home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/08/94 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MALAM MERAIKAN PERDANA MENTERI JEPUN, T.Y.T. TOMIICHI MURAYAMA Bagi pihak rakyat Malaysia dan diri saya sendiri, saya mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama, anak Tuan Yang Terutama, Puan Nakahara serta kesemua ahli rombongan Tuan Yang Terutama ke Malaysia. Saya berasa amat bangga serta berbesar hati di atas lawatan Tuan Yang Terutama yang mencerminkan bahawa kerajaan Jepun, sungguhpun mengalami perubahan kepimpinan, terus memperkukuhkan hubungan persahabatan diantara Malaysia dengan Jepun. Lawatan Tuan Yang Terutama sudah pasti akan meningkatkan lagi hubungan baik dan kerjasama di antara kedua-dua negara kita. 2. Kami di Malaysia melihat Jepun sebagai salah satu model pembangunan ekonomi yang unggul di Timur terutamanya mengenai etika serta teknologi yang telah membantu Jepun mencapai kejayaan. Dasar Pandang ke Timur yang terus dipegang oleh Malaysia dan telah membawa kepada persefahaman yang lebih baik antara kedua-dua rakyat Malaysia dan Jepun adalah bukti kejayaan kerjasama rapat antara kita. Kita berterima kasih kepada Jepun atas bantuan serta sumbangan yang telah diberikan dengan murah hati kepada Malaysia selama ini. 3. Saya gembira bahawa hubungan erat di antara Malaysia dengan Jepun telah berjaya mempertingkatkan lagi perdagangan serta pelaburan Jepun di Malaysia. Jumlah pelaburan serta perniagaan Jepun di Malaysia pada hari ini merupakan pelaburan asing yang terbesar. Suka saya menyebutkan di sini bahawa rakyat Malaysia sekarang bersedia untuk mendapatkan faedah secara langsung daripada kehadiran pelaburan Jepun di negara ini khususnya, daripada segi pemindahan teknologi, latihan pengurusan dan kepakaran teknikal. Selepas bertahun-tahun bekerjasama, Malaysia kini mahu rakan kongsi ekonomi yang sebenar dengan Jepun di mana faedah-faedah yang diperolehi dikongsi samarata. 4. Kami mengambil maklum bahawa di dalam ucapan dasar Tuan Yang Terutama di dalam sessi ke seratus tiga puluh Persidangan Parlimen Jepun pada bulan Julai, Kerajaan Tuan Yang Terutama telah menyatakan hasrat untuk memainkan peranan yang lebih aktif di dalam masyarakat antarabangsa sebagai negara yang cintakan perdamaian. Kami mengalu-alukan aspirasi Kerajaan Jepun untuk mencapai hasrat tersebut. Sebagai sebuah negara membangun kami sentiasa menekankan pentingnya pembangunan sosio-ekonomi berbanding dengan pakatan politik dan ketenteraan sebagai asas untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan di rantau ini. Dalam hubungan ini, Kerajaan Jepun telah memainkan peranan yang boleh diteladani, dengan banyak memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini dan sebagai tempat sumber bantuan pembangunan. 5. Malaysia percaya bahawa Jepun sebagai salah satu kuasa ekonomi yang utama harus memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga keamanan dan keselamatan di dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lebih baik. Masanya telah tiba untuk melindungi serta menonjolkan masyarakat pelbagai budaya dan berbilang bangsa di seluruh dunia dan menentang kebangkitan sentimen perkauman yang semakin merebak di beberapa bahagian di dunia terutamanya di negara-negara Eropah Barat dan Amerika Utara. Peningkatan jumlah operasi pengaman PBB di serata dunia yang tidak dijangka menunjukkan kemunculan krisis-krisis baru selepas berakhirnya Perang Dingin. Peningkatan ini telah menyebabkan perbelanjaan dan kos operasi pengaman PBB menjadi semakin besar sehingga PBB tidak lagi dapat menanggung perbelanjaan tersebut. Dalam waktu negara-negara penyumbang utama di kalangan OECD agak keberatan untuk memberikan sokongan serta bantuan daripada segi sumber manusia dan kewangan di dalam operasi-operasi pengaman PBB yang baru, peranan dan komitmen Jepun dalam hal ini akan membawa makna yang besar. Dalam hubungan ini, Malaysia berharap Jepun tidak akan berhenti daripada memberi sumbangan kewangan untuk operasi-operasi pengaman. Sebagai salah satu negara yang berperanan utama dalam arena antarabangsa, Jepun kini mesti bersedia melibatkan diri untuk tugas-tugas pengaman secara langsung. 6. Kita sedang melihat kemunculan kawasan-kawasan serantau dengan tiga kawasan menguasai ekonomi dunia iaitu Kesatuan Eropah (European Union), Kawasan Bebas Cukai Amerika Utara (NAFTA) dan negara-negara di Asia Timur termasuk ASEAN. Dalam usaha untuk menghalang trend munculnya kumpulan-kumpulan eksklusif, kami di dalam ASEAN telah mencadangkan konsep EAEC yang menitikberatkan keterbukaan rantau ini dan sistem perdagangan pelbagai hala. EAEC adalah satu gabungan ekonomi Asia Timur di dalam bentuk forum rundingan. Kami berharap agar Jepun dengan kebijaksanaannya dan berpandangan jauh dapat melihat faedah- faedah EAEC ini. Sebagai sebuah negara yang berada di Asia Timur, penyertaan Jepun di dalam EAEC akan dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan ekonomi serantau dengan lebih dinamik. 7. Saya amat berharap agar hubungan duahala yang terjalin di antara Malaysia dengan Jepun akan terus meningkat di bawah kemunculan kepimpinan baru di Jepun terutama sekali dalam kefahaman dan persahabatan erat di kalangan belia di kedua-dua negara kita. 8. Akhir sekali kami berharap agar Tuan Yang Terutama dan kesemua ahli rombongan sentiasa berada dalam selesa dan gembira berada di Malaysia. |