home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MAMPU, JABATAN PERDANA MENTERI, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	09/08/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN CIVIL SERVICE 
			LINK (CSL) 


 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  MAMPU  kerana
menjemput saya untuk melancarkan  Projek  Civil Service Link
atau CSL pada hari ini.
2.   Pembangunan yang pesat dan  dinamik  banyak  bergantung
kepada perolehan dan penggunaan  pengetahuan  dan  maklumat.
Dunia yang kini mengalami perubahan yang ketara, terutamanya
di dalam bidang telekomunikasi,  pengangkutan dan  teknologi
maklumat,   semakin   lama  semakin   kecil  daripada  sudut
perhubungan.  Aliran maklumat  dan  teknologi yang melampaui
sempadan negara merupakan cabaran yang hebat kepada Malaysia
yang  mempunyai  ekonomi  yang terbuka.   Justeru itu,  kita
harus mempunyai keupayaan untuk bertindak  dengan pantas dan
berkesan   bagi  menghadapi  perubahan  yang   pesat   dalam
perdagangan dan  pelaburan sedunia.
3.  Maklumat yang relevan, tepat dan kemaskini amat  penting
dalam menentukan  kadar  pertumbuhan  sosio-ekonomi.  Sektor
swasta   sebagai   penggerak   utama   pertumbuhan   ekonomi
memerlukan maklumat untuk bersaing  dalam pasaran dunia.
4.   Kini  kita dapati kebanyakan  maklumat yang  diperlukan
oleh   sektor   swasta   adalah  dalam  milik  agensi-agensi
Kerajaan.  Perangkaan ekonomi  makro,  ramalan dan  analisis
mengenai   arah   aliran  sektor-sektor  ekonomi,  indikator
sosial, sains dan teknologi merupakan input utama yang boleh
membantu syarikat-syarikat sektor swasta  dalam  perancangan
mereka.  Di samping itu, maklumat-maklumat mengenai ekonomi,
pasaran   dan   dasar-dasar   Kerajaan   dapat  mempengaruhi
aktiviti-aktiviti sektor swasta.   Perolehan  maklumat  yang
tepat dan lengkap tentu sekali dapat membantu  proses harian
syarikat-syarikat swasta.
5.    Begitu juga dengan pihak  Kerajaan.    Dalam  merangka
strategi pertumbuhan ekonomi, maklumat-maklumat penting yang
dipunyai  oleh  sektor  swasta,  seperti  perkembangan dalam
pasaran serta  maklum balas mengenai perkhidmatan  Kerajaan,
diperlukan  bagi meningkatkan mutu di samping mempercepatkan
lagi proses 'decision making' oleh Kerajaan.
6.   Memandangkan hakikat bahawa bertukar-tukar maklumat  di
antara  sektor  swasta  dengan Kerajaan adalah penting, maka
haruslah  wujud    kerjasama  yang  lebih  erat   di   dalam
perkongsian  maklumat  antara  kedua-dua pihak.   Aliran dua
hala maklumat ini akan dapat meningkatkan lagi daya  saingan
negara kerana masa dan tenaga akan dapat dijimatkan.
7.      Malaysia telah dan akan terus memainkan peranan yang
penting  di  dalam   perkembangan   sosio-politik   wilayah,
ekonomi,  alam  sekitar  dan  teknologi.  Ini bererti bahawa
maklumat-maklumat    asas    harus    dapat     mempengaruhi
keputusan-keputusan  kita  supaya  penglibatan  kita  adalah
lebih berkesan dan bermakna.
8.   Dalam hal ini, Kerajaan telah  memberi  penekanan  yang
serius  kepada  keperluan menyebar maklumat penting di bawah
Dasar  Persyarikatan  Malaysia.     Ini  kerana   penyebaran
maklumat yang meluas dapat membantu sektor swasta mengetahui
dengan   jelas  aspek-aspek      seperti      undang-undang,
peraturan       dan     prosedurKerajaan  yang   digunakan,
proses-proses  yang  terlibat, jenis-jenis perkhidmatan yang
diberi dan agensi-agensi yang menyediakannya.
9.   Saya difahamkan sebuah buku berjudul "Berurusan  Dengan
Perkhidmatan Awam Malaysia" telah dikeluarkan pada bulan Jun
1993  yang menggariskan panduan dan menyediakan rujukan yang
komprehensif kepada para peniaga.   Dengan adanya  buku  ini
sektor  swasta akan lebih mudah berurus dengan agensi-agensi
awam  di samping menjimatkan masa  dan  tenaga.    Kefahaman
mengenai  sistem  pentadbiran awam keseluruhannya juga dapat
mengurangkan salah  faham  atau  mengatasi  kekeliruan  yang
boleh menjejaskan hubungan baik di antara sektor awam dengan
swasta.
10.  Maklumat yang tepat dan komunikasi yang berkesan adalah
pra-syarat   yang   amat  penting   dalam  pembentukan  satu
masyarakat yang bersatu  padu.    Persefahaman  baik  antara
golongan-golongan     dalam     masyarakat     akan    dapat
dipertingkatkan melalui pembekalan maklumat yang  tepat  dan
jitu.
11.  Pembekalan maklumat juga adalah penting dalam membangun
satu  masyarakat  berilmu.    Peralihan  daripada masyarakat
perindustrian   kepada   masyarakat   maklumat    memerlukan
data-data   yang   mana  dapat  mempengaruhi  keputusan  dan
tindakan anggota-anggota  masyarakat.    Kini,  perkembangan
teknologi  telah menghasilkan sistem komunikasi satelit yang
canggih yang dapat menyalurkan maklumat  dengan  pantas  dan
serta merta ke seluruh dunia.
12.    Rakyat  Malaysia  perlu  menyedari  kemajuan-kemajuan
sedemikian  untuk  bersama  maju  dengan   memperolehi   dan
menggunakan maklumat yang tepat dan terkini secara berkesan.
Kita  harus meningkatkan keupayaan memproses dan menggunakan
maklumat demi memperbaiki lagi daya fikiran rakyat Malaysia.
Pekerja yang  berpengetahuan  merupakan  sumber  utama  yang
penting ke arah mencapai matlamat negara maju yang dihormati
dunia.
13.    Saya  berbangga  dengan  usaha  untuk  membangun  dan
melaksanakan Civil  Service  Link  (CSL).    Perwujudan  CSL
merupakan  titik  permulaan  satu  era baru dalam penggunaan
teknologi maklumat Kerajaan.  Sebelum ini, maklumat Kerajaan
disimpan   oleh   pelbagai   agensi   dalam   bentuk    yang
berbeza-beza.    Ada  yang dicetak, dan ada yang disimpan di
dalam sistem komputer.   Pengguna sektor  swasta  dan  orang
ramai   yang  memerlukan  maklumat  perlu  berurusan  dengan
pelbagai agensi yang mana ini menimbulkan  pembaziran  masa,
wang dan tenaga.
14.    Dengan  CSL  ini,  maka satu langkah 're-engineering'
proses  telah  berlaku  di  mana  'access'  kepada  maklumat
Kerajaan  boleh  dipermudahkan.    Saya berharap usaha-usaha
sedemikian  akan   dapat   mempertingkatkan   lagi   kualiti
penyampaian    maklumat    perkhidmatan    Kerajaan   kepada
pelanggan-pelanggannya.  Saya juga berharap usaha-usaha yang
berterusan dapat dijalankan untuk mengumpul maklumat terkini
dan lengkap daripada pelbagai agensi-agensi Kerajaan.   Yang
penting ditekankan ialah maklumat yang terkini.
15.      Sebagai   sebuah   institusi   CSL  perlu  mendapat
pengiktirafan kegunaannya oleh sektor swasta dan orang ramai
dalam jangka masa panjang.    Adalah  diharapkan  CSL  dapat
berperanan  sebagai  sebuah  pusat  maklumat  Kerajaan  yang
dikagumi ramai di rantau ini.
16.   Usaha-usaha hendaklah dilaksanakan  secara  berterusan
untuk   membangunkan  satu  budaya  bagi  mewujudkan  sistem
pengurusan  maklumat  yang   teratur   dan   sistematik   di
agensi-agensi   Kerajaan.    Di  samping  itu,  satu  agenda
penyelidikan dalam bidang maklumat Kerajaan harus  dirancang
dan   dilaksanakan   untuk  menghasilkan  kaedah-kaedah  dan
piawaian bagi  meningkatkan  tahap  keberkesanan  pengurusan
maklumat Kerajaan.
17.    Majlis  hari ini merupakan satu lagi tanda pencapaian
cemerlang Kerajaan dalam penggunaan teknologi maklumat.   Ia
juga  melambangkan  kematangan penggunaan teknologi maklumat
oleh Kerajaan.    Tumpuan  Kerajaan  kini  ialah  perwujudan
sebuah  infrastruktur  maklumat yang mantap dan jitu sebagai
landasan untuk menggerakkan negara ke satu tahap pembangunan
yang maju, dinamik dan cemerlang.   Justeru  itu,  perasmian
Civil  Service  Link  ini  bukan  sahaja tepat pada masanya,
tetapi juga selaras dengan dasar Kerajaan  untuk  mewujudkan
satu masyarakat yang 'information rich'.
18.   Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Projek
Civil Service Link.
                         
 
 



 
Google