home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 30/07/94 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KE-23 PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, serta ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang ke-23 pada hari ini. Kesempatan untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional adalah sesuatu yang saya hargai. Oleh itu, saya cuba sedaya upaya untuk tidak menghampakan sebarang jemputan untuk merasmikan mana-mana juga persidangan perwakilan parti- parti komponen Barisan Nasional. 2. Saya gembira bahawa kerjasama di antara Gerakan dengan parti-parti Komponen Barisan Nasional yang lain adalah sangat rapat. Kerjasama rapat ini telah meningkatkan perpaduan di kalangan parti-parti Komponen Barisan Nasional. Saya juga berasa gembira bahawa seperti parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain, Gerakan di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang dinamis, juga telah menjadi bertambah kukuh. Ini telah turut menyumbang menjadikan Barisan Nasional pada hari ini sebuah parti yang lebih kuat, berwibawa dan dihormati. Bahawa Barisan Nasional kini lebih kuat, berwibawa dan dihormati adalah kerana usaha gigih dan kerja kuat oleh para pemimpin dan ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional. Ini telah membolehkan Barisan Nasional terus berkembang sebagai sebuah parti yang terbesar dan paling berpengaruh di negara ini. 3. Antara keunikan dan kelebihan Barisan Nasional ialah kemampuannya untuk terus bertahan begitu lama walaupun Barisan Nasional terdiri daripada banyak parti dengan para pemimpin dan ahli-ahlinya terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan agama. Semenjak daripada `The Alliance' atau Perikatan yang merupakan `forerunner' kepada Barisan Nasional, kita telah berjaya memenangi pilihanraya umum berturut-turut dan dengan itu membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri kecuali di Kelantan dan Sabah. Bagaimanapun kita telah kembali memerintah Sabah. Ini adalah satu rekod bagi mana-mana parti politik di dunia ini. 4. Bagi pemerhati luar, perkara ini adalah sesuatu yang menghairankan mereka dan hampir tidak dipercayai. Mereka sungguh hairan bagaimana parti-parti komponen dalam Barisan Nasional boleh hidup bersatu padu dan berharmoni sebegitu lama sedangkan parti-parti tersebut mewakili berbagai-bagai kaum dan kepentingan. Mereka hairan bagaimana pemimpin-pemimpin parti- parti komponen ini tidak bersengketa dan berselisih faham. Mereka beranggapan adalah mustahil bagi mana-mana pertubuhan politik yang mewakili berbagai-bagai kaum dan kepentingan untuk bersatu hati dan bekerjasama rapat sebegitu lama. Mereka percaya dalam tempoh yang singkat kita akan berpecah-belah. Bagaimanapun, sangkaan mereka ini jelas salah dan Barisan Nasional sehingga hari ini tetap padu dan kukuh. Dan setiap kali pilihanraya umum diadakan Barisan Nasional tetap dipilih semula oleh rakyat untuk memerintah negara. 5. Kita tidak mempunyai formula khas bagi kejayaan Barisan Nasional. Kejayaan Barisan Nasional ialah kerana wujud persefahaman, sikap tolak ansur dan kompromi serta semangat toleransi di kalangan para pemimpin dan ahli-ahlinya. Ini tidak bermakna tidak ada perselisihan faham dan pendapat langsung di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya. Sebarang perselisihan kita bincang bersama dengan rasional seperti dalam satu keluarga. Kita tidak heboh-hebohkan `masalah dalaman' kita untuk orang lain mengetahuinya. Melalui sikap tolak ansur dan kompromi, Barisan Nasional telah berjaya menyelesaikan kebanyakan masalah. Dengan adanya sikap ini sebarang masalah yang timbul telah dapat diatasi oleh Barisan Nasional. 6. Kesanggupan bertolak ansur dan berkompromi ini tidak bermakna bahawa ada pihak yang menang dan ada yang kalah. Dalam kita bertolak ansur dan berkompromi tidak ada pihak yang menang dan kalah. Kita bertolak ansur dan berkompromi demi kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya. Kepentingan negara dan rakyat sentiasa diambil kira dan mengatasi segala kepentingan sempit yang lain. Inilah prinsip yang dipegang oleh Barisan Nasional dan akan terus diamalkan. Itulah antara sebab Barisan Nasional sentiasa mendapat sokongan rakyat untuk membentuk Kerajaan. 7. Justeru itu, adalah diharapkan sikap toleransi dan tolak ansur serta persefahaman yang wujud dikalangan para pemimpin dan ahli-ahli Barisan Nasional akan terus dikekalkan. 8. Sebenarnya ada banyak faedah yang boleh diperolehi dengan rakyat memilih Barisan Nasional untuk membentuk Kerajaan setiap kali pilihanraya umum diadakan. Di samping menjamin kestabilan politik, ia juga akan menentukan dasar-dasar Kerajaan yang konsisten. Oleh kerana ada kestabilan politik dan dasar-dasar yang konsisten, para pelabur asing tertarik untuk melabur di Malaysia. Dasar-dasar kita yang konsisten telah membolehkan para pelabur membuat perancangan jangka panjang dan tidak perlu risau dengan pertukaran dasar oleh kerana pertukaran kerajaan baru. Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan Malaysia ke tahap sekarang dalam semua bidang, termasuk ekonomi, adalah antaranya kerana kita mempunyai Kerajaan yang sama memerintah negara ini sejak merdeka. 9. Bayangkanlah apa yang akan berlaku jika tidak ada `stability' dalam Kerajaan kerana pertukaran kerajaan setiap kali pilihanraya umum diadakan. Bukan sahaja dasar-dasar kerajaan ditukar separuh jalan, bahkan politik negara juga mungkin tidak stabil. Ini dapat kita lihat di beberapa buah negara, di mana Kerajaan dan dasar-dasarnya bertukar setiap kali pilihanraya diadakan. 10. Dengan rakyat memilih Barisan Nasional untuk membentuk Kerajaan setiap kali pilihanraya umum diadakan, tidak bermakna bahawa Malaysia kurang demokratik. Kita adalah demokratik sepertimana juga negara-negara demokrasi yang lain. Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik kerana rakyat mempunyai pilihan untuk menggantikan kerajaan yang mereka tidak suka. Jika rakyat memilih parti yang sama untuk membentuk Kerajaan, ini juga adalah hak demokratik mereka. 11. Kejayaan Barisan Nasional telah mendapat perhatian beberapa buah negara asing yang mempunyai penduduk berbilang kaum pada akhir-akhir ini. Mereka tertarik hati dengan bentuk parti campuran Barisan Nasional yang kita amalkan dan ingin mempelajari dan mencontohinya. 12. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan pencapaian negara pada hari ini. Di samping mempunyai kestabilan politik, Malaysia juga berjaya dalam bidang ekonomi. Daripada sebuah negara pengeksport bahan mentah, Malaysia kini telah menjadi sebuah negara di mana 71 peratus daripada eksportnya adalah hasil keluaran perkilangan. Ramai yang mengecam Kerajaan dahulu apabila kita memasuki industri berat. Ramai termasuk rakyat Malaysia sendiri pada mulanya tidak percaya bahawa Malaysia boleh berjaya menjadi sebuah negara pengeluar kereta. Pada hari ini ternyata kita telah berjaya dalam banyak bidang kegiatan ekonomi. Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha bersungguh-sungguh rakyat bersama kepimpinan-kepimpinan parti-parti Barisan Nasional. 13. Tanpa `good leadership' ini, Malaysia sudah pasti tidak akan berjaya mencapai tahap ekonomi sekarang. Dengan ekonomi yang baik peruntukan yang besar dapat diberi untuk projek dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat. Dengan itu taraf hidup rakyat Malaysia sekarang adalah tinggi. 14. Di sesetengah negara yang kaya dengan sumber-sumber semula jadi kita kerap mendengar atau membaca laporan-laporan bahawa ramai rakyatnya yang masih hidup menderita. Ini ialah kerana para pemimpinnya tidak jujur dan tidak mementingkan nasib rakyat mereka. Pemimpin-pemimpin negara-negara ini lebih mementingkan diri sendiri. Kekayaan negara tidak dibelanjakan untuk faedah rakyat tetapi untuk kepentingan para pemimpin dan penyokong- penyokong mereka. 15. Kini Malaysia ingin maju ke hadapan lagi. Sebab itu kita telah menetapkan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai cita-cita ini kita ingin menceburi bidang-bidang baru seperti `aeronautical', telekomunikasi setelit dan barangan komposit. 16. Bagaimanapun, ada pihak-pihak yang kurang yakin bahawa Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju. Saya juga kerap ditanya oleh para wartawan asing yang menemubual saya mengenai sama ada kita boleh mencapai Wawasan 2020. 17. Saya mempunyai keyakinan bahawa Malaysia boleh berjaya menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Untuk berjaya kita mesti mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri. Di samping itu, rakyat Malaysia juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai segala ilmu dan kecekapan dan bekerja dengan lebih kuat jika kita mahu menjadi sebuah negara maju. 18. Tidak ada sebab kita tidak boleh mencapai taraf negara maju seperti yang dicapai oleh Britain, Perancis dan Jerman. Jika Jepun sebuah negara Asia yang tidak mempunyai sumber-sumber semula jadi boleh berjaya, mengapa kita tidak boleh? Sebenarnya bagi sesetengah negara Barat, mereka telah maju `to a certain extent' dengan bantuan negara-negara koloni mereka. Ketika mereka menjajah dahulu mereka bukan sahaja telah mengambil hasil kekayaan negara-negara jajahan mereka, bahkan juga menjadikan negara jajahan mereka sebagai pasaran terkawal untuk barangan keluaran industri mereka. Dengan itu negara mereka telah dapat dimajukan. 19. Kita percaya kita boleh mencapai taraf negara maju tanpa menjajah mana-mana negara. Yang penting seperti yang dinyatakan tadi ialah kita mesti bekerja kuat, berusaha dengan gigih dan yakin terhadap kebolehan dan keupayaan kita. Kita tidak boleh `complacent' dengan kejayaan yang dicapai setakat ini. Kita juga tidak mempunyai masa yang panjang. Kita mempunyai hanya kira- kira 26 tahun sahaja lagi untuk mencapai cita-cita kita menjadi sebuah negara maju. 20. Jika kadangkala kita ternampak terlalu `pushy' dan `impatient', sebabnya ialah kerana kita ingin maju dengan lebih pantas dari negara-negara yang telah mencapai tahap negara maju sekarang. Lagipun negara yang kita kejar tidak berdiam diri. Mereka juga sedang mara ke hadapan. Hanya kita boleh lebih pantas kerana kita tidak perlu cipta alat-alat yang diperlukan. Semua ini sudah ada. 21. Adalah diharapkan rakyat akan bersama-sama Kerajaan Barisan Nasional dalam usaha mencapai taraf negara maju. Matlamat negara maju yang ditetapkan oleh Kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional bukanlah untuk faedah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Ianya adalah untuk faedah negara dan rakyat keseluruhannya. Rakyat harus sedar bahawa selama ini apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. 22. Kita mempunyai tempoh hingga Oktober tahun depan untuk mengadakan pilihanraya umum. Walaupun saya belum memikirkan bila untuk mengadakan pilihanraya umum, Barisan Nasional sentiasa bersedia untuk menghadapinya pada bila-bila masa. 23. Parti-parti lawan sedar bahawa mereka tidak mempunyai isu- isu penting untuk dieksploitasikan pada pilihanraya umum kali ini. Namun demikian ini tidak bermakna mereka tidak akan mencipta isu. Jika kita pegang kepada prinsip tolong-menolong dalam Barisan Nasional kita akan dapat menangkis segala dakwaan palsu mereka. Saya percaya cita-cita mereka adalah semata-mata angan-angan Mat Jenin - kata orang Melayu. 24. Hanya Barisan Nasional yang mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk menjamin kestabilan, kemajuan dan kemakmuran negara ini. Oleh itu, marilah kita semua yang menganggotai Barisan Nasional meyakinkan rakyat bahawa hanya Barisan Nasional sahaja yang dapat menentukan masa depan yang lebih cerah bagi anak-cucu kita. 25. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Parti Gerakan Yang Ke-23. Saya ucapkan selamat bersidang. |