home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/08/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN PERSATUAN AGEN-
			AGEN INSURANS JAMINAN PENDAPATAN 
			HIDUP MELAYU MALAYSIA (JAMIN) 


 
    Saya mengucapkan ribuan terima kasih  kepada  Persatuan
Agen- Agen Insurans Jaminan Pendapatan Hidup Melayu Malaysia
(JAMIN)  kerana  menjemput saya untuk melancarkan JAMIN pada
hari  ini.    Saya  berasa  sukacita  kerana  dapat  bersama
tuan-tuan dan puan-puan sekalian di majlis ini.
2.      Tahun  1993 merupakan tahun keenam berturut-turut di
mana ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan yang  amat
memberangsangkan.    Kedudukan  yang  membanggakan ini telah
dicapai hasil kerjasama yang erat di antara Kerajaan  dengan
sektor  swasta  dalam proses menghadapi cabaran dalam negeri
mahupun pada peringkat antarabangsa.   Sejajar  dengan  ini,
industri  insurans  tempatan juga turut mencatatkan prestasi
perniagaan yang  memberangsangkan  semenjak  beberapa  tahun
kebelakangan   ini.    Pertumbuhan  industri  insurans  yang
menggalakkan ini telah juga  dapat  diteruskan  dalam  tahun
1993  dengan  kadar  pertumbuhan  dua  angka  selari  dengan
pertumbuhan ekonomi negara.  Dengan prospek ekonomi Malaysia
yang cerah dalam  tahun  1994  dan  tahun-tahun  berikutnya,
insya-Allah, industri insurans tempatan adalah juga dijangka
mencatatkan pertumbuhan yang berterusan kukuh.
3.      Walaupun  kita boleh berbangga dengan pencapaian dan
prospek ini, namun secara keseluruhannya pencapaian industri
insurans didapati masih lagi pada tahap yang tidak memuaskan
jika dibandingkan  dengan  beberapa  pasaran  insurans  luar
negeri  yang  lebih matang.  Sungguhpun terdapat peningkatan
dalam petunjuk-  petunjuk  prestasi  industri,  namun  masih
terdapat  skop  yang  begitu  luas  sekali  bagi pertumbuhan
lanjut yang berterusan dalam industri ini.
4.    Kesedaran tentang insurans di kalangan  rakyat  negara
ini adalah  masih lagi rendah.  Ini ialah kerana bagi setiap
sebelas  orang  penduduk,  hanya  dua polisi insurans sahaja
berkuatkuasa.  Keadaan ini menunjukkan bahawa skop  industri
ini  masih  luas  dan  ianya  hendaklah disahut sebagai satu
cabaran  oleh  industri  insurans  nyawa.    Adalah  menjadi
tanggungjawab   mereka  yang  terlibat  dalam  industri  ini
menentukan agar setiap  rakyat  di  negara  ini  yang  mampu
membiayai   kos  polisi  insurans  memperolehi  perlindungan
sewajarnya.  Ini adalah satu tanggungjawab sosial yang mesti
dipenuhi selaras dengan seruan Kerajaan bagi sektor korporat
yang penyayang atau `caring corporate sector'.  Dalam proses
ini, industri insurans bukan sahaja perlu bersedia menampung
permintaan insurans yang semakin canggih dan kompleks  malah
juga  lebih  bersifat  proaktif  dalam  membuka pasaran baru
dengan cara memperkenalkan produk-produk  baru  yang  sesuai
dengan keperluan setiap sektor masyarakat.
5.   Kerajaan sentiasa bersedia dan berusaha untuk membangun
dan  memajukan  industri insurans dan meletakkannya di tahap
yang   lebih   kukuh.      Berbagai-bagai   langkah    telah
diperkenalkan  untuk  kebaikan  industri  berpandukan kepada
matlamat untuk memberi perlindungan kepada  pemegang  polisi
dan  memastikan  pertumbuhan  industri  yang teratur sebagai
komponen penting sistem kewangan  negara.    Hasil  daripada
langkah-langkah   tersebut   serta   struktur  kawalan  rapi
Kerajaan, tanggapan umum terhadap  industri  insurans  telah
bertambah baik dan prospek bagi pertumbuhan industri semakin
menggalakkan.
6.    Keupayaan untuk mengambil peluang-peluang pasaran yang
terserlah adalah bergantung kepada kebolehan dan usaha-usaha
gigih tuan-tuan dan puan-puan sendiri di  samping  mengatasi
masalah struktur dan operasi yang masih berlanjutan.  Antara
isu struktur yang paling mendesak dan yang melibatkan tenaga
agensi    secara    langsung   ialah   tahap   kos   operasi
syarikat-syarikat insurans nyawa  yang  begitu  tinggi  yang
mencerminkan   kawalan   kos  operasi  yang  tidak  efektif.
Sekiranya dibiarkan berterusan, kedudukan ini  dalam  jangka
panjang,  akan  menggugat  kedudukan kewangan dan daya tahan
syarikat-syarikat insurans.    Kadar  perbelanjaan  industri
insurans nyawa yang tinggi ini juga nyata sekali menjejaskan
kepentingan pemegang polisi.
7.      Memandangkan  hal  ini,  semua  pihak yang terlibat,
termasuk tenaga agensi, harus menyedari dan mengakui  betapa
pentingnya  untuk  memperbaiki  kedudukan  industri insurans
melalui strategi kawalan kos dan  peningkatan  produktiviti.
Hanya  mereka  yang menekankan kawalan yang efektif terhadap
kos akan dapat terus  kekal  beroperasi  dalam  jangka  masa
panjang.    Usaha-usaha  Kerajaan sahaja tidak memadai untuk
mengatasi masalah ini dan tenaga agensi juga harus  bersedia
untuk  bertolak  ansur bagi kepentingan negara.  Peningkatan
dalam tahap pendapatan tenaga agensi haruslah dicapai dengan
meningkatkan   produktiviti   dan    bukannya    semata-mata
berdasarkan kadar komisen yang tinggi.
8.    Hasrat untuk memantap dan meningkatkan kecekapan serta
daya saing industri insurans akan  dapat  dicapai  sekiranya
semua  pihak  yang terlibat dalam industri insurans nyawa --
syarikat- syarikat insurans  dan  persatuan-persatuan  serta
tenaga  agensi  --  dapat  bergerak  selari dan mengenepikan
perbezaan kepentingan bagi mencapai kepentingan negara  yang
lebih  besar,  iaitu  ke  arah  menjadikan industri insurans
nyawa sebagai komponen sektor kewangan dan perkhidmatan yang
utama,  kukuh  dan  berdaya  maju.     Dalam  proses   untuk
menyelesaikan   masalah-masalah  struktur  sebegini,  setiap
pihak yang terlibat harus bersedia mengenepikan  kepentingan
peribadi  untuk  mencapai kepentingan nasional.  Usaha-usaha
yang  dilakukan  oleh  Kerajaan  ke  arah  mengurangkan  kos
operasi haruslah dilihat dalam perspektif yang betul.
9.      Dalam konteks pembangunan sektor insurans di negara
ini, peranan tenaga  agensi  sebagai  pengantara  di  antara
orang   ramai   sebagai  pengguna  dengan  syarikat-syarikat
insurans menjadi semakin penting dewasa ini.   Fenomena  ini
jelas dicerminkan oleh pertambahan yang nyata dalam bilangan
ejen  insurans nyawa berdaftar yang telah meningkat sebanyak
26 peratus daripada 54,300  orang  pada  tahun  1992  kepada
68,500 orang pada tahun 1993.  Walaupun bilangan keseluruhan
ejen-ejen   telah  bertambah  dengan  nyata,  tetapi  profil
keseluruhan ejen-ejen  masih  kekal  tidak  berubah.    Saya
difahamkan  bahawa bilangan ejen-ejen Bumiputera masih kekal
pada tahap yang  kecil,  iaitu  tidak  melebihi  10  peratus
daripada  jumlah  keseluruhan  ejen-ejen.   Pada akhir tahun
1993, bilangan ejen Bumiputera hanya  seramai  5,736  orang,
iaitu   hanya   merupakan   8.4  peratus  daripada  bilangan
keseluruhan  tenaga  ejen.    Daripada  jumlah  yang   kecil
tersebut,  sebilangan  besar  daripada  ejen-ejen Bumiputera
hanyalah merupakan ejen-ejen sambilan sahaja dan  kebanyakan
daripada  mereka  hanya berkhidmat sebagai ejen dalam tempoh
kurang daripada dua tahun.
10.    Pelancaran  Persatuan  Agen-agen   Insurans   Jaminan
Pendapatan  Hidup Melayu Malaysia atau JAMIN diharapkan akan
dapat meningkatkan  penglibatan  kalangan  Bumiputera  dalam
bidang   ejen   insurans   nyawa.     JAMIN  mempunyai  satu
tanggungjawab    yang    besar,    iaitu    membangun    dan
mempertingkatkan   kedudukan   dan   tahap   profesionalisma
ejen-ejen  Bumiputera  supaya   menjadi   setanding   dengan
ejen-ejen  insurans  yang lain.  Saya juga difahamkan bahawa
memandangkan kepada kebanyakan daripada ejen  hanya  bekerja
secara  sambilan,  ramai tidak cenderung kepada meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang  perniagaan  insurans
nyawa  yang  mendalam sewajarnya.  Justeru itu, saya percaya
persatuan-persatuan ejen  seperti  JAMIN  akan  mencerminkan
komitmen  yang  serius  bagi memainkan peranan yang giat dan
aktif untuk membantu ahli-ahli mencapai tahap  kecemerlangan
perkhidmatan  atau  `excellence  in  service'.    Satu  lagi
strategi yang  harus  diutamakan  ialah  membantu  ejen-ejen
sambilan  ini  menjadi  ejen  sepenuh  masa yang profesional
supaya produktiviti dan prestasi mereka dapat  ditingkatkan.
11.    Aspek  peningkatan  dalam  profesionalisma  ejen-ejen
adalah begitu penting bagi meningkatkan  keyakinan  pengguna
dan  masyarakat  terhadap produk insurans.   Ahli-ahli JAMIN
sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk memasarkan  produk
insurans  kepada  orang  ramai  harus  lebih  prihatin dalam
mengambil langkah-langkah yang  sewajarnya  untuk  menembusi
pasaran-pasaran  baru  dalam  rangka untuk menyedarkan orang
ramai, terutama sekali masyarakat Bumiputera tentang  betapa
pentingnya  insurans  kepada mereka.  Saya difahamkan bahawa
daripada  jumlah  masyarakat   yang   membeli   perlindungan
insurans,   hanya  segelintir  daripadanya  adalah  daripada
kalangan kaum Bumiputera.
12.   Menembusi pasaran Bumiputera  adalah  menjadi  cabaran
utama  bagi  JAMIN.    Ini  hanya  dapat dilakukan sekiranya
tenaga ejen yang tersebut bersikap profesional dan  berhemat
untuk  memastikan  supaya  kepercayaan orang ramai, terutama
masyarakat Melayu yang sekian lama mempunyai tanggapan  yang
negatif  terhadap  perlindungan  insurans, dapat diperolehi.
Saya percaya, JAMIN akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya
bagi kepentingan ahli-ahlinya serta  menggerakkan  fungsinya
ke arah mencapai wawasan negara.
13.      Dengan  ini,  saya  dengan  sukacitanya  merasmikan
Pelancaran Persatuan Agen-agen Insurans  Jaminan  Pendapatan
Hidup  Melayu Malaysia.   Saya mengucapkan selamat maju jaya
kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
                           
 
 



 
Google