perkara-perkara ini. Tetapi benarkah kita tahu dan faham dengan cukup mendalam, sehingga kita tidak akan melakukan perkara yang dilarang ini? 21. Dalam negara kita hukuman bunuh adalah mandatori bagi jenayah mengedar dadah. Apakah dengan adanya hukuman yang begitu berat maka jenayah mengedar dadah tidak berlaku? Kita tahu bahawa ia masih berlaku. Kita tahu bahawa ramai sudah digantung sampai mati kerana mengedar dadah, tetapi masih ada juga yang begitu tamak sehingga sanggup memperjudikan nyawa mereka. 22. Tetapi kita tidak boleh menghapuskan hukuman ini kerana ada yang tidak menghiraukannya. Jika kita hapuskan, lebih ramai yang akan melakukan jenayah ini. Justeru itu, kita masih mengekalkan hukuman ini. Ada orang yang hanya takut kerana wujudnya hukuman. Walau apa pun kesan hukuman, setiap jenayah mesti mempunyai balasan yang setimpal. 23. Tetapi kebanyakan tidak melakukan jenayah bukanlah semata-mata kerana takut kepada undang-undang dan hukuman. Sebahagian besar daripada orang yang tidak melakukan jenayah tidak berbuat demikian kerana mereka sedar bahawa jenayah itu adalah salah, satu perkara yang keji dan hina. Jika kita berpegang kuat kepada agama dan kepada nilai-nilai yang mulia, kita tidak akan melakukan jenayah. Perasaan malu sahaja kadang-kadang memadai untuk membanteras jenayah. 24. Tidak ramai daripada kita yang memikirkan akan kesan jenayah terhadap masyarakat. Justeru itu ada baiknya jika kita cuba memikirkan secara mendalam apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita jika rasuah menjadi sebahagian daripada budaya kita sepertimana kita tahu ia menjadi budaya sesetengah bangsa lain. 25. Dalam parti kita jika politik wang diterima sebagai perkara biasa yang tidak dapat dielakkan, maka sudah tentu yang pertama sekali orang yang dipilih untuk memimpin parti akan terdiri daripada orang yang kaya dan menganggap rasuah sebagai halal dan boleh diamalkan, dan ini bererti pemimpin-pemimpin kita akan terdiri daripada penjenayah. Calon-calon yang jujur, cekap dan bersih tetapi tidak mampu memberi sogokan akan kalah. 26. Orang yang menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada alat politik dan pentadbiran tidak digerak untuk berkhidmat oleh semangat tetapi oleh perasaan tamak. Minat mereka untuk menjadi pemimpin adalah untuk mendapatkan kuasa yang boleh digunakan untuk kepentingan diri, bukan kepentingan bangsa dan negara. Jika mereka pemimpin rendah mereka akan menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan peluang-peluang, umpamanya perniagaan bagi diri sendiri. Orang seperti ini akan memilih pemimpin yang boleh disogok. Akhirnya semua pemimpin akan terdiri daripada pengamal rasuah yang tamak dan tidak bermaruah. 27. Kakitangan Kerajaan pula, setelah melihat anggota Kerajaan daripada parti politik tidak beramanah dan mengamalkan rasuah, akan turut menerima rasuah. Dengan ini rasuah menjadi budaya keseluruhan jentera pentadbiran. 28. Kita akui bahawa hari ini pun rasuah wujud. Tetapi umumnya masyarakat belum menerima rasuah sebagai amalan biasa. Dengan itu kegiatan menyogok dan menerima rasuah masih disembunyikan. Mereka yang terlibat masih merasa malu, masih menganggap rasuah salah dan hina. Selagi masyarakat umum tidak menerima amalan ini sebagai perkara biasa, rasuah masih boleh dibendung. Sekurang- kurangnya ia tidak dapat menjejaskan pembangunan masyarakat. Jika usaha menentang rasuah dibuat, ia masih boleh berjaya. 29. Tetapi jika tidak ada usaha gigih dijalankan untuk membendung rasuah, ianya akan berkembang sehingga diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat. Apabila ianya sudah menjadi budaya, ianya tidak boleh dihapuskan lagi. Ini adalah kerana semua tempat mengadu, semua pihak yang ditugaskan untuk membanteras rasuah, semua pendakwa dan hakim, semuanya terdiri daripada pengamal rasuah secara terbuka. Mereka semua tidak mahu sistem rasuah dihapuskan; polis tidak mahu, pendakwa mahkamah tidak mahu, hakim tidak mahu, bahkan akhbar-akhbar juga tidak mahu. Jika mereka ini cuba menghalang rasuah, mereka akan disogok oleh yang berkepentingan. Jika mereka cuba menghapuskan rasuah, penglibatan mereka yang terdahulu akan dibongkar. Dengan itu segala usaha orang ramai untuk mendapat perlindungan undang-undang akan gagal. Rakyat yang menjadi mangsa tidak mempunyai tempat sama sekali untuk mengadu. 30. Mungkin ada beberapa orang yang benar-benar tidak mahu menerima sogokan. Namun jika mereka memegang jawatan yang tinggi atau jawatan-jawatan yang berkuasa, kelurusan, kejujuran dan pendirian mereka tidak mahu menerima rasuah tidak akan dipercayai. Orang ramai tidak segan-segan akan mendakwa bahawa mereka ini juga sama, mereka ini juga menerima rasuah dan mungkin lebih teruk lagi. Orang ramai akan mendakwa bahawa mereka ini hanya berjaya menyembunyikan penerimaan rasuah. 31. Walaupun mereka ini cuba dengan cara terbuka menolak sogokan dan mengamalkan kehidupan yang sederhana, yang secocok dengan pendapatan mereka yang halal, masih ada juga orang ramai yang sudah menerima amalan rasuah sebagai budayanya yang tidak akan mempercayai orang yang lurus ini. Mereka yang lurus ini tetap akan ditohmah dan difitnah juga. 32. Akhirnya orang yang lurus dan bersih ini akan kecewa. Jika tidak menerima rasuah pun tidak dipercayai, bahkan dituduh sebagai orang yang tidak beramanah dan pengamal rasuah, ada yang berfikir lebih baik jika mereka menerima rasuah. Sekurang-kurangnya mereka mendapat sesuatu bagi diri mereka. 33. Dengan itu tidak akan ada sesiapa dalam masyarakat berbudaya rasuah yang bebas dan sunyi daripada amalan rasuah. Semua anggota masyarakat akan terlibat sebagai penerima atau pemberi rasuah. Dalam keadaan ini, rasuah akan dilakukan tanpa segan silu dan secara terbuka. 34. Masyarakat seperti ini tidak mungkin berjaya dibangun dan dimajukan. Segala kos akan meningkat. Harga jualan semua barangan terpaksa mengambilkira bayaran rasuah yang telah dibuat atau akan dibuat, bayaran untuk lesen import, lesen kilang, lesen kenderaan dan lesen-lesen lain, sogokan kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan di semua peringkat, di tiap-tiap pejabat dan seribu satu lagi bayaran untuk melicinkan urusan. Semua ini akan menjadi sebahagian daripada kos yang mesti dibayar oleh pembeli khidmat atau barangan. Jika tidak ada lesen atau AP yang hendak dikeluarkan, rasuah boleh didapati dengan melewat-lewatkan kerja. Dan ini boleh dilakukan oleh semua anggota pentadbiran, daripada pelayan pejabat hinggalah ke menteri dan perdana menteri. Harga jualan dan harga khidmat tentu berlipat ganda. Negara kos tinggi ini tidak mungkin boleh bersaing dalam apa-apa bidang. Dan negara yang tidak berjaya bersaing tidak mungkin maju. 35. Berhutang dengan bank mesti disertai dengan duit `football' atau `kickback'. Dengan ini bukan sahaja kos hutang akan mengandungi faedah tetapi juga rasuah terpaksa ditokok kepada kos wang atau `cost of money'. 36. Dengan ini semua urusan akan berjalan perlahan-lahan. Begitu banyak tangan yang perlu diisi sepanjang jalan. Kelewatan ini juga mempunyai kesan terhadap kos. Sekali lagi kos meningkat. 37. Mungkin yang menerima rasuah gembira kerana ia beruntung. Tetapi penerima juga mempunyai urusan, sama ada sebagai pegawai atau orang yang berkuasa atau sebagai pengguna biasa. Wang rasuah yang diperolehi terpaksa dibelanjakan untuk sogokan apabila melakukan urusan peribadi. Akhirnya, wang rasuah yang diterima tidak menguntungkan penerima. Dalam masyarakat yang berbudaya rasuah, segala keburukan kerananya akan dipikul oleh semua anggota masyarakat, pemberi dan penerima. Sesungguhnya tidak ada sedikitpun kebaikan bagi sesiapa daripada amalan rasuah, sama ada secara tertutup atau terbuka. 38. Saya sedar bahawa dengan berkhutbah sahaja tidak akan menghasilkan masyarakat yang mulia. Saya berucap berkenaan dengan rasuah ini dengan kesedaran bahawa amalan rasuah bukan senang untuk dihapuskan sama sekali. Saya menjelaskan perkara ini supaya kita lebih faham dan tidak boleh berkata bahawa kita tidak tahu begitu sekali buruknya rasuah. Di zaman ini ramai yang suka mempertahankan penjenayah dan perbuatan-perbuatan yang salah. Kerap kedengaran kata-kata seperti "mereka miskin, mereka susah, mereka lemah, mereka tidak tahu, mereka terpaksa, mereka takut, masyarakat memang begitu, jika mereka tidak terima orang lain akan terima, pemberi yang salah, penerima yang salah; justeru itu kita jangan salahkan penjenayah, salahkan masyarakat, jangan kita hukum penjenayah, kita harus bersimpati dengan mereka". Dan akhbar-akhbar serta televisyen pun akan membuat rencana dan laporan penyiasatan atau `investigative reporting' supaya masyarakat tidak cepat menyalahkan yang salah, sebaliknya memahami masalah mereka dan sebabnya mereka melakukan kesalahan. Pemberita-pemberita penyiasatan akan berkata penjenayah perlu diberi simpati, bukan tekanan dan hukuman. Di Barat penjenayah yang dahsyat diberi kontrak yang bernilai tinggi untuk menceritakan riwayat mereka supaya masyarakat faham dan bersimpati dengan mereka. Dan apa sahaja yang dibuat oleh Barat, malangnya tidak lama selepas itu kita akan menirunya. Bukan sahaja rambut panjang dan subang yang dipakai oleh lelaki ditiru oleh belia kita, tetapi juga yang dewasa pun terbawa-bawa dengan cara-cara Barat. 39. Parti UMNO bukan sebarang parti politik. UMNO adalah parti yang memerintah. Kita telah memerintah sejak sebelum merdeka, tidak putus-putus. Pemimpin-pemimpin parti UMNO bukan sahaja memimpin parti tetapi juga Kerajaan, di peringkat negeri dan di peringkat pusat. Dan sebagai pemimpin Kerajaan, kita berkuasa. 40. Jika kita terima politik wang dalam parti, jika rasuah menjadi budaya bagi parti UMNO, jika pemimpin-pemimpin kita mendapat tempat melalui sogokan, kita akan memperolehi Kerajaan yang dipenuhi, dianggotai dan dipimpin oleh penjenayah rasuah. Bolehkah kita percaya pemimpin-pemimpin seperti ini akan dapat memerintah dengan bijak, lurus, jujur dan adil? Bolehkah kita yakin yang negara kita akan terus maju? Bolehkah kita yakin orang Melayu dan Bumiputera lain tidak akan dijual oleh pemimpin-pemimpin yang kita pilih? Hanya yang tidak siuman sahaja yang akan percaya pemerintahan oleh penjenayah rasuah akan membawa kebahagiaan kepada negara dan kepada kita. 41. Saya sedar dengan tumpuan yang kita beri kepada masalah politik wang dalam parti UMNO, parti-parti lawan akan mendapat isu untuk menyerang kita. Tentu ada antara kita yang berpendapat lebih baik jika kita tidak heboh sangat tentang masalah ini. 42. Tetapi saya ingin mengingatkan parti-parti lawan, mereka tidak boleh berbangga dengan kepercayaan bahawa mereka bersih. Ramai daripada mereka yang terlibat dengan rasuah. Sudah tentu kumpulan serpihan UMNO, yang sekarang berada di luar parti, bertanggungjawab terhadap perkembangan politik wang dalam UMNO. Mereka boleh bersumpah tetapi kita tahu mereka menggunakan banyak wang pada tahun 1987 untuk membeli undi. Mereka menyogok di hotel, mereka menyogok dalam tandas, mereka mengurung ahli-ahli dan mereka berjanji kepada berpuluh-puluh ahli UMNO jawatan Menteri Besar, Timbalan Menteri dan Menteri. Mereka memberi hadiah dan membiayai lawatan. Kata seorang daripada mereka "Twenty million is cheap to be a Prime Minister." 43. Jika tidak kerana majoriti wakil UMNO tidak boleh disogok, mungkin mereka menang pada tahun 1987. Tetapi mereka kalah. Kekalahan mereka tidak bermakna mereka bersih. Mereka kotor. Malangnya kekotoran mereka terpalit kepada ahli-ahli UMNO yang lain. Kerana 1987-lah UMNO sekarang terpaksa menghadapi masalah politik wang. Kerana 1987-lah UMNO terpaksa bersidang hari ini. 44. Rakan mereka juga tidak bebas daripada rasuah. Menjanjikan syurga jika parti disokong juga merupakan satu jenis rasuah. Ia lebih murah dan mudah dibuat bagi mereka yang tidak takutkan Tuhan, tetapi lebih berkesan di kalangan orang yang kuat pegangan kepada agama. Justeru itu, mereka jangan sombong kerana kononnya mereka bersih. Najis rasuah terpalit juga di muka mereka, bahkan lebih dahsyat lagi kerana yang disogok ialah agama. Dengan ini bukan sahaja mereka kotor, agama juga turut dikotorkan. 45. Seperkara lagi ialah keberanian mereka `menjual' ayat-ayat al-Quran walaupun ini terang-terang ditegah oleh al-Quran. Pengikut mereka dan orang Melayu mudah terpengaruh. Jika ayat-ayat ini adalah untuk perkembangan ajaran Islam di kalangan orang Islam atau untuk berdakwah, ia bukanlah sogokan, bahkan ia disuruh dan dibenarkan. Tetapi apabila ayat-ayat ini diguna untuk mendapat sesuatu bagi diri sendiri atau bagi parti, ia tidak berbeza daripada penyalahgunaan wang untuk membeli undi. Ia tidak berbeza daripada rasuah. Ia juga adalah rasuah. 46. Tetapi PAS tidak berhenti setakat itu sahaja. Apabila sahaja berkuasa di Kelantan mereka menyogok penyokong mereka dengan jawatan-jawatan penghulu, penggawa dan imam, walaupun mereka terpaksa melucutkan jawatan-jawatan ini daripada orang lain yang sedang memegangnya. Mereka menggunakan wang Kerajaan untuk bayaran elaun-elaun bagi penyokong-penyokong mereka. Ini juga sejenis rasuah. 47. Justeru itu, yang perlu membanteras dan bertindak menghapuskan politik wang di dalam parti bukanlah UMNO sahaja. Parti-parti lawan patut mengadakan mesyuarat khas untuk membentuk undang-undang mencegah semua jenis rasuah -- rasuah agama dan rasuah kebendaan. Janganlah parti lawan ghairah mempermain-mainkan UMNO kerana usahanya untuk menghapuskan politik wang. Masalah UMNO hanyalah politik wang. Tetapi masalah parti-parti lawan termasuklah penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran dan syurga untuk kepentingan diri dan parti. Parti-parti lawan patut jujur seperti UMNO. Mereka patut mengaku kesalahan dan jenayah yang berlaku dalam parti-parti mereka dan bertindak menghapuskannya. Inilah cara Islam. Mereka tidak harus menepuk belakang diri sendiri, mengucap tahniah kepada diri sendiri kerana beranggapan mereka lebih baik daripada UMNO. Sebenarnya mereka adalah lebih kotor. 48. Saya berucap dengan panjang lebar berkenaan dengan keburukan politik wang dan keburukan rasuah. Tetapi saya sedar akan ada antara tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil ke persidangan ini, bahkan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang akan berkata "Dua kali lima. Dia pun samalah. Takkan dia tak kebas duit, takkan dia tak bolot 'pink-form', takkan dia tolak segala pemberian kepadanya. Tak guna dia nafi." 49. Saya sedar bahawa bagi mereka yang gemar menerima atau memberi sogokan, mereka beranggapan mustahil orang lain tidak seperti mereka. Mustahil ada orang yang lurus. Saya sedar saya juga terdedah kepada tuduhan, dan penafian oleh saya tidak akan dipercayai. Saya masih ingat di waktu saya dan anggota-anggota Kerajaan yang lain di peringkat pusat dan negeri memotong gaji kerana Kerajaan kekurangan wang, ramai yang berkata "mereka tentu boleh kerana mereka dapat banyak wang sogokan." Tetapi walaupun saya kecewa dengan sangkaan buruk ini, saya tidak akan bertanggungjawab jika kerananya saya tidak cuba memperbaiki keadaan yang akan menghancurkan kita. 50. Sama ada UMNO akan terus memerintah hingga tahun 2020 sekurang-kurangnya, sama ada tahun 2020 akan memperlihatkan Malaysia mencapai matlamatnya, sama ada UMNO, orang Melayu dan Bumiputera lain, serta negara Malaysia dihormati dan dimuliakan, dan sama ada kita boleh berdiri tinggi di kalangan bangsa-bangsa lain di dunia bergantung kepada pembasmian politik wang dalam UMNO. 51. Saya harap kita bukan sahaja akan meluluskan pindaan perlembagaan pada hari ini tetapi juga kita akan dengan ikhlas berikrar akan patuh kepadanya, akan mengamalkan nilai-nilai yang mulia dan akan menjayakan penguatkuasaan undang-undang. 52. Insya-Allah, keikhlasan kita akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. 53. Dengan ini, saya dengan penuh insaf merasmikan Perhimpunan Agung Khas UMNO ini. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |