home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KELANG, SELANGOR Tarikh/Date : 28/10/94 Tajuk/Title : PELANCARAN PUSAT PEMERIKSAAN KENDERAAN BERKOMPUTER (PUSPAKOM) Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Diversified Resources Berhad (DRB) kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (PUSPAKOM), milik DRB pada hari ini. 2. Tahniah saya ucapkan kepada Diversified Resources Berhad kerana berjaya mengambil alih perkhidmatan pemeriksaan kenderaan komersil yang selama ini dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Pusat Kenderaan ini adalah satu lagi perkhidmatan Kerajaan yang telah menjalani proses penswastaan. Kerajaan percaya dengan penswastaan perkhidmatan ini, pemeriksaan kenderaan komersil akan dapat dijalankan dengan lebih efisien dan pantas. 3. Kenderaan bermotor adalah suatu kemudahan yang kita sekarang terima sebagai sebahagian daripada cara hidup kita, cara hidup yang kita anggap menjadi hak bagi masyarakat yang pesat membangun. Tetapi kemudahan ini tidak datang tanpa masalah. Di zaman kereta lembu dan orang berjalan kaki, tidak ada kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dan tidak ada pencemaran udara dengan asap ekzos kereta. Hari ini tidak ada suatu hari pun yang berlalu yang kita tidak kedengaran berita kemalangan dahsyat di jalan raya dan hari ini juga kita terpaksa menyedut udara yang penuh dengan asap dan gas yang toksik. Udara sudah tidak bersih lagi dan langit biru tidak lagi kelihatan. Apakah gunanya segala kemajuan dan kemudahan jika kehidupan kita tercemar, kita terdedah kepada penyakit paru-paru dan kepada bahaya kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa kita atau yang mencacatkan tubuh badan kita? 4. Sebenarnya apa yang berlaku bukanlah kerana adanya kemudahan kenderaan bermotor. Keburukan yang berlaku adalah kerana kita hanya minat memiliki dan mengguna kenderaan bermotor tetapi tidak mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap penyelenggaraan kemudahan ini. Kemalangan di jalan raya berlaku kerana kita tidak cermat dan cekap dalam memandu kereta. Kita terlalu gopoh dan tidak bertimbangrasa terhadap pengguna jalan raya yang lain. Mungkin juga kita tidak menyelenggara kereta kita dengan sempurna, sehingga ia tidak lagi selamat untuk digunakan. 5. Demikian juga dengan asap yang hitam yang keluar daripada ekzos kereta kita. Kereta yang baru dan yang diselenggara dengan baik tidak akan mengeluarkan asap yang begitu kotor. Di negara- negara yang pemilik dan pemandu kereta lebih bertanggungjawab, pencemaran udara oleh asap daripada kereta tidak berlaku walaupun kereta mereka lebih banyak berbanding dengan yang ada di negara kita. 6. Kerajaan membuat undang-undang untuk penyelenggaraan kereta secara yang baik bukan untuk menyusah pengguna tetapi untuk menyelamatkan mereka. Kita tidak boleh fikir bahawa belanja untuk memiliki dan mengguna kereta bermula dan tamat dengan kita membayar harga dan cukai pembelian. Jika kita ingin memiliki kereta kita mesti selenggarakannya dengan baik. Jika tidak kita juga yang akan menjadi mangsanya. 7. Pemeriksaan semua jenis kenderaan untuk menentukan kenderaan-kenderaan ini selamat untuk digunakan di jalan raya akan dapat mengurangkan kemalangan di jalan raya dan kehilangan nyawa atau cedera parah di kalangan pengguna jalan raya. Undang-undang keselamatan jalan raya adalah untuk keselamatan pengguna. Undang-undang mencegah pengeluaran asap juga adalah untuk kesihatan kita semua. 8. Ada pihak yang mempertikaikan pemeriksaan kereta yang berasap tanpa alat-canggih. Mereka anggap perbuatan ini sebagai tidak adil. Tetapi kita semua biasa mengikut kenderaan yang mengeluarkan asap sehingga kita tidak dapat melihat kenderaan itu. Apakah itu tidak benar asap hanya kerana kita tidak ada alat canggih, dan ianya menjadi asap hanya apabila kita mengukur dengan alat berkenaan? Tidakkah kita sedar bagaimana udara kita begitu tercemar dan kotor, serta dipenuhi dengan gas-gas toksik yang merbahaya kepada kesihatan kita sehingga boleh menyebabkan kita mendapat sakit barah dan sakit paru-paru yang memendekkan nyawa kita? Tidakkah kita sedar bahawa pencemaran udara kita sebahagiannya disebabkan asap daripada kereta-kereta yang tidak diselenggarakan dengan baik? Apakah hak kita mengotorkan udara lebih penting daripada kesihatan kita? Orang yang memiliki dan menggunakan kenderaan yang mengeluarkan asap sama terdedah kepada bahaya daripada pencemaran udara oleh mereka. Mereka dan keluarga mereka juga yang menghidu asap ini. Tetapi mereka lebih mengutamakan hak untuk mengukur asap dengan alat canggih daripada bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka dan keluarga mereka sendiri, jika pun tidak kepada masyarakat yang memberi peluang kepada mereka memiliki kereta dan hidup bahagia. 9. Kita menswastakan pemeriksaan kenderaan ini kerana beberapa sebab. Biasanya Kerajaan tidak mampu dan tidak efisien dalam menguruskan kerja seperti ini. Jika pemeriksaan dibuat secara tidak efisien, pemilik kereta juga yang akan menjadi mangsa. 10. Janganlah fikirkan tentang keuntungan yang akan diperolehi oleh pengusaha yang mendapat francais ini sahaja. Saya ingin mengingatkan bahawa pengusaha ini pun mempunyai tanggungjawab yang berat. Jika kita dapati pemeriksaan yang dibuatnya tidak dilakukan dengan baik, walau apa pun sebab, kita akan menarikbalik lesennya. Kerugiannya tentu besar tetapi bagi yang tidak bertanggungjawab keuntungan itu tidak boleh dihalalkan. 11. Orang lain yang hanya nampak keuntungan pengusaha ini harus faham betapa beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul olehnya. Demikian juga pekerja yang berpeluang bekerja dengannya. Jika pemilik ternampak terlalu 'strict' terhadap mereka, sebabnya ialah kerugian yang akan dipikul olehnya amatlah berat jika kerja tidak dibuat dengan jujur dan baik. Pemilik kereta yang berharap mendapat kelulusan dengan mudah sedangkan kereta mereka tidak diselenggarakan dengan baik juga harus ingat bahawa jika kelulusan yang tidak sepatutnya diberi, tetapi diberi kerana sebab-sebab tertentu, balasan kepada pengusaha ini adalah berat. Justeru itu, pengusaha perlu tegas walaupun pemilik kenderaan akan marah. Ketidaklulusan bukan kerana takut hilang pendapatan sahaja tetapi kerana tanggungjawab kepada masyarakat yang perlu dilindungi daripada bahaya kereta yang tidak diselenggarakan dengan baik digunakan di jalan raya. 12. Sempena dengan penswastaan pemeriksaan kereta ini, ingin saya jelaskan sedikit tentang tindakan penswastaan oleh Kerajaan. Jika kita teliti, kita akan mendapati bahawa penswastaan menguntungkan semua pihak, dan bukan hanya pengusaha yang berjaya memperolehi peluang. Pengguna biasanya mendapat perkhidmatan yang lebih efisien dan baik, pekerja mendapat peluang dan upah yang lebih daripada yang boleh diberikan oleh Kerajaan, pengusaha mendapat keuntungan dan Kerajaan pula dapat mengurangkan perbelanjaan untuk menyedia dan menguruskan perkhidmatan ini, di samping mendapat cukai pendapatan daripada pengusaha. Kerana pendapatan ini, Kerajaan tidak perlu menambah cukai untuk mendapat peruntukan bagi belanja keperluan pentadbiran, bahkan boleh menaikkan pendapatan kakitangan Kerajaan sama ada dengan menambah upah atau bonus. Tidak dapat dinafikan oleh sesiapa bahawa penswastaan telah berjaya mempercepatkan pembinaan keperluan infrastruktur dan membantu pertumbuhan ekonomi negara. Jika kita hendak menunggu sehingga Kerajaan dapat mengumpulkan wang yang cukup sebelum mengadakan seribu jenis keperluan infrastruktur, pelaburan dan pembangunan ekonomi sudah tentu akan terbantut dan rakyat akan rugi. 13. Ada pihak yang mengecam langkah penswastaan kerana kononnya ia merugikan Bumiputera. Saya ingin menjelaskan bahawa sebahagian besar ekuiti dalam syarikat yang diswastakan dipegang oleh institusi-institusi seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan badan-badan lain yang mewakili Bumiputera. Tidak ada sebenarnya syarikat besar Bumiputera yang tidak mendapat manfaat yang besar daripada penswastaan. Namakan sahaja syarikat Bumiputera yang besar, dan kita akan tunjukkan bagaimana syarikat itu mendapat nikmat yang besar daripada penswastaan. Syarikat Bumiputera yang kecil dan individu Bumiputera perseorangan pun tidak boleh mendakwa bahawa mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripada penswastaan. Melalui 'sub-contract' dan pemilikan saham dalam syarikat-syarikat, Bumiputera dan bukan Bumiputera, dan juga melalui badan-badan amanah Bumiputera, semua Bumiputera mendapat nikmat daripada penswastaan. 14. Hanya yang dikesali ialah ada pengusaha-pengusaha Bumiputera yang meminta-minta projek penswastaan dengan alasan bahawa mereka adalah Bumiputera. Tetapi malangnya apabila mereka diberi peluang mereka tidak membuat apa-apa dan sebaliknya menjual projek berkenaan kepada pihak bukan Bumiputera. Mereka diberikan projek itu kerana mereka Bumiputera tetapi mereka menjualnya tanpa sedikit pun merasa malu dengan perbuatan mereka yang bukan sahaja menggagalkan proses penyusunan semula masyarakat tetapi memburukkan nama Bumiputera. Akibat kelakuan segelintir mereka ini pengusaha Bumiputera yang lain dan masyarakat Bumiputera yang menjadi mangsa. Mereka tidak akan dipercayai dan dilayan dengan baik lagi, sama ada oleh Kerajaan, bank-bank ataupun pihak-pihak lain yang berurusan dengan Bumiputera. 15. Janganlah mana-mana pihak terlalu cepat untuk menyalahkan Kerajaan apabila sesuatu rancangan untuk menolong Bumiputera gagal mencapai matlamatnya. Fikirkan juga tentang perbuatan orang-orang tertentu yang hanya berfikir untuk mencari keuntungan yang cepat bagi diri sendiri tanpa memperdulikan nasib kaum bangsanya. Jika ternampak seolah-olah hanya beberapa syarikat tertentu sahaja yang mendapat peluang penswastaan ini, sebabnya ialah kerana mereka dapat membuktikan kebolehan mereka dan mereka tidak mencari keuntungan cepat dengan menjual hak dan peluang yang diperolehi oleh mereka. Lagipun kebanyakan syarikat ini adalah syarikat amanah yang mewakili orang Melayu dan Bumiputera lain. Buktikan kebolehan dan kejujuran semasa berusaha sendiri, insya-Allah, sesiapa sahaja akan diberi peluang. 16. Akhir kata saya mengucapkan maju jaya kepada DRB dalam perusahaan baru ini. Janganlah lupa bahawa DRB bukan sahaja bertanggungjawab kepada masyarakat umum tetapi juga kepada Bumiputera lain. Kualiti khidmat yang diberi oleh DRB dalam pemeriksaan kenderaan boleh membantu menaikkan kualiti hidup rakyat dan melindungi mereka daripada kemalangan jalan raya. Di samping itu, kejayaan DRB bukan sahaja akan menyakinkan Kerajaan, pelabur dan masyarakat akan kebolehan syarikat Bumiputera bahkan juga akan menolong menebus maruah peniaga dan pengusaha Bumiputera. Dasar Pembangunan Nasional bertujuan untuk mendapatkan penyertaan Bumiputera secara berkualiti dan bukan kuantiti seperti Dasar Ekonomi Baru. Kuantiti atau jumlah penyertaan Bumiputera boleh luput di tangan Bumiputera yang tidak cekap atau tidak sabar untuk menjadi orang kaya. Tetapi penyertaan yang berkualiti oleh Bumiputera yang cekap lebih berkemungkinan menaikkan kuantiti yang kekal di tangan mereka. 17. Dengan harapan ini, harapan bahawa imbangan pembangunan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera akan menolong membangunkan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ini. |